Peristiwa Ahad ; Fenomena Hantu Kak Limah, Jozan, Kenangan Yang Bersembunyi dan Terperangkap

Bukan senang dapat waktu lapang. Bila dah dapat ada-ada saja benda yang nak dibuat. Hari ini Ahad. Selalunya, rumah bukanlah destinasi kami satu famili. Ada saja tempat yang kami nak rewang-rewang. Berbeza dengan hari hujung minggu kali ini. Kebetulan Ayuz pun nak ambil kertas terakhir Isnin ini, jadi sudah semestinya Ayuz perlu masa membuat ulangkaji kali penghabisan.

Aku pula, menghabiskan masa mengemas bilik. Hahaha. Macam mana aku nak gambarkan keadaan bilik aku? Kemas? Taklah kemas sangat tapi selesa. Banyak barang-barang yang tersendat. Maklumlah, banyak sangat almari. Almari baju, buku, vcd dan macam-macam lagilah. Bila dah banyak barang, peluang untuk menjadikan kawasan bilik ini macam rumah berhantu Kak Limah pun ada juga. Apa taknya? Banyak betul sawang-sawang berjuntaian. Ada juga serangga macam jejangkau. Hmmm. Tau apa itu jejangkau? Pergi cari kamus, tak pun google. Takkan semuanya nak kena suap? Lalalala...

Alang-alang dah mengemas, banyaklah juga khazanah lama yang aku jumpa. Bila dah terjumpa, banyaklah pula masa aku habiskan membaca dan membelek. Hahaha. Memang betullah bagai yang dikatakan Ayuz,

"Kau kalau mengemas bilik, setahun pun tak habis!"

Nak salahkan siapa? Salahkan kata-kata Ayuz atau diri aku sendiri? Ya. Memanglah salah aku. Aku suka membelek kembali barang-barang lama sebab, semua itu ada nilai yang tersendiri. Macam-macam benda yang aku jumpa, termasuklah buku-buku, cebisan-cebisan kertas yang aku conteng. Hehehe. Sama ada luahan perasaan dan juga, ide-ide yang menerpa tiba-tiba.


Fenomena Hantu Kak Limah

Lazimnya, setiap kali mengemas bilik, sengaja aku membuka komputer riba. Tujuannya tiada lain, agar aku dapat bekerja sambil berhibur. Kali ini pun, sama juga keadaannya. Beza kali ini pula, aku bukan sahaja mengemas diiringi lagu tetapi diserikan dengan persembahan geng-geng Hantu Kak Limah (rakaman di ABPBH 2010) dan juga JoZan. Bukannya sengaja membuat bingit telinga tetapi merenjat urat mata yang berhasrat untuk 'tertidur'!


kecoh dewan dibuatnya... terbaik!

Kebetulan, ASTRO menyiarkan segmen terbaru. Kalau kalian tahu, aku ini bukan ada masa sangat nak layan rancangan di tv. Ada kalanya, ketinggalan sangat. Itu semua sebenarnya tak penting pun dalam jadual seharian manusia. Maksud aku yang tak penting itu, rancangan di tv. Disebabkan, aku tertarik pada konsep yang ASTRO perkenalkan, jadi aku beri peluang. Beri peluang untuk diri sendiri. Oh ya, program yang dimaksudkan, Maharaja Lawak. Memang. Penggunaan perkataan Maha itu, aku tidak setuju. Aku tahu, penggunaan perkataan itu mahu menunjukkan tahap yang lebih hebat dari Raja Lawak. Tapi, dari sudut Islamnya, dah salah. Hmmm.


JoZan ... Johan dan Zizan

Lumrah manusia membutuhkan hiburan. Begitu juga dengan aku. Tapi, jangan jadikan hiburan sebagai perkara WAJIB! Aku suka layan Maharaja Lawak pun sebab nak hilangkan stress yang dicipta ketika di pejabat. Hahaha. Siapa kerja tak stress? Kadang-kadang, memang kita suka sangat dengan kerja yang kita buat. Tak ada masalah pun dengan kerja tapi, masalah lain pula yang timbul. Aku? Biar aku sendiri simpan masalah (MANUSIA KEPARAT) yang sering mengganggu sistem positiviti aku. Hmmm.

Program rancangan Maharaja Lawak memang satu platform yang tepat untuk mengenengahkan semula semua finalis dan juga juara-juara yang pernah memenangi rancangan Raja Lawak. Di sini juga dapat dilihat kredibiliti masing-masing. Adakah sewaktu mereka menang dulu berdasarkan bakat atau sekadar nasib. Episod pertama sahaja sudah membuktikan segala-galanya. Aku, secara peribadinya meminati JoZan, Jambu, Sepah dan Nabil. Mereka ada kekuatan tersendiri. Yang paling aku tak mengerti, kenapa Idlan digabungkan bersama Kechik. Persembahan pertama pun sudah hancur. Tidak ada keserasian malah 'bergaduh' di atas pentas? Cukup tak profesional! Amir pula? Hmmm. Maaf sajalah.

Apa-apa pun, seperti yang aku cakap tadi. Aku menonton sekadar hiburan. Yang bagus, aku suka. Yang kurang bagus... entahlah nak cakap apa. Tapi, idea untuk menggabungkan Usop Wilcha sebagai undangan di pembukaan Maharaja Lawak, memang bagus sekali. Tambah pula kejayaan watak ciptaan Mamat Khalid ini yang mencetuskan satu fenomena baru di Malaysia. Kalau tidak, masakan boleh Usop Wilcha menguasai pentas di acara kemuncak ABPBH 2010 kelmarin. Tahniah abang Mamat Khalid. Hehehe kerana mencetuskan fenomena Usop Wilcha 'kita bakor' dan Abi Huraira (Johan), teman yang setia menolak kerusi roda temannya. Amat serasi!


demam Usop Wilcha "Kita Bakor!"

Fenomena yang tercetus itu juga membuatkan aku terkena tempiasnya. Apa taknya? Sambil-sambil aku mengemas, sengaja aku pasangkan video Hantu Kak Limah dan juga persembahan JoZan yang lepas-lepas di komputer riba. Hehehe.


Agak-agaknya, tahun depan Usop pula yang menang...


Kenangan Yang Bersembunyi

Sepertimana yang aku nyatakan tadi, masa mengemas inilah semua khazanah lama (kalau bernasib baik) akan ditemui semula. Memang benar, banyak betul khazanah yang aku jumpa. Kerja mengemas yang sepatutnya memakan masa hanya 1 jam telah jadi berjam-jam untuk aku. Setiap cebisan yang ditemui, aku belek-belek dan baca setiap isi kandungannya. Terimbau juga kenangan dan pemikiran yang pernah tercetus ketika ianya ditulis. Aku ketawa sendiri. Yalah. Idea banyak. Sangat banyak, tapi berterbangan seperti cebisan kertas ini. Bila jumpa balik, dah tak tahu apa yang sepatutnya dilanjutkan dari ayat yang terakhir. Hahaha.

Selain itu juga, banyak barang-barang dan hadiah yang aku jumpa. Aku senyum lagi. Tergambar jelas di mataku, bagai skrin yang memainkan sebuah cerita, bagaimana detik-detik itu terjadi. Sayangnya, satu hadiah (cenderahati) salah seorang perkahwinan kawanku (yang aku hadiri tahun lepas) terjatuh. Pecah. Nak menangis, tidak berguna. Aku kutip dan buang dalam tong sampah saja. Bukannya tak menghargai, tapi hayatnya sudah sampai di situ sahaja. Kalau aku simpan, membahayakan anak-anak buah aku yang sering berkunjungan ke dalam bilik angah mereka ini.

Satu bahagian yang aku perlu kemas dengan lebih teliti. Rak segala VCD dan juga album-album gambar yang sengaja aku asingkan. Satu ketika dulu, rak itu memang cantik dan kemas. Isinya pun boleh tahan. Sekarang tak lagi. Sejak Miqhail sudah pandai membuka kotak-kotak VCD, habis segala isi-isi dalamnya dibuang. Koleksi VCD lakonan Jet Li yang aku kumpul sejak sekolah menengah, terkorban macam itu saja. Sedih? Ada juga. Tapi nak buat macam mana? Takkanlah nak salahkan Miqhail yang tidak boleh berfikir lagi? Hmmm. Aku pun mengutiplah VCD-VCD itu dan semua album gambar yang pernah aku letak sedikit tersembunyi.

Hah! Tak aku sangka, akhirnya album itu aku berjaya jumpai juga. Itu pun setelah 5 tahun? Hahaha. Album yang memuatkan gambar-gambar ketika aku belajar di ASK dulu. Gambar aku dengan rakan sebilik. Lucu sangat melihat gelagat masing-masing dalam gambar itu. Hmmm. Betul tak aku katakan tadi, kalau dah membelek gambar-gambar ini (ditambah pula senyum seorang diri mengimbas kembali kenangan) tentu sahaja ambil masa berjam-jam. Dalam album yang sama, aku juga berjumpa dengan gambar-gambar aku, Ayshah dan teman kami Halim. Hahaha. Itulah kali pertama kami keluar bertiga dan ditemani Ayuz serta temannya. Lucu sekali. Tapi, itulah antara kenangan paling indah. Keluar beramai-ramai di KLCC, sebelum ia menjadi markas orang-orang Boyan dan pekerja asing. Opss.


Aku, Afdlin Shauki dan Ayshah...hahaha


salah seorang teman baik... Halim


sahabatku sejak usia 8 tahun, Ayshah...


bersama Ayuz...lalalala...

Dulu, mereka (Ayshah dan Halim) pernah minta gambar-gambar itu dan ketika itu, album ini hilang. Rupa-rupanya ia bersembunyi. Hmmm, adakah mereka masih ingin aku hantar gambar-gambar ini. Maaflah, tak berapa jelas sebab kamera pun masa itu bukan kamera digital atau DSLR. Kamera yang biasa-biasa saja. Kalau kalian mahu, ambil sajalah di sini ya. Aku dah imbas (scan) untuk kalian. Sekali lagi maaf sebab tak dapat berikan pada kalian dulu. Hilang. Tapi sekarang, dah jumpa. Pelik? Memang pelik.


Terperangkap

Selesai mengemas. Ketika itu jam menunjukkan hampir pukul 4 petang. Aku pun dah mula bersantai dalam bilik yang selesa sambil diiringi lagu Awan Nano, Menyesal dan Sedetik Lebih. Tukar selera. Tadi dihiburkan Jozan, sekarang aku dengar pula nyanyian dengan lirik yang begitu mendalam. Awan Nano. Suka sangat lagu yang ditulis M.Nasir ini. Hehehe.

Sedang asyik melayan lagu, aku dengar ada tangisan di luar bilik. Bila pintu dibuka, aku lihat, umi, along dan abang Zamri sedang cuba membuka pintu bilik. Lah! Rupa-rupanya si Miqhail terkunci. Hmmm. Dahsyat betul. Macam-macam cara abang Zamri lakukan. Umi pun dah beri semua kunci pendua untuk pintu bilik itu. Miqhail semakin kuat menangis. Along geleng sambil ketawa kecil.

"Hari itu, dia kurung aku... sekarang, terkurung sendiri," katanya.

Ayuz pula menjaga Mierza di bawah. Abah? Tak ada sebab ada perjumpaan penduduk tentang kes kecurian dan rompakan yang berlaku di kawasan perumahan kami. Adui, apa nak jadi ni?

Aku pun turut cuba menyelamatkan Miqhail. Kebetulan aku ada 'master key'. Kunci ini boleh buka semua pintu di rumah ini. Malangnya, kunci ini pun tak boleh buka pintu bilik Along. Sah. Pengunci bilik itu sudah tak berfungsi dan tersekat. Tidak ada cara lain, umi bawa kayu belantan. Aku pun bersedia mematahkan tombol itu supaya terbuka dan alhamdulillah, Miqhail berjaya dikeluarkan. Hahaha. Di waktu itu, semua jadi kaget. Tapi, bila difikirkan sekarang. Nampak lucu pula. Lebih lucu lagi bila, Miqhail terkunci sekali lagi beberapa minit kemudian. Kali ini, dia terkunci bersama-sama papanya, abang Zamri. Cara yang sama juga aku gunakan untuk membuka pintu bilik itu. Akibatnya, dah berlubang pun sebab tombolnya dikeluarkan.

Wah, macam-macam cerita yang berlaku dalam sehari. Itu pun belum selesai aku ceritakan kesemuanya. Habis sahaja misi menyelamatkan mereka, aku sambung pula kerja memandikan Lolly. Ah, Lolly. Seronok kerja memandikan kereta ini, tambah pula bila dibelanja umi dengan ais-krim. Tapi, yang tak seronoknya bila, selesai sahaja membersihkan kereta. Air hujan pun turun. Ish ish ish...

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku