Bercampur baur...

Hari ini, macam-macam yang aku rasakan. Perasaan yang bercampur. Peristiwa yang berlaku pun berbilang juga perasaan dan emosinya. Sebenarnya, aku tak tidur semalaman. Satu, mungkin sebab bilik tidurku yang comel itu sudah dicerobohi seorang pecinta. Dan sebab kedua, aku terlalu teruja untuk terjun kembali (sebentar saja) ke bidang yang pernah ku alami beberapa bulan yang lalu. Kewartawanan.

Sudah hampir tiga bulan aku bekerja di syarikat baru. Selama tempoh itu, aku lebih banyak menghabiskan masa di pejabat. Menulis dan menyunting artikel-artikel dan teks. Kalau ada sesi temubual pun, yang sudah dilakukan temujanji lebih awal dan bertentang dua mata. Kali ini, aku diberi peluang untuk merasai sendiri suasana kemeriahan autoshow dan dalam masa yang sama, audioshow. Aku dikira bertuah kerana tempat pertandingan dijalankan di sekitar Rawang, iaitu di Bukit Sentosa.

Seawal pukul 8 pagi aku dah bersiap sedia untuk bertolak. Hati sedikit berat kerana tidak dapat turut serta ahli keluarga yang lain pergi menghadiri majlis cukur jambul anak pakcik saudara aku di Kampung Chubadak. Lebih terkilan lagi sebab, mereka semua terus singgah menziarah atuk. Namun, aku tahu, mereka pasti faham tentang tugasan yang sedia aku galas. Sejak dari mula aku berkecimpung dalam dunia kewartawanan (dulu lebih kepada bahagian famili, kesihatan dan juga hiburan), sudah aku khabarkan kepada umi dan abah serta adik-beradikku. Alhamdulillah, mereka memahami dan terus memberi sokongan.

Tujuan sebenar kedatangan aku (yang ditemani majikanku), untuk menemubual dua individu yang terpilih untuk segmen show-off sistem audio kereta masing-masing. Malangnya, kedua-dua mereka lambat sampai ke tempat pertandingan dan bilangan pengunjung pula teramat ramai. Meriah betul, dan terasa-rasa seperti sedang berkunjung ke karnival Jom Heboh! Jadi, aku tidak mahu pulang dengan tangan kosong. Malah majikanku juga beritahu supaya tugasan hari ini ditukarkan dari segmen show-off kepada liputan untuk segmen event.

Aku pun melancarkan misi. Melawat satu kereta ke satu kereta yang lain. Nasib baik semasa aku berkunjung ke kereta-kereta tersebut, kesemuanya dalam proses memanaskan enjin. Kuranglah bunyi dentuman tapi masih jelas kedengaran. Aku juga sempat berbual dan beramah mesra dengan peserta pertandingan. Seronok mendengar luahan hati mereka dan kegembiraan mereka menunjukkan kehebatan sistem audio masing-masing. Aku tertarik dengan sebuah kereta k-car yang comel dengan bunyi hon lagu The Godfather. Asyik betul.

Seperti biasa, aku selalu saja bertanyakan soalan yang mungkin tidak sepatutnya ditanya.

"Berbaloike duit berhabis berpuluh-puluh ribu dengan ganjaran hadiah yang ditawarkan?"

Seorang peserta gelak besar, "duit ciput sangat kalau menang sekalipun, tapi yang penting saya minat,"

"Isteri tak bantah hobi mahal ni?" tanya mulut celuparku.

"Lebih baik saya berhabis duit di kereta dari habiskan duit cari perempuan lain,"

Memang benar juga apa yang dikatakan peserta itu. Aku juga turut tertarik dengan seorang peserta yang turut bertanding. Dia jauh lebih bertuah berbanding peserta-peserta lain kerana, si isteri menemani si suami dengan penuh syukur. Aku bertanyakan soalan yang hampir sama dan ini pula jawapan yang aku terima....

"Kereta ini dah macam anak... saya rasa tak salah kalau nak berhabis duit pada anak,"

Jawapannya membuatkan aku teringat kepada Romi. Ya! Romi, kereta kesayanganku. Dialah nyawa dan dia jugalah buah hatiku. Sudah hampir 5 tahun aku dengan Romi. Ketika dia masih dalam jagaanku, sedikit calarpun aku boleh naik hantu. Sekarang? Romi banyak parut, kesan geseran. Mungkin sekali dari lori!

Disebabkan 2 individu yang aku perlu temubual datang lewat, aku sempat bertukar-tukar nombor dengan peserta. Aku juga pulang sedikit lewat dan sedikit terkilan kerana temujanji dengan dua individu tersebut terpaksa dibatalkan. Mungkin, di hari yang lain.

Pulang ke rumah, tidak ada sesiapa. Aku seorang saja sebab mereka semua menziarah atuk pula. Aku ambil kesempatan ini, bermanja-manja dengan Jojo dan Jaanu. Sudah lama aku tak luangkan masa bersama-sama mereka. Aku dapat rasakan perbezaan pada Jojo dan Jaanu. Kedua-duanya makin besar tapi, Jojo tak selincah dan senakal dulu. Lebih banyak menghabiskan masa dalam rumahnya. Puas aku membelai tangan dan kakinya. Dia jengukkan wajahnya tapi matanya tertutup rapat. Ya Allah!

Jojo tak sihat. Matanya bengkak. Aku usap berulang-kali kaki dan tangannya dan sesekali aku gentel jari-jarinya. Ada tindak balas tetapi lemah. Hati aku sudah mula bergetar. Teringat aku pada CJ. Keadaan sama pernah menimpa CJ dan akhirnya, dia pergi meninggalkan aku. Aku tak mahu keadaan berulang kembali. Aku tak mahu kehilangan Jojo dan aku hanya mampu berdoa, agar dia akan kembali sihat.

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku