Friday, August 12, 2011

Pakej dari Allah

Seringkali dipertemukan dengan soalan, apa yang amat dikesali dalam diri dan kalau diberikan peluang untuk aku ubah? Setiap kali bertemu dengan soalan ini, aku tidak menjawab terus atau menghakimi orang yang bertanya. Soalan adalah soalan. Soalan memerlukan jawapan. Apa jawapan kalian kalau diberikan soalan ini?

Aku tahu kenapa soalan itu diajukan kepada aku. Zahirnya, sudah jelas kelihatan. Tubuh badan yang besar dan hidung aku yang bulat. Mungkin, itu yang mahu mereka dengar. Gantikan tubuh badan yang comel ini dan juga hidung yang mempunyai bukaan besar. Tak begitu?

Aku juga tahu, itulah soalan-soalan dari jurujaul yang mahu menjual produk mereka. Tidak kisahlah, ia produk kesihatan atau kecantikan, tetapi ayat yang digunakan tetap sama. Apa yang mahu anda ubah pada diri anda?

Malangnya, tidak ada apa-apa yang ingin aku ubah. Jika ia berubah, biarlah ia berubah dengan sendiri. Buat apa menggantikannya? Bukankah berdosa? Tak salah untuk bercantik, tetapi mengubah kejadian Allah, apa pula hukumnya? Suntik di dagu supaya tajam? Suntik di pipi supaya gebu? Apa hukumnya?

Bukan aku mahu menghukum, cuma aku hanya mahu menjaga diri yang sudah berjaya aku jaga sejak 28 tahun dulu. Menjaga diri dari melakukan kesalahan yang amat hakiki seperti, mengubah kejadian Allah. Dan bila aku berkata itu dan ini, semua orang menuduh aku ISLAM ORTODOK! Tanpa mereka sedar, kata-kata itu telah menjatuhkan diri mereka sendiri dengan mengutuk ISLAM.

Baiklah, menjawab kepada soalan tadi (dan aku tahu, ramai yang sering bertanya soalan ini ... bukan setakat jurujual sahaja!) aku selesa begini. Biarpun pernah sekali, seseorang bermata empat pernah menghina tubuh badanku dengan memandang jijik. Aku tak kisah kerana ini pakej yang diberikan Allah. Aku bersyukur kerana ada tubuh ini dan diberikan kudrat untuk berusaha. Mencari rezeki dengan cara yang halal. Insya-allah.

Begitu juga satu soalan yang pernah diajukan kepada aku,

"Kau percaya kepada takdir?"

Aku percaya kepada takdir. Aku juga percaya setiap langkah, setiap tindakan telah ditetapkan jalan ceritanya oleh Allah. Setiap keputusan hidup umpama satu pakej. Ada faedah dan kesan sampingan. Bezanya, sama ada pakej ini dapat dicapai atau tidak! Tak ada sesiapa tahu. Itulah rahsia kehidupan yang bukan aku, atau kalian tahu. Rahsia kehidupan yang bukan juga Tukang Tilik atau Bomoh tahu. Tak ada sesiapa boleh meramal masa depan ya! Hahaha. Jangan mudah terpedaya.

* Jangan pula ambil kesempatan menyalahkan takdir. "Aku jadi perogol kerana dah takdir." Itu bangang namanya, bukan takdir. Bukankah manusia diberikan pilihan dan kuasa untuk memilih? Fikir-fikirkan sendiri.