Sunday, August 28, 2011

Manisnya Ramadhan...

Sudah menjadi kebiasaan, tiba sahaja bulan Ramadhan maka banyaklah aktiviti ibadah dilakukan bersama-sama. Lebih indahnya Ramadhan, apabila bulan penuh rahmat ini dihayati.

Alhamdulillah, tahun ini lebih meriah berbanding tahun-tahun sebelumnya. Baik dari sudut kehidupan peribadi, mahupun kehidupan dan rumah kedua aku. Apa lagi kalau bukan pejabat. Ramadhan kali ini dirasakan lebih meriah walaupun di awalnya ada Tsunami kecil yang cuba melanda. Yang penting, semua masalah berjaya ditangani bersama-sama. Secara fizikal dan juga mental. Terima kasih kepada insan-insan yang sudi bersama mengharungi badai perjuangan ini.

Seperti tahun-tahun yang sudah, agenda utama sepanjang bulan Ramadhan adalah berbuka puasa. Tak dinafikan, banyak jemputan berbuka puasa dari sahabat-sahabat dan rakan-rakan diterima tetapi terpaksa ditolak. Bukan sebab aku menyombong, tetapi kerana jarak dan masa yang memisahkan aku untuk berbuka puasa bersama mereka. Aku tahu, mereka sedia maklum dengan situasi aku. Tambah pula, bilangan jenayah yang semakin bertambah di Bandar Tasik Puteri ini. Mahu tak mahu, aku terpaksa akur kepada keadaan. Demi keselamatan.

Majlis Berbuka Puasa dengan Rakan Pejabat, Sg Buloh.

Namun begitu, majlis berbuka puasa yang dianjurkan pejabat memang tidak dapat aku elak. Kalau tak salah, tahun lepas aku sengaja mencadangkan supaya tidak diadakan majlis berbuka puasa bersama-sama atas sebab yang tertentu. Kali ini, tidak ada alasan untuk aku mencadangkan yang sama. Jadi, satu majlis berbuka puasa bersama rakan-rakan sepejabat telah diadakan dengan anggaran kehadiran beberapa muka penting, termasuklah kawan grafik aku, Taufik dan juga beberapa orang lagi wartawan luar.



Bagaikan dimandikan kenangan, lokasi berbuka puasa adalah tempat yang sama pernah kami kunjungi dua tahun lepas. Bezanya kali ini, ahli keluarganya sudah bertukar wajah dan nama. Sepatutnya, meja yang ditempah khas ini penuh dengan bilangan kakitangan pejabat aku berkerja tetapi disebabkan yang lainnya ada masalah, membuatkan aku dan seorang lagi rakan sejawat berjaya menghadirkan diri. Wartawan luar yang aku katakan tadi, terpaksa pulang ke kampung untuk bersama si isteri, Taufik pula ada masalah dengan kereta dan si gadis termuda dalam pejabat, bahagian pemasaran terpaksa melayan kerenah klien yang menahannya sehingga lewat senja. Mustahil untuk dia ke restoran ini pada waktu yang ditetapkan.



Apa-apa pun, majlis berbuka puasa ini tetap meriah. Alhamdulillah. Kenyang.


rakan sekerja terbaru, Rose.

Berbuka Puasa dengan keluarga, Restoran Nelayan Titiwangsa

Saban tahun, inilah destinasi yang paling digemari keluarga aku untuk sekian kalinya. Satu, kerana ia mudah bagi kami semua berkumpul. Dua, sebab masing-masing bebas mengambil juadah. Tiga, suasana di dalam restoran ini sendiri yang agak damai. Damai? Hehehe.



Memang mendamaikan, khususnya apabila restoran ini tidak dipenuhi manusia. Berbeza dengan kali ini, ramai betul orang datang berbuka puasa. Sehinggakan tempat letak kereta penuh. Aku fikirkan, kereta-kereta yang memenuhi tempat parkir adalah kepunyaan pengunjung yang datang untuk melihat permainan lumba kereta mainan. Sangkaan aku meleset kerana bilangan pengunjung semakin bertambah terutama sekali apabila senja mula menghampiri.



Seronok juga lihat telatah orang di tempat yang sesak dan cara mereka apabila hampir masuk waktu berbuka. Aku senyum sahaja melihat telatah mereka yang berjalan dari satu stesen ke stesen yang lain. Kanak-kanak pun pandai membawa diri dan memilih makanan kegemaran masing-masing. Lebih indah lagi melihat reaksi mereka sebaik sahaja azan dialunkan. Di mana juga mereka berada ketika itu, masing-masing pulang ke tempat duduk. Sejuk mata memandang.





Kalau dulu keluarga kami hanya bertujuh, kali ini kami datang bersembilan. Ya, penambahan ahli keluarga kami. Mierza dan Firdaus. Sangat meriah dapat berbuka puasa bersama-sama. Miqhail pula, agak nakal tetapi masih mampu dikawal. Biasalah, budak-budak yang sihat memang nakal. Kalau tak, susah juga. Yang penting, orang dewasa bersamanya harus sentiasa peka dan berwaspada. Sabar dalam melayan kerenah anak-anak. Bukankah kita pun pernah menjadi kanak-kanak dulu? Mungkin, lebih nakal dari anak-anak ini. Jadi, berilah peluang untuk mereka bernakal-nakal. Hehehe.







Selesai berbuka puasa bersama-sama, tiba masa untuk pulang. Alhamdulillah, makanan yang dihidangkan memang sedap-sedap. Tambah pula ada lagu iringan dari Maher Zain, sejuk perut dan telinga mendengarnya. Dek kerana terlalu kenyang, sudahnya aku terlupa di mana tempat aku meletak kereta. Hahaha. Dalam Titiwangsa pun boleh sesat? Lalalala...





* sempat bermesej dengan Sahir menerusi Mukabuku. Katanya, dia pernah datang ke Restoran Nelayan dan berhajat mahu ke sini lagi bila ada rezeki. Mudah-mudahan, ada rezeki si Sahir ke Malaysia lagi!