BILA MELANGKAH KE DEPAN, JANGAN LUPA MENOLEH KE BELAKANG

Tanpa semalam, tidak akan ada hari ini dan tiada juga hari esok.
Semalam dikenang, hari ini merancang dan esok hanya Dia yang tahu.

Orang bijak pandai ada mengatakan ‘tinggalkan semalam dan terus melangkah ke depan.’ Secara peribadi, aku menghormati kata-kata itu tetapi aku mempunyai pandangan yang sedikit berbeza. Tanpa semalam, tidak ada hari ini. Semalam untuk dikenang dan bukan untuk terus ditinggalkan. Bukan pula bermaksud untuk dikenang selalu tetapi sesekali kita perlu menoleh masa lalu. Semalam mencatat pengajaran dan merupakan ‘guru yang terbaik’ untuk membantu kita melangkah di keesokan harinya.

Aku akui, aku bukanlah jenis orang yang merancang masa depan. Malah aku tidak percaya kepada perancangan. Sejak aku di bangku sekolah sehinggalah tamat pengajian di akademi. Aku hidup mengikut peredaran waktu. Bagiku, biar masa menentukan hidup dan bukan aku menentukan masa untuk hidup. Bila seseorang itu terlalu taksub menjadi hamba perancangan masa, dia akan sentiasa terpenjara dan tertekan. Itu adalah pendapat jujur dan ikhlas yang datang dari fikiranku. Mungkin, ada antara kita yang lebih selesa hidup dengan perancangan. Semuanya terpulang kepada pemikiran masing-masing. Dalam soal ini, tiada yang betul atau salah, tidak ada juga yang menang atau kalah.

Hari ini bila aku berdepan dengan diriku sendiri melalui cermin, ingatan kepada zaman kanak-kanak mula ‘bangun’ dari dalam diri. Meronta-ronta untuk keluar. ‘Memori’ zaman kanak-kanak itu ingin hidup untuk seketika. Aku duduk, dan memerhatikan sahaja memori itu menari keluar dari dalam diriku.

‘Boy’ atau Shafiq. Itulah nama zaman kanak-kanak yang sinonim denganku. Kadang-kadang, aku ketawa mengenangkan zaman itu. Perasaan rindu mula menguasai diri. Teringin rasanya untuk aku kembali ke zaman itu dan bermain bersama dengan kawan-kawan. Ketika itu, aku lebih banyak bergaul dengan budak-budak lelaki (Aizuddin, Ariff, Faizal, Azmir, Bob dan beberapa nama lagi yang aku pun dah lupa). Hanya beberapa orang budak perempuan yang sanggup berkawan dengan aku (Ya! Aku ni ganas, bahasa pun kasar…selalu buat mereka menangis). Jika aku digelar sebagai Boy, kawan karibku Zuliana(hubungan kami terputus bila dia berpindah ke Pulau Pinang) pula Tom. Kami berdua seperti pasangan kembar. Aku ‘abang’ dan dia adik. Waktu ko-kurikulum, hanya aku dan Tom saja pelajar perempuan yang menyertai pasukan bola tampar. Aku masih ingat cikgu Kassim membenarkan kami sertai pasukan itu tetapi setakat dalam sekolah saja (tidak boleh sertai perlawanan antara sekolah sebab bilangan untuk pasukan perempuan tak cukup).

Peristiwa lucu yang aku ingat sehingga hari ini ialah kejadian aku bertumbuk dengan dua orang pelajar lelaki di luar sekolah. Sebelum tercetusnya pergaduhan itu, aku sedang menikmati sarapan pagi. Manakala adikku dan kawan-kawanku yang lain sedang bermain getah (permainan yang amat popular di kalangan pelajar perempuan sekolah BBS dulu). Dua orang budak lelaki datang dan menganggu adikku, Ayuz. Macam biasa, Ayuz hanya tahu menjerit dan menangis. Aku pula pantang dengar adik aku menangis. Aku tak sempat menjamah habis makanan dan terus bangun mendapatkan dua budak lelaki itu. Aku ada beritahu kepada kawan-kawanku, aku tak tahu untuk bercakap ‘tidak’ atau ‘jangan’ tetapi tangan aku memang lebih laju dari mulut. Jadi satu penumbuk aku lepaskan ke perut budak tu diikuti dengan tendangan (di tempat yang agak sensitif). Malangnya, cermin mata aku dirampasnya(masa tu aku rabun, cermin mata tebal), dia membalas tumbukan tetapi berjaya dihentikan oleh seorang pemandu bas. Pemandu itu beri amaran kalau kami terus bergaduh, kami bertiga akan dilaporkan kepada guru besar.

Pergaduhan itu tidak tamat di situ. Budak lelaki itu mencabar untuk kami bertarung secara adil. Itupun melalui kelab tae-kwando. Aku sahut cabaran itu (semata-mata ingin menamatkan pergaduhan). Aku sertai kelab itu hanya untuk sebulan. Sebelum perjumpaan tamat, ‘sir’ memilih dua orang pelajar untuk berentap. Budak lelaki itu (bertali pinggang hijau calit biru) menawarkan diri dan mahu aku (bertali pinggang putih) menjadi pasangannya. Sebaik sahaja ‘sir’ beri tanda mula, budak lelaki itu terus menyerang tapi kaki aku lebih cekap, aku menendang dan tepat mengenai perutnya. Budak lelaki itu jatuh, secara tak langsung aku menang. Budak lelaki itu bangun dan berbisik ke telinga aku ‘kau menanglah’. Bagi aku pula, ini bukan soal menang atau kalah tapi soal maruah. Semenjak dari hari itu, tidak ada sesiapa pun berani mengganggu Ayuz. Kalau adapun, pasti ada ‘mata-mata’ yang mengadu pada aku. Keesokan harinya, sebelum aku sempat bertindak, budak-budak yang mengganggu Ayuz akan datang minta maaf.

Hari ini, aku telah banyak berubah. Tidak ada lagi orang memanggil aku Boy atau Shafiq. Satu sahaja yang tidak akan berubah, tangan aku yang lebih laju dari mulut. Sesiapa saja yang rapat dengan aku tahu tentang hal ini. Aku pun tak berapa pasti, bagaimana Boy dan Shafiq hilang dalam diriku begitu saja dan berubah menjadi Shahaini. Jika aku memberitahu tentang sejarah aku di zaman kanak-kanak pasti tidak ada sesiapapun akan percaya. Mereka percaya yang aku ni seorang yang lembut, berjiwa sensitif dan lemah. Sebenarnya, itu yang mereka sangka dan bukan aku yang mereka kenali. Aku juga ingin membetulkan pandangan masyarakat yang menganggap ‘tomboi’ adalah perempuan yang suka dengan kaum sejenis. Pandangan mereka salah, ‘tomboi’ bukan perempuan yang suka perempuan tetapi perempuan yang berkelakuan seperti lelaki dan punya perasaan terhadap lelaki. Seorang ‘tomboi’ boleh berubah dan perubahan itu memerlukan masa. Manusia tidak boleh diberikan tempoh tertentu untuk berubah. Perubahan itu selalunya bergerak mengikut peredaran waktu dan bukan waktu yang jadi penyukat untuk perubahan.

Jika aku tidak menoleh hari semalam, maka banyak perkara yang kelihatan kabur hari ini dan hari esok mungkin akan terus berkubur. Wallahualam.

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku