Monday, August 15, 2011

Shahaini itu jujur...?

Sejak beberapa minggu lalu, aku berkenalan dengan seseorang menerusi ruangan laman sosial, Twitter. Sepertimana yang aku selalu katakan, aku lebih ramai kenalan dari luar berbanding orang Malaysia sendiri. Kenapa?

Orang luar tak menilai satu-satu hubungan menerusi ketrampilan. Orang di Malaysia ini, mungkin sebahagiannya, YA! Yang menjuihkan bibir, atau mendedahkan segala gunung dan bukit lebih menarik perhatian. Tapi, adakah itu hubungan yang diasaskan kerana kejujuran atau semata-mata pencuci mata. Dan, adakah penting jumlah bilangan kawan yang melebihi ribuan kalau hubungan perkenalan itu bermula dari situ. Hahaha. Bak kata seseorang, seluar dalam itu letaknya 'dalam' seluar, bukannya di atas kepala! Apa pula maksud kata-kata itu? Ada otak, fikir sendiri ya!

Kenalan di Twitter ini, berasal dari Afghanistan dan sekarang menetap di Manchester. Menurut katanya, dia ingin bermastautin ke Malaysia. Entah benar atau pun tidak, aku pun tak tahu. Tapi, sepanjang aku berbual dengannya, dia seringkali berkata yang benar. Macam yang dia sering kata kepadaku...

"I am a Pathan. Pathan never lies!"

Aku dan dia berkongsi usia. Namun, kalau mahu diukur pengalaman, tentulah kalah pengalaman yang aku ada berbanding dia. Kadang-kadang, kerana pengalaman yang diceritakannya membuatkan aku sangsi, sama ada dia berkata yang betul atau sebaliknya. Hahaha. Sehinggalah satu ketika, dia tangkap gambar passport miliknya dan terus dihantar kepada aku, untuk membuktikan usianya yang sebenar.

Mungkin juga, soalan-soalan yang aku ajukan kepada dia menjengkelkan. Yalah, siapa yang mahu percaya kata-kata orang yang dikenali di laman sosial dengan begitu mudah? Sedangkan yang di depan mata pun boleh menipu, inikan pula orang yang tidak pernah bersua muka? Betul tak?

Berkongsi cerita dengan dia, membuatkan malam-malam aku ceria. Ceria kerana kisah yang diceritakannya tidak pernah aku tahu... wujud! Dalam masa yang sama, membuatkan aku terfikir tentang rapuhnya kehidupan. Nyawa di hujung pistol setiap ketika dan juga, lenyapnya sebuah penempatan di Afghanistan. Alhamdulillah, dia masih selamat.

Kehidupannya di Manchester, jauh lebih baik berbanding di Afghanistan. Dia pernah bekerja pelbagai pekerjaan semata-mata untuk menyara diri. Antara pekerjaan yang pernah dia lakukan termasuklah, tukang masak. Hehehe. Banyak juga resepi yang dia kongsi bersama aku. Tunggu masa untuk aku mencuba sahaja.

Banyak perkara yang kami bualkan, tidak kira masa dan ketika. Aku dan dia terus berhubung. Memang sangat seronok berbual dengan dia. Dia tidak pernah lokek dalam berkongsi pengalamannya dan juga, dia sangat menghiburkan. Pandai melawak dan juga seorang guru yang baik. Guru yang baik?

Selain mengajar resepi masakan, dia turut mengajar aku Bahasa Pashto. Sebagai ganti, Bahasa Melayu aku ajarkan tetapi, dia sering berkata...

"Malay is very hard Shani..."

Oh ya. Dia panggil aku sebagai Shani. Mulanya aku menolak, sebab Shani itu tidak sesuai dengan aku. Lagipun, di Malaysia ini sudah pun ada seorang artis terkenal bernama Shani. Jadi, aku tidak mahu menggunakan nama itu (walaupun masa sekolah dulu, pelajar-pelajar lelaki gelarkan aku Shani...!)

Dia berdegil sebab, katanya Shani itu comel. Dan comel itu.... oh, itu tak payahlah aku ceritakan di sini.

Aku berkeras untuk dia gunakan sahaja nama sebenar aku, Shahaini. Katanya, terlalu panjang dan susah dia mahu mengeja. Disebabkan itulah, aku biarkan saja kalau dia mahu panggil aku Shani. Hehehe.

Satu soalan dari dia yang buatkan aku sedikit terpana, bila dia bertanya sama ada, aku tahu maksud Shahaini. Jujurnya, aku memang tak tahu maksud nama aku sendiri. Aku pernah mencari maksudnya di dalam bahasa Arab tetapi tidak ada. Yang boleh aku katakan, Shah dan Aini. Shah itu raja, dan Aini itu mataku. Digabungkan, jadilah Raja Mata.

Dia tergelak dan terus membalas....

"Shahaini, honesty!"

Mulanya, aku fikir dia mahu kata yang aku ini jujur dan lurus bendul. Tapi, bila aku bertanya kepada dia, apa maksud nama aku...

"Shahaini is honesty. Your name in Pashto is honest..."

Oh, begitukah? Makna Shahaini itu jujur. Hmmm. Jadi, memang benarlah yang dikatakan orang. Nama itu seharusnya mempunyai maksud yang baik supaya, orang yang memakainya mampu menjadi kepada maksud yang diberikan.

Insya-allah, aku akan terus jujur sepertimana aku sebelum ini, hari ini dan selepas ini.

* Terima kasih abah dan umi, kerana memberikan nama aku sebagai Shahaini.