Wednesday, July 22, 2009

Padan Muka Aku!

Jumpa doktor. Dua kali dalam minggu ini. Semalam, konon-kononnya kebal sangat. Minta diberi suntikan saja. Tak mahu ubat sebab yakin sangat, suntikan lebih mujarab. Selesai jumpa doktor, gagahkan diri balik ke pejabat. Banyak kerja nak buat. Temujanji perlu diberesi secepat mungkin. Keadaan telinga, masih boleh tahan. Suam-suam kuku. Semalam, sebelum jumpa doktor, aku sempat balik rumah. Umi dan abah bengang juga (tahap dewa...!!!), buat apa masuk pejabat sedangkan telinga masih tak sihat. Aku dengan penuh bongkak cakap...

"Sekejap je, nanti eloklah. Lagipun kerja kat pejabat tu banyak,"

Abah dan umi merelakan aku pergi. Ya, aku sampai pejabat dalam pukul 12.45 tengah hari. Hampir masuk waktu rehat. Tak apa, yang penting niat aku betul. Sempat terima panggilan dari sahabatku Ayshah. Macam biasa, aku tak boleh tak jawab.... (walau dalam hakikatnya telinga aku sensitif terima frekuensi bunyi yang terus menusuk ke gegendang). Macam biasa juga, dia sempat melawak, (tak perlulah tahu ya.... rahsia... ahakz). Masa inilah telinga aku menjadi-jadi sakitnya, tapi aku berlagak macho. Tak nak simpati orang. Kalau sakit pun orang tak akan faham sebab orang lain tak merasa sakit telinga macam aku ni. Tepat pukul 1... aku masuk bilik (surau), lepaskan sakit dan tidur. Alhamdulillah, sakit aku reda dan aku kembali ke meja, sambung tugasan.

Seperti yang aku katakan, orang lain tak akan faham jenis sakit aku ini sebab aku sendiri tak faham kenapa telinga aku seringkali diserang virus. Apa juga anggapan orang terhadap aku, aku pijak saja ke tepi. Aku yang sakit, bukan kau. Sepanjang-panjang pagi aku menahan sakit, aku cuba senyum... nak lupakan makhluk yang menumpang hidup sekaki di lubang telinga aku. Kalau sesiapa yang rapat dan memang kenal aku, tahu yang aku tak suka tunjuk sakit. Tapi mereka masih boleh cam, yang aku sedang menahan sakit. Itu yang membuatkan aku rindu dengan sahabat-sahabat aku. Tak perlu cakap, mereka dah faham. Bila dah sakit, peratusan untuk naik angin memanglah cepat.

Satu -
tengah tahan sakit, berusaha menahan sakit. Kau faham-faham sajalah macam mana keadaannya bila kau menahan sakit.
Kedua -
Kerja yang serabut, otak aku pun buntu. Macam yang aku selalu cakap 'otak aku tak center' maksudnya bukan setakat pemikiran dan akal aku yang tak betul, emosi aku pun begitu.


Jadi, bila sekali jentik saja... aku terus melenting. Namun, Alhamdulillah. Aku berjaya kawal diri. Kalau ikutkan angin, dan emosi yang tak ketentuan, mahu jadi langsuir aku semalam. Walaupun aku tahu, kemarahan seseorang itu bukan dipaksikan atas nama aku, tapi yang mendengarnya aku. Telinga aku dahlah nak expired, emosi aku lagilah bergoyang. Jadi, memang macam peluru berpandu saja hati. Tapi, seperti aku katakan. Alhamdulillah, aku dapat kawal diri. Aku pernah ingatkan diri aku berulangkali. Malah setiap kali aku melangkah keluar dari rumah. Aku keluar untuk cari rezeki. Perasaan dan emosi perlu aku kawal, kerana aku tahu bila-bila saja aku marah, aku akan jadi monster (bak kata Ayuz), mulut aku lebih tajam pada hujung pedang, dan muka aku lebih huduh dari segala yang huduh di muka bumi ni. Jadi, itu yang aku selalu pesan pada hati.

"Jangan mudah sangat makan apa-apa yang orang katakan... baik atau buruk jangan terus telan, kunyah habis-habis, baru nilai... sedap atau tak!"

Dipendekkan cerita yang dah pun panjang. Aku balik ke rumah. Sampai di rumah, macam biasa umi dan abah tanya sama ada aku ok atau pun tidak. Aku angguk saja. Malam, dapat panggilan dari Ayshah dan sms dari Harvinder. Maaflah buat dua-dua sahabatku ini. Bukan aku tak mahu jawab tapi tahap kesihatan telinga aku berada dalam tahap kritikal. Aku sukar mendengar, kepala pun pening, suhu badan tak menentu, sekejap panas... sekejap sejuk. Nasib baik kamu berdua sahaja (antara yang banyak-banyak tahu aku sakit telinga semalam) yang betul-betul menghormati keadaanku dan emosi aku. Ya, keterbatasan itu hanya setakat perbualan, tetapi dengan teknologi (yang konon-kononnya tinggi tahap dewa) kita berhubung juga melalui sms dan YM. Terima kasih atas nasihat kalian (tapi kalian pun tahu, aku sudah tidak percayakan ubat!).

Bahana sakit telinga merebak ke hari ini. Aku tak mampu bergerak. Badan pun panas (kena jangkitan influenza H1N1 ke? Tak mungkin!!!) Masuk ke bilik air, ada darah yang keluar dan meleleh. Ya Allah. Mungkin ini sebab yang Kau beri padaku agar aku merehatkan diri seketika. Aku capai telefon bimbit, sms pada majikanku. Sempat juga aku ingatkan pada dia tentang temujanji esok hari. Aku rehat dan berbaring semula sebelah Miqhail yang masih tidur lena.

Tengah hari, bila aku yakin dah boleh memandu, aku ajak umi temankan aku ke klinik. Kali ini aku tunduk. Aku minta ubat pada doktor.

"Ini kali kedua awak sakit telinga dalam masa 2 bulan," ujar doktor.
Aku angguk saja. Sakit telinga amat, seakan-akan ada binatang berkuku tajam sedang berjalan-jalan dalam rongga telingaku.

"Doktor, kenapa saya saja yang selalu kena jangkitan di telinga... bukan sekali dua kali. Saya rasa dah setiap bulan macam wajib aje kena jangkitan. Sakit sangat, tak tahan saya dibuatnya," aku mengadu sebab memang dah tak tahan sakit.

Sejak dua hari lepas juga aku tak lalu makan sebab tak boleh mengunyah. Sakit... sakit sangat.

"Awak mandi lama sangat agaknya, itu yang lubang telinga awak lembap, mudah virus masuk dan membiak," ujar doktor itu buat andaian.

"Sepuluh minit dalam bilik air, mandi. Normal la tu doktor," balasku, sebenarnya tidak puas hati.

"Agaknya, awak banyak sangat dengar gosip-gosip jahat ni... kurang-kurangkanlah dengar benda yang tak berkenaan," kata doktor itu pula.

"Hanguit hang!" aku tak cakap kuat, sekadar dalam hati saja. Masih ada hormat pada doktor yang bukan dewa di depanku.

"Saya tak bergosip, orang lain bergosip, mengumpat... tak pulak sakit telinga ya doktor," balas aku.

Doktor diam dan ketawa kecil. Apa dia ingat aku suka lawak sebegitu. Aku tanya sebab aku betul-betul nak tahu. Kalau aku nak dengar orang buat lawak, pandai-pandailah aku pergi wayang tengok filem Melayu kat pawagam. Semua genre pun nampak lawak. Seram, romantik, aksi... semuanya lawak saja! Sekarang, kalian faham kenapa aku benci pergi klinik atau hospital setiap kali aku sakit? Ya! Sebab doktor-doktor beginilah yang membuatkan aku rasa bangang setiap kali menatap muka mereka. Seksa... bertambah-tambah sakit aku dibuatnya!

Sekarang ini, aku melanguk depan komputer riba, selak-selak apa yang perlu dan gatal tangan nak mengisi blog aku ni. Aku harap, telinga aku (dalam masa yang sama... otak dan emosi) akan kembali tenang dan normal seperti sedia kala. Insya-Allah.