Sunday, April 10, 2011

Kisah Penglipurlara Pak Puri dan kumpulannya

Ada sebuah kisah, terpinggir yang tidak dihiraukan. Kisahnya tidaklah sebesar isu Sayang Sarawak atau pun pendedahan video terpanas tokoh politik. Itu aku tak mahu ambil kisah. Politik, bukan makanan aku. Kalau aku makan, khuatir tidak hadam dan menganggu proses tabii aku. Lebih baik, aku tolak saja ke tepi kerana aku lebih suka perkara yang terpinggir tetapi cukup menjana urat-urat otak untuk berfikir. Perkara besar-besar iangsung tidak bersangkutan dengan aku yang kecil ini.

Kali ini aku mahu berkongsi satu kisah kehidupan yang berlaku di sebuah kampung terpencil. Sebuah kampung bernama Aman, terletak di dalam negeri Kedah. Kisah seorang penglipurlara bernama Pak Puri. Asalnya, Pak Puri seorang petani. Disebabkan 3 tahun lepas, sebidang tanahnya dijual akibat berhutang, Pak Puri memilih untuk menjadi penglipurlara sepenuh masa. Satunya sebab, memang dia minat menghiburkan orang dan kedua, itu sahaja pekerjaan yang mampu dilakukan.


Pak Puri


Setelah bertahun-tahun menjadi petani, bukan senang untuk Pak Puri mengubah rutin harian. Memang diakuinya, menghiburkan orang itu adalah bakat semulajadinya. Orang-orang kampung pun terhibur dengan persembahan yang seringkali diadakan setiap kali adanya majlis perkahwinan dan keramaian yang lain. Disebabkan permintaan yang tinggi, Pak Puri terpaksa membeli beberapa binatang sebagai menjadi sebahagian persembahannya.

Malangnya, 3 bulan yang pertama, binatang-binatang yang dibelinya tidak mengikut seperti apa yang diajar membuatkan persembahannya tergendala. Semua jemputan dari majlis keramaian tidak dapat dipenuhi angkara kedegilan binatang-binatang peliharaannya. Malah, dia terpaksa menjual seekor kambing putih kepunyaannya kerana malas. Kambing putih ini punyai kelebihan, membuat rentak istimewa dan mencorak kepada penceritaan Pak Puri dalam persembahan.

Pak Puri turut mempunyai seekor kambing putih betina yang kemahirannya pula membuat corak-corak menarik di atas tanah mengikut cerita yang dipersembahkan Pak Puri. Masalah dengan kambing ini pula, dia lekas letih dan sudah tidak berkemampuan. Maklumlah, kambing betina. Setelah menjual kambing putih pertama, Pak Puri terpaksa menggantikan tempat kambing itu dengan binatang yang lain. Binatang yang mempunyai keistimewaan sama.

Jadi, Pak Puri pergi ke kampung lain, di mana dia berjumpa dengan seekor kambing hitam yang amat gemuk tubuh badannya. Sambil meragut rumput, kambing hitam itu membuat pergerakan unik dan menambat hati Pak Puri. Dalam tidak sedar, Pak Puri dapat membuat cerita dari gerakan yang dilakukan si kambing hitam itu. Pak Puri pun tekad membeli kambing hitam yang memang besar saiznya itu. Pak Puri diberitahu, kambing hitam itu sudah pun bertuan. Dalam sehari lagi, tuannya akan datang mengambilnya. Pak Puri tetap berdegil, kerana dia tahu, bukan senang untuk bertemu dengan kambing serupa. Pak Puri menawarkan sejumlah duit yang banyak dan terpaksalah penjual kambing menurut. Pulanglah Pak Puri ke rumah. Bermula dari hari itu, Pak Puri memberi nama kambing tersebut itu sebagai Mantop. Pak Puri dan Mantop sedia menerima segala jemputan dan berjaya menghiburkan orang-orang kampung.


Mantop

Sebulan berlalu, Pak Puri merasakan dia perlukan bantuan seekor lagi binatang. Ini kerana, masih ramai yang merindukan persembahan Pak Puri yang diiringi corak-corak menarik yang pernah dilakukan kambing putih betina dulu. Mungkin kedengaran agak pelik, tapi Pak Puri bertanya pada Mantop. Mantop seakan memahami kata-kata tuannya dan mengangguk. Beberapa hari kemudian, Pak Puri membawa pulang seekor biawak. Biawak yang besar saiznya. Dipercayai juga berusia lebih sedikit dari Mantop. Oleh kerana Mantop ini kambing betina, dia tahu menjaga batas setiap kali bersama biawak ini.

Beberapa kali juga Pak Puri bertanya Mantop, adakah dia selesa dengan biawak yang diberi nama Samporna. Mantop yang bersendirian setiap kali buat kerja, tentunya berasa seronok kerana sudah berteman. Gabungan ketiga-tiga mereka menjadi perbualan serata kampung. Kehebatan dan keunikan persembahan Pak Puri diiringi bakat-bakat binatang itu tersebar ke negeri-negeri sekitar membuatkan mereka menjadi lebih terkenal.



Samporna

Malangnya, ada satu peristiwa yang tercetus dan membuatkan kumpulan di bawah bimbingan Pak Puri ini hampir berpecah. Mantop yang sentiasa beralah tidak lagi mahu terus dibuli kerana dia tahu selama hari ini, kedudukannya paling bawah. Satu, kerana dia paling muda. Dua, kerana dia betina. Samporna pula membawa namanya sebaik yang mungkin. Adakalanya, lagak Samporna mengalahkan seorang manusia dan suka mengarah-arah. Walaupun bahasanya tidak difahami Pak Puri dan Mantop, tetapi jelas kelihatan yang dia mahu berkuasa. Apa tidaknya? Upah yang diberikan padanya sentiasa sahaja tidak mencukupi. Lebih menyedihkan, kerana mahu menampung nafsu makannya yang tamak, upah makan si Mantop turut diberikan kepada Samporna.

Ketegangan yang terwujud dalam kumpulan ini membuatkan Pak Puri menambah seekor lagi binatang, agar persembahan yang bakal dipersembahkan di khalayak ramai tidak terjejas. Apatah lagi dengan perang dingin yang jelas kelihatan antara Mantop dan Samporna. Pak Puri membawa seekor burung. Burung flamingo berwarna merah jambu. Cantik dan mampu menarik lebih ramai peminat. Burung in diberi nama Flamingo. Flamingo tidak tinggal bersama-sama kumpulan ini, malah sentiasa beterbangan ke sana ke mari dengan meninggalkan surat utusan yang ditulis Pak Puri ke merata-rata tempat. Kononnya sebagai pemberitahuan kewujudan kumpulan Pak Puri ini.

Kehadiran Flamingo tidak mampu mengurangkan kebongkakan Samporna. Malah, tingkah laku Samporna jelas menunjukkan dia tidak suka berada dalam kumpulan itu Yalah, bukankah semuanya dianggap lemah oleh Samporna? Pak Puri pun tidak sempurna baginya dalam membuat pekerjaan dan mengambil tindakan. Sempurna? PERFECT! Hahaha. Sedangkan lumrah manusia itu tidak sempurna, bagaimana pula pekerjaan atau hasil tangan manusia itu boleh dianggap sempurna? Bukankah sempurna itu milik yang satu. Allah. Kalau ada pun manusia yang sempurna, itu adalah pesuruh Allah, Nabi Muhammad s.a.w! Lebih menyedihkan, Samporna itu seekor binatang. Bukannya manusia. Mantop dan Pak Puri pandang sesama sendiri. Membiarkan Samporna dengan keangkuhannya.


Flamingo

Baru-baru ini, aku dapat cerita dari sumber yang rapat dengan Pak Puri mengatakan, kumpulan itu semakin hebat. Namun Pak Puri tidak tahu, Mantop sudah patah hati. Dia masih bertahan dalam kumpulan itu pun sekadar menjalankan tanggungjawab kerana tidak mampu pergi ke tempat lain. Sumber itu juga memberitahu, Mantop bukan setakat patah hati, tetapi merasakan diri dianiaya. Dianiaya? Ya.

Samporna telah menganiaya Mantop secara terang-terangan. Sumber itu menceritakan kepada aku, kerja si Mantop semakin bertambah tetapi upahnya masih di tahap lama. Ini disebabkan upahnya diberikan kepada Samporna yang semakin membesar dan membongkak. Sumber itu juga beritahu, Mantop dipujuk Pak Puri untuk bersabar. Memang Mantop boleh bersabar memandangkan dia terhutang budi dengan Pak Puri. Tetapi, apabila Mantop memikirkan tentang Samporna, dia rasa menyampah dan sakit hati. Tambah pula sikap bongkak dan meninggi diri Samporna yang semakin menjadi-jadi. Sudahlah upah makan yang sepatutnya diberikan padanya, Samporna kebas. Samporna juga amat berkira tentang kerja.

Aku menggeleng. Takkanlah sampai serius sekali masalah binatang-binatang peliharaan Pak Puri ini. Jadi, aku bertanyalah, apa yang membuatkan dia yakin sangat, binatang yang dipanggil biawak boleh berkira tentang kerja. Ya, aku ketawa mendengar cerita ini. Tetapi tak lama. Sumber itu beritahu, Samporna melalui gerak-gerinya telah mengungkit tentang 4 butir cerita yang ditanyakan secara spontan oleh Pak Puri kepadanya. Samporna melibas-libas ekor dan menempelak kerana enggan beri kerjasama. Itu kerja Mantop dan dia tidak mahu terlibat sedikit pun dalam kerja-kerja lapangan Mantop.

Peliknya, kerja-kerja si Samporna terpaksa dimudahkan Mantop. Mantop terpaksa bersabar dengan mengadap 681 corak-corak yang langsung tidak ada sangkut menyangkut dengan kerjanya mencorak cerita. Hish. Memang kesian mendengar nasib si Mantop. Asyik dipermain-mainkan Samporna yang sememangnya bongkak. Lebih menyakitkan, Samporna pernah berguling-guling di khalayak kerana seorang pelanggan yang mahukan persembahan dari kumpulan mereka cerita yang disampaikan Mantop. Selama ini Mantop tidak pernah merasa bodoh tetapi tindakan kurang ajar Samporna itu membuatkan segala ilmu yang ada padanya tak ubah macam sampah. Disebabkan itu juga, Mantop telah mengharamkan dirinya dari bertentang muka apatah lagi berinteraksi dengan Samporna. Hmmm.

Menarik bukan kisah ini? Inilah kisah terpinggir tetapi menarik. Kalau bukan untuk kalian, ianya amat menarik untuk aku. Aku fikirkan dunia manusia sahaja yang ada masalah sebegini, rupanya alam binatang pun ada masalah yang serupa. Jadi, apakah bezanya kita dan binatang? Memanglah kita diberikan akal dan tanggungjawab untuk memimpin dunia. Tetapi, ada juga manusia yang bersikap saling tak tumpah dengan Samporna. Atau mungkinkah, Samporna ini refleksi manusia di kehidupan realiti? Satu persoalan yang bagus bukan? Lalalala…