Friday, April 29, 2011

Bunuh Diri...!

Perkara yang paling mengecewakan seorang penulis apabila karyanya disalahertikan. Bila kalian jadi seorang penulis, barulah kalian mengerti. Takkanlah nak menulis dengan ayat nyata, jelas dan tepat. Mana perginya daya pemikiran kreatif kalau macam itu gaya penulisannya? Niat sebenar yang ada dalam karya, dipandu ke arah lain. Sakit tak hati kalian kalau orang perlekehkan karya kalian sampai begitu rupa? Bingai ke apa?
(*bingai = tidak tertera dalam Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka)

Aku tak suka ambil contoh karya orang lain, tapi cukuplah aku rujuk kes berkenaan karya '1 Malaysia' yang bikin panas 1 Malaysia huru-hara seketika. Aku bukan nak membela diri dengan menumpang kisah yang sama. Kisah aku berlainan. Langsung tidak melibatkan Malaysia, apatah lagi '1 Malaysia'. Kisah aku agak memualkan kalau mahu disamakan dengan kisah itu. Satu sahaja persamaan yang boleh aku nyatakan di sini, bagaimana para pembaca memesongkan niat karya yang ditulis penulis.

Siapa yang harus dipersalahkan?
Penulis atau pembaca?
Salahkah kalau penulis menggunakan ambiguiti?
Atau inilah bahana dan natijah orang-orang yang tidak peka dengan bacaan mereka?
Baca selapis, terus menghentam. Patutkah begitu?

Tak pernah aku menyangka, niat aku menulis dengan setulusnya disalahertikan. Kecewa? Tak payah cakaplah tentang kecewa. Entahlah. Mungkin si pembaca itu yang terlalu 'dewa' sampai boleh menuduh aku begitu. Aku benci sangat bila orang yang faham dan hidup dengan bahasa Melayu sewenang-wenang menuduh aku dengan perkataan-perkataan yang hina. Ini kali kedua. Aku diam kerana disuruh diam. Tapi, kalau dia yang salah tafsir niat karya aku, apa boleh aku buat? Nak biarkan saja karya aku dibunuh?

Kepada saudara yang seangkatan dengan 'dewa', aku tahu kau sedang di atas awan ke 9, kebahagiaan akan segera kau takluk bila-bila masa saja. Ya. Tapi, apa hak kau tuduh aku itu dan ini? Karya aku kau jadikan senjata untuk membunuh diri aku sendiri? Apa hak kau?

Ya. Aku akan terus berdiam. Berdiam kerana janji yang telah dilafazkan. Demi mereka, aku berdiam. Aku tahu, diri ini tidak memegang apa-apa jawatan yang tinggi dalam komuniti bangsa-bangsa manusia yang bongkak lagi sombong. Aku hanyalah manusia yang dipinjamkan sedikit kebolehan dalam menulis. Itu yang aku buat. Aku tak pandai menggoda. Aku tak pandai jual diri. Lebih teruk lagi, aku tak tahu jual karya. Mungkin disebabkan itu, karya aku masih tersimpan cantik dalam USB!

Karya aku sebahagian dari jiwa. Setiap perkataan adalah lukisan peristiwa yang dipertontonkan dunia. Tidak semestinya ia tentang aku atau orang di sekeliling aku. Boleh jadi, si pengutip botol-botol kosong tepi jalan. Ya. Kalau tidak, mana aku dapat watak Salman si pengutip botol dalam Rindu Pada Matahari? Itu pemerhatian digabungkan bersama daya imaginasi. Faham apa itu PEMERHATIAN dan IMAGINASI? Ada yang menempelak aku, kononnya karya yang dihasilkan adalah diri aku. TOLONGLAH! Jangan buat andaian kurang matang.

Pernahkah kau baca karya aku sehingga boleh menuduh sedemikian rupa? Kalau begitu, adakah aku si Isabell dalam Rindu Pada Matahari? Budak perempuan yang keterlanjuran dan cenderung untuk membunuh diri. Sekali lagi, aku tegaskan di sini. PEMERHATIAN dan IMAGINASI. Aku juga bukan Shazia dalam Ada Yang Lain? Walaupun bidang kerja aku dan Shazia sama (editor), tapi kisahnya tidak pernah terjadi dalam hidup aku. Aku tidak pernah ada hubungan perasaan kasih sayang terhadap lelaki berstatus Suami Orang. Bukankah itu perbezaan yang amat ketara dengan Shazia?

Aduh. Singkat. Singkat sangatlah pemikiran kalau begitu. Buatkan aku semakin bosan dan lelah untuk berkarya. Aku tidak pernah takut untuk berkarya tetapi orang macam kau, membunuh seorang penulis seperti aku. Sudahlah kau tuduh aku begitu dan sekarang begini. Apa yang kau mahu pun aku tak tahu? Atau, adakah kau puas dan lega kalau aku terus berhenti menulis?

Hah! Jangan berangan. Aku tidak akan berhenti hanya kerana manusia berlagak dewa dewi seperti kau. Aku akan terus menulis. Apa juga yang aku mahu tulis, akan aku tulis. Kau tidak akan sesekali dapat melemahkan matlamat aku. Niat aku adalah satu, dan niat itu biar aku sahaja yang tahu. Selagi ada daya aku menulis, aku akan terus menulis. Insya-allah.

* Buat sementara waktu, akaun mukabuku (Facebook) Romibaiduri Zahar akan dinyah-aktifkan bermula hari ini. Insya-allah, Romibaiduri Zahar akan kembali aktif setelah usai segala kekusutan. Kalau masih mahu berhubung dengan Romibaiduri Zahar, jenguk sahaja ke ruangan Aku dan Si Burung Biru (Twitter) - Shahaini Zahar.




Romibaiduri Zahar
'direhatkan' sementara waktu



Shahaini Zahar
setia di Burung Biru (Twitter)