You Rock My World - ‘DiaShAzwa’

Aku, (Bhin)Dia & Azwa... selepas 10 tahun...


Aku memang tak suka dengan perancangan. Jadi, bila Azwa SMS dan ajak untuk berjumpa ramai-ramai, aku tak berapa pasti sama ada perancangan itu akan berjaya ataupun tidak. Petang Jumaat, Azwa dah pun selamat sampai ke semenanjung (dia belajar di UMS, Sabah). Nasib baik masa dia SMS, aku dah pun ada kelapangan. Kerja aku dah siap dan buatkan aku ada masa untuk menumpukan perhatian pada perancangan untuk pertemuan setelah hampir setengah dekad tidak berjumpa. Kali terakhir aku jumpa Azwa pun masa masih menuntut di UIA Gombak (2004). Pertama kali juga, ketiga-tiga kami (aku, Harvinder dan Azwa) berjumpa selepas sahaja tamat SPM (2000). Lama betul tu!

Pagi Sabtu, (pertama kali aku tidur nyenyak dalam tempoh seminggu ni) aku bangun agak lewat. Pukul 6.30 pagi. Sambung sedikit skrip tele-movie. Kemudian, baca semula manuskrip Mini Novella. Aku suka karyaku yang satu ini kerana ianya benar-benar dekat dengan hati. Beberapa minit lepas tu, aku hubungi Dia(Harvinder). Dia dah siap sedia untuk perjumpaan kali ini. Aku pun begitu juga. Entah kenapa, badan aku tak berapa sihat dan hampir-hampir saja aku nak batalkan perjumpaan hari ini. Mustahil! Peluang untuk berjumpa tidak selalu ada. Jadi, aku keraskan juga hati, redah segala-galanya dan Alhamdulillah, aku muncul juga di kawasan rumah Dia pukul 12 tengah hari.

Malangnya, Azwa dan adiknya, dah pun sampai di Sogo dalam pukul 11.30! Alamak! Rasa bersalah betul. Aku hantar SMS katakan yang aku dan Dia akan sampai lambat sebab masalah tertentu. Bila aku hubungi dia, dia dah pun ronda-ronda KL. Tak apalah,janji dia tak tertunggu-tunggu sebab aku tak suka orang tunggu aku. Aku dan Dia pun bertolak dari kawasan rumahnya. Naik bas RapidKL. Pertama kali naik untuk sekian lama, agak janggal juga. Bukan lupa diri, cuma sudah tak terbiasa dengan rutin menaiki kenderaan perkhidmatan awam. Pemandunya pula, tak payah cakap. Jantung aku ni, kalau boleh tercabut… memang dah lama melayang. Bahaya betul pandu bas. Macam naik kereta Fast and Furious pulak!

Kami berdua turun di Warta. Oleh kerana tak nak lebih lewat dan takut Azwa lama menunggu, aku ajak Dia naik teksi. Pemandu teksi pun lebih kurang 2 x 5 dengan pemandu bas. Kami hampir-hampir menyondol kereta Saga Iswara di fly-over Kepong. Kalau dia tunda pun, biar dia yang bayar! Pukul 12.45 tengah hari sampailah kami berdua di Sogo. Azwa pula masih meronda-ronda di Jalan TAR.

Mungkin kedengaran agak pelik, tapi inilah hakikatnya. Sampai-sampai saja di Sogo, ada jualan murah. Aku dan Dia sikit pun tak terjenguk barang-barang di situ dan terus menuju ke fourt court! Kelakar, betul tak? Beberapa minit kemudian, Azwa sampai dan mulalah episod Jejak Kasih di depan kawasan air terjun di Sogo. Seronoknya berjumpa dengan kawan-kawan lama. Kisah yang tersimpan dari A – Z, semua dikongsi bersama. Sedikitpun tak ada baki yang tertinggal berselang-seli dengan kenangan kisah ketika di waktu persekolahan.

Pertemuan dari pukul 1 sehingga 6 petang seakan masih kurang. Memang masa amat memusuhi pertemuan kami. Sepanjang aku meluangkan masa bersama mereka, ada saja panggilan yang masuk mengganggu ketiga-tiga kami. Azwa ada urusan lain kerana perlu bertemu dengan neneknya pula. Aku pula menerima panggilan dari majikanku, untuk turun padang. Aku harap, majikanku faham sebab inilah satu-satunya hari yang ingin aku luangkan bersama kawan-kawan setelah 9 tahun tidak bertemu.

Akhirnya, terpaksa juga ucapkan selamat tinggal dan mula ambil laluan masing-masing. Namun apa yang pasti, selepas dari hari ini perhubungan kami tidak akan putus. Insya-Allah, dan harap masing-masing berjaya dengan pilihan hati masing-masing. Al-maklumlah, ketiga-tiga kami pernah bercinta, didustai, terluka dan sedang berusaha untuk menemui cinta yang baru. Harapnya begitulah.

Aku dah Dia bergerak pulang ke rumah Dia, di mana aku letakkan Romi. Sebelum balik, Dia ajak ke rumahnya sebentar. Aku pun amat berbesar hati nak berjumpa dengan keluarganya. Jadi, aku pun dengan hati yang teruja (tak kurang juga segan sebab tak tahu penerimaan keluarga dia) mengorak langkah. Saat pintu dibuka, aku dapat lihat mak Dia. Aku tak sangka, kedatangan aku disambut dan dilayan mesra oleh keluarga Dia. Aku sempat menjamah kek (vegetarian) air tangan mak Dia. Sedap! Memang sedap sekali. Keadaan bertambah meriah bila, kak Veena balik. Riuh-rendahlah rumah tu. Aku sempat juga melihat gambar-gambar perkahwinan keluarga Dia sambil mengusik mak Dia,

‘aunty, bila Dia nak kahwin?’

Soalan licik, diajukan semula kepada aku…

‘you bila nak kahwin, soniye?’

Aku tergelak besar. Pertama kali aku terima pujian sebegitu, sebab Dia kata ibunya cakap, aku cantik tanpa tudung. Aku tak pernah terima pun pujian sebegitu. Dan keduanya, aku tak terfikir soalan itu akan diajukan semula padaku. Dalam keseronokan meluangkan masa bersama keluarga Dia yang comel ini, aku terima dua panggilan. Satu dari orang yang …tut tut… dan satu lagi dari majikanku. Alahai, maaflah. Aku memang tak dapat datang ke tempat tu sebab sukar untuk aku tinggalkan kemeriahan di rumah ni. Manakala si abang yang satu lagi sempat suruh aku balik rumah. Katanya…

‘Sha, tak elok anak dara balik lewat malam’

Memang aku tak dengar cakap sehinggalah abah sendiri yang buat panggilan.

‘Izan tak sayang abah, ya? Kenapa tak balik lagi?’

Alamak. Lemah hati aku dibuatnya. Aku pun apalagi, cepat-cepat bersiap pulang ke rumah. Sebelum melangkah keluar rumah, mak Dia datang dan memberikan duit ke tapak tanganku.

‘Eh, aunty tak payahlah susah-susah beri duit’

‘Nahin, ini adat kami… you datang rumah ni pertama kali’

Aku terima saja. Hormati adat kaum Punjabi. Seronok juga hingga aku tanya

‘Boleh saya tidur sini, bila-bila saya nak?’

‘Datanglah, lagipun kat sini tak ada lelaki’ ujar kak Veena.

Aku sempat bergambar dengan kak Veena yang cantik manis. Aduhai, kenapalah mereka semua ni dikurniakan wajah yang cantik-cantik. Terasa-rasa aku berdiri dalam kelompok ratu cantik pula. Dan sebelum betul-betul meninggalkan rumah Dia, sekali lagi mak Dia tanya…

‘bila nak kahwin?’

‘Saya tunggu sesiapa saja masuk minang,’

Jawabku sambil diikuti hilai tawa kami semua. Yang pastinya hari ini memang satu hari yang terlalu menggegarkan duniaku. Mereka berdua membuatkan aku mengimbas kehebatan persahabatan kami yang dulu dan cuba untuk mengekalnya sehinggalah nafas terhenti. (Bhin)Dia dan Azwa… You Rock My World!

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku