Monday, December 29, 2008

Hijrah...biarlah dari yang buruk kepada yang lebih baik

Hijrah itu adalah perpindahan
Hijrah bukan hanya pada tempat
Hijrah itu juga bergantung pada niat, akhlak dan budi


Maal Hijrah atau Awal Muharam adalah hari yang penting bagi umat Islam. Ia merupakan tarikh yang menyaksikan peristiwa penghijrahan Rasulullah Nabi Muhammad s.a.w dari kota Mekah ke kota Madinah. Ia juga merupakan permulaan tahun baru bagi sekalian umat Islam. (Bukan 1 Januari tu!) Pelik bin Ajaibnya, orang-orang zaman sekarang (tak kiralah yang tua ataupun muda sama je!) lebih mengira peralihan tahun yang ditetapkan kalendar yang dikatakan lebih universal (sambut serentak konon-kononnya…ala-ala masyarakat majmuk…).


Bila saja tiba 1 Muharam, aku teringatkan zaman persekolahan. Cikgu-cikgu sibuk memilih murid-murid yang berkebolehan untuk membuat persembahan dan mampu menarik perhatian orang-orang yang hadir di Majlis Sambutan Awal Muharam. Baik di peringkat sekolah sampailah ke peringkat antarabangsa. Kadang-kadang ada antara pelajar yang mempunyai tanggapan lain tentang Maal Hijrah. Ada dikalangan pelajar yang menganggap Maal Hijrah adalah satu upacara untuk bersuka-suka. Peristiwa yang sebenar gagal untuk dihayati.

Bila aku dah meningkat sedikit dewasa, lain pula ceritanya. Baru-baru ini, ketika aku dan beberapa teman lain duduk dalam bilik mesyuarat. Ketua aku mengeluh,


“hmm, awal Muharam… cuti umum. Malaysia ni banyak sangat cuti umum.”


Aku lihat ke dalam matanya. Ternyata dia benar-benar hampa. Aku tak pasti adakah dia hampa kerana tidak dapat bekerja kerana cuti umum atau, dia tidak tahu kepentingan 1 Muharam. Bukan niat aku untuk bersifat sinikal, tapi adakah dia perlu menegaskan ayat itu? Lain pula ceritanya bila aku duduk dalam sekumpulan kawan-kawan aku.


“Cuti Muharam ni, kau nak ke mana? Shopping ke tengok wayang?”
“Tengok wayanglah… ada cerita baru,”

Aku hanya tersenyum. Sekali lagi diingatkan, senyuman itu bukanlah bersifat sinikal. Cuma ‘bangga’ dengan penghormatan yang diberikan oleh mereka. Mungkin ramai yang akan menganggap perkara ini memang lumrah. Tetapi kenapa hari yang paling penting dalam kalendar Islam dipandang sepi? Ada yang tidak sabar menanti kehadiran 1 Muharam tapi niatnya lain.


“1 Muharam…. yea, cuti! Boleh joli…habiskan duit lagi…”


Berbeza pula kalau ditanya tentang 1 Januari. Pasti ada yang beria-ia memasang azam. Konon-kononnya nak buang tabiat lama. Nak cuba ubah diri dari yang buruk kepada yang baik. Tak kurang juga, dari yang buruk berubah kepada TERUK!

“Tahun baru ni aku ada azam baru… nak tukar awek baru,”

Berbalik kepada Maal Hijrah. Setiap kali disebut Maal Hijrah perkara yang terlintas dalam kepala adalah perpindahan. Memang benar. Namun, ia bukan hanya sekadar perpindahan tempat yang boleh dilihat secara fizikal. Malah ia boleh lebih dari itu.


Aku teringat kepada salah seorang kawanku (dekat di mata dekat di hati...., jauh di mata, kawan pun terus mati!). Awalnya, dia adalah antara orang yang sentiasa ingat-mengingati. Maksud aku di sini, selalu menegur kesalahan dan kesilapan yang orang lain lakukan. Aku suka dengan caranya yang pandai menjaga adab sopan seorang gadis Melayu. Tutur kata pula mudah memikat orang yang mendengar. Satu saja perangai dia yang tak berapa aku gemar. Suka mengutuk orang.

Seringkali aku ingatkan dia, kalau tak suka tak payah jadikan orang tu sebagai bahan umpatan. Alhamdulillah, bila dia ingat… dia dengar kata-kataku. Bila dia lupa…habis segala umpat-mengumpat keluar. Pernah juga aku berpesan kepadanya…


“Manusia ni diberi kesempatan untuk berubah, biarlah dia macam tu sekarang…insyaAllah kita doakan dia akan berubah kepada yang lebih baik. Jangan pula dari perangai yang baik… berubah jadi perangai dajal pula”


Dia hanya diam. Mungkin, tidak mahu bertekak dengan aku. Hubungan kami pun jadi semakin renggang dan aku sendiri kurang periksa, apa yang membuatkan kami berjauhan. Sehinggalah ke satu hari, aku dapat tahu dia sudah banyak berubah. Aku kecewa kerana hijrah yang dipilihnya adalah hijrah dari perkara baik kepada perkara yang buruk.
Memang benar aku kecewa. Tidak pernah aku sangka dia akan memilih jalan itu. Dari cantik bertudung litup, berubah kepada wanita cantik dengan rambut gerbang ala-ala Zaiton Sameon. Mungkin, disebabkan perubahan yang melanda dirinya itulah yang membuatkan hubungan kami sudah tidak seperti dulu.


Jadi aku tinggalkan hari ini dengan perkataan hijrah itu sendiri.
Manusia memang digalakan untuk berhijrah.
Hijrah itu akan membawa satu dimensi baru dalam kehidupan kita.
Tapi jikalau hijrah itu mencondong ke arah keburukkan…
pandai-pandailah mengatur langkah untuk kembali semula ke arah yang benar.
Wallahualam.

Saturday, December 27, 2008

selamat ulangtahun...

Dia jauh...
Tak pernah bertemu tapi selalu hadir...
Dia ikon...
Hanya bagi mereka yang tahu menghargainya...

Hari ini, 27 Disember. Hari ulangtahun seorang insan yang selalu dikaitkan dengan segala kontroversi. Namanya saja mampu membuatkan akhbar-akhbar picisan terjual. Mungkin pada pandangan kasar, masyarakat hanya nampak dia sebagai seorang lelaki yang mempunyai tubuh badan ala-ala Slyverster Stallone dan memakai tag lelaki Playboy. Di sebalik lelaki yang bertubuh agak ke'Rambo'an ini, terselindung sekeping hati yang penyayang dan sensitif. Ya, dialah Salman Khan.

Aku pun tak tahu, kenapa aku luangkan masa aku yang suntuk ni semata-mata nak menaip tentang 'lelaki Rambo' ni. Pedulikan je. Tak penting pun, dan tak akan ada sesiapa yang kisah...

Abdul Rashid Salim Salman Khan. Terlalu banyak perkara yang aku belajar dari kau. Nak hidup di tengah-tengah kelompok orang gasar sepertimana yang kau lalui di sana memang susah. Tambah pula bilamana ada kawan yang tikam kawan (tak mati.... tapi lebih teruk dari perasaan orang kena bunuh!) Apa-apalah. Selamat Hari Lahir.... dan umur tu hanyalah sekadar nombor. Teruskan berkarya. Aku sedang menunggu dengan sabar karya keduanya Veer selepas Baaghi. Harapnya cerita tu dapat memenuhi expectation aku.


Friday, December 26, 2008

Yuvvraaj - Kisah anak-anak raja yang berantakan

Music Binds Love...




Yuvvraaj adalah filem yang paling aku tunggu sejak mula-mula Subhash Ghai umumkan 2 tahun lepas di majlis ulangtahun Mukta Arts. Sesuatu yang amat luarbiasa kerana dia menyenaraikan Salman Khan (mereka berdua pernah bergaduh di sebuah majlis) sebagai pelakon utama. Filem terakhir arahan Subhash yang aku tonton adalah Yaadein. Walaupun banyak lagi filem arahan dan terbitannya seperti Kisna dan Black and White, ada beberapa filem sahaja yang masih melekat di memori aku. Filem Pardes dan Taal, adalah di antara kemucak gemilangnya sebagai pengarah merangkap penerbit filem. Secara kebetulan, filem Yuvvraaj juga adalah sebuah filem Muzikal dengan tagline Music Binds Love dan mengingatkan aku kepada filem Taal. Tambahan pula gabungan semula Shubash Ghai dan si komposer genius A.R Rahman, membuatkan Yuvvraaj antara filem yang gah! Kali ini mereka turut disertai dengan penulis lirik veteran Gulzar. Tidak hairanlah ayat-ayat di dalam semua lagu filem ini berbahasa indah.

Malah sebelum tayangan filem ini, pasukan Yuvvraaj telah merayakan kejayaan album runut bunyi yang dinobatkan sebagai album yang paling laris sepanjang tahun 2008. Antara lagu-lagu yang mempunyai bait-bait indah adalah Tu Meri Dost Hai (Kaulah sahabatku), Tu Muskura (Kau senyumlah) dan juga Dil Ka Rishta (Perhubungan Hati). Aku memilih lagu Dil Ka Rishta kerana ianya hampir dengan kita dalam setiap hubungan terutama sekali kekeluargaan. Ingin aku memetik bait-bait ayat yang aku rasakan berjaya menggugat kestabilan emosi aku setiap kali mendengar lagu ini.
Door dil se nahin hai hum door,
Jism alag hi sahi,
Ek hi jaan ek hi noor....
(Jauh... namun hati kita tidak pernah berjauhan
Jasad kita memang berbeza
Tapi kita adalah satu, nyawa dan roh...)
Lamba safaar umre ka hai
Tanha guzarta nahin
Sar pe agaar dhoop na ho
Saaya utarta nahin
Rishtey bina hai jis tarah
saaye bina aadmi
Dil ki kisi doori se hai
Bandha hua aadmi

(Jauhnya perjalanan hidup ini
bukanlah untuk ditempuh sendirian
(seperti) tanpa mentari
tidak akan ada bayang-bayang
Tanpa ikatan samalah seperti
Manusia tanpa bayang-bayang
Hati manusia bagaikan
telah teriikat sesama sendiri


Bait-bait ayat itu diiringi pula dengan irama opera klasik barat dan gabungan instrumen klasikal india. Aku bagaikan mendengar sebuah persembahan muzikal di dewan philharmonik di Prague.

Kembali kepada filem Yuvvraaj. Filem yang berkisar sekitar tiga orang adik-beradik lakonan Anil Kapoor (Gyanesh Yuvvraaj), Salman Khan (Deven Yuvvraaj) dan Zayed Khan (Dannesh/Danny Yuvvraaj). Mereka merupakan pewaris kepada jutawan terkenal iaitu Yogendra Yuvvraaj. Hubungan ketiga-tiga mereka dingin. Deven dihalau keluar dari rumah ketika dia masih remaja. Manakala Gyanesh adalah seorang yang cacat otak (tetapi genius dalam muzik) dan Danny pula, menjalani hidupnya seperti anak raja yang sebenar (boros dan suka berpeleseran dengan teman wanitanya di kelab malam dan kasino).

Deven yang tercampak keluar dari segala kemewahan keluarga diRaja terpaksa menjalani kehidupan yang sukar. Namun begitu dia tidak bersendirian dalam menghadapi masalah hidupnya kerana dia ditemani seorang sahabat dan juga teman wanitanya iaitu Anushka(Katrina Kaif). Mereka berdua sama-sama meminati muzik. Anushka adalah pemain cello manakala Deven hanyalah seorang penyanyi di bahagian chorus. Perhubungan mereka tidak direstui oleh ayah Anushka, iaitu Dr PK Bunton (Booman Irani). Malah, Dr PK Bunton telah pun mencari jodoh (klise) untuk anaknya, dari golongan hartawan.
Satu hari, Deven mendapat berita kematian ayahnya menerusi suratkhabar dan mendapat idea untuk memenangi hati ayah Anushka. Kematian ayahnya itu umpama satu bonus kepada Deven. Dia telah menyediakan kontrak yang mengatakan dia akan menjadi jutawan dalam masa 40 hari dan akan kembali untuk mengahwini Anushka. Jika dia gagal berbuat demikian, maka dia rela Anushka dikahwinkan dengan calon pilihan Dr PK Bunton.


Namun rancangannya tidak semudah yang disangkakan. Sekembalinya dia ke London, dia terpaksa berdepan dengan pewaris harta yang lain iaitu Gyanesh, Danny dan juga keluarga parasit iaitu pakciknya. Dihari pembacaan wasiat, keseluruhan harta peninggalan ayah mereka diberikan kepada Gyanesh. Bermulalah komplot antara Danny dan Deven untuk membolot harta tersebut. Dialog yang paling melekat dalam ingatan aku apabila Deven dan Danny mengingatkan diri masing-masing,'we're not brothers... just partners'. Selain mereka berdua, keluarga parasit juga mempunyai rancangan untuk mengusir keluar ketiga-tiga mereka dan sekaligus merampas harta tersebut.

Gyanesh terlalu polos dan naif. Gyanesh amat menyayangi adik-adiknya dan sentiasa bercerita tentang kekesalan ayah mereka menghalau Deven keluar dari rumah. Dalam masa yang sama, Gyanesh juga dapat berinteraksi dengan orang luar. Malah, Anushka berjaya membawa bakat Gyanesh yang terpendam. Hubungan Deven dan Gyanesh semakin rapat dan ketiga-tiga mereka akan terlibat dalam persembahan muzikal yang akan memperkenalkan Gyanesh sebagai penyanyi klasikal.

Danny rasa tertipu dan terbang ke Prague untuk merampas Gyanesh untuk balik semula London. Namun niatnya itu terbantut apabila melihat hubungan yang terjalin antara Deven dan Gyanesh. Malah dia merasa malu kerana sanggup berkelakuan kasar seblum ini dengan Gyanesh. Hubungannya dengan Deven pun turut pulih. Satu scene yang paling aku suka bila jari Danny terluka. Lukanya kecil, tetapi Deven dalam keadaan acuh tak acuh datang menghampiri Danny dan mengelap luka di jari Danny. Raut muka Deven nampak tenang tetapi tetap jelas menunjukkan kerisauannya. Antara dialog yang masih aku ingat dalam scene ini...

Deven : itni mein dar gaya... (macam ni dah takut)
Danny : itni mein tum bhin dar gaya ... (macam ni pun kau dah takut)
Deven : Partner? (Rakan kongsi?)
Danny : Nahin ... brothers (bukan... abang-adik)
Deven : (terkejut) bhai ... (abang-adik)
Danny : (angguk) haa... bhai(ya... abang-adik)
Deven : Pakka? (Pasti...)
Danny : Pakka! (pasti)
Deven : Kyun (kenapa)
Danny :Kyunki partners hisab kitab ki rishta rehte hai ... na ab door ka rishta rehte hai, lakin bhai hi sure karte hue rishta hai (sebab, partners hubungan yang kekal dalam buku, tidak ada ikatan apa-apa pun, tapi, abang adik ikatan itu memang ada...)
Deven : Daddy ki dialogue mujhpar mara hai tu...ha?(kau kenakan aku dengan dialog ayah ye?)
Danny : (senyum) lekin ab mei samaajh mei ayaa... thodi dheer ko baath (tapi baru sekarang aku faham... lewat sikitlah)..... hum kitna kamine te na? (kurang ajar betul kita ni dulu kan?)
Deven : (pandang marah....)
Dua-dua ketawa....


Akhirnya mereka bukan lagi bersatu untuk harta tetapi mereka bersatu dalam sebuah ikatan yang digelar 'adik-beradik'. Sebelum klimaks, ada masalah yang datang dari keluarga parasit yang turut mengidam harta peninggalan Yogendra Yuvvraaj. Salah seorang mereka berjaya meracun fikiran Gyanesh dengan menunjukkan bukti Deven dan Danny berkomplot untuk membolot harta Gyanesh. Pada ketika inilah hubungan yang baru sahaja sembuh diuji. Ternyata hubungan yang murni itu mampu melawan segala anasir jahat. Dan ketiga-tiga mereka bersatu sekali lagi.

LAKONAN

Salman Khan @ Deven Yuvvraaj

Dari awal lagi aku tahu filem ini filem Salman Khan. Kenapa? Cerita bermula dengan dia, berakhir pun dengan dia. Jadi, banyaklah expectation dari aku (peminat dia konon-kononya). Aku puas hati (bukan yang terbaik lagi) dengan lakonan Salman kali ini. Mungkin pengalaman selama 20 tahun banyak membantu Salman bermain dengan ekspresi wajah dan intonasi suara. Salman melakonkan 'Salman Khan' sendiri dan terlalu santai. Bila menangis tak perlu memaksa diri untuk menangis (macam sesetengah pelakon) bila marah tak perlu menjerit untuk marah. Ekspresi yang paling aku suka masa dalam lagu Dil Ka Rishta....(mahal ekspresi tu... sukar nak dikatakan dalam perkataan... tengoklah sendiri). Satu scene lagi yang buat aku rasa nak masuk dalam skrin dan suruh dia bertenang, bila dia outburst pada Dr PK Bunton yang enggan rawat abang dia (Masa ni dia nangis cute la pula... macam anak buah aku, si Miqhail nangis)... dan mengingatkan aku pada scene filem Tere Naam. Secara keseluruhan, Salman memang patut berlakon filem macam ni. Lakonan dia bagus tapi masih belum menyamai mutu lakonan dia sendiri dalam filem Maine Pyaar Kiya(1989) dan Tere Naam (2003). Sebagai pelakon, dia perlu lebih konsisten.... (rambut dia ada macam-macam fesyen... but i love the ponytail style).



Anil Kapoor @ Gyanesh/Gyan Yuvvraaj

Anil Kapoor memang menduga akal aku. Lakonan dia ini antara yang terbaik buat setakat yang pernah aku lihat. Orang kata lakonan dia mengikut lakonan David Hoffman (Rainman), tapi bagi aku walau ada persamaan tapi Anil berjaya mencipta dirinya sendiri dalam kulit Gyanesh. Interaksi antara dia dan Bala(pelakon kanak-kanak) nampak natural. Dia sendiri seperti budak-budak. Lakonan dia dan Salman nampak meyakinkan. Mungkin kerana sebelum ini mereka pernah berlakon bersama untuk beberapa buah filem termasuklah Biwi No 1 dan No Entry. Comic-timing antara kedua-dua mereka memang tepat. Anil berjaya membuatkan aku oercaya dia dungu dan pada masa yang sama genius dalam muzik. Scene yang jadi kegemaran aku adalah bila dia dapat tahu yang Deven dan Danny berbaik dengannya semata-mata kerana harta. Emosi dan ekspresi wajah dalam lagu Dil Ka Rishta membuat aku sedikit tersentuh. Aku cuba membayangkan jika aku berada ditempatnya.



Zayed Khan@ Dannesh/Danny Yuvvraaj

Apa yang aku boleh katakan, cubaan yang bagus. Bukan senang untuk berada sama tahap dengan dua orang pelakon senior. Tapi, antara banyak-banyak filem lakonan Zayed antaranya Dus Bahane dan Vaada aku rasa inilah yang terbaik. Dia seakan dah terkeluar dari kepompong pelakon cinta remaja gitu. Dia cuba untuk tidak membenarkan watak-watak lain membunuh wataknya. Namun ada masanya dia perlu pandai tackle satu-satu emosi. Bak aku katakan tadi, tak semestinya marah kena menjerit-jerit sampai keluar anak tekak. Secara keseluruhan, Zayed berpotensi untuk pergi jauh dalam Bollywood tanpa bayangan 3 Khan mahupun abang iparnya si Duggu (Hrithik).




Katrina Kaif@ Anushka/Anu

Alamak, boleh tak kalau aku tak nak sentuh pun tentang lakonan dia. Dengar kata dia pergi khusus lakonan tapi takkan hasilnya macam model untuk display je kot. Bayangkan kekuatan lakonan ketiga-tiga adik-beradik ini dan ditambah dengan Barbie Doll? Itulah hakikatnya. Sebenarnya aku kecewa sangat tengok lakonan Katrina dalam Yuvvraaj. Marah tak macam marah, sedih tak macam sedih... semua ekspresi wajah yang dibuatnya macam tak habis. Takut-takut? Hanya satu kredit yang boleh aku bagi pada lakonan Katrina, itupun masa scene antara dia dan Salman. Nampaklah love is in the air.... Dia memang cantik. Gandingan dia dengan Salman macam hanya bolehlah, sebab aku nampak kalau Rani atau Preity di tempat dia lagi nampak meyakinkan. Mungkin benar mereka pasangan kekasih di luar filem tapi aku rasa lebih elok kalau dilainkali Salman bergandingan dengan aktress lain terutama sekali Preity dan Rani. Mereka lagi secocok.





Kesimpulannya, aku suka cerita ni, mungkin sebab dekat dengan aku. Aku ni gemar betul kalau cerita famili ni(tapi aku tengok juga cerita action, horror, thriller, comedy...etc etc). Dari Hum Apke Hain Koun, Hum Saath Saath Hain, Ek Rishtaa, Baghbaan, Family dan Baabul... semua aku tengok. Tapi trend filem sekarang dah tak layan sangat cerita macam ni. Sebab tulah, filem ni tak dapat sambutan. Orang-orang di India sendiri lebih memilih cerita yang lepak dan santai macam Dostana dan Golmal Return. Aku tak kisah tonton filem apa-apa pun sebab aku ni takde trend sendiri. Selalunya tengok kat TV je.... tak payah keluarkan duit.....huahuahua.....

Thursday, December 4, 2008

GUNDIK MATI TERUS DIKEJI… RAJA HIDUP TERUS DITAATI

Sepi tak bererti aku mati…
Cuma tugas dan tanggungjawab menuntutku untuk memperhambakan diri.


Dalam sedar tak sedar, hampir empat bulan aku tidak datang apatah lagi menjenguk untuk menitipkan sesuatu di blog kepunyaanku sendiri. Pelbagai perkara dan kejadian yang berlaku dalam hidupku dan juga dunia di sepanjang pertapaanku selama empat bulan ini. Terlalu banyak perkara yang ingin aku perkatakan. Namun bila difikirkan kembali, adalah lebih baik aku memilih perkara yang boleh dibaca tatapan umum. Aku tidak mahu apa yang bakal aku titipkan di sini menjadi alasan untuk aku menghuni hotel 5 bintang milik kerajaan iaitu I.S.A. Aku juga menghormati (perlu ditekankan di sini) sangat, amat dan terlalu menghormati hak kebebasan bersuara yang diamalkan oleh kerajaan Malaysia yang lebih dikenali dengan sebuah negara yang paling demokrasi.

Baiklah, antara tajuk berita yang berada dalam carta isu-isu hangat persendirianku adalah Altantuya, Barrack Obama dan juga Deccan Mujahideen. Maaf sekiranya nama Pak Lah atau YAB Datuk Sri Abdullah Ahmad Badawi tidak berjaya masuk dalam carta. Berita tentang beliau mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan sebagai PM tidak langsung menghairankan. Tambahan pula dengan memandangkan desakan dari pelbagai pihak dan juga ‘anak-anak’ di bawah pimpinannya sendiri. Keputusan itu walaupun diambil sedikit lewat, tetapi secara jujurnya aku menghormati keputusan beliau. Kini aku bersimpati dan hanya dapat mendoakan nasib rakyat Malaysia… menjelang hari itu. Hari yang akan menyaksikan kerusi PM diisi semula. Diharapkan agar pengganti nakhoda seterusnya bukanlah orang yang hanya pandai menabur madu di tanah gersang atau menanam racun di tanah bumi permata yang menghijau (masih hijau lagikah bumi Tuhan… Khir Toyo?)

Hari ini aku ingin menyentuh isu yang paling lama dan dekat dengan diriku berbanding manusia yang mempunyai kulit berwarna Obama dan juga pejuang berani mati di Mumbai, Deccan Mujahideen. Ya! Kisah Altantuya, yang matinya sudah TENTU YA! Pembunuhnya saja yang M.I.A (Missing-In-Action) atau W.A.T(Withaout-A-Trace).

Sejak di awal perbicaraan berlansung (kira-kira setahun yang lepas) aku sudah dapat menjangkakan keputusannya. Keputusan yang melegakan ramai pihak. Keputusan yang juga tidak akan membela kematian si mati tetapi sekadar prosedur yang perlu ditaati oleh sekumpulan manusia. Kes ini yang mirip dengan perbicaraan Norrita. Pembunuhnya (tak pasti pembunuh yang sebenar) masih lagi bebas, merayau dikalangan masyarakat. Si mati terus dikeji. Aku masih ingat lagi, kenyataan dan laporan-laporan yang menghiasi dada-dada akhbar tentang perbicaraan Norrita. Tidak aku nafikan, amat mengaibkan si mati. Begitu juga halnya dengan kes Altantuya. Mereka bebas berkata-kata kerana mereka tahu, hakikatnya si mati dah mati. Si mati itu bisu dan tidak boleh membela diri.

Sehingga hari ini dan saat ini, setiap manusia yang boleh bertutur tidak habis-habis mengutuk dan mengeji Norrita dan kini, Altantuya. Bukannya aku mengagungkan kedua-dua mangsa pembunuhan kejam ini (salah seorangnya dibom…bagaikan kereta kebal milik Yahudi pula perlu gunakan bom!) Aku rasa simpati dengan gelaran yang diberikan kepada mereka. Lafaz ‘semoga Tuhan mencucuri rahmat’ tidak pernah sesekali diucapkan. Betapa parahnya jiwa masyarakat yang bergelar manusia bertamadun ini. Bagi aku, si mati (walau sesiapa juga mereka… mahupun Bush) perlu dihormati. Tidak kiralah apa jua riwayat hidup mereka. Aku pasti, tidak ada sesiapapun antara kita yang ingin dikutuk dan dikeji selepas mati. Jadi, hormatilah mereka, dan kita perlu ingat. Mereka adalah mangsa yang dibunuh bukannya PEMBUNUH!

Kisah Norrita dan Altantuya mengimbas ingatanku kepada kisah gundik dan raja.
Gundik menjadi hamba raja, tapi bila raja mula bosan
Gundik mati terhunus…
berpisahlah badan dengan kepala,
nyawa melayang… jasad terkapar.
Gundik mati terus dikeji…
Raja hidup terus ditaati…

Mungkin juga benar kata-kata yang datang dari naluriku,
Dunia ini(perundangan) bukanlah duniaku…
Aku tidak sesuai dengan dunia ini kerana aku terlalu beremosi dan aku juga gagal mengiakan kemungkaran.

Aku tinggalkan hari ini dengan kisah dua wanita…
Yang bukanlah ikon kepada kisah kegemilangan…
Tetapi satu tanda nista kepada kerakusan manusia…

Wednesday, August 13, 2008

RINDU PADA MATAHARI…

Bila kita lihat bulan…pasti akan ada cahaya,
Setiap kedukaan…pasti akan disusuli cahaya kegembiraan.

Isabell Moses, seorang gadis berusia 17 tahun. Tidak ada yang kurang dalam hidupnya, kecuali satu… kasih sayang! Ibu bapanya bercerai ketika dia berusia 12 tahun. Ibunya, Maria, telah berkahwin dengan Paul Baweja. Perkahwinan kali kedua ibu mengundang seorang lagi ahli keluarga yang baru, Patrick. Manakala ayahnya, Jason Moses, telah membawa diri ke Kanada dan berkahwin dengan Katrina. Isabell ditinggalkan bersama ibu. Hidup bersama ibu, dirinya tidak ubah seperti baki kesilapan yang menunggu masa untuk disingkirkan. Dia hidup dalam buangan. Tiada siapa yang mengambil berat hal kebajikannya melainkan Annie, pengasuhnya. Pada Annie sahaja tempat dia menumpang kasih. Annie adalah satu-satunya alasan untuk dia meneruskan kehidupan. Pada insan itu juga, Isabell melafazkan ikrar untuk tekun belajar dan buktikan kepada ibu bapanya, dia boleh berjaya walaupun tanpa perhatian mereka.

Isabell menanam semangat untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM kelak. Di sekolah, Isabell tidak mempunyai teman. Dia seringkali bersendirian, sehinggalah di satu hari, dia bertemu Hisham. Pertemuan yang tidak pernah dirancang dan diduga oleh Isabell. Namun begitu, Hisham sememangnya mempunyai alasan sendiri untuk rapat dengan Isabell. Hasutan kawan-kawan berjaya menyuntik niat buruk dalam hati Hisham. Isabell adalah mangsanya. Niat Hisham terbantut kerana Aleeya, kekasihnya menghidu perhubungannya dengan Isabell. Niat Hisham terkubur. Dia tidak sanggup kehilangan Aleeya. Di satu petang, berlaku satu peristiwa yang menyebabkan Isabell tercicir daripada landasan sebenar hidupnya. Dia tumpas kepada Hisham. Isabell mengambil keputusan drastik. Dia nekad menamatkan riwayatnya kerana tidak sanggup menjatuhkan maruah ibu dengan kesalahan yang telah dilakukannya.

Isabell sempat meninggalkan nota untuk Annie. Dalam nota itu, Isabell berjanji untuk mengotakan janjinya. Sekadar menutup niat sebenarnya untuk membunuh diri. Niat Isabell terkubur apabila Taufiq sampai tepat pada waktunya dan berjaya menyelamatkan nyawa Isabell. Taufiq hadir bagai malaikat dalam hidup Isabell. Taufiq memberikan makna baru dalam hidupnya. Pada Taufiq ingin diserahkan seluruh hayatnya tanpa mengira perbezaan usia, bangsa dan agama. Namun bagi Taufiq, pemuda yang sudah mencecah usia 30 tahun ini pula menganggap Isabell tidak ubah seperti adik kandungnya sendiri. Taufiq melepaskan segala kerinduan terhadap adik kandungnya kepada Isabell. Isabell pula terus melayan perasaannya yang baru pertama kali merasai kasih sayang. Malangnya, peristiwa hitam kembali menghantui Isabell. Dia terpaksa meninggalkan Taufiq tanpa relanya.

Meninggalkan Taufiq bermaksud membuang segala kebahagiaan. Hidupnya kembali kosong. Dia ingin mencabut nyawa pemberian Taufiq, sekali gus menamatkan segala kekusutan hidupnya yang tidak berpenghujung. Muncul Salman, kenalan misteri Isabell sewaktu di sekolah dulu, yang kebetulan sedang mengutip botol-botol kosong di sekitar Kuala Lumpur. Salman menyelamatkan nyawa Isabell dan membawa Isabell tinggal bersamanya di sebuah pondok yang turut dihuni oleh enam orang ahli keluarga Salman. Walaupun hidup dalam kesusahan, mereka tetap berbahagia. Mereka tidak pernah mengeluh atau berputus harap untuk meneruskan kehidupan. Isabell tertarik melihat kesederhanaan keluarga Salman, malah hatinya berasa tenang setiap kali melihat mereka mengerjakan ibadat. Pada Salman, dia belajar erti kehidupan yang sebenar. Salman jugalah membantu Isabell mencari matahari yang telah lama hilang dalam hidupnya.

Hati Isabell berbagi. Pada siapa harus disandarkan perasaan kasih dan sayangnya?

Isabell masih teringatkan Taufiq. Perasaan sayangnya pada Taufiq masih utuh. Tak mungkin dia dapat menghapuskan memori yang mereka lalui bersama-sama. Insan mulia itu mengajar erti kasih dan sayang. Menghormati hati dan perasaannya. Memahami dirinya tanpa perlu berbicara.

Benar! Salman datang kemudian sebelum Taufiq. Tetapi, sukar untuk dia menafikan kehadiran Salman. Salman berjaya menemukan cahaya matahari yang hilang dalam hidupnya. Setiap kali bersama Salman, dia berasa tenang. Kesederhanaan Salman berjaya mencuri ruang kosong di hatinya.

Masalah Isabell bertambah kusut. Ibu dan ayah kandungnya, masing-masing berebut untuk menuntut hak penjagaan ke atas dirinya. Jason Moses kembali ke Malaysia bersama Katrina dan ingin membawa Isabell bersama-sama mereka ke Kanada. Manakala Maria pula tidak membiarkan niat bekas suaminya itu termakbul. Dia ingin memastikan Isabell hanya akan tinggal bersama-samanya di Malaysia. Keputusan terserah kepada Isabell sendiri.

Isabell semakin bingung untuk membuat keputusan. Malaysia atau Kanada? Ibu atau ayah? Taufiq atau Salman?

Monday, August 4, 2008

SEBISA RACUN ATAU SEMANIS MADU, MANA SATU KAU PILIH SEBAGAI RATU HATIMU?

Wanita.
Mereka diumpamakan seperti madu,
Mereka juga mampu membunuh seperti racun yang berbisa.

Aku selalu mendengar kisah wanita dipermainkan lelaki. Jarang sekali aku mendengar kisah wanita memperlekehkan lelaki. Sehinggalah aku berkenalan dengan Imaan (perkenalan jarak jauh sejak lima tahun lepas). Imaan, seorang lelaki yang amat aku hormati. Usianya jauh lebih tua dariku (20 tahun, aku tak pernah rasa janggal berinteraksi dengannya). Pada dia, aku belajar erti cekal dan tabah. Walaupun terpisah antara gunung dan lautan, aku dapat rasakan yang dia sentiasa hampir di sisiku. Segala kisah suka dan duka dikongsi bersama. Imaan selalu memberi nasihat. Tidak melampau kalau aku ibaratkan Imaan sebagai mentor (dia berbakat dalam penulisan dan aku selalu merujuk karyanya).

Beberapa minggu lepas, ada sesuatu yang terjadi dalam hidup Imaan. Ia turut mengganggu persahabatan yang terjalin antara kami. Puas aku memujuk supaya dia menceritakan masalah yang dialaminya (aku tak sanggup masalah itu akan menjadi punca aku hilang sahabat). Akhirnya Imaan meluahkan masalahnya kepadaku. Sebaik sahaja aku mendengar kisahnya, aku tidak tahu untuk memberi respon. Menangis atau sekadar bersimpati? Buat pertama kali aku menyalahkan wanita. Imaan telah ditinggalkan kekasihnya, Rose. Memang adat orang bercinta, tidak semua berakhir dengan kegembiraan. Bak kata dalam sebuah lagu ‘pencinta adalah pasangan yang berenang di lautan, adakalanya mereka berjaya sampai ke tepian dan ada juga yang terkandas di tengah lautan’.

Setelah lima tahun berkasih, Rose memutuskan hubungan dengan Imaan. Apa yang menyedihkan ialah, mereka berdua sepatutnya berkahwin dalam tempoh waktu terdekat ini. Apabila aku bertanyakan Imaan alasan yang diberikan Rose, ‘dia masih muda, banyak yang perlu dilakukannya’. Aku tidak menolak kebenaran alasan itu (umur Rose dan aku sebaya). Namun, adakah wajar tindakan Rose meninggalkan insan yang banyak membantunya ketika dia susah, memberi segala kemewahan yang dimilikinya hari ini? Sentiasa memenuhi segala kekurangannya dan juga melindunginya dari ancaman bahaya?

Aku sentiasa mahukan yang terbaik untuk Imaan kerana dia insan yang baik. Imaan tidak suka mendengar aku dalam keadaan murung dan akan cuba mengembalikan keceriaan dalam hidupku. Memang dia memiliki segala-galanya kecuali kasih sejati seorang wanita. Rose bukan wanita pertama yang hadir dalam hidup Imaan. Tetapi Imaan pernah memberitahuku yang dia pasti, Rose adalah wanita terakhir dan ditakdirkan untuk dirinya. Malangnya, Rose pun turut tersenarai sebagai wanita yang menjadi racun hidupnya sepertimana beberapa wanita yang pernah menjadi ratu hati sahabatku itu. Semua episod cinta Imaan punyai kesudahan yang hampir sama. Satu kelemahan Imaan yang ketara adalah, dia mudah tersentuh dan bersimpati kepada kesusahan orang lain. Bagi aku, ianya tidak salah tetapi kelemahannya itu memakan dirinya sendiri. Hampir kesemua wanita yang hadir dalam hidup Imaan menggunakan cara yang sama. Mereka tidak mempunyai kerja tetap. Pada awalnya, Imaan akan membantu mereka (sepertimana dia membantu kawan-kawannya yang lain). Lama-kelamaan, mereka berjaya meyakinkan Imaan bahawa mereka hanya bergantung hidup kepada Imaan. Apabila mereka sudah mampu berdiri dengan kaki sendiri, mereka cuba sedaya upaya untuk mengusir Imaan pula. Imaan, ini kali kelima kau dipermainkan perempuan dengan cara yang sama, kau sepatutnya lebih tahu memilih antara madu dan racun.

Sekiranya aku di tempat Imaan, aku sendiri tidak pasti apa yang akan aku lakukan. Imaan tidak pernah serik dipermainkan cinta. Aku bertanyakan Imaan, adakah dia rela melepaskan Rose sepertimana dia melepaskan para kekasihnya sebelum ini?

‘Kalau kita mencintai seseorang, kita perlu biarkan ia pergi.
Sekiranya cinta itu masih ada, dia akan kembali.
Sekiranya dia tidak kembali, anggap sahaja cinta itu bukan milik kita’

Aku bertanya lagi, adakah dia sanggup berdepan dengan Rose di masa akan datang?

‘Perhubungan yang sudah terjalin antara manusia tidak patut diputuskan.
Mungkin bukan bercinta tetapi aku mahu terus berkawan dengannya.

Benar kata Imaan. Aku juga pernah melakukan perkara yang sama. Walau apa jua yang terjadi adalah kehendak Allah. Hubungan antara manusia tidak patut berakhir begitu sahaja. Aku mengharapkan, satu hari nanti kau bertemu dengan cinta sejati. Insya-Allah.

Aku tinggalkan hari ini dengan lirik lagu kegemaranku.

Jangan Ada Benci nyanyian Casey.

Andainya ada di antara kita nanti,
Berubah hala serta memungkiri janji,
Jangan ada benci,
Suka dan duka dilalui,
Jadikan kenangan di sudut hati,

Andainya cita-cita tidak kesampaian,
Ikatan murni terputus di pertengahan,
Jangan dikesalkan,
Jangan lantaran kegagalan,
Kita berdendam saling bermusuhan,
Ungkit-mengungkiti, sakit-menyakiti,
Memusnahkan diri,

Kita harus tabah dan bersedia,
Cekal hadapi kemungkinan yang tiba,
Kadangkala yang berlaku,
Di luar kemampuan kau dan aku...

Thursday, July 31, 2008

BILA MELANGKAH KE DEPAN, JANGAN LUPA MENOLEH KE BELAKANG

Tanpa semalam, tidak akan ada hari ini dan tiada juga hari esok.
Semalam dikenang, hari ini merancang dan esok hanya Dia yang tahu.

Orang bijak pandai ada mengatakan ‘tinggalkan semalam dan terus melangkah ke depan.’ Secara peribadi, aku menghormati kata-kata itu tetapi aku mempunyai pandangan yang sedikit berbeza. Tanpa semalam, tidak ada hari ini. Semalam untuk dikenang dan bukan untuk terus ditinggalkan. Bukan pula bermaksud untuk dikenang selalu tetapi sesekali kita perlu menoleh masa lalu. Semalam mencatat pengajaran dan merupakan ‘guru yang terbaik’ untuk membantu kita melangkah di keesokan harinya.

Aku akui, aku bukanlah jenis orang yang merancang masa depan. Malah aku tidak percaya kepada perancangan. Sejak aku di bangku sekolah sehinggalah tamat pengajian di akademi. Aku hidup mengikut peredaran waktu. Bagiku, biar masa menentukan hidup dan bukan aku menentukan masa untuk hidup. Bila seseorang itu terlalu taksub menjadi hamba perancangan masa, dia akan sentiasa terpenjara dan tertekan. Itu adalah pendapat jujur dan ikhlas yang datang dari fikiranku. Mungkin, ada antara kita yang lebih selesa hidup dengan perancangan. Semuanya terpulang kepada pemikiran masing-masing. Dalam soal ini, tiada yang betul atau salah, tidak ada juga yang menang atau kalah.

Hari ini bila aku berdepan dengan diriku sendiri melalui cermin, ingatan kepada zaman kanak-kanak mula ‘bangun’ dari dalam diri. Meronta-ronta untuk keluar. ‘Memori’ zaman kanak-kanak itu ingin hidup untuk seketika. Aku duduk, dan memerhatikan sahaja memori itu menari keluar dari dalam diriku.

‘Boy’ atau Shafiq. Itulah nama zaman kanak-kanak yang sinonim denganku. Kadang-kadang, aku ketawa mengenangkan zaman itu. Perasaan rindu mula menguasai diri. Teringin rasanya untuk aku kembali ke zaman itu dan bermain bersama dengan kawan-kawan. Ketika itu, aku lebih banyak bergaul dengan budak-budak lelaki (Aizuddin, Ariff, Faizal, Azmir, Bob dan beberapa nama lagi yang aku pun dah lupa). Hanya beberapa orang budak perempuan yang sanggup berkawan dengan aku (Ya! Aku ni ganas, bahasa pun kasar…selalu buat mereka menangis). Jika aku digelar sebagai Boy, kawan karibku Zuliana(hubungan kami terputus bila dia berpindah ke Pulau Pinang) pula Tom. Kami berdua seperti pasangan kembar. Aku ‘abang’ dan dia adik. Waktu ko-kurikulum, hanya aku dan Tom saja pelajar perempuan yang menyertai pasukan bola tampar. Aku masih ingat cikgu Kassim membenarkan kami sertai pasukan itu tetapi setakat dalam sekolah saja (tidak boleh sertai perlawanan antara sekolah sebab bilangan untuk pasukan perempuan tak cukup).

Peristiwa lucu yang aku ingat sehingga hari ini ialah kejadian aku bertumbuk dengan dua orang pelajar lelaki di luar sekolah. Sebelum tercetusnya pergaduhan itu, aku sedang menikmati sarapan pagi. Manakala adikku dan kawan-kawanku yang lain sedang bermain getah (permainan yang amat popular di kalangan pelajar perempuan sekolah BBS dulu). Dua orang budak lelaki datang dan menganggu adikku, Ayuz. Macam biasa, Ayuz hanya tahu menjerit dan menangis. Aku pula pantang dengar adik aku menangis. Aku tak sempat menjamah habis makanan dan terus bangun mendapatkan dua budak lelaki itu. Aku ada beritahu kepada kawan-kawanku, aku tak tahu untuk bercakap ‘tidak’ atau ‘jangan’ tetapi tangan aku memang lebih laju dari mulut. Jadi satu penumbuk aku lepaskan ke perut budak tu diikuti dengan tendangan (di tempat yang agak sensitif). Malangnya, cermin mata aku dirampasnya(masa tu aku rabun, cermin mata tebal), dia membalas tumbukan tetapi berjaya dihentikan oleh seorang pemandu bas. Pemandu itu beri amaran kalau kami terus bergaduh, kami bertiga akan dilaporkan kepada guru besar.

Pergaduhan itu tidak tamat di situ. Budak lelaki itu mencabar untuk kami bertarung secara adil. Itupun melalui kelab tae-kwando. Aku sahut cabaran itu (semata-mata ingin menamatkan pergaduhan). Aku sertai kelab itu hanya untuk sebulan. Sebelum perjumpaan tamat, ‘sir’ memilih dua orang pelajar untuk berentap. Budak lelaki itu (bertali pinggang hijau calit biru) menawarkan diri dan mahu aku (bertali pinggang putih) menjadi pasangannya. Sebaik sahaja ‘sir’ beri tanda mula, budak lelaki itu terus menyerang tapi kaki aku lebih cekap, aku menendang dan tepat mengenai perutnya. Budak lelaki itu jatuh, secara tak langsung aku menang. Budak lelaki itu bangun dan berbisik ke telinga aku ‘kau menanglah’. Bagi aku pula, ini bukan soal menang atau kalah tapi soal maruah. Semenjak dari hari itu, tidak ada sesiapa pun berani mengganggu Ayuz. Kalau adapun, pasti ada ‘mata-mata’ yang mengadu pada aku. Keesokan harinya, sebelum aku sempat bertindak, budak-budak yang mengganggu Ayuz akan datang minta maaf.

Hari ini, aku telah banyak berubah. Tidak ada lagi orang memanggil aku Boy atau Shafiq. Satu sahaja yang tidak akan berubah, tangan aku yang lebih laju dari mulut. Sesiapa saja yang rapat dengan aku tahu tentang hal ini. Aku pun tak berapa pasti, bagaimana Boy dan Shafiq hilang dalam diriku begitu saja dan berubah menjadi Shahaini. Jika aku memberitahu tentang sejarah aku di zaman kanak-kanak pasti tidak ada sesiapapun akan percaya. Mereka percaya yang aku ni seorang yang lembut, berjiwa sensitif dan lemah. Sebenarnya, itu yang mereka sangka dan bukan aku yang mereka kenali. Aku juga ingin membetulkan pandangan masyarakat yang menganggap ‘tomboi’ adalah perempuan yang suka dengan kaum sejenis. Pandangan mereka salah, ‘tomboi’ bukan perempuan yang suka perempuan tetapi perempuan yang berkelakuan seperti lelaki dan punya perasaan terhadap lelaki. Seorang ‘tomboi’ boleh berubah dan perubahan itu memerlukan masa. Manusia tidak boleh diberikan tempoh tertentu untuk berubah. Perubahan itu selalunya bergerak mengikut peredaran waktu dan bukan waktu yang jadi penyukat untuk perubahan.

Jika aku tidak menoleh hari semalam, maka banyak perkara yang kelihatan kabur hari ini dan hari esok mungkin akan terus berkubur. Wallahualam.

Wednesday, July 30, 2008

SATU JAWAPAN SELAMA TIGA TAHUN DI ASK/ASWARA…, RACUN ATAUPUN MADU?


28 Julai 2008…, tarikh penentu.
Segala keraguan atas kemampuan diri akhirnya terjawab sudah.


Ketika aku melihat slip keputusan, ingatanku merangkak perlahan-lahan mencari detik aku dinilai bersama rakan seperjuangan yang lain. Penilaian PeTA 08 (Penilaian Tahun Akhir) memberi seribu satu rasa dan pengalaman yang akan terus terpahat dalam ingatan.

Sejak aku bergelar pelajar ASK, aku sentiasa menjadi orang pertama. Ya! Aku masih ingat lagi ketika pembentangan PeTA Awal, aku adalah pelajar pertama yang memulakan sesi. Selama hari ini, aku tidak pernah ada pengalaman menjadi orang pertama. Ketika di zaman sekolah dulu, aku antara orang terakhir dalam senarai pelajar (pangkal nama aku huruf ‘S’). Berbeza pula ketika aku di ASK, semuanya gara-gara nombor matrik aku, 25061006. Aku pelajar keenam dalam semua pelajar ASK (sesi 2005/2006) dan orang pertama dalam fakulti penulisan.

Aku pernah menyuarakan ketidakpuasan hati aku kerana seringkali ‘terpilih’ menjadi pelajar pertama. Ketua fakulti aku akan senyum dan mengatakan ‘awak patut bersyukur, fakulti beri penghormatan untuk awak menjadi orang pertama’. Ada juga seorang teman dari fakulti lain yang memberikan kata-kata yang hampir serupa tetapi mengandungi makna yang berbeza. ‘Awak ada keyakinan yang tinggi, sebab tu fakulti pilih awak jadi orang pertama. Saya tahu awak boleh’. Benar kata dia, aku memang boleh tapi aku sendiri tidak pasti tentang keyakinan yang dia maksudkan. Sebaliknya, aku merasakan dialah orang yang mempunyai tahap keyakinan yang tinggi. Dia atau lebih selesa aku rujuk sebagai ‘Hero’ (sebab di ASK, dia sering melakonkan watak utama dan menggunakan nama samaran yang memang dekat dengan diri aku) terlibat dalam hampir semua persembahan di ASK. Bagi aku, keyakinan yang Hero miliki adalah sangat menakjubkan.

Pada hari penilaian PeTA, aku dapat rasakan seperti aku sedang menanti hukuman yang bakal diberi oleh barisan para penilai. Antara penilai yang menilai hari itu adalah pensyarah yang pernah mengajar aku iaitu encik Hassan Muthalib. Melihat dia melangkah masuk sudah cukup mengejutkan seluruh saraf dalam diri, inikan untuk mendengar penilaian dan kritikannya. Aku masih ingat lagi, aku pernah melakukan perkara yang agak kurang bijak ketika PeTA Awal (aku terus mula tanpa sempat pengerusi membuka majlis) jadi, Alhamdulillah kejadian seperti itu tidak berulang. Tapi lain pula yang jadi, aku duduk di kerusi pembentang sebelum dipanggil pengerusi. Teman-teman yang lain hanya mampu ketawa.

Sebaik sahaja aku duduk di kerusi pembentang, aku lihat sekeliling. Dewan kuliah yang memang besar itu dirasakan tiga kali lebih besar. Aku cuba mencari titik keyakinan aku dan pandangan aku jatuh kepada penyelia, Tn. Hj. Mohd Ghazali Abdullah. Kata-kata nasihatnya terus bergema ‘tiga tahun awak di sini, hari ini penentunya. Jangan bentang macam orang tak tahu apa-apa. Kalau tak sia-sia awak jadi pelajar ASK’. Keyakinan bertapak dalam hati. Alhamdulillah, semua yang terbuku dan terisi dalam dada aku luahkan sedikit demi sedikit dengan penuh yakin. Antara banyak-banyak kritikan yang diberikan oleh penilai, satu kritikan saja yang terngiang-ngiang di telingaku sehingga ke saat ini. Aku dilabelkan sebagai ‘kegilaan seorang penulis’ (dalam bahasa kasarnya, syok sendiri). Itu juga satu-satunya kritikan yang terpaksa aku telan mentah-mentah. Mulut aku terkunci dan malang bagi aku, aku tidak mahu melawan (tidak seperti ketika aku berhadapan dengan peguam yang pernah memberi tunjuk ajar padaku yang mana aku pernah menengkingnya dan dia MENANGIS!) Mungkin salah satu sebabnya kerana penilai yang mengkritik di depan aku adalah orang yang memberi markah. Kalau aku diberikan peluang untuk membela diri pasti aku akan jawab ‘kegilaan penting dalam setiap pekerjaan, sepertimana tuan penilai mempunyai kegilaan yang tinggi mengkritik karya saya’.

Ada juga perkara yang dikritik membuatkan aku terasa ingin ketawa sendiri. ‘Pemilihan nama watak-watak saudara tidak sesuai, tidak ada orang kampung yang bernama Haidar, nama orang kampung selalunya Seman Salleh dan Dollah!’ Aku tetap tak menjawab sebab sepertimana yang aku kata, kalau dalam soal-soal yang tidak mengganggu perjalanan skrip lakon layar yang kutulis. Mungkin dia kurang peka dan ambil tahu hal sekeliling. Aku memilih nama Haidar itu kerana ia membawa maksud Singa/Yang berani. Setahu aku, orang-orang kampunglah yang paling menitikberatkan makna disebalik nama. Dia juga tidak setuju dengan nama ROMIBAIDURI dan mencadangkan agar menukar nama itu kepada ROMIDURI! (Apa-apalah, asalkan tuan penilai bahagia).

Bila aku melihat keputusan yang nyata tertera di depan mata, aku bangga mengatakan aku tidak membawa pulang racun. Aku membawa sebiji gelas yang berisi madu. Mungkin isinya tidak penuh, mungkin isinya suku atau setengah gelas tetapi ia sudah cukup bermakna bagiku. Terima kasih adalah satu perkataan yang tidak memadai untuk semua tenaga pengajar dan rakan-rakan yang membantu aku sepanjang tiga tahun di ASK/ASWARA. Kalau boleh aku ingin senaraikan setiap nama yang terlibat, tetapi agak kurang adil sekiranya aku tertinggal satu nama. Namun, antara guru yang sentiasa menjadi guru untukku sepanjang hayat adalah Tn. Hj. Mohd Ghazali Abdullah, En. Mohd Ridzuan Harun, Pn Sujiah Salleh, En. Zakaria Ariffin, En. Zubir Ali, En. Hassan Muthalib dan En. Zaki Rahim. Insya-Allah ilmu yang dikongsi tak akan dipersiakan. Diharap, satu hari nanti kita berpeluang untuk bersua sekali lagi.

Monday, July 28, 2008

MEREKALAH NYAWA, DUNIA, AKHIRAT DAN SYURGAKU…


Setiap kali sendiri, aku pasti akan merenung kelima-lima jari di tangan. Lima jari itu mewakili kelima-lima ahli keluargaku (termasuk aku). Ibu jari untuk umi, jari telunjuk untuk abah, jari manis untuk along, jari kelingking untuk Ayuz dan jari tengah … aku.

Kelima-lima jari ada tugasnya sendiri, sepertimana dalam keluarga aku juga. Jari-jari lain boleh berdiri sendiri kecuali satu jari iaitu jari tengah (semua orang dalam dunia ni pun maklum, apa makna jari tengah kalau berdiri sendiri, betul tak?) Begitulah diri aku. Aku tak mampu dan tak mahu berdiri sendiri.

Umi (ibu jari)…, Shaharum Bariah Osman. Bidadari yang turun ke bumi dan wanita yang paling cekal, tabah dan penyayang pernah aku temui. Semua anak-anak yang berkesempatan menikmati kasih sayang ibu akan mengatakan perkara yang sama tentang ibu mereka. Begitu juga aku. Namun, ada sedikit perbezaannya. Umi adalah segala-galanya. Pada dia, aku curahkan isi hati yang tak pernah terluahkan pada sesiapa. Harapan dan kekecewaanku. Kegembiraan dan kedukaanku. Dia pantang mendengar bisik-bisik yang memburukkan keluarganya. Garang bak harimau, penyayang bak bidadari. Orang kata syurga di kaki ibu tapi bagi aku, umi adalah syurgaku. Umi, pengorbananmu selama ini tidak akan dipersiakan. Insya-Allah.

Abah (jari telunjuk)…, Md Zahar Zainal. Penakluk seluruh alam. Siang malam, hujan panas, banjir dan kemarau … tidak pernah sesaat pun gagal melindungi kami sekeluarga. Tegas dalam tawa, tangis dalam senyum… siapa tahu cabaran dan dugaan yang terpaksa abah tempuhi dalam membesarkan kami tiga beradik? Biar pun ada kata-kata sumbang “dari jaga seorang anak perempuan lebih baik jaga lembu sekandang.” Tidak pernah sesaat abah abaikan tanggungjawabnya. Setiap masa dan ketika. Keluar awal-awal pagi dan pulang lewat. Tujuannya hanya satu, kebahagiaan dan kesejahteraan anak-anak dan isteri tersayang. Abah, segala ajaran dan didikan yang telah diberikan akan aku ingat sampai ke mati. Insya-Allah.

Along (jari manis) …, Shahaizah Azlin. Semangat dan pencetus inspirasiku. Antara wanita sempurna yang pernah aku temui (selepas umi). Di saat aku hilang kepercayaan pada diri sendiri, kau perlihatkan aku satu garis cahaya. Kau melihat sinar itu adalah aku dan aku perlu mencapainya terlebih dahulu, dan jangan sesekali berhenti menyayangi diri sendiri. Walaupun tubuhmu kecil (aku macam kakak, along macam adik), semangatmu tidak pernah membataskan kebolehan dirimu. Percaya pada diri sendiri. Bila aku menangis, kau biarkan aku menangis dan berkata, “kau menangislah sekarang, tapi kalau kau menangis lagi sebab hal yang sama, kau betul-betul orang yang tewas!” Along, sesungguhnya aku bertuah menjadi adikmu.

Adik/Ayuz (jari kelingking) …, Shahyuzana Akmam. Hadiah dan kurniaan Allah yang terindah dalam hidupku. Bila dekat, kita bercakaran. Bila jauh, aku kekosongan. Biar masa merampas kata-kata untuk kita berbicara, tetapi percayalah separuh dari diriku merindui zaman kanak-kanak yang baru sahaja kita tinggalkan. Teringin aku menggenggam jari-jari halusmu untuk kita menyeberang ke seberang sana. Pada mataku, kau tetap adik kecilku yang nakal dan girang menyanyikan lagu ‘kacang goreng’. Namun sekarang aku rasakan seperti aku pula adik dan kau kakak. Ayuz, kau tetap adik kesayanganku dan kaulah keutamaanku. Setitis airmata yang jatuh, akan cuba aku hapuskan penyebabnya (itupun kalau kau izinkanlah).

Aku/Izan (jari tengah)…, Shahaini Aizan. Aku tahu aku berdosa, dan aku sedar aku akan terus berdosa kerana menyayangi mereka lebih dari nyawaku sendiri. Bagiku merekalah nyawa, dunia, akhirat dan syurgaku.

Bagi aku, tanpa mereka... tiadalah aku. Aku tidak dapat bayangkan jika salah satu dari jari-jariku ini putus. Tapi, sekiranya putus atau patah atau hancur... biarlah yang menerima malang itu, jari tengah. Bukan jari-jari yang lain.

Sunday, July 27, 2008

KERA DI HUTAN DISUSUKAN, ANAK DI RUMAH MATI KELAPARAN


Lima jari di tangan,
Satu ditunding ke satu arah,
Empat menunding diri sendiri,
Siapa yang bersalah?

Tak guna cari kesilapan yang dilakukan orang lain, adakalanya kesilapan itu datangnya dari diri sendiri. Kata-kata ini bukan sahaja terbatas kepada individu. Boleh jadi ditujukan kepada masyarakat, organisasi, mahupun penganut sesebuah kefahaman. Percayalah, setiap dari kita tak terlepas dari buat kesilapan.

Graduan seperti maksud yang lebih mudah difahami dengan jelas adalah penganggur ‘terhormat’ (bukan maksud yang termaktub dalam kamus Dewan, ya!). Masyarakat seringkali mengatakan golongan graduan memikul ‘kepala yang besar’ dan juga ‘hidung tinggi mendongak langit’. Adakah gelaran itu benar-benar layak diberikan kepada graduan yang bakal memimpin masa depan negara? Graduan dikatakan memilih pekerjaan, tidak mahu bekerja jika gaji yang dijanjikan rendah. Persoalan yang kerap bermain di fikiran aku sekarang ni, siapa yang begitu berani mengatakan hakikat yang berbau dusta ini? Agensi mana yang mengeluarkan peratusan ini? Ya! Mungkin ada benarnya, tetapi ada juga yang tidak. Sebagai contoh pengalaman salah seorang temanku baru-baru ini. Di bawah antara butir perbualan yang dikongsi oleh temanku (Hamba Allah).

Bakal Majikan : Awak nak kerja tetap atau sementara?
Hamba Allah : Kalau boleh saya nak kerja tetap.
Bakal Majikan : Awak baru habis belajar, takkan tak nak kerja tempat lain?
Hamba Allah : Saya perlukan duit sekarang ni. Saya tak kisah kerja sebagai
pembantu kedai, yang penting saya kerja.
Bakal Majikan : Tahu tentang komputer?
Hamba Allah : (Selama hari ini aku duduk berjam-jam depan komputer, takkan
tak tahu) Saya ada asas tentang komputer.
Bakal Majikan : Kami perlukan orang mahir tentang komputer.
Hamba Allah : (Kedai macam ni pun ada kualiti ISO 2001? Nak jaga kedai,
bukan nak semak kualiti barang. Kalau tak nak ambil aku kerja,
cakaplah terus terang) Kalau setakat ‘key in’ tak ada masalah.
Bakal Majikan : Maknanya awak tak tahu apa-apa tentang komputerlah.
Hamba Allah : (Melampau, takkan tak nak tengok pun resume aku bawa ni)
Bakal Majikan : Awak boleh balik sekarang. Kami akan hubungi awak.

Malang bagi temanku, tidak ada pun panggilan yang mengatakan dia diterima bekerja. Selepas seminggu berlalu, dia kembali ke kedai itu. Kali ini dia kembali sebagai pelanggan dan bukan orang yang mencari kerja. Keajaiban telah berlaku di dalam kedai kepunyaan ‘bumiputera’ itu. Kedai itu telah pun ada pembantu kedai, bukan satu tetapi dua. Walaupun dia agak terkejut tahap beruk, tapi dia cuba mengawal diri dan melihat sahaja warga Myanmar dan India berjaya menjadi pembantu baru kedai itu. Takjub dan ajaib sekali. Dua orang asing (yang status mereka masih lagi menjadi tanda tanya, mungkin PATI) yang ‘amat mahir dalam penggunaan komputer’ sedang duduk melayan pelanggan. Temanku geleng kepala. Ada tangis tetapi ditelan saja tangis itu dalam hati. Sesal kerana bangsa MALAYSIA lebih mengutamakan modal insan yang DIIMPORT KHAS dari negara luar. Mungkin mereka lebih MAHIR dan CEKAP dalam penggunaan komputer berbanding temanku itu.

Sekarang, siapa yang perlu dipersalahkan? Temanku, bakal majikan berstatus bumiputera, pekerja import atau Malaysia sendiri?

Satu petang, seperti biasa aku memandu kereta dan membawa bersama ahli keluarga yang lain. Apabila aku sampai ke destinasi, terasa pula ingin pulang ke rumah semula dan mengambil paspot antarabangsa (yang aku tak pernah ada). KEBANJIRAN WARGA ASING. Terbau dek hidung aku yang bak serombong kapal ni, bau yang kuat dan busuk (bau yang bercampur-campur … yang paling aku cam adalah bau bawang!) Tak kurang juga, perangai mereka yang amat menjengkelkan.

Siapa yang menjatuhkan dan memburukkan nama Malaysia di mata dunia? Bangsa Malaysia sendiri atau tetamu bervisa antarabangsa ini? Pandangan mereka yang tajam cukup membuatkan aku terasa hina, walhal aku lahir di negara ini. Siapa tuan dan siapa pula pendatang? Ada sesiapa yang boleh menjelaskan kebanjiran mereka di tanah Malaysia yang semakin sempit dan sesak dengan kehadiran mereka ini? TOLONGLAH buat sesuatu! Sampai bila bangsa Malaysia perlu hidup atas bayangan bangsa PENUMPANG INI!

Selagi ada usaha membawa pekerja dan tenaga dari luar, selagi itulah Malaysia tidak akan bebas. Perkara yang paling aku benci apabila aku terpaksa berjalan seperti pelarian di tanah sendiri dan mereka berjalan angkuh seperti tanah ini kepunyaan moyang mereka.

BILA KERAJAAN BETUL-BETUL AKAN MELAKSANAKAN PATI SIFAR?

Jangan sampai golongan PATI ini menjadikan Malaysia sebagai tanah kelahiran untuk waris keturunan mereka. Jika ia benar-benar terjadi, bagaimana nasib anak-anak Malaysia? Ini bukan soal kedekut atau tamak, tetapi tentang masa depan. Negara kita sudah terlalu pemurah, menerima sesiapa sahaja datang dan akhirnya, mereka MAKAN TUAN. Aku tidak mahu Melayu dipersoalkan ketuanannya oleh PATI ini pula di masa akan datang. Aku tak hairan kalau sepuluh tahun dari sekarang akan muncul pula gerakan menuntut HAK PATI DI MALAYSIA (sepertimana yang dilakukan HINDRAF).

Aku merayu kepada mereka yang terlibat, secara langsung atau tidak. Tolonglah celik. Hari ini, mungkin duit dalam kocek penuh sebab USAHA MULIA anda membawa masuk golongan PATI ini. Cuba ambil masa dan fikir tentang masa depan anak-anak dan cucu-cucu anda. Adakah mereka akan selamat? Adakah jaminan untuk mereka menikmati keamanan yang sepatutnya mereka kecapi? Atau anda juga mahu mereka bersaing dengan bangsa-bangsa asing dan hidup merempat dan mengemis di tanah sendiri? Semua jawapan di tangan anda kerana andalah raja kepada keputusan anda!

Wednesday, July 2, 2008

Terima kasih sahabat-sahabatku …


Cinta datang dan pergi...
Sahabat datang dan bersemadi di hati

Tidak semua orang di dunia ini bertuah untuk memiliki insan yang benar-benar memahami, menyayangi dan yang paling utama sedia menerima segala kelemahan dan keburukan yang ada pada diri kita. Sahabat, adalah harta dan pencapaian terbesar bagi setiap individu. Harta, boleh kita cari. Sahabat, tak tentu lagi dalam seribu ada seorang yang boleh kita anggap sebagai sahabat.

Bila ketawa kita ramai kawan, bila menangis tak seorang pun nak ambil tahu. Kata-kata itu ada benarnya. Alhamdulillah, aku telah memiliki ‘harta’ itu. Bukan seorang atau dua, tapi lebih dari itu. Aku bernasib baik. Ke mana saja aku pergi, aku sentiasa dikelilingi dengan kasih sayang. Kasih sayang keluarga, umi, abah, along dan adik tunggalku, Ayuz (Shana). Dalam keluarga, aku dianggap seperti anak bongsu. Kelakar, bukan? Aku berharap semoga harta yang satu ini tidak akan hilang dan sentiasa bersamaku.



Siapa sangka, orang yang pernah menjadi tempat aku cari gaduh ketika di sekolah rendah dulu, pada hari ini menjadi insan yang paling setia bersamaku? Norayshah Tahar(Ayshah). Pada dia aku sandarkan gelaran sahabat sejatiku. Biarlah buruknya aku pada pandangan orang, dia tetap ada bersamaku. Harvinder Kaur Gill(Diya), pernah ada perselisihan antara kami. Pergaduhan itu perlu. Apa juga masalah yang aku hadapi, Harvinder adalah antara orang yang selalu beri semangat kepadaku. Bilangan sahabatku bertambah lagi. Fatimah Sri Anas Putri(Tim) dan Nurjihadah Bahar(Ji). Biarpun usia mereka jauh lebih muda dariku, tapi pemikiran mereka ada kalanya menjangkaui pemikiranku sendiri. Mereka adalah hadiah dan anugerah terindah yang aku miliki ketika di ASK. Diharapkan, ASK juga bukan tempat untuk kami bertiga ucapkan Selamat Tinggal.


Aku tidak bisa melupakan saat-saat manis dan juga segala suka-duka yang ditempuhi bersama-sama. Dengan kalian, aku tidak pernah menangis sendiri. Biarlah orang mentertawakan kegilaan ketika kita bersama-sama. Terima kasih, sahabat-sahabatku. Insya-Allah, aku akan bersama kalian sepertimana kamu sentiasa ada untukku.

Friday, June 13, 2008

Dosti Ki Hai, Nibhani To Padegi…

Tiba-tiba aku teringat hari pertama aku jejak kaki ke ASK. Tak tahu apa alasannya, tapi aku lebih gemar dengan nama ASK (Akademi Seni Kebangsaan) dari ASWARA (Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan). Sepatutnya aku bersyukur kerana ASWARA adalah satu tahap lebih tinggi dari ASK. (ASWARA adalah versi ASK yang dinaikkan taraf sebagai sebuah universiti akademi). Bagi aku, bekas-bekas pelajar dan baki pelajar ASK( pelajar sesi 2005/2006) seumpama ada sesuatu di dalam semangat mereka. Mereka lebih berdikari dan tak melampau jika aku katakan, mereka lebih PANDAI mensyukuri apa yang ada.

Mungkin itu pandangan dari mata seorang pelajar yang belajar dalam 2 zaman, ASK dan ASWARA. Apa yang aku dapat lihat hari ini, ASWARA memang hebat. Dengan kemudahan yang agak dicemburui oleh intitusi lain, mereka terus melangkah tanpa menoleh belakang. Semangat sebegini sememangnya bagus tapi ada juga nilai negatifnya. Bagi aku, secara peribadinya nilai budaya yang ingin diterapkan dalam hati warga ASWARA gagal untuk aku temu. Setakat menjadikan SENI BUDAYA DAN WARISAN sebagai subjek tetapi tidak dihayati…apa gunanya?

BUDI BAHASA BUDAYA KITA. Itu menjadi tunggak orang-orang Asian khususnya bangsa Malaysia (harapan yang terlalu tinggi? Mungkin, aku harapkan bangsa Malaysia akan wujud dan kekal!). Itu juga menjadi asas utama panji KeKKWa dan ASWARA adalah sebagai anak yang SEPATUTNYA membawa slogan ini dengan baik. Tak perlu ada sebarang bisik-bisik yang mengatakan…bagai ketam mengajar anak untuk berjalan. Malangnya, itulah yang aku dengar pada hari ini. Siapa perlu disalahkan? Anak-anak ASWARA atau ibu-bapa ASWARA? Kalau anak diajar dengan menengking, jangan terkejut kalau anak yang sama boleh mengking lebih kuat lagi. (Padang Merbok tu memang sesuai untuk aktiviti macam ni)

Sekarang, aku dan rakan-rakan yang lain terus menghitung hari untuk menamatkan sesi perjuangan di ASWARA. Bagi kami, pelajar FAKULTI PENULISAN, sepanjang di ASWARA merupakan satu tempoh yang penuh dengan dugaan. Kami hanya pemerhati kepada KEMEWAHAN yang dimandikan ASWARA kepada pelajar fakulti-fakulti lain. Paling terbaru, buku PeTA 08. Tak tahu mana silapnya, hanya sebingikis ruangan yang kecil untuk para pelajar fakulti penulisan. Mungkin, kepakaran kami hanya di hujung pena, wajah kami yang setaraf UGLY BETTY dihalimunankan. Bayangkan, kalau penulis-penulis besar tanpa wajah. (Susah, sebab orang-orang yang ada ijazah KIPAS PUNGGUNG ORANG tak akan ada kerja pulak). Terus-terang, isu gambar yang hilang dalam buku PeTA 08 tu langsung tak jadi duri dalam hati kami pelajar penulisan. Namun, apa kata pemerhati luar? Sedang fakulti-fakulti lain, pelajarnya megah berposing dan siap dengan UNCUT PROFILE. Tetapi yang ada pada bahagian penulisan adalah gambar sebatang PEN dan EMPAT PELAJAR dengan PROFILE yang ditapis-tapis serta sinopsis cerita yang jauh tersasar. Sekarang, mana keADILan? Ada, tentu ada. Semua ini adalah dugaan dan pengisian sebuah pengalaman. Hari ini, di ASWARA ini, satu kepahitan yang perlu diingat oleh setiap pelajar penulisan. Satu hari nanti, kami akan kembali. Tapi bukan untuk terus ditindas dan dibuli seperti hari ini.

Bila saja aku keluar dari ASWARA nanti, apa yang aku harapkan generasi dan warga fakulti penulisan juga mempunyai perisai yang mampu mempertahankan jiwa dan semangat mereka. Kita lihat, siapa berjuang mati untuk ilmu yang diperolehi dengan penuh KESENGSARAAN. Bila dihidangkan dengan kemewahan semata-mata, maka mereka perlu diingatkan. Dunia di luar tidak selalunya indah dan manis. Bagi kami, itu sudah biasa sebab kami perolehi kesengsaraan di ASWARA. Itu adalah pengalaman yang tak mungkin dilupakan.

To… dosti ki hai, nibhani to padegi. Hai na?
Luahan hati selalunya ada emosi…renung-renungkanlah.

Thursday, June 12, 2008

ROMIBAIDURI ZAHAR

Romibaiduri, bukan nama yang abah atau umi namakan padaku. Ianya nama yang aku berikan sendiri, sebaik saja aku menjejakkan kaki ke dunia penulisan. Sebelum berjinak-jinak dalam penulisan, jiwaku lebih mesra dengan bidang perundangan. Malah, peguam adalah cita-cita pertama yang aku tulis dalam senarai lima cita-cita sewaktu di sekolah rendah dahulu. Harap Puan Aishah (guru kelas aku di Sekolah Rendah Bandar Baru Selayang tahun 1991), faham dengan tindakan aku menukar haluan. Apabila aku berada dengan golongan peguam dan terlibat secara terus dengan undang-undang itu sendiri, sesuatu dalam diriku berbisik…'ini bukan dunia yang sesuai untuk jiwa kau'. Aku ambil keputusan untuk mengucapkan selamat tinggal. Ya, bukan mudah untuk meninggalkan sesuatu yang didambakan sejak begitu lama. Aku percaya pada kata hati, bagi aku hati tak pernah menipu. Itulah sejarah, bagaimana aku meletakkan diriku dalam penulisan.

Ironinya, penulis adalah cita-cita yang aku catatkan di tempat ke lima dalam senarai itu. Sekurang-kurangnya, aku masih dapat mencapai cita-cita aku. Aku bersyukur, dapat mengubah haluan aku. Melalui penulisan, aku rasa diriku sentiasa ingin berkata-kata. Apa sahaja yang terlintas di depan mata, pasti akan mengundang rasa di dalam hati. Hasilnya, karya-karyaku. Aku minat menulis sejak di bangku sekolah rendah. Tapi, tiada keyakinan untuk memasuki mana-mana pertandingan. Aku dapat kebolehan ini mungkin sekali melalui abah. Bila saja aku terbaca sajak-sajak yang ditulisnya, aku akan rasa kekaguman. Abah, kalau abah teruskan minat abah, tentu abah jadi penulis yang terkenal.

Abah, orang pertama yang akan aku tunjukkan setiap hasil kerjaku. Dari hasil lukisan sehinggalah kerja bertukang. Abah adalah guruku. Seorang lelaki yang sempurna pada mataku (dalam konteks hari ini, ya!). Pernah satu ketika, abah tak suka dengan lukisan yang aku lukis. Mulanya, abah akan memberi satu sesi syarahan tetapi akan diakhiri dengan dia melukis lukisan itu untukku. Jiwa abah penuh dengan kesenian. Sebatang kayu, dia akan ubah dan ukir menjadi ukiran yang paling cantik. Tak aku nafikan, sedikit sebanyak aku terikut-ikut dengan dedikasi abah itu. Hasilnya, kerja projek kemahiran hidup untuk PMR. (Pelajar lelaki pun cemburu).

Pada hari karya aku yang pertama menjengah ke dunia iaitu Peristiwa Malam. Abah antara orang pertama yang memberi komen. “Kenapa kau pilih pemandu teksi dengan pelacur?” Aku hanya senyum. Abah juga yang memberikan persetujuan supaya aku mengekalkan penggunaan nama Romibaiduri, walhal dia sendiri tidak faham sebab aku memilih nama itu.

Friday, June 6, 2008

Hari Pertama : Akhirnya...aku ada blog sendiri!

Hari ini, pertama kali aku berjaya mencuri ruang masa untuk menyempurnakan blog aku sendiri. Sebenarnya, sudah lama berniat cuma tak ada kesempatan. Sibuk dengan tugasan. Biasalah, tugasan pelajar.

Seronok dan pada masa yang sama, aku gementar. Seronok kerana...Insya-Allah, mungkin novel sulungku akan terbit. Akhirnya, kisah yang aku perap selama 5 tahun berjaya mencuri tempat di hati penerbit. Aku masih lagi terasa yang aku sedang bermimpi. Kadang-kadang macam tak percaya pun ada. Mungkin, ini yang dinamakan sebagai berkat kesabaran menunggu.

Gementar? Tentu sekali. Pada 17hb Jun ini aku akan diadili. Projek PeTA aku akan dibincangkan oleh 3 orang penilai yang sememangnya pakar dalam dunia perfileman. Aku harap, aku tak akan gugup dan dapat menyampaikan cerita yang telah ku usahakan dengan sebaik yang mungkin. Kalau tidak, sia-sia saja usaha aku selama 3 tahun di ASWARA. (Aku lebih suka dengan nama ASWARA yang dulu. ASK!)