Tuesday, December 20, 2011

Jangan MUNAFIK : POLITIK BUKAN AGAMAKU!

Sumpah. Aku tak nak perbesarkan mahupun masuk campur hal ini. Umi selalu pesan, abah pun selalu ingatkan, jangan terlalu berani menulis. Takut nanti, tak pasal-pasal aku ke dalam. Masa depan gelap. Aku perempuan, kena jaga kelakuan. Bukan hanya pada bahasa yang sopan, tetapi juga pemikiran. AKUR. Pesan orang tua, jangan diabaikan. Aku masih budak, baru mengenal lenggok dunia. Dunia yang bukan dalam kawalan. Hmmm.

Namun, siapa yang boleh berdiam kalau saban hari ada sahaja unsur negatif menyerang. Tak. Bukan menyerang aku. Penyakit ini, menyerang masyarakat. Masyarakat yang mengalihkan iman. Iman yang disalurkan kepada ketaksuban. POLITIK. AGAMA POLITIK.

Beberapa hari lepas, gempar seluruh laman sosial maya dengan kehadiran video EHSAN: SEMBANG RAKYAT. Berbicara tentang Hudud. Tentang ALLAH. Patung-patung yang dipakaikan watak berbeza dengan lafaznya diatur dan termaktub di dalam skrip. Aku tak mahu berbicara tentang nama-nama parti politik yang diheret sama di dalam video ini. Video yang sangat cantik kualitinya. Tentu mahal. Pembiayaan kos, siapakah yang menanggung? Skrip, siapakah yang merencanakan? Pemilihan pelakon? Mungkin, yang lapar duit sanggup terima bulat-bulat tanpa berfikir panjang.

Aku bukan mahu bicara tentang POLITIK. POLITIK bukan agamaku. Agamaku Islam. Tuhanku Allah. Nabi Muhammad, nabi junjungan. Aku bernafas hari ini, kerana diberikan satu lagi peluang untuk hidup. Hidup untuk dibeli atau memberi? Terpulang. Terserah. Tanyalah iman. Jangan sesekali gadaikan iman kerana wang. Jangan cagarkan Islam kerana POLITIK.

Kali pertama aku tonton video di bawah ni, satu perkara sahaja yang aku bertanya pada diri sendiri. Semoga Allah tetapkan iman dan lindungi aku dari azab kemurkaan-Nya. Sesungguhnya azab-Nya, amatlah hebat.





Pelik dan ajaibnya. Walaupun ada macam-macam jabatan, itu dan ini tetapi pihak berwajib masih tak MAMPU menghalang video menghina ALLAH DAN ISLAM secara terang-terangan ini ditayangkan? Youtube pulak tu!

Sebelum itu, sangat suka untuk aku menganalisa video ini satu demi satu lapisan. Hmm. Okeylah, tak perlu lapisan demi lapisan sebab... bukannya ada yang faham pun.

Pertama; watak-watak ini 'dipakaikan' dan bukanlah orang yang layak berbicara tentang Hukum Hudud. Dangkal. Berkopiah, bermisai dan berjanggut tidak mengesahkan atau bukanlah lesen untuk dia 'mendabik' dada menghina ALLAH. Menghina hukum Allah (HUDUD), sama juga ertinya dengan menghina ALLAH. Terbatal akidah. Nauzubillah.

Keduanya; semua sekadar skrip semata-mata dengan dihiasi KEMPEN 1MALAYSIA; membawa masuk orang-orang beragama lain. Pak Haji bukan menjelaskan keindahan Islam, tetapi menghina dan mengangkat hukum ciptaan manusia lebih hebat. Sesat lebih sesat. Nyata dalam kesesatan.

Ketiga ; motif yang sangat jelas pembikinan video ini. Menjatuhkan apa dan siapa? Tonton dan hayatilah sendiri.

Sebelum meluahkan sesuatu atau melemparkan sesuatu pandangan dan pendapat, pastikan diri itu dipenuhi dengan ilmu. Bukan sekadar membaca dan menggangguk dengan apa yang dikatakan. Apa guna hidup, kalau ilmu tidak dicari.

Aku juga tahu, orang-orang yang menghina hukum ALLAH ini bukan hanya terhad bilangannya dalam video ini tetapi tumbuh merata. Janganlah kerana kekayaan dunia, iman jadi gelap. Janganlah terlalu taksub berpolitik. Di alam barzakh atau di akhirat nanti, Allah tak akan bertanya, apa parti politik kamu? Siapa pemimpin yang kamu ikut?

Malah, yang membantu kita di padang Mahsyar nanti bukan pemimpin politik dunia. Jangan sampai Nabi Muhammad s.a.w tidak kenal kita ini sebagai umatnya. Hanya dia yang mampu membantu kita di sana. Bukan Pak - - - - - atau Pak - - - - -!

Aku cuma mendoakan agar manusia yang membuat dajal ini bertemu dengan kesedaran dan insaf. Tak guna bertegang urat dengan golongan ini. Hanya doakan agar mereka kembali ke jalan Allah dan insaf. Selagi nyawa dikandung badan, pintu taubat terbuka untuk setiap insan memohon keampunan Allah s.w.t. Jangan kita mengeji mereka hari ini, siapa tahu esok dan lusa, kita pula yang tergolong dalam orang-orang di dalam video ini kerana IBLIS dan SYAITAN telah bersumpah untuk terus menyesatkan keturunan Adam. Itulah kita. Tak semestinya yang salah kekal salah, yang betul kekal betul. Berdoalan agar kita sentiasa dikekalkan iman dan sentiasa berjalan di persinggahan ini sebagai orang Islam, bukannya Munafik.

Kepada mereka yang rasanya nak sangat memberikan hujah, perhatikan diri sendiri dulu. Jangan terjah tetapi tak tahu menahu tentang apa itu Hudud. Semoga kita tidak termasuk dalam golongan al-Ruwaibidoh!


Golongan al-Ruwaibidoh


Golongan yang diberi amaran oleh Nabi s.a.w. akan kemunculannya menjelang kiamat. Sabda baginda:

“Sesungguhnya sebelum kedatangan dajjal-dalam riwayat yang lain: sebelum kiamat - adanya tahun-tahun yang penuh tipu daya. Ketika itu didustakan orang yang benar, dianggap benar orang yang dusta, dianggap khianat orang yang amanah, dianggap amanah orang yang khianat, dan bercakap ketika itu al-Ruwaibidoh".

Para sahabat bertanya:
“Siapakah al-Ruwaibidoh?”

Sabda Nabi s.a.w.:
"Orang lekeh yang berbicara mengenai urusan awam (orang ramai).”

Diriwayatkan al-Imam Ahmad, Abu Ya’la, al-Bazzar, Ibnu Majah, al-Kharaiti, dan al-Hakim. Al-Hakim menyatakan ianya sahih dan disetujui oleh Al-Zahabi. Demikian juga Ibn Hajar al-`Asqalani menyebut di dalam Fath al-Bari. Al-Albani di dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah juga menyatakan ianya sahih.

Isi kandungan hadis ini adalah amaran Nabi Muhammad s.a.w, bahawa akan muncul sebelum kiamat golongan manusia yang lekeh dan tidak berkelayakan tetapi bercakap dalam urusan umat yang membabitkan kepentingan umum dan ramai. Natijahnya, terjadinya porak-peranda pemikiran manusia, gawatlah kefahaman mereka dan hancur binaan ilmu yang sebenar. Apabila yang lekeh menjadi pemimpin lalu bercakap dalam urusan umat, yang jahil berlagak alim, yang menghafal sepatah dua ayat berlagak ulama. Yang bukan ulama mengaku ulama, yang hanya ada sepatah dua ilmu agama ditabalkan menjadi ulama. Inilah saat kehancuran.

Justeru itu, al-Imam Ibn Rajab al-Hambali dalam Jami’ al-`Ulum wa al-Hikam ketika menghuraikan hadis tersebut menyatakan:

“Maksud tanda kiamat yang disebut di dalam hadis ini merujuk kepada persoalan apabila urusan diserahkan kepada bukan ahlinya sepertimana yang disebut oleh Nabi Muhammad s.a.w. kepada orang bertanya baginda mengenai kiamat, maka kata baginda, “apabila urusan diserahkan kepada bukan ahlinya maka tunggulah kiamat”.


Bagi aku, yang masih lagi cetek dan terus memburu ke arah kemakrifatullah. Inilah video yang tepat untuk aku fahami lebih dalam tentang hudud. (Sebelum ini kesamaran, tapi Alhamdulillah, sudah jelas). Video ini bukan berpandukan agama POLITIK. Tatkala aku menontonnya, rasa terkupas satu demi satu persoalan. Ditambah pula masalah-masalah kecil yang sengaja ditimbulkan dan boleh diaplikasikan dengan isu yang membarah di Malaysia.

Sangat bersyukur kerana masih ada yang mempunyai kesedaran, memberi dan berkongsi ilmu tentang agama Islam dan kebesaran Allah. Terima kasih kepada pembikin video. Selagi ada yang menontonnya, memahami dan mengamalkan, selagi itulah pahala terus diperolehi.



* Biar tamak pahala, itu saham di akhirat. Sangat berguna. Insya-allah.



Satu yang aku tak faham tentang video ni. Demi Najib, bertakbir Allahu Akbar? Kenapa masa tersebarnya video menghina ALLAH tidak ada pula yang bertakbir. Tak ada pula yang nak ambil tindakan? Tak ada pula yang mengaku PANGLIMA? Ini panglima apa ya? Hmmm. Aku rasa, lebih jujur kalau dilaungkan HIDUP - - - UMNO.



Aku tak nampak perbezaan antara video yang tadi (ludah mahasiswa) dengan yang ini. Ayatnya berlainan tapi aksi sama. Kejujuran terserlah di video ini sebab, yang dilaungkan sangat-sangat jelas, TOM --- MYSPACE. Dan bukannya, TAKBIR ALLAHU AKBAR.

* Agak-agaknya, bila nak disekat video ini dari terus ditayangkan. Kalau tentang copyright, laju saja sekat tetapi tentang Islam, teragak-agak? Tolonglah jangan jadi MUNAFIK dan ajak orang lain tersesat sama. Astaghfirullahalazim.

Wednesday, December 14, 2011

Semakin Islam diinjak, Semakin tinggi Iman dijulang

Agak lama aku tak kemaskini blog. Bukan sebab malas, tapi tak ada masa. Namun, sejak kebelakangan ini, macam-macam isu membuatkan aku terpaksa bersuara. Apa nak jadi, jadilah.


Kebanyakan yang buat angkara ni, orang-orang ASIA yang sibuk nak jadi orang bertamadun macam orang barat (BERTAMADUN?) Orang di Barat pula semakin ingin mengenali Islam dan mencintai Allah dan rasul-Nya (s.a.w).


Di sini, suka untuk aku meluahkan pandangan mengikut ketamadunan yang diadun cantik oleh orang-orang Barat. Yalah, dalam sejarah peradaban dunia pun orang mengikut apa yang dikatakan oleh barat. Tak percaya? Balik rumah, (kalau masih simpan buku teks sejarah) pergi baca balik. Ada zaman batu, zaman logam dan lain-lain lagi sehinggalah ke zaman moden. ITU YANG MANUSIA SEKARANG BANGGA-BANGGAKAN, BETUL TAK?


Jadi, sangatlah suka (tengah ketawa terbahak-bahak ni) untuk aku menggunakan TEORI BARAT ini untuk mereka yang MENGHAMBA DIRI PADA TEORI KEMODENAN (PENYELEWENGAN) BARAT!


Sekarang, kalau bertelanjang dikatakan moden, bertudung dikatakan konservatif. Kalau tak beragama sekalipun, cuba fikir secara rasional (BIJAK). Orang zaman primitif MEMANG tak berbaju. Disebabkan itu, mereka mencari-cari sesuatu untuk menutup badan sebab MALU. Pakaian yang diperbuat dari daun-daun kayu dan kulit binatang digunakan untuk menutup badan. Itu, orang di zaman PRIMITIF. Baju hanya sekadar untuk menutup BADAN dan KEMALUAN. Waktu itu, mereka tidak ada pelajaran. Tanpa pelajaran dan ilmu, maka kuranglah pengetahuan tentang MARUAH! Maruah? Ya, zaman itu tak ada maruah. ZAMAN PRIMITIF TIDAK ADA MARUAH! Zaman sekarang? Hmmm.


Zaman primitif juga, hubungan seksual bukan satu isu besar. Yalah, siapa kisah anak yang dilahirkan ada bapa atau tak? Siapa isteri, siapa suami? Suka-suka hati jalinkan hubungan seks. Perasaan cemburu atau tak, tolak tepi sebab tidak ada hukum yang menunjukkan wanita atau lelaki itu dimiliki atau terikat dalam satu perhubungan. Macam binatanglah. Buat seks tepi jalan, bawah longkang, tepi sungai semuanya dijamin HALAL. Itukan zaman primitif. Ada akal tetapi ilmunya tiada. Anak HARAM atau tak, siapa kisah? Jaga anak atau tidak, siapa peduli? Itulah kehidupan zaman PRIMITIF, teori orang Barat diterima secara BULAT-BULAT oleh kebanyakan umat. Bunuh membunuh tak menjadi hal. Sebab, tak ada undang-undang dan peraturan. Peraturan - dibuat untuk mengatur agar lebih elok dan tersusun. Zaman PRIMITIF tak ada peraturan. Jadi, mereka yang tak ada pedoman ini pun menggunakan akal; mencari apa itu Tuhan, apa itu peraturan dan segala-galanya.


Fikir-fikirkanlah wahai umat Islam yang menolak hukum dan larangan Allah. Apa? Kalian nak kembali bertelanjang? Senang cerita, inilah yang dikatakan zaman sudah terbalik. Dah ada akal, pengetahuan dan ilmu tapi masih terperangkap dengan budaya, PRIMITIF! Siapa yang primitif sekarang? Fikir-fikirkanlah.


Namun, seperti yang aku katakan diawal tadi, semakin Islam diinjak, semakin tinggi Iman dijulang. Melihat kerapuhan umat Islam hari ini, masih ada lagi golongan yang beriman (Insya-allah) dan biarpun bilangannya sedikit tetapi iman ditetapkan. Menangis tidak berguna. Berlawan tak ada makna. Bila semuanya berpakat Islam dihina, Allah diketawa, yang beriman dan percaya pada Allah tetap akan ada. Berdoa dan menyerahkan seluruh kepercayaan terhadapNya dan menanti balasan yang bakal menimpa. Sesungguhnya, janji Allah itu pasti. Tidak ada azab yang besar melainkan azab kemurkaan Allah.


Firman Allah SWT dalam Surah An-Nahl 16: 106, 107, 108, 109:


“Barangsiapa yang kafir kepada Allah sesudah dia beriman (dia mendapat kemurkaan Allah), kecuali orang yang dipaksa kafir padahal hatinya tetap tenang dalam beriman (dia tidak berdosa), akan tetapi orang yang melapangkan dadanya untuk kekafiran, maka kemurkaan Allah menimpanya dan baginya adzab yang besar.


Yang demikian itu disebabkan karena sesungguhnya mereka mencintai kehidupan di dunia lebih dari akhirat, dan bahwasanya Allah tiada memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.


Mereka itulah orang-orang yang hati, pendengaran, dan penglihatannya telah dikunci mati oleh Allah, dan mereka itulah orang-orang yang lalai.


Pastilah bahwa mereka di akhirat nanti adalah orang-orang yang merugi.”


(terjemah QS An-Nahl/ 16: 106, 107, 108, 109).


* Rata-rata yang aku tengok, saudara seIslam pada kad pengenalan ini sebenarnya menghambakan diri kepada TEORI KETAMADUNAN BARAT. Sebab itulah, mereka ini golongan yang paling ramai MAHU KEMBALI KE ZAMAN PRIMITIF. Seks HALAL, DAN BEBAS-AURAT. Itu, belum lagi dibicarakan tentang hukum Hudud. Yang mereka ni tahu, HUDUD KUDUNG KAKI DAN TANGAN. Dengar cakap orang, tak mengkaji dulu, sama juga macam BURUNG KAKAK TUA DIAJAR BERCAKAP. SIANG DIKATA SELAMAT SIANG, MALAM PUN DIKATA SELAMAT SIANG. Alahai burung kakak tua!

Monday, September 5, 2011

Keluarga adalah segalanya!




Lazimnya, setiap kali muncul Hari Raya, aktiviti aku sekeluarga sejurus sahaja selesai solat dan bermaaf-maafan, akan bergeraklah kami ke kedai gambar untuk merakamkan gambar keluarga. Memandangkan tahun ini, bilangan ahli tidak mencukupi, maka kami menangguhkan sesi tersebut ke hari yang lain.

Apa yang seronoknya merakamkan gambar keluarga ini? Entahlah, tapi memang itulah yang dilakukan setiap kali tiba raya. Mungkin moodnya berbeza berbanding hari-hari lain. Tambahan pula, kali ini gambar keluarga ada penambahan ahli. Mierza dan Firdaus.

Jujurnya, bukan senang nak melayan kerenah 9 orang dalam satu-satu masa. Ada yang tak suka senyum, ada yang tak suka bergambar dan ada juga yang perengus. Hah, itu memang perangai budak-budak, Miqhail dan Mierza. Bila seorang dah senyum, seorang lagi bertempiaran lari. Bila seorang dah buat gaya, seorang merengek nak botol susu. Adeih!

Apa-apa pun, sesi yang hampir memakan masa selama 1 jam ini berjaya juga merakam saat-saat menarik. Bak kata orang, sekeping gambar, seribu cerita. Hehehe.


Bermulanya di sini...























Saturday, September 3, 2011

Aku, Bodyguard dan satu hambatan kenangan!

Setelah 4 hari bercuti (sakan), aku kembali ke meja editor bertugas. Memandangkan, mood hari raya masih bertapak, yang kelihatan di skrin komputer hanyalah ketupat, rendang dan juga lemang. Ya, memang aku tak makan lemang tapi tak bermaksud ia tidak dihidangkan di rumah. Hanya aku seorang yang tidak gemar makan lemang. Bukan kerana sombong, tapi setiap kali makan (walaupun sepotong) aku akan pening-pening. Lebih elok, jauhi dari membawa mudarat. Betul tak?

Bagaimana sambutan Aidilfitri kalian? Meriah? Banyak dapat duit raya? Hehehe. Soalan sensitif tu. Mana ada orang tua dapat duit raya? Lalalala...

Aidilfitri kali ini, sambut di rumah sahaja sebab aktiviti menziarah ahli keluarga dan saudara-mara terdekat akan dilakukan hari Sabtu dan Ahad ini sebab menunggu Along dan Ayuz pulang dari rumah mertua masing-masing. Dua hari pun belum tentu dapat habiskan sesi menziarah saudara-mara yang tinggal di sekitar Sentul, Gombak dan Selayang.

Jadi, hari raya pertama dihabiskan di rumah. Seronok juga, dapat melepak depan televisyen. Tetamu pun tak ada sebab semuanya pulang ke kampung. Yang tak seronoknya, rancangan di televisyen ni semuanya dah lapuk. Mana taknya, kata tayang istimewa Aidilfitri tetapi semuanya dah pernah aku tonton. Haish, sangat merugikan melanggan saluran kabel ni.

Menjelang raya ketiga (semalam), Along pun dah pulang ke sini bersama Miqhail dan Mierza. Tak sangka, walau hanya tak jumpa untuk beberapa hari, aku dah teramat rindu pada mereka. Hahaha.

Memandangkan rumah sudah ada serinya, aku ambil keputusan untuk beraya pula bersama kawan-kawan (yang ada di Kuala Lumpur!) Malangnya, semuanya tidak ada di rumah masing-masing (semua balik kampung). Mujurlah ada Harvindar. Jadi, aku pergilah beraya dengan sahabatku ini. Bukan di rumahnya, tetapi beraya di luar. Lebih tepat lagi, Capsquare, Kuala Lumpur.



Seperti biasalah, aktiviti aku di Capsquare ini tak lain hanyalah untuk menonton wayang. Filem yang aku tonton kali ini, Bodyguard. Hehehe. Aku sudah pernah tonton Bodyguard versi Hollywood, Bodyguard versi cina (Jet Li), Bodyguard versi Thailand dan Bodyguard versi Tamil (Vijay). Kali ini, Bodyguard versi Hindi (Salman Khan).

Kami menonton untuk tayangan kedua. Wah, memang padatlah dengan penonton. Sangat-sangat padat. Tak sangka juga, bukan aku seorang sahaja orang Melayu menonton filem Hindi di hari raya, ramai lagi yang datang. Ada yang datang berpasangan dan ada yang datang berkeluarga. Hehehe.

Bodyguard

Versi asal filem ini merupakan dari bahasa Malayalam (aku dah tonton). Versi keduanya, dalam bahasa Tamil (pun aku dah tonton) dan ini versi ketiga. Kenapa aku masih mahu tonton versi ketiga?(tengok kat wayang pulak tu). Satu, sebab pelakon dia Salman Khan dan kedua, ada kisah di sebaliknya.



Kali pertama aku tonton filem ini dalam versi Malayalam. Aku tak berapa nak faham, sebab tertengok di Youtube. Sarikata tidak ada. Bila ada versi kedua dalam bahasa Tamil ada ditayangkan di Astro. Di situlah aku ambil kesempatan menonton Bodyguard lakonan Vijay dan Asin ini. Bolehlah. Plotnya masih longgar. Tetapi, unsur komedi dan romantiknya memang menonjol. Eh, tapi bukan itu yang buatkan aku suka filem ini. Ada kisah di sebaliknya.

Versi ketiga ini, buatkan aku yakin ianya dibikin dengan lebih cantik, khususnya dari plot dan aksi-aksinya. Itu semua dapat dilihat dalam promo yang telah aku tonton sepanjang bulan lepas. Malah, satu lagu yang menghiasi filem ini sangat rapat dengan aku. Teri Meri. Aku datang ke pawagam ini dengan harapan yang agak besar. Supaya duit yang aku belanjakan itu, berbaloi. Ada sesuatu dalam filem ini yang membuatkan aku jatuh cinta dan mahu menonton berkali-kali kerana, ada kisah di sebaliknya.

Alhamdulillah, duit yang aku keluarkan memang berbaloi. Terhibur juga dalam masa 2 jam 20 minit. Dalam 3 versi yang aku tonton, ini yang terbaik. Hadiah dari Siddique, si pengarah filem (dia juga mengarahkan kedua-dua versi sebelum ini).



Bodyguard, Hambatan Kenanganku?

Ada persamaan filem ini dengan satu kisah terpinggir dalam hidup aku. Kalau dalam filem ini, Lovely Singh (Salman Khan) tidak tahu siapa Chaya (Kareena Kapoor), gadis yang mencintainya dan dicintainya menerusi panggilan telefon. Aku pula, pernah ada kisah yang hampir serupa. Yang membezakannya, aku tidak tahu siapakah insan yang berhubung dengan aku. Apa yang aku tahu, dia adalah seorang Bodyguard kepada seorang eksekutif dan orang ternama. Dia adalah Ridz.

Jujurnya, aku sendiri tidak pasti untuk meletakan kisah ini sebagai cinta atau persahabatan. Berkenalan hanya di hujung telefon sejak Ramadhan 2007 dan berakhir sekitar 2009. Sepanjang tempoh itu, dia tahu segala-galanya tentang aku tetapi aku sedikit pun tidak tahu tentang dia. Di awalnya, aku hanya anggap dia sebagai teman bercerita. Satunya sebab dia sering memberi nasihat dan tidak pernah menghukum aku.

Ridz suka membaca. Buku tulisan aku pun pernah dibacanya. Malah, setiap isi kandungan blog ini turut dibacanya. Dia lucu. Sangat lucu. Tahu apa yang aku suka dan apa yang tidak. Kadang-kadang, aku merasakan dia hampir. Begitu hampir dan ada di sekitar aku sahaja. Satunya sebab, dia tahu apa yang aku alami di kuliah, apa pakaian aku, apa yang aku makan dan dengan siapa aku bergaul. Dia juga tahu siapa yang menyusahkan aku dan apa mood aku. Itu yang membuatkan aku bertambah pelik. Pernah aku bertanya kepada dia, bagaimana dia tahu semua itu. Jawabnya, naluri hati. Aku balas, "mustahil"!

Pernah juga aku merisik pada rakan-rakan sekuliah. Mungkin, ada yang sengaja mahu kenakan aku. Maklumlah, di ASK dulu aku ini agak dingin. Belajar buat cara belajar. Tambah pula, hati aku sudah ada pemiliknya (pemilik hati sejak zaman remaja!). Tidak ada alasan untuk aku bergaul sesuka hati dengan pelajar lelaki. Dia pun pernah berpesan pada aku sebelum aku belajar di ASK, pandai-pandai jaga diri dan hati (sangat comel pesanan dia itu). Ya, itulah yang aku buat. Kawal diri dan jaga hati. Cuba tidak buat orang lain salah faham tetapi ada juga yang tersalah faham. Baiklah, itu satu cerita yang lain. Tak perlu diungkit.

Bila aku tanya kepada Ridz, dia hanya ketawa. Aku sangat pasti, dia ada di sekitar aku. Dulu, tidak ada ruangan sosial seperti MukaBuku. Yang ada (dan aku guna) hanyalah Myspace dan Friendster. Tapi, ruangan itu tidak aktif. Cuma ada beberapa informasi ringkas tentang aku dan aku tidak pernah mencatatkan status terkini.

Ridz sangat rajin menghubungi aku, sebaik sahaja selesai dia melaksanakan tugasnya sebagai Bodyguard. Kadang-kadang perbualan antara kami berlarutan sampai 3-4 pagi. Sudah terbiasa sebab aku memang susah nak tidur. Waktu itulah aku isi dengan berkarya dan menyelesaikan tugasan yang diberikan semasa di kuliah. Adanya panggilan dari Ridz, buatkan aku tidaklah berjaga keseorangan. Lama-kelamaan, aku dapat rasakan yang hubungan itu semakin akrab. Sehinggakan satu ketika, dia mahu berjumpa dengan aku. Aku pun setuju. Yalah, apa gunanya bercakap dalam telefon tetapi tidak tahu siapa orangnya?

Malangnya, dia tidak datang seperti yang dijanjikan. Dia mungkir janji. Bukan setakat mungkir janji tetapi terus menghilangkan diri. Dek kerana terbiasa bercakap dengan Ridz, aku rasa agak janggal bila dia tidak lagi menghubungi aku. Hampir 3 bulan juga dia senyap menghilangkan diri sehinggalah di satu hari aku dapat panggilan dari dia. Dia mohon maaf dan mengatakan dia berada di Perak untuk berubat.

Agak terkejut dengan kata-katanya itu. Bila ditanya, di hari yang sepatutnya dia berjumpa dengan aku, berlakunya satu kemalangan. Kemalangan itu membuatkan dia patah kaki. Disebabkan tidak dapat sembuh dalam tempoh 3 bulan, Ridz pulang ke kampung dan terpaksa diberhentikan kerja. Dia khuatir dan segan untuk menghubungi aku. Katanya, dia tak sedia nak berjumpa dengan aku dalam keadaanya yang sebegitu.

Sebenarnya, aku tidak kisah pun apa juga keadaan dia. Persahabatan tidak mengira cacat cela atau apa-apa pun. Jadi, aku faham dengan perasaan yang dia alami itu. Kebetulan ketika itu, aku pula sudah pun habis belajar dan bertugas sebagai wartawan junior. Sekaligus membataskan aku untuk berhubung dengan dia. Tidak, aku tak melarikan diri tetapi aku memang benar-benar sibuk dengan tugasan yang kadang-kadang selesai sampai pukul 1 pagi. Balik ke rumah, letih, mengantuk dan tidur.

Dan di satu hari, aku terima panggilan dia. Katanya, dia minta maaf kerana menganggu aku selama hari ini. Dia juga tidak mahu menyusahkan dengan asyik menelefon dan mengganggu tugasan aku. Aku sempat membalas dan mengatakan, aku cuma sibuk tapi tak bermaksud aku tidak mahu bercakap terus dengan dia. Tetapi dia tekad. Tekad untuk berhenti menghubungi aku. Tekad untuk terus hilang. Dan memang itu dilakukannya.

Sehingga hari ini, aku tidak tahu bagaimana wajahnya. Aku hanya tahu namanya. Berulang kali aku minta dia tunjukkan gambar, tetapi ada saja alasan yang dia beri. Takut aku tak boleh terima dan berhenti menjawab panggilannya sebaik lihat mukanya. Hmmm. Kenapa pula aku harus lari? Kawan tak mengenal rupa. Itu yang aku katakan padanya. Bukankah itu tidak adil? Dia tahu segala-galanya tentang aku. Aku langsung tidak tahu, bagaimana rupa Ridz. Ya, mungkin dia ada di sekitar dan aku tidak dapat mengecam wajahnya.

Jadi, itulah hambatan kenangan yang terpinggir. Satu sahaja yang aku harapkan, melihat wajahnya. Biarpun hanya sekali.

Bodyguard, memang hebat!

Aku tak mahu bercakap banyak. Macam-macam orang kritik filem ini. Satu sahaja yang boleh aku katakan, filem ini harus dilihat dengan dibuka lapisannya satu per satu. Filem ini sangat indah. Bukan senang nak tonton filem aksi yang didukungi dengan emosi dan dalam masa yang sama, percintaan yang sangat rumit tetapi indah. Bagaimana indahnya?





Pasangan bercinta tidak perlu menzahirkan rasa itu dengan melangkaui batas. Rasa itu ada dalam hati, bukan pada mata. Bukan juga pada fizikal. Bak dialog Lovely Singh bila ditanya...

"Kau sangat mencintainya?" Divya (Kareena Kapoor).

"Ya, puan." Lovely Singh (Salman Khan).

"Dia tahu tak? Kau ada gambarnya, tunjukkanlah," Divya.

"Saya tak pernah tengok dia, puan," Lovely Singh.

"Apa? Dan kau sangat mencintai dia?" Divya.

"Ya." Lovely Singh

"Kalau bertemu dia dan kau tak suka?" Divya.

"Suka itu datang dari hati puan, cinta pun datang dari hati, bukan?" Lovely Singh.

Kata-kata yang menusuk. Indah bila dituturkan, hakikatnya... adakah ia wujud di zaman sekarang ini? Hahaha.

Banyak adegan yang aku suka dalam filem ini. Terutama sekali, adegan aksi. Sangat terkesan dengan adegan di dalam disko. Mengingatkan aku adegan Bodyguard from Beijing.






Adegan ini juga. Hmmm. Ada yang dapat merasa peritnya derita Divya? Lovely mencintai Chaya (gadis yang menelefonnya dan gadis itu sebenarnya Divya). Divya mencintai Lovely. Itulah, lainkali jangan pandai-pandai bermain cinta, sudahnya siapa yang terkena jerat? Diri sendiri,bukan?





Tuesday, August 30, 2011

Ku bermohon...

Ada masanya, kehilangan kata-kata untuk melafazkan...

"Ku bermohon maaf darimu"

Tidak tahu mana silapnya, kata-kata menjadi semakin 'mahal' untuk suaraku membelinya. Jadi, aku cuba bermohon kemaafan dari sekalian yang mengenaliku; rapat, hampir mahu pun jauh. Maafkan kekhilafan yang pernah aku lakukan dalam sedar mahupun tidak. Selamat Hari Raya AIDILFITRI. Maaf zahir dan batin.

Rendang Hari Raya

Menjelang hari raya, pastinya ramai yang sedang sibuk membuat persiapan terakhir. Tidak kisahlah, sama ada membeli belah atau pun memasak makanan wajib untuk menyambut hari raya seperti rendang, ketupat, lemang dan dodol. Kalau tentang bab melemang, aku memang tak pandai. Menganyam ketupat pun, GAGAL. Perkara yang paling mudah aku buat dan bolehlah diberikan pengiktirafan sebagai Master, memasak rendang. Rendang daging, ayam, paru... apa juga jenis rendang. Insya-allah, bisa aku selesaikan. Terpulang kepada lidah masing-masing merasa sama ada sedap atau pun tidak.

Menurut kata umi pula, sedap itu hanyalah bonus. Kalau memasak sudah cukup rasa, itu pun lebih dari memadai. Bak kata oranglah, lidah lain-lain. Citarasa pun, lain-lain. Aku suka pedas, ada yang suka kurang pedas. Ada yang suka masin dan yang suka masin, memang ada potensi dapat darah tinggi. Kurang-kurangkan garam dalam masakan ya! Hehehe.

Baiklah, raya Aidilfitri kali ini aku tidak ke mana-mana. Along dan keluarganya pulang ke kampung abang Zamri di Perak. Ayuz pula akan merayakan hari raya pertama sebagai isteri ke rumah mertuanya. Yang tinggal, hanyalah aku. Aku, umi dan abah. Wah, seronok tau! Jadi anak bongsu. Dimanja-manjakan dan memanja-manjakan! Hahaha.

Apa-apa pun, itu bukan alasan untuk aku meninggalkan dapur. Waktu inilah paling sesuai untuk aku menajamkan kemahiran memasak. Sedia untuk lihat masakan rendang ayam dari aku? Hehehe. Kalau nak cuba, pun boleh.

Maaflah ya, tak ingat pula nak ambil gambar bahan-bahannya. Maklumlah, chef lantik sendiri. Ini pun, umi dah pandang pelik. Kenapalah memasak pakai telefon bimbit di tangan? Maaf ya, umi. Dah jadi tabiat! Memasak dan ambil gambar...


Tumis bawang putih, bawang merah, halia, lengkuas dan serai


masukan serbuk ketumbar


masukan cili (kalau cili padi pun sedap!)


taburkan garam, kacau dan tunggulah sampai sebati


masukan santan


ayam


masukan daun limau dan kerisik


masukan daun kunyit


Siap! Hehehe. Apa lagi? Serang!!!

Sunday, August 28, 2011

Manisnya Ramadhan...

Sudah menjadi kebiasaan, tiba sahaja bulan Ramadhan maka banyaklah aktiviti ibadah dilakukan bersama-sama. Lebih indahnya Ramadhan, apabila bulan penuh rahmat ini dihayati.

Alhamdulillah, tahun ini lebih meriah berbanding tahun-tahun sebelumnya. Baik dari sudut kehidupan peribadi, mahupun kehidupan dan rumah kedua aku. Apa lagi kalau bukan pejabat. Ramadhan kali ini dirasakan lebih meriah walaupun di awalnya ada Tsunami kecil yang cuba melanda. Yang penting, semua masalah berjaya ditangani bersama-sama. Secara fizikal dan juga mental. Terima kasih kepada insan-insan yang sudi bersama mengharungi badai perjuangan ini.

Seperti tahun-tahun yang sudah, agenda utama sepanjang bulan Ramadhan adalah berbuka puasa. Tak dinafikan, banyak jemputan berbuka puasa dari sahabat-sahabat dan rakan-rakan diterima tetapi terpaksa ditolak. Bukan sebab aku menyombong, tetapi kerana jarak dan masa yang memisahkan aku untuk berbuka puasa bersama mereka. Aku tahu, mereka sedia maklum dengan situasi aku. Tambah pula, bilangan jenayah yang semakin bertambah di Bandar Tasik Puteri ini. Mahu tak mahu, aku terpaksa akur kepada keadaan. Demi keselamatan.

Majlis Berbuka Puasa dengan Rakan Pejabat, Sg Buloh.

Namun begitu, majlis berbuka puasa yang dianjurkan pejabat memang tidak dapat aku elak. Kalau tak salah, tahun lepas aku sengaja mencadangkan supaya tidak diadakan majlis berbuka puasa bersama-sama atas sebab yang tertentu. Kali ini, tidak ada alasan untuk aku mencadangkan yang sama. Jadi, satu majlis berbuka puasa bersama rakan-rakan sepejabat telah diadakan dengan anggaran kehadiran beberapa muka penting, termasuklah kawan grafik aku, Taufik dan juga beberapa orang lagi wartawan luar.



Bagaikan dimandikan kenangan, lokasi berbuka puasa adalah tempat yang sama pernah kami kunjungi dua tahun lepas. Bezanya kali ini, ahli keluarganya sudah bertukar wajah dan nama. Sepatutnya, meja yang ditempah khas ini penuh dengan bilangan kakitangan pejabat aku berkerja tetapi disebabkan yang lainnya ada masalah, membuatkan aku dan seorang lagi rakan sejawat berjaya menghadirkan diri. Wartawan luar yang aku katakan tadi, terpaksa pulang ke kampung untuk bersama si isteri, Taufik pula ada masalah dengan kereta dan si gadis termuda dalam pejabat, bahagian pemasaran terpaksa melayan kerenah klien yang menahannya sehingga lewat senja. Mustahil untuk dia ke restoran ini pada waktu yang ditetapkan.



Apa-apa pun, majlis berbuka puasa ini tetap meriah. Alhamdulillah. Kenyang.


rakan sekerja terbaru, Rose.

Berbuka Puasa dengan keluarga, Restoran Nelayan Titiwangsa

Saban tahun, inilah destinasi yang paling digemari keluarga aku untuk sekian kalinya. Satu, kerana ia mudah bagi kami semua berkumpul. Dua, sebab masing-masing bebas mengambil juadah. Tiga, suasana di dalam restoran ini sendiri yang agak damai. Damai? Hehehe.



Memang mendamaikan, khususnya apabila restoran ini tidak dipenuhi manusia. Berbeza dengan kali ini, ramai betul orang datang berbuka puasa. Sehinggakan tempat letak kereta penuh. Aku fikirkan, kereta-kereta yang memenuhi tempat parkir adalah kepunyaan pengunjung yang datang untuk melihat permainan lumba kereta mainan. Sangkaan aku meleset kerana bilangan pengunjung semakin bertambah terutama sekali apabila senja mula menghampiri.



Seronok juga lihat telatah orang di tempat yang sesak dan cara mereka apabila hampir masuk waktu berbuka. Aku senyum sahaja melihat telatah mereka yang berjalan dari satu stesen ke stesen yang lain. Kanak-kanak pun pandai membawa diri dan memilih makanan kegemaran masing-masing. Lebih indah lagi melihat reaksi mereka sebaik sahaja azan dialunkan. Di mana juga mereka berada ketika itu, masing-masing pulang ke tempat duduk. Sejuk mata memandang.





Kalau dulu keluarga kami hanya bertujuh, kali ini kami datang bersembilan. Ya, penambahan ahli keluarga kami. Mierza dan Firdaus. Sangat meriah dapat berbuka puasa bersama-sama. Miqhail pula, agak nakal tetapi masih mampu dikawal. Biasalah, budak-budak yang sihat memang nakal. Kalau tak, susah juga. Yang penting, orang dewasa bersamanya harus sentiasa peka dan berwaspada. Sabar dalam melayan kerenah anak-anak. Bukankah kita pun pernah menjadi kanak-kanak dulu? Mungkin, lebih nakal dari anak-anak ini. Jadi, berilah peluang untuk mereka bernakal-nakal. Hehehe.







Selesai berbuka puasa bersama-sama, tiba masa untuk pulang. Alhamdulillah, makanan yang dihidangkan memang sedap-sedap. Tambah pula ada lagu iringan dari Maher Zain, sejuk perut dan telinga mendengarnya. Dek kerana terlalu kenyang, sudahnya aku terlupa di mana tempat aku meletak kereta. Hahaha. Dalam Titiwangsa pun boleh sesat? Lalalala...





* sempat bermesej dengan Sahir menerusi Mukabuku. Katanya, dia pernah datang ke Restoran Nelayan dan berhajat mahu ke sini lagi bila ada rezeki. Mudah-mudahan, ada rezeki si Sahir ke Malaysia lagi!

Friday, August 26, 2011

Tangan dan Mata



Ini lakaran terbaru aku. Dapatkah kalian baca, apa yang ada dalam lakaran ini? Hehehe. Fikir-fikirkan.

Kalaulah mata itu tangan, ia tidak akan hanya memandang dan akan membantu.
Kalau tangan itu mata?
Kalau mata itu hanya sekadar memandang?
Mulut, bagaimana pula?


Wednesday, August 24, 2011

Kabul...



Kadang-kadang, kita mudah memperlekehkan orang tanpa tahu apa yang ada dalam isi hatinya.
Kadang-kadang, apa yang kita lihat dan dengar tidak boleh digunakan untuk menilai orang.
Kata orang,
kalau mahu menilai penulis, lihatlah dari hasil karyanya,
kalau mahu menilai orang seni, lihat dari hasil seninya.

Hari ini,
di tanganku tidak ada kuasa untuk menilai.
aku terpegun dengan satu lagi hasil seninya.
Lukisan yang cukup ringkas tapi memberi makna yang kuat.
Kabul.

"Arranged Romance...
Its all in the eyes...
That all I need you to see...Kabul!"

Romantika yang diaturkan...
Segala-galanya di mata...
Itu yang aku mahu kau lihat... Kabul!

* Lukisan ini dari Salman Khan. Phew, sangat terkesan!

Monday, August 22, 2011

Ayam Tikka Jalfrezi

Hari ini, aku berhajat untuk mencuba masakan dan resepi baru. Makanan yang baru aku tahu dan resepi yang baru aku belajar. Ayam Tikka Jalfrezi. Aku dapat tahu ini pun sebab teman Twitter, Sahir beritahu yang dia berbuka puasa dengan juadah ini. Katanya, masakan ini sedap, pedas dan sedikit bahang. Masakan Pakistan!

Aku pun beria-ia mencari resepi ini di laman sesawang. Alhamdulillah, jumpa. Aku juga rujuk video di Youtube. Sudah cukup bagus, siap tunjuk langkah lengkap, satu per satu! Jadi, aku kongsikan di blog ini. Sesiapa yang rasa ingin mencuba, dipersilakan. Hehehe.

Aku tak boleh nak embed dari youtube, tapi ini capaiannya kalau sesiapa yang nak belajar dengan lebih jelas dan terperinci. Tekan saja di sini ya.


Ayam (kemudiannya di potong)


Bawang Besar, Cili Padi, Halia dan Bawang Putih


Kapsikum


Serbuk kari


serbuk perasa tambahan (ketumbah dikisar halus)


Tomato puri


Bahan-bahan yang telah dipotong-potong


Tumis bawang besar, bawang putih, halia dan cili padi


Masukan serbuk kari, perasa, tomato puri dan garam
(gaulkan sekali kalau nak senang)
Kemudian air dan masukkan ayam.
Tunggu sampai ayam betul-betul masak.



Masukan kapsikum.
Biar rangup jangan sampai lembik!



Inilah dia, juadah berbuka puasa hari ini.
Masakan Pakistan, Ayam Tikka Jalfrezi.


Abah kata, rasanya memang sangat pedas dan bahang. Umi pula kata, ada rasa masam manis. Sahir pula beritahu aku (dia tengok dalam gambar di MukaBuku), rupanya memang ada dan dia pasti, rasanya pun ada persamaan. Apa yang penting, memang licinlah pinggan ni lepas dihidang masa berbuka tadi. Tak sempat membawa ke sahur. Alhamdulillah.

* Dah jenguk-jenguk resepi masakan Barat, ayam parmigiani, ayam parmesan dan ayam paprikash. Hmm. Mana satu nak cuba dulu ya?