Friday, April 29, 2011

Bunuh Diri...!

Perkara yang paling mengecewakan seorang penulis apabila karyanya disalahertikan. Bila kalian jadi seorang penulis, barulah kalian mengerti. Takkanlah nak menulis dengan ayat nyata, jelas dan tepat. Mana perginya daya pemikiran kreatif kalau macam itu gaya penulisannya? Niat sebenar yang ada dalam karya, dipandu ke arah lain. Sakit tak hati kalian kalau orang perlekehkan karya kalian sampai begitu rupa? Bingai ke apa?
(*bingai = tidak tertera dalam Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka)

Aku tak suka ambil contoh karya orang lain, tapi cukuplah aku rujuk kes berkenaan karya '1 Malaysia' yang bikin panas 1 Malaysia huru-hara seketika. Aku bukan nak membela diri dengan menumpang kisah yang sama. Kisah aku berlainan. Langsung tidak melibatkan Malaysia, apatah lagi '1 Malaysia'. Kisah aku agak memualkan kalau mahu disamakan dengan kisah itu. Satu sahaja persamaan yang boleh aku nyatakan di sini, bagaimana para pembaca memesongkan niat karya yang ditulis penulis.

Siapa yang harus dipersalahkan?
Penulis atau pembaca?
Salahkah kalau penulis menggunakan ambiguiti?
Atau inilah bahana dan natijah orang-orang yang tidak peka dengan bacaan mereka?
Baca selapis, terus menghentam. Patutkah begitu?

Tak pernah aku menyangka, niat aku menulis dengan setulusnya disalahertikan. Kecewa? Tak payah cakaplah tentang kecewa. Entahlah. Mungkin si pembaca itu yang terlalu 'dewa' sampai boleh menuduh aku begitu. Aku benci sangat bila orang yang faham dan hidup dengan bahasa Melayu sewenang-wenang menuduh aku dengan perkataan-perkataan yang hina. Ini kali kedua. Aku diam kerana disuruh diam. Tapi, kalau dia yang salah tafsir niat karya aku, apa boleh aku buat? Nak biarkan saja karya aku dibunuh?

Kepada saudara yang seangkatan dengan 'dewa', aku tahu kau sedang di atas awan ke 9, kebahagiaan akan segera kau takluk bila-bila masa saja. Ya. Tapi, apa hak kau tuduh aku itu dan ini? Karya aku kau jadikan senjata untuk membunuh diri aku sendiri? Apa hak kau?

Ya. Aku akan terus berdiam. Berdiam kerana janji yang telah dilafazkan. Demi mereka, aku berdiam. Aku tahu, diri ini tidak memegang apa-apa jawatan yang tinggi dalam komuniti bangsa-bangsa manusia yang bongkak lagi sombong. Aku hanyalah manusia yang dipinjamkan sedikit kebolehan dalam menulis. Itu yang aku buat. Aku tak pandai menggoda. Aku tak pandai jual diri. Lebih teruk lagi, aku tak tahu jual karya. Mungkin disebabkan itu, karya aku masih tersimpan cantik dalam USB!

Karya aku sebahagian dari jiwa. Setiap perkataan adalah lukisan peristiwa yang dipertontonkan dunia. Tidak semestinya ia tentang aku atau orang di sekeliling aku. Boleh jadi, si pengutip botol-botol kosong tepi jalan. Ya. Kalau tidak, mana aku dapat watak Salman si pengutip botol dalam Rindu Pada Matahari? Itu pemerhatian digabungkan bersama daya imaginasi. Faham apa itu PEMERHATIAN dan IMAGINASI? Ada yang menempelak aku, kononnya karya yang dihasilkan adalah diri aku. TOLONGLAH! Jangan buat andaian kurang matang.

Pernahkah kau baca karya aku sehingga boleh menuduh sedemikian rupa? Kalau begitu, adakah aku si Isabell dalam Rindu Pada Matahari? Budak perempuan yang keterlanjuran dan cenderung untuk membunuh diri. Sekali lagi, aku tegaskan di sini. PEMERHATIAN dan IMAGINASI. Aku juga bukan Shazia dalam Ada Yang Lain? Walaupun bidang kerja aku dan Shazia sama (editor), tapi kisahnya tidak pernah terjadi dalam hidup aku. Aku tidak pernah ada hubungan perasaan kasih sayang terhadap lelaki berstatus Suami Orang. Bukankah itu perbezaan yang amat ketara dengan Shazia?

Aduh. Singkat. Singkat sangatlah pemikiran kalau begitu. Buatkan aku semakin bosan dan lelah untuk berkarya. Aku tidak pernah takut untuk berkarya tetapi orang macam kau, membunuh seorang penulis seperti aku. Sudahlah kau tuduh aku begitu dan sekarang begini. Apa yang kau mahu pun aku tak tahu? Atau, adakah kau puas dan lega kalau aku terus berhenti menulis?

Hah! Jangan berangan. Aku tidak akan berhenti hanya kerana manusia berlagak dewa dewi seperti kau. Aku akan terus menulis. Apa juga yang aku mahu tulis, akan aku tulis. Kau tidak akan sesekali dapat melemahkan matlamat aku. Niat aku adalah satu, dan niat itu biar aku sahaja yang tahu. Selagi ada daya aku menulis, aku akan terus menulis. Insya-allah.

* Buat sementara waktu, akaun mukabuku (Facebook) Romibaiduri Zahar akan dinyah-aktifkan bermula hari ini. Insya-allah, Romibaiduri Zahar akan kembali aktif setelah usai segala kekusutan. Kalau masih mahu berhubung dengan Romibaiduri Zahar, jenguk sahaja ke ruangan Aku dan Si Burung Biru (Twitter) - Shahaini Zahar.




Romibaiduri Zahar
'direhatkan' sementara waktu



Shahaini Zahar
setia di Burung Biru (Twitter)


Thursday, April 28, 2011

Pepatungan



Pepatungan...
Kau dipakaikan emosi,
tapi tiada rasa dimiliki.

Pepatungan...
tiada hak beremosi,
berteman senyum tiada erti.

Pepatungan...
Terkadang kau di dalam hati,
Sepanjang masa di hujung kaki.

Pepatungan...
Tiada beza hidup atau mati,
Kau tetap kekal untuk berbakti

- moralnya : sayangilah patung-patung anda. Jangan dilempar ke bawah katil macam selalu dibuat Miqhail. Hahaha. Setiap kali dia masuk kamar tidurku, terpelanting Pikachu, Patrick (starfish) dan Orang Utan (Gugu) kesayanganku. Hakikatnya, ada juga manusia yang tak ubah seperti pepatungan. Betul tak? Lalalala...

Wednesday, April 27, 2011

Kuasa Sebatang Pena!






Sedang mencari-cari informasi sebagai bahan untuk artikel seterusnya, aku bertemu dengan iklan ini. Hahaha. Adakah alasan itu cukup kuat dan logik? Sukahatilah apa yang kalian fikirkan. Aku tahu, apa yang benar. Lalalala...

Memanglah aku suka dengan pelakon yang ada dalam iklan ini. Namun, ini kali pertama aku tercuit untuk berkongsi iklannya di sini. Kalau alasan ini juga tak cukup kuat. Lantaklah! Bagi aku, idea yang diketengahkan dalam iklan ini cukup kuat. Ya, itulah tugas orang yang menulis. Ditambah pula dengan garapan pengarah, terhasillah iklan sebegini. Aku tahulah betapa susahnya nak cari idea, kadang-kadang fikir sampai terbalik kepala ke bawah, kaki ke atas pun tak tentu lagi idea yang difikirkan itu orang nak pakai!

Cuba hayati iklan ini dari pelbagai lapisan (bukan satu lapisan sahaja ya). Kalaulah dunia bisa dikawal hanya dengan sebatang pen. Pen? Sebatang pen boleh menggulingkan sebuah dinasti. Sebatang pun boleh membina sebuah empayar. Pen? Hanya orang yang menghargai tahu, apa itu nilai sebatang pen! Mata pen seakan mata pedang. Kalau pandai guna, bergegar satu dunia. Betul tak?

* aku bukan nak mendewakan orang dalam iklan ini. Sebaliknya, aku suka idea yang digarap PENULIS dan pengarahnya.

Aku Penulis...

Aku penulis,
bukan pelakon,
Penulis mencipta emosi,
pelakon menghayati emosi,

Aku penulis,
bukan pencipta,
Aku ciptaan Allah,
tak tahu 'bersandiwara',

Aku sekadar penulis
yang hatinya dihiris,
Terhiris watak ciptaan Allah
bukan ciptaan sendiri,

Aku penulis
tercorok menyendiri,
Dan penulis akan terus menangis,
menahan hati yang semakin berkudis.

Monday, April 11, 2011

Peristiwa Ahad ; Fenomena Hantu Kak Limah, Jozan, Kenangan Yang Bersembunyi dan Terperangkap

Bukan senang dapat waktu lapang. Bila dah dapat ada-ada saja benda yang nak dibuat. Hari ini Ahad. Selalunya, rumah bukanlah destinasi kami satu famili. Ada saja tempat yang kami nak rewang-rewang. Berbeza dengan hari hujung minggu kali ini. Kebetulan Ayuz pun nak ambil kertas terakhir Isnin ini, jadi sudah semestinya Ayuz perlu masa membuat ulangkaji kali penghabisan.

Aku pula, menghabiskan masa mengemas bilik. Hahaha. Macam mana aku nak gambarkan keadaan bilik aku? Kemas? Taklah kemas sangat tapi selesa. Banyak barang-barang yang tersendat. Maklumlah, banyak sangat almari. Almari baju, buku, vcd dan macam-macam lagilah. Bila dah banyak barang, peluang untuk menjadikan kawasan bilik ini macam rumah berhantu Kak Limah pun ada juga. Apa taknya? Banyak betul sawang-sawang berjuntaian. Ada juga serangga macam jejangkau. Hmmm. Tau apa itu jejangkau? Pergi cari kamus, tak pun google. Takkan semuanya nak kena suap? Lalalala...

Alang-alang dah mengemas, banyaklah juga khazanah lama yang aku jumpa. Bila dah terjumpa, banyaklah pula masa aku habiskan membaca dan membelek. Hahaha. Memang betullah bagai yang dikatakan Ayuz,

"Kau kalau mengemas bilik, setahun pun tak habis!"

Nak salahkan siapa? Salahkan kata-kata Ayuz atau diri aku sendiri? Ya. Memanglah salah aku. Aku suka membelek kembali barang-barang lama sebab, semua itu ada nilai yang tersendiri. Macam-macam benda yang aku jumpa, termasuklah buku-buku, cebisan-cebisan kertas yang aku conteng. Hehehe. Sama ada luahan perasaan dan juga, ide-ide yang menerpa tiba-tiba.


Fenomena Hantu Kak Limah

Lazimnya, setiap kali mengemas bilik, sengaja aku membuka komputer riba. Tujuannya tiada lain, agar aku dapat bekerja sambil berhibur. Kali ini pun, sama juga keadaannya. Beza kali ini pula, aku bukan sahaja mengemas diiringi lagu tetapi diserikan dengan persembahan geng-geng Hantu Kak Limah (rakaman di ABPBH 2010) dan juga JoZan. Bukannya sengaja membuat bingit telinga tetapi merenjat urat mata yang berhasrat untuk 'tertidur'!


kecoh dewan dibuatnya... terbaik!

Kebetulan, ASTRO menyiarkan segmen terbaru. Kalau kalian tahu, aku ini bukan ada masa sangat nak layan rancangan di tv. Ada kalanya, ketinggalan sangat. Itu semua sebenarnya tak penting pun dalam jadual seharian manusia. Maksud aku yang tak penting itu, rancangan di tv. Disebabkan, aku tertarik pada konsep yang ASTRO perkenalkan, jadi aku beri peluang. Beri peluang untuk diri sendiri. Oh ya, program yang dimaksudkan, Maharaja Lawak. Memang. Penggunaan perkataan Maha itu, aku tidak setuju. Aku tahu, penggunaan perkataan itu mahu menunjukkan tahap yang lebih hebat dari Raja Lawak. Tapi, dari sudut Islamnya, dah salah. Hmmm.


JoZan ... Johan dan Zizan

Lumrah manusia membutuhkan hiburan. Begitu juga dengan aku. Tapi, jangan jadikan hiburan sebagai perkara WAJIB! Aku suka layan Maharaja Lawak pun sebab nak hilangkan stress yang dicipta ketika di pejabat. Hahaha. Siapa kerja tak stress? Kadang-kadang, memang kita suka sangat dengan kerja yang kita buat. Tak ada masalah pun dengan kerja tapi, masalah lain pula yang timbul. Aku? Biar aku sendiri simpan masalah (MANUSIA KEPARAT) yang sering mengganggu sistem positiviti aku. Hmmm.

Program rancangan Maharaja Lawak memang satu platform yang tepat untuk mengenengahkan semula semua finalis dan juga juara-juara yang pernah memenangi rancangan Raja Lawak. Di sini juga dapat dilihat kredibiliti masing-masing. Adakah sewaktu mereka menang dulu berdasarkan bakat atau sekadar nasib. Episod pertama sahaja sudah membuktikan segala-galanya. Aku, secara peribadinya meminati JoZan, Jambu, Sepah dan Nabil. Mereka ada kekuatan tersendiri. Yang paling aku tak mengerti, kenapa Idlan digabungkan bersama Kechik. Persembahan pertama pun sudah hancur. Tidak ada keserasian malah 'bergaduh' di atas pentas? Cukup tak profesional! Amir pula? Hmmm. Maaf sajalah.

Apa-apa pun, seperti yang aku cakap tadi. Aku menonton sekadar hiburan. Yang bagus, aku suka. Yang kurang bagus... entahlah nak cakap apa. Tapi, idea untuk menggabungkan Usop Wilcha sebagai undangan di pembukaan Maharaja Lawak, memang bagus sekali. Tambah pula kejayaan watak ciptaan Mamat Khalid ini yang mencetuskan satu fenomena baru di Malaysia. Kalau tidak, masakan boleh Usop Wilcha menguasai pentas di acara kemuncak ABPBH 2010 kelmarin. Tahniah abang Mamat Khalid. Hehehe kerana mencetuskan fenomena Usop Wilcha 'kita bakor' dan Abi Huraira (Johan), teman yang setia menolak kerusi roda temannya. Amat serasi!


demam Usop Wilcha "Kita Bakor!"

Fenomena yang tercetus itu juga membuatkan aku terkena tempiasnya. Apa taknya? Sambil-sambil aku mengemas, sengaja aku pasangkan video Hantu Kak Limah dan juga persembahan JoZan yang lepas-lepas di komputer riba. Hehehe.


Agak-agaknya, tahun depan Usop pula yang menang...


Kenangan Yang Bersembunyi

Sepertimana yang aku nyatakan tadi, masa mengemas inilah semua khazanah lama (kalau bernasib baik) akan ditemui semula. Memang benar, banyak betul khazanah yang aku jumpa. Kerja mengemas yang sepatutnya memakan masa hanya 1 jam telah jadi berjam-jam untuk aku. Setiap cebisan yang ditemui, aku belek-belek dan baca setiap isi kandungannya. Terimbau juga kenangan dan pemikiran yang pernah tercetus ketika ianya ditulis. Aku ketawa sendiri. Yalah. Idea banyak. Sangat banyak, tapi berterbangan seperti cebisan kertas ini. Bila jumpa balik, dah tak tahu apa yang sepatutnya dilanjutkan dari ayat yang terakhir. Hahaha.

Selain itu juga, banyak barang-barang dan hadiah yang aku jumpa. Aku senyum lagi. Tergambar jelas di mataku, bagai skrin yang memainkan sebuah cerita, bagaimana detik-detik itu terjadi. Sayangnya, satu hadiah (cenderahati) salah seorang perkahwinan kawanku (yang aku hadiri tahun lepas) terjatuh. Pecah. Nak menangis, tidak berguna. Aku kutip dan buang dalam tong sampah saja. Bukannya tak menghargai, tapi hayatnya sudah sampai di situ sahaja. Kalau aku simpan, membahayakan anak-anak buah aku yang sering berkunjungan ke dalam bilik angah mereka ini.

Satu bahagian yang aku perlu kemas dengan lebih teliti. Rak segala VCD dan juga album-album gambar yang sengaja aku asingkan. Satu ketika dulu, rak itu memang cantik dan kemas. Isinya pun boleh tahan. Sekarang tak lagi. Sejak Miqhail sudah pandai membuka kotak-kotak VCD, habis segala isi-isi dalamnya dibuang. Koleksi VCD lakonan Jet Li yang aku kumpul sejak sekolah menengah, terkorban macam itu saja. Sedih? Ada juga. Tapi nak buat macam mana? Takkanlah nak salahkan Miqhail yang tidak boleh berfikir lagi? Hmmm. Aku pun mengutiplah VCD-VCD itu dan semua album gambar yang pernah aku letak sedikit tersembunyi.

Hah! Tak aku sangka, akhirnya album itu aku berjaya jumpai juga. Itu pun setelah 5 tahun? Hahaha. Album yang memuatkan gambar-gambar ketika aku belajar di ASK dulu. Gambar aku dengan rakan sebilik. Lucu sangat melihat gelagat masing-masing dalam gambar itu. Hmmm. Betul tak aku katakan tadi, kalau dah membelek gambar-gambar ini (ditambah pula senyum seorang diri mengimbas kembali kenangan) tentu sahaja ambil masa berjam-jam. Dalam album yang sama, aku juga berjumpa dengan gambar-gambar aku, Ayshah dan teman kami Halim. Hahaha. Itulah kali pertama kami keluar bertiga dan ditemani Ayuz serta temannya. Lucu sekali. Tapi, itulah antara kenangan paling indah. Keluar beramai-ramai di KLCC, sebelum ia menjadi markas orang-orang Boyan dan pekerja asing. Opss.


Aku, Afdlin Shauki dan Ayshah...hahaha


salah seorang teman baik... Halim


sahabatku sejak usia 8 tahun, Ayshah...


bersama Ayuz...lalalala...

Dulu, mereka (Ayshah dan Halim) pernah minta gambar-gambar itu dan ketika itu, album ini hilang. Rupa-rupanya ia bersembunyi. Hmmm, adakah mereka masih ingin aku hantar gambar-gambar ini. Maaflah, tak berapa jelas sebab kamera pun masa itu bukan kamera digital atau DSLR. Kamera yang biasa-biasa saja. Kalau kalian mahu, ambil sajalah di sini ya. Aku dah imbas (scan) untuk kalian. Sekali lagi maaf sebab tak dapat berikan pada kalian dulu. Hilang. Tapi sekarang, dah jumpa. Pelik? Memang pelik.


Terperangkap

Selesai mengemas. Ketika itu jam menunjukkan hampir pukul 4 petang. Aku pun dah mula bersantai dalam bilik yang selesa sambil diiringi lagu Awan Nano, Menyesal dan Sedetik Lebih. Tukar selera. Tadi dihiburkan Jozan, sekarang aku dengar pula nyanyian dengan lirik yang begitu mendalam. Awan Nano. Suka sangat lagu yang ditulis M.Nasir ini. Hehehe.

Sedang asyik melayan lagu, aku dengar ada tangisan di luar bilik. Bila pintu dibuka, aku lihat, umi, along dan abang Zamri sedang cuba membuka pintu bilik. Lah! Rupa-rupanya si Miqhail terkunci. Hmmm. Dahsyat betul. Macam-macam cara abang Zamri lakukan. Umi pun dah beri semua kunci pendua untuk pintu bilik itu. Miqhail semakin kuat menangis. Along geleng sambil ketawa kecil.

"Hari itu, dia kurung aku... sekarang, terkurung sendiri," katanya.

Ayuz pula menjaga Mierza di bawah. Abah? Tak ada sebab ada perjumpaan penduduk tentang kes kecurian dan rompakan yang berlaku di kawasan perumahan kami. Adui, apa nak jadi ni?

Aku pun turut cuba menyelamatkan Miqhail. Kebetulan aku ada 'master key'. Kunci ini boleh buka semua pintu di rumah ini. Malangnya, kunci ini pun tak boleh buka pintu bilik Along. Sah. Pengunci bilik itu sudah tak berfungsi dan tersekat. Tidak ada cara lain, umi bawa kayu belantan. Aku pun bersedia mematahkan tombol itu supaya terbuka dan alhamdulillah, Miqhail berjaya dikeluarkan. Hahaha. Di waktu itu, semua jadi kaget. Tapi, bila difikirkan sekarang. Nampak lucu pula. Lebih lucu lagi bila, Miqhail terkunci sekali lagi beberapa minit kemudian. Kali ini, dia terkunci bersama-sama papanya, abang Zamri. Cara yang sama juga aku gunakan untuk membuka pintu bilik itu. Akibatnya, dah berlubang pun sebab tombolnya dikeluarkan.

Wah, macam-macam cerita yang berlaku dalam sehari. Itu pun belum selesai aku ceritakan kesemuanya. Habis sahaja misi menyelamatkan mereka, aku sambung pula kerja memandikan Lolly. Ah, Lolly. Seronok kerja memandikan kereta ini, tambah pula bila dibelanja umi dengan ais-krim. Tapi, yang tak seronoknya bila, selesai sahaja membersihkan kereta. Air hujan pun turun. Ish ish ish...

Sunday, April 10, 2011

Kisah Penglipurlara Pak Puri dan kumpulannya

Ada sebuah kisah, terpinggir yang tidak dihiraukan. Kisahnya tidaklah sebesar isu Sayang Sarawak atau pun pendedahan video terpanas tokoh politik. Itu aku tak mahu ambil kisah. Politik, bukan makanan aku. Kalau aku makan, khuatir tidak hadam dan menganggu proses tabii aku. Lebih baik, aku tolak saja ke tepi kerana aku lebih suka perkara yang terpinggir tetapi cukup menjana urat-urat otak untuk berfikir. Perkara besar-besar iangsung tidak bersangkutan dengan aku yang kecil ini.

Kali ini aku mahu berkongsi satu kisah kehidupan yang berlaku di sebuah kampung terpencil. Sebuah kampung bernama Aman, terletak di dalam negeri Kedah. Kisah seorang penglipurlara bernama Pak Puri. Asalnya, Pak Puri seorang petani. Disebabkan 3 tahun lepas, sebidang tanahnya dijual akibat berhutang, Pak Puri memilih untuk menjadi penglipurlara sepenuh masa. Satunya sebab, memang dia minat menghiburkan orang dan kedua, itu sahaja pekerjaan yang mampu dilakukan.


Pak Puri


Setelah bertahun-tahun menjadi petani, bukan senang untuk Pak Puri mengubah rutin harian. Memang diakuinya, menghiburkan orang itu adalah bakat semulajadinya. Orang-orang kampung pun terhibur dengan persembahan yang seringkali diadakan setiap kali adanya majlis perkahwinan dan keramaian yang lain. Disebabkan permintaan yang tinggi, Pak Puri terpaksa membeli beberapa binatang sebagai menjadi sebahagian persembahannya.

Malangnya, 3 bulan yang pertama, binatang-binatang yang dibelinya tidak mengikut seperti apa yang diajar membuatkan persembahannya tergendala. Semua jemputan dari majlis keramaian tidak dapat dipenuhi angkara kedegilan binatang-binatang peliharaannya. Malah, dia terpaksa menjual seekor kambing putih kepunyaannya kerana malas. Kambing putih ini punyai kelebihan, membuat rentak istimewa dan mencorak kepada penceritaan Pak Puri dalam persembahan.

Pak Puri turut mempunyai seekor kambing putih betina yang kemahirannya pula membuat corak-corak menarik di atas tanah mengikut cerita yang dipersembahkan Pak Puri. Masalah dengan kambing ini pula, dia lekas letih dan sudah tidak berkemampuan. Maklumlah, kambing betina. Setelah menjual kambing putih pertama, Pak Puri terpaksa menggantikan tempat kambing itu dengan binatang yang lain. Binatang yang mempunyai keistimewaan sama.

Jadi, Pak Puri pergi ke kampung lain, di mana dia berjumpa dengan seekor kambing hitam yang amat gemuk tubuh badannya. Sambil meragut rumput, kambing hitam itu membuat pergerakan unik dan menambat hati Pak Puri. Dalam tidak sedar, Pak Puri dapat membuat cerita dari gerakan yang dilakukan si kambing hitam itu. Pak Puri pun tekad membeli kambing hitam yang memang besar saiznya itu. Pak Puri diberitahu, kambing hitam itu sudah pun bertuan. Dalam sehari lagi, tuannya akan datang mengambilnya. Pak Puri tetap berdegil, kerana dia tahu, bukan senang untuk bertemu dengan kambing serupa. Pak Puri menawarkan sejumlah duit yang banyak dan terpaksalah penjual kambing menurut. Pulanglah Pak Puri ke rumah. Bermula dari hari itu, Pak Puri memberi nama kambing tersebut itu sebagai Mantop. Pak Puri dan Mantop sedia menerima segala jemputan dan berjaya menghiburkan orang-orang kampung.


Mantop

Sebulan berlalu, Pak Puri merasakan dia perlukan bantuan seekor lagi binatang. Ini kerana, masih ramai yang merindukan persembahan Pak Puri yang diiringi corak-corak menarik yang pernah dilakukan kambing putih betina dulu. Mungkin kedengaran agak pelik, tapi Pak Puri bertanya pada Mantop. Mantop seakan memahami kata-kata tuannya dan mengangguk. Beberapa hari kemudian, Pak Puri membawa pulang seekor biawak. Biawak yang besar saiznya. Dipercayai juga berusia lebih sedikit dari Mantop. Oleh kerana Mantop ini kambing betina, dia tahu menjaga batas setiap kali bersama biawak ini.

Beberapa kali juga Pak Puri bertanya Mantop, adakah dia selesa dengan biawak yang diberi nama Samporna. Mantop yang bersendirian setiap kali buat kerja, tentunya berasa seronok kerana sudah berteman. Gabungan ketiga-tiga mereka menjadi perbualan serata kampung. Kehebatan dan keunikan persembahan Pak Puri diiringi bakat-bakat binatang itu tersebar ke negeri-negeri sekitar membuatkan mereka menjadi lebih terkenal.



Samporna

Malangnya, ada satu peristiwa yang tercetus dan membuatkan kumpulan di bawah bimbingan Pak Puri ini hampir berpecah. Mantop yang sentiasa beralah tidak lagi mahu terus dibuli kerana dia tahu selama hari ini, kedudukannya paling bawah. Satu, kerana dia paling muda. Dua, kerana dia betina. Samporna pula membawa namanya sebaik yang mungkin. Adakalanya, lagak Samporna mengalahkan seorang manusia dan suka mengarah-arah. Walaupun bahasanya tidak difahami Pak Puri dan Mantop, tetapi jelas kelihatan yang dia mahu berkuasa. Apa tidaknya? Upah yang diberikan padanya sentiasa sahaja tidak mencukupi. Lebih menyedihkan, kerana mahu menampung nafsu makannya yang tamak, upah makan si Mantop turut diberikan kepada Samporna.

Ketegangan yang terwujud dalam kumpulan ini membuatkan Pak Puri menambah seekor lagi binatang, agar persembahan yang bakal dipersembahkan di khalayak ramai tidak terjejas. Apatah lagi dengan perang dingin yang jelas kelihatan antara Mantop dan Samporna. Pak Puri membawa seekor burung. Burung flamingo berwarna merah jambu. Cantik dan mampu menarik lebih ramai peminat. Burung in diberi nama Flamingo. Flamingo tidak tinggal bersama-sama kumpulan ini, malah sentiasa beterbangan ke sana ke mari dengan meninggalkan surat utusan yang ditulis Pak Puri ke merata-rata tempat. Kononnya sebagai pemberitahuan kewujudan kumpulan Pak Puri ini.

Kehadiran Flamingo tidak mampu mengurangkan kebongkakan Samporna. Malah, tingkah laku Samporna jelas menunjukkan dia tidak suka berada dalam kumpulan itu Yalah, bukankah semuanya dianggap lemah oleh Samporna? Pak Puri pun tidak sempurna baginya dalam membuat pekerjaan dan mengambil tindakan. Sempurna? PERFECT! Hahaha. Sedangkan lumrah manusia itu tidak sempurna, bagaimana pula pekerjaan atau hasil tangan manusia itu boleh dianggap sempurna? Bukankah sempurna itu milik yang satu. Allah. Kalau ada pun manusia yang sempurna, itu adalah pesuruh Allah, Nabi Muhammad s.a.w! Lebih menyedihkan, Samporna itu seekor binatang. Bukannya manusia. Mantop dan Pak Puri pandang sesama sendiri. Membiarkan Samporna dengan keangkuhannya.


Flamingo

Baru-baru ini, aku dapat cerita dari sumber yang rapat dengan Pak Puri mengatakan, kumpulan itu semakin hebat. Namun Pak Puri tidak tahu, Mantop sudah patah hati. Dia masih bertahan dalam kumpulan itu pun sekadar menjalankan tanggungjawab kerana tidak mampu pergi ke tempat lain. Sumber itu juga memberitahu, Mantop bukan setakat patah hati, tetapi merasakan diri dianiaya. Dianiaya? Ya.

Samporna telah menganiaya Mantop secara terang-terangan. Sumber itu menceritakan kepada aku, kerja si Mantop semakin bertambah tetapi upahnya masih di tahap lama. Ini disebabkan upahnya diberikan kepada Samporna yang semakin membesar dan membongkak. Sumber itu juga beritahu, Mantop dipujuk Pak Puri untuk bersabar. Memang Mantop boleh bersabar memandangkan dia terhutang budi dengan Pak Puri. Tetapi, apabila Mantop memikirkan tentang Samporna, dia rasa menyampah dan sakit hati. Tambah pula sikap bongkak dan meninggi diri Samporna yang semakin menjadi-jadi. Sudahlah upah makan yang sepatutnya diberikan padanya, Samporna kebas. Samporna juga amat berkira tentang kerja.

Aku menggeleng. Takkanlah sampai serius sekali masalah binatang-binatang peliharaan Pak Puri ini. Jadi, aku bertanyalah, apa yang membuatkan dia yakin sangat, binatang yang dipanggil biawak boleh berkira tentang kerja. Ya, aku ketawa mendengar cerita ini. Tetapi tak lama. Sumber itu beritahu, Samporna melalui gerak-gerinya telah mengungkit tentang 4 butir cerita yang ditanyakan secara spontan oleh Pak Puri kepadanya. Samporna melibas-libas ekor dan menempelak kerana enggan beri kerjasama. Itu kerja Mantop dan dia tidak mahu terlibat sedikit pun dalam kerja-kerja lapangan Mantop.

Peliknya, kerja-kerja si Samporna terpaksa dimudahkan Mantop. Mantop terpaksa bersabar dengan mengadap 681 corak-corak yang langsung tidak ada sangkut menyangkut dengan kerjanya mencorak cerita. Hish. Memang kesian mendengar nasib si Mantop. Asyik dipermain-mainkan Samporna yang sememangnya bongkak. Lebih menyakitkan, Samporna pernah berguling-guling di khalayak kerana seorang pelanggan yang mahukan persembahan dari kumpulan mereka cerita yang disampaikan Mantop. Selama ini Mantop tidak pernah merasa bodoh tetapi tindakan kurang ajar Samporna itu membuatkan segala ilmu yang ada padanya tak ubah macam sampah. Disebabkan itu juga, Mantop telah mengharamkan dirinya dari bertentang muka apatah lagi berinteraksi dengan Samporna. Hmmm.

Menarik bukan kisah ini? Inilah kisah terpinggir tetapi menarik. Kalau bukan untuk kalian, ianya amat menarik untuk aku. Aku fikirkan dunia manusia sahaja yang ada masalah sebegini, rupanya alam binatang pun ada masalah yang serupa. Jadi, apakah bezanya kita dan binatang? Memanglah kita diberikan akal dan tanggungjawab untuk memimpin dunia. Tetapi, ada juga manusia yang bersikap saling tak tumpah dengan Samporna. Atau mungkinkah, Samporna ini refleksi manusia di kehidupan realiti? Satu persoalan yang bagus bukan? Lalalala…

Wednesday, April 6, 2011

Bah di Rawang...

Kisah ini berlaku hampir sebulan yang lepas. Sudah lama aku berniat nak kongsikan kisah ini di blog. Sayangnya, masa sengang tidak aku temu. Walaupun agak telat, aku tetap juga mahu berbagi kisah ini di sini.

Sepertimana biasa, aku bangun awal. Hujan renyai-renyai yang tidak berhenti malam semalam, dibawa ke pagi ini pasti memberi impak. Bagaimana aku tahu, hujan tak berhenti sepanjang malam? Tentulah. Aku tidur ditemani alunan irama titisan hujan yang menghempas diri atas atap bilik aku. Bunyinya tidaklah mengganggu, malah mendamaikan. Seolah-olah irama yang mendodoikan aku tidur.

Oleh kerana aku sudah dapat membaca perjalanan yang bakal ditempuhi, aku keluar awal. Kononnya tidak mahu tersekat. Goncangan di negara matahari terbit masih lagi hangat diperkatakan. Visual kejadian Tsunami yang melanda Jepun membuatkan aku asyik terbayang-bayangkan suasana serupa.

Pukul 7.45 pagi, aku keluar awal. Sebaik sahaja masuk simpang ke Kundang, jalan mulai sesak tapi masih bergerak perlahan-lahan. Aku guna jalan biasa kerana yakin, sebaik sahaja melepasi simpang Country Home, keadaan akan kembali seperti biasa. Ternyata jangkaan aku meleset. Lebih 1 jam tersekat dalam kereta, itu pun belum sampai simpang tol.

Sampai di stesen minyak Shell, semua kenderaan tak mampu bergerak, bikin hati panas. Aku pun mula pelik. Apa hal sesak pagi-pagi lagi. Kenderaan yang lain turut bergerak seinci demi seinci. Bosan. Aku SMS, majikan yang aku lewat pagi itu. Malu juga dibuatnya. Asyik-asyik lewat. Dalam otak, mula fikir nak cari kerja lain. Kalau boleh yang dekat dengan kawasan rumah. Dalam Bandar Tasik Puteri juga! Tapi, mustahil. Mustahil ada syarikat penerbitan dalam kawasan Bandar Tasik Puteri.

Keadaan terlalu sesak sehinggakan jalan bertentangan yang dibuka khas (alternatif yang disediakan MPS untuk elak kesesakan) pun tidak membantu. 3 lorong, tapi keadaan tetap sama. Sesak dan bergerak perlahan-lahan. Aku bertambah pelik dan tak faham, apa sebenarnya punca kesesakan pagi ini. Kalau ada kemalangan, pasti ada pengumuman di radio. Entah macam mana, aku menoleh ke kanan. Wah! Biar betul?

Terus nombor umi aku dail.

"Umi, Izan masih ada kat Rawang. Sesak teruk ni," kataku bersungguh-sungguh.

"Lagi lima minit pukul 9 ni, bos tak marah?" soal umi pula.

"Habis tu, Izan nak buat macam mana? Banjir kat Rawang ni. Air naik. Dah macam air Tsunami kat Jepun pulak derasnya," jelasku pada umi sambil mataku tepat memandang air sungai yang deras mengalir. Membawa segala sampah sarap bersama.

Inilah kali pertama aku melihat keadaan bah dengan mata sendiri.

"Okaylah umi, Izan pergi dulu," kataku pada umi.

Oleh kerana kejakunan aku berada pada tahap yang melampau, sempat juga beberapa keping gambar aku ambil. Oh ya, aku tak guna DSLR. Cukuplah pakai kamera telefon bimbit. Bukannya aku fotografer profesional pun.

Dek disebabkan terlalu asyik menangkap gambar (maklumlah, kereta lain-lain tak bergerak), aku hampir masuk ke dalam air yang dalam. Nasib tak hanyut. Kalau tak? Hahaha. Lain pula halnya pagi-pagi ini. Sampai sahaja ke simpang Emerald (jambatan sempit), keadaan jadi pulih. Aku pun lega, walau hakikatnya ketika itu sudah pun pukul 9.00 pagi. Sampai ke pejabat pukul 10 pagi. Aduyai. Disebabkan itu, sehingga hari ini aku keluar awal dan tiba ke pejabat sekitar 8.30. Tak apalah. Asalkan tak lewat.

Di sini aku kongsikan beberapa keping gambar yang sempat aku ambil hari itu.








Tuesday, April 5, 2011

Sentuhan Imaginasi seorang AKU : Poster Perkahwinan FirSha

Tidaklah aku menyangka, perkara dan benda yang selama hari ini aku buat suka-suka atau sekadar mengisi kelapangan masa dan jiwa dapat membantu seseorang. Oh, aku bukan orang budiman ya. Sekadar membantu apa yang boleh. Kalau tidak boleh dengan wang ringgit, kudrat masih boleh digunakan untuk membantu. Betul tak?

Dulu, aku melukis atau main cantum-cantum gambar sekadar suka-suka. Perasan pun ada juga! Lalalala... tak percaya? Huh, tengok sajalah album gambar dalam koleksi muka buku aku. Pasti kalian pun gelak guling-guling menatapnya. Tapi, ada aku hairan atau kecik hati kalian ketawakan aku? Tak. Sebab, aku suka dan puas hati. Aku tak kacau orang. Orang yang sakit hati nak kacau aku. Euw!

Sudah melalut jauh dari topik sebenar. Biasalah. Itulah aku (kalau yang dah kenal). Bercakap panjang lebar. Mula dari Tanjong, pusing ke Temerloh, lepas itu patah balik ke Manjung. Cerita pun tak habis-habis lagi. Baiklah. Kembali ke topik asal ya.

Hari itu (dah lupa tarikh yang sebenar), Ayuz minta pertolongan untuk aku buatkan poster hari perkahwinannya. Wah! Aku cukup teruja bila dia minta tolong. Sekurang-kurangnya, aku tahu, ada orang percaya dengan kebolehan aku. Masalahnya, aku yang tak tahu sama ada aku boleh laksanakan tanggungjawab itu sepenuhnya. Maklumlah, aku tak ada asas langsung dalam hal grafik. Macam yang aku nyatakan awal tadi. Suka-suka, semua orang pun boleh. Tapi kalau dah diberikan amanah, BERAT TU!

Perasaan dah bergaul macam rojak di tepi Tesco Jalan Ipoh tu. Macam-macam isi. Kadang-kadang sedap. Lebih sedap kalau banyak kuah. Hish... aku melalut lagi. Baiklah, kembali ke kisah yang ingin aku kongsi. Sebelum apa-apa, Ayuz beri arahan, yang dia mahukan 'feel' untuk poster itu nanti ala-ala filem Hindi. Oh, Bollywood dah tak boleh digunakan lagi sebab pelakon Bollywood sendiri tak suka terma itu. Sekarang Bollywood dah ganti jadi HiFi (Hindi Film).

Arahan Ayuz itu aku jadikan panduan. Seminggu juga aku buat pencarian, penelitian dan pemerhatian. Tapi, aku bukan sekadar berpaksikan poster Hindi semata-mata. Semuanya aku ambil kira. Poster filem ala-ala romantik, komedi seram, seram, aksi dan apa-apa jugalah yang aku rasa suka nak tengok.

Setelah puas menghabiskan masa meneliti, aku sedia membuat kerjaku sambil meminta pendapat tuan punya badan. Alhamdulillah, Ayuz ini tak berapa cerewet. Atau pun, memang itulah poster-poster yang dia mahu... yang itu, hanya dia mampu menjawab.

Hampir seminggu aku luangkan masa membuat poster-poster ini. Ya. Kalau rasa nak ketawa, ketawa sajalah. Aku tak rugi apa-apa. Apa yang kalian rasa, tak penting bagi aku. Apa yang Ayuz rasa itu yang paling mustahak dan penting untuk aku. Ya. Jadi pengukur tahap kemampuan aku berimaginasi. Bukan khayalan tingkat tinggi, tetapi inilah fantasi yang aku diami selama ini. Ditambah pula bila melihat reaksi pertama kali Ayuz sebaik saja poster-poster ini siap. Tidak ternilai harganya. Terima kasih kepada adikku, Ayuz kerana mempercayai kemampuan 'anyah' kau ni. Sayang kamu!

Hasil pertama... stail filem Indonesia

Ke-2... ala-ala Twilight Melayu

Ke-3... diilhamkan dari filem Hindi MP3

Ke-4...kesukaan aku
Dilne Jisse Apna Kaha

Ke-5... ini hasil tangan Ayuz sendiri
aku tolong 'edit' sikit-sikit...lalalala...

Ke-6... imaginasi sendiri...lalalala...

Ke-7... ini dah biasa-biasa tengok, kan?

Ke-8... diilhamkan dari poster Guzaarish

Ke-9... Phir Milenge. Aku suka!

Ke-10...mustahil kalian tak tahu
Ada Apa Dengan Cinta

Sunday, April 3, 2011

Musim CINTA (Perkahwinan)

Sudah 3 minggu berturut-turut kami sekeluarga menerima jemputan perkahwinan. Musim percintaan. Percintaan yang dihalalkan Islam. Hmmm. Aku benci betul bila dengar orang buat pengakuan berani yang mereka dah berkahwin berkali-kali tetapi nikah belum pun sekali. Kalaulah perkara ini yang mereka banggakan, tak tahulah apa lagi nak dikata? Dunia semakin moden, akidah pun dijadikan sekadar permainan. Entahlah. Semoga Allah rahmati mereka dan hindari umat lainnya agar jangan terjun mengikuti jejak yang sama. Amin.

Baiklah, kita teruskan kepada kisah yang mahu aku sampaikan hari ini. tentang jemputan yang kami terima. Minggu kelmarin, di Banting. Minggu lepas, perkahwinan pasangan paling comel di Damansara dan minggu ini pula, 2 jemputan telah berjaya kami penuhi. Kedua-dua jemputan di atas nama abah. Hari Sabtu, perkahwinan anak kepada kawan abah yang diadakan di Kajang. Ahad pula di bangunan Risda, Ampang, anak kepada saudara abah dan umi. Alhamdulillah, rezeki untuk kami sebagai jemputan dan orang yang meraikan majlis.


Pasangan pengantin yang comel


ambil aura pengantin...Ayuz


tak ketinggalan?


Kalau dulu, aku tak berapa berminat menghadiri majlis perkahwinan tetapi lain pula ceritanya dengan sekarang. Entah. Aku pun tak tahu apa punca yang menyebabkan aku tak gemar berada di majlis perkahwinan dan keramaian lain. Mungkin aku tidak suka jadi perhatian atau diperhatikan. Mungkin juga aku trauma. Trauma dipisahkan dari umi dan Ayuz. Aku (yang kebetulan waktu itu pakai kemeja dan seluar slack) terpaksa duduk dengan abah di bahagian kaum lelaki. Seingat aku, majlis yang kami sekeluarga hadiri itu diadakan di Negeri Sembilan. Seronok juga melihat adat orang di sana. Pengantin ditandu satu kampung.

Apa yang tak menariknya pula, ada minah-minah main mata dengan aku. Aduhai! Padan muka sendiri. Siapa suruh pakai baju tak bersesuaian ke majlis sebegitu? Yalah, masa itu umur aku pun masih muda remaja. Kalau tak silap, baru 14 tahun. Hihihi. Ciri-ciri gadis itu ada tetapi naluri kewanitaan itu belum terbit. Bukankah aku pernah cerita yang aku berubah selepas sahaja aku selesai menduduki peperiksaan PMR. Alhamdulillah. Semenjak dari hari itu, sehinggalah hari ini aku menghargai khazanah yang dikurniakan Allah kepada kaum wanita. Maruah dan harga diri. Maruah yang dilindungi dari segi pemakaian (tutup aurat) dan budi pekerti (pembawakan diri).

Selain memenuhi jemputan, kehadiran ke majlis-majlis ini memberi kesempatan kepada pihak kami buat persediaan untuk majlis perkahwinan yang bakal diadakan bulan Jun nanti. Insya-allah. Pelbagai faktor yang dilihat. Bukan setakat makanan, malah cara pengurusan pihak keluarga pengantin. Mana yang berkenan di hati, itu yang akan diteladani. Mana yang tak cocok, itu yang perlu dihindari.

Apa-apapun, yang pasti setiap majlis yang diadakan pastinya diusahakan dengan sebaik yang mungkin. Ada yang suka dan pasti juga ada yang mengata. Secara jujurnya, bagi aku sendiri (dari apa yang aku lihat dan alami), majlis perkahwinan sekarang tidak lagi susah untuk dikendalikan seperti dulu. Senang bila ada jiran tetangga yang membantu dan berkerjasama membanting tulang. Lebih senang lagi jika ada perkhidmatan perancang perkahwinan. Pengantin dan keluarga hanya tahu, majlis berjalan dengan lancar kerana tugas diserahkan 100% kepada pihak pengurusan. Namun, di situlah sebenarnya punca kecacatan dan kelemahan. boleh berlaku Bila pihak keluarga pengantin leka melayan tetamu, pekerja (katerer) pun lupa buat tugasan. Moralnya, jangan serah segala kepercayaan kepada pihak pengurusan sebaliknya, memantau dari masa ke masa.

Kalau nak buat pilihan, mana satu majlis perkahwinan setakat hari ini sepanjang tahun ini yang pernah aku hadiri, aku memilih majlis yang diadakan di dewan Risda. Mungkin salah satu sebabnya kerana, majlis diadakan sangat tertutup. Orang yang memenuhi dewan pula terdiri dari kaum keluarga sendiri. Makanan yang disediakan memang lazat (masakan ala-ala minang, pasti SEDAP!), dan pekerja yang bertugas pula memang cekap sehinggakan tidak ada peluang untuk aku melihat meja yang dipenuhi pinggan-pinggan sisa makanan tetamu sebelumnya. Hehehe.


berselera tak...? Hehehe


sempat pose untuk gambar? Hahaha


abah dan pakcik saudaranya


muka orang minang sejati! Waris den...


renjis renjis... senyuman pengantin yang melebar


dewan ni besar,bukan?


bakal pengantin dan umi...

Semalam, sebaik sahaja pulang dari Saujana Prima (Kajang), majlis perkahwinan anak kawan abah, abah mengajak kami sekeluarga mencuba kedai makanan Masakan Cina Islam di Country Home. Bayangkanlah, perjalanan dari Kajang ke Rawang pun sudah menjangkau berapa jam. Jadi, makanan yang dimakan di majlis siang tadi pun hampir hadam. Lapar. Jadi keputusan abah itu memang tepat pada waktunya. Makanan di restoran ini pula, pergh! Memang sedap. Walaupun aku hanya makan kuew teuw goreng, tapi cukup menyelerakan. Sebenarnya nak cuba makanan lain, tapi tak berapa nak faham. Pesan satu makanan yang namanya agak pelik untuk disebut, tapi bila pelayang terangkan...tak jadi. Apa taknya, makan keuw teuw goreng dan di atasnya dilapik dengan telur mentah. Hmmm.


umi dan abah... menunggu makanan


jangkitan virus Ayuz... posing! Lalalala...


pembawa virus Ayuz... Ayuz. Hahaha

Secara ringkasnya, perut memang disendatkan dengan makanan dari pagi sehinggalah malam. Bagi mereka yang nak mencuba makanan masakan Cina yang halal, sekarang sudah banyak bilangan kedai di sekitar Selangor. Di Country Home sahaja ada dua. Di Bukit Beruntung pula (tempat kegemaran aku) Restoran Abdullah Chan. Nasi itiknya, memang kaw kaw, sedap. Pau kacang merahnya pun, memang lazat. Hehehe.


Sungguh menyelerakan...


tak ingat kiri kanan... bedal ajelah! Lalalala...


Satu-satunya gambar yang dia tak sempat pose!




Friday, April 1, 2011

2 jam untuk perjalanan 45 minit?

Sumpah. Kejadian hari ini (pagi tadi) buatkan aku mahu sahaja hantar surat letak jawatan pada majikanku. Tidak. Bukan kerana politik pejabat atau lain-lain isu tetapi hati aku ini yang semakin berkarat. Hmmm.

Sebenarnya, aku pejam mata apa juga peristiwa yang terjadi di pejabat dan juga sekitarnya. Bak kata-kata yang pernah dilafazkan oleh Mohandas Karamchand Gandi atau lebih dikenali sedunia dengan nama, Mahatma Gandi.

"Bura mat suno, bura mat dekho, bura mat bolo!"

Apa hal ni? Melayu murtad ke aku? Sibuk pinjam kata-kata pemimpin India pula, kenapa? Dah kering sangatkah kata-kata pemimpin Melayu dari zaman Kesultanan Melayu sehingga zaman pemerintahan demokrasi terpimpin sekarang?

Hei, jangan lupa ya. Kita perlu amalkan konsep yang diperkenalkan kerajaan. Dan aku, sebagai rakyat Malaysia, seharusnya sentiasa 'mendukung' apa juga kempen yang diperjuangkan kerajaan. Dahulu dan selamanya. Woit... kenapa tiba-tiba kalian terbatuk? Salahkah apa yang aku katakan ini? *Sentap*

Tidak. Jujurnya aku akui alasan yang sebenarnya bukan kerana konsep 1 Malaysia, sebaliknya kata-kata dari Mahatma Gandi itu sahaja yang boleh aku fikirkan buat masa ini dan sesuai dengan apa yang mahu aku sampaikan. Tak ada kaitan pun dengan isu 1 Malaysia ya. HARAP MAKLUM!


Inilah dia...
(pandai pulak Jonas Brothers buat gaya kata-kata Gandi)

Jangan dengar benda-benda buruk (jahat), jangan lihat benda-benda buruk (jahat), jangan cakap benda-benda buruk (jahat). Itulah amalan aku setiap kali keluar dari rumah, menuju ke pejabat. Sepertimana juga kalian, separuh dari masa aku pun dihabiskan di pejabat. Sepanjang masa juga aku perlu tutup telinga, mata dan mulut. Jangan ambil tahu hal orang walaupun ada percubaan menyumbatkannya ke telinga, mata atau mulut. Hehehe.

Selepas sahaja berlakunya peristiwa tersekat dalam kesesakkan lalu lintas disebabkan banjir kelmarin, aku bertekad keluar awal dari rumah. Ya. Pukul 7.30 pagi. Memang awal kalau diikutkan jarak dari rumah aku ke pejabat yang (sepatutnya) makan masa tak sampai pun 45 minit.

Sewaktu aku berkelana bersama-sama Romi (Satria kesayanganku), tak sampai pun 30 minit. Tetapi, semenjak Lolly kupandu, paling awal pun, 45 minit. Okaylah tu!

Kisah bermula, pukul 7.30 pagi. Aku mulakan perjalanan dengan bismilllah, sambil melambai-lambai pintu pagar rumah yang ditutup secara otomatik. Bukan ada umi pun sebab, dia sibuk menjaga cucu-cucunya di dalam rumah. Dek disebabkan dah terbiasa melambai ala-ala Ucop Wilcha (dulu ala-ala Miss Universe... bosan!) ke arah umi dan abah, jadi aku lambailah juga ke arah pintu pagar.

Perjalanan dimulakan perlahan. Awal lagi. Nak kejar apa, laju-laju pagi macam ini. 70KM/J, aku kira kelajuan yang ideal di dalam kawasan perumahan. Sampai ke simpang Kundang, aku dapat lihat barisan kenderaan (campuran motor, van, gogek-gogek, lori, mpv, basikal dan macam-macam lagi) sudah pun memenuhi sepanjang jalan. Aku pandang arah jam. Baru pukul 7:45 pagi. Masih awal. Jadi, aku pun teruskan perjalanan dengan membutakan mata, tidak mahu pandang simpang ke Kundang.

Malangnya, semakin lama, semakin banyak kereta yang berpatah balik. Aku tetap dengan pendirian (hakikatnya dah goyah pun). Aku tak mahu, patah balik, nanti sama juga. Tersekat lebih teruk. Siapa tahu, jalan Kundang lebih teruk keadaannya? Pukul 8.00 pagi, aku sampai pula di simpang Taman Velox. Ya. Beranjak sedikit saja dari tempat di mana aku berada 15 minit sebelumnya.

Aku mula kaget bilamana jam sudah menunjukkan 8.15 dan aku masih belum melepasi simpang ke Country Home. Aku pandang ke arah bertentangan. Kereta-kereta banyak yang berpatah balik. Hati kecil mula berbisik, aku pun patut buat yang sama. Hmmm. Entah kenapa, hari ini aku jadi degil. Tak mahu dengar kata hati. Tak sampai beberapa minit selepas itu, aku dapat SMS dari Along, mengatakan yang dia pun masih tersekat. Apa?

Dia keluar lebih awal dari aku. Seawal pukul 6.30 pagi dan katanya, dia masih berada di kawasan Rawang. Dia pesan supaya aku patah balik dan ikut jalan Kundang. Entah kenapa, tanpa berfikir panjang, aku pun terus mengikut pesan Along. Sempat juga aku berbalas SMS dengan Along. Ya. Memang salah. Tapi kalau jalan sesak dan tak bergerak walau seinci, tak salah rasanya aku berSMS.

"Lori treller terbalik dekat simpang keluar tol Rawang. Lorong kecemasan saja yang dibuka."

Ya Allah. Begitu al-kisahnya. Namun, malang nasib aku. Jalan yang aku guna di Kundang itu pun sesak. Along kata, itu mungkin disebabkan dah banyak kereta patah balik. Apa-apa pun, aku bernasib baik. Sempat juga aku SMS majikan dan mengatakan ada kemalangan. Sepertimana biasa, dia tak akan balas. Aku faham.

Sampai di pejabat pukul 10 pagi. Selamat. Keluar dari rumah pukul 7.30 dan sampai ke pejabat 2 jam kemudian. Dalam tempoh 2 jam, macam-macam artikel aku boleh buat. Aduh! Kalau kalian nak tahu, kemalangan yang berlaku di waktu pagi, berlarutan sehingga ke lewat petang. Ya. Semasa aku balik, aku menggunakan lebuhraya Rawang. Memang sesak. Semua kenderaan bergerak perlahan.

Nak mengamuk pun ada dibuatnya. Sudahlah pagi tersekat 2 jam di jalanraya saja, takkan petang pun aku terpaksa tempuh nasib yang sama. Aku diam saja. Melayan dendangan suara-suara penyanyi ke telinga aku. Sampai sahaja ke simpang Rawang, sesak mulai reda. Kenapa? Kesesakan tadi berlaku sebab semua pemandu sibuk memandang kerja pembersihan lori treller yang terbalik pagi tadi. Itu pun, di arah jalan yang bertentangan.

Kalau diikutkan, mahu sahaja aku buka cermin tingkap dan suruh semuanya terus bergerak tanpa memperlahankan kenderaan kerana ia hanya menyusahkan pemandu-pemandu lain di belakang. Tak pasal-pasal tersekat. Semuanya disebabkan 'ramai' sangat yang prihatin *SENTAP*.

Disebabkan keprihatinan mereka (*SENTAP) aku sampai rumah hampir pukul 8.00 malam. Ya, kesesakan tadi meninggalkan impak pada fizikal dan emosiku. Kejang kaki dan sakit hati. ADUH!

Malam sempat hiburkan hati dengan Maharaja Lawak. Terhibur jugalah hati dengan gelagat beberapa orang peserta terutamanya JoZan dan Jambu. Hahaha. Sebenarnya, aku tak setuju penggunaan Maha kerana perkataan 'Maha' itu sendiri merujuk kepada Allah. Yang Maha Kuasa, Yang Maha Kaya. Tapi, kalau nak cakap lebih-lebih, marah pulak orang nanti. Baik diam. Bura mat dekho, bura mat suno, bura mat bolo! Hahaha.

* Tak payahlah kalian sibuk nak nasihat aku tukar kereta auto. Walaupun sakit-sakit pakai kereta manual, aku tetap berjiwa manual. Bukan auto! Lalalala...