10 Saat yang panjang, Allahu Akhbar!


1 … Allahu Akhbar!
2… Alhamdulillah, aku masih bernyawa!
3… Insaf dan sedar, lunaskan tanggungjawab atas diriku dengan peluang kali kedua yang diberi olehMu.


Semalam, sepanjang hari di pejabat… aku tiada masa untuk bersantai walau untuk seminit dua. Sejak bekerja di tempat baru, aku berubah menjadi seorang insan yang boleh dikategorikan sebagai penagih kerja! Sampai saja pejabat, fokusku seakan tak dapat beralih dari tuntutan tugas. Aku mahu yang terbaik. Bukan hanya sekadar terbaik dari kualiti kerjaku tetapi kepuasan diri juga. Mungkin situasi pejabat yang mendorong aku berubah. Beban tanggungjawab yang dipikul bukan sesuatu yang boleh dianggap remeh. Tugas sebagai editor membuat aku berubah seluruhnya. Kalau dulu, ketika bertugas sebagai wartawan aku lebih banyak bermain, tetapi kali ini aku lebih suka mencabar kemampuanku sendiri. Tak boleh duduk diam. Ada masa lapang, pasti aku cari jalan untuk buat sesuatu. Sehinggakan waktu rehat adakalanya aku tinggalkan dan makan bila-bila ku rasa perlu, sambil-sambil buat kerja. Ya! Aku benar-benar berubah.

Mungkin juga disebabkan rakan kerja yang memacu aku untuk terus beri tumpuan. Ditambah pula dengan majikan yang mementingkan kualiti dan dalam masa yang sama memang ambil berat tentang kebajikan pekerja. Tiga tempat sudah aku sumbangkan tenaga, di sini baru aku dapat merasa peluang untuk bercakap dan keutamaan pada pekerja. Alhamdulillah. Mungkin disebabkan hal ini, aku lebih suka habiskan masa dengan buat tugasan. Kurangkan aktiviti melepak sambil YM dengan kawan-kawan dan aku pernah dimaki oleh seorang kawan. Katanya, aku tak patut buat dia buat panggilan berkali-kali tapi aku jawab dengan beri alasan ‘maaf, akak sibuk sangat ni’. Malah perubahan pada diri aku ini dapat dihidu oleh Along. Memang dia tidak pernah lepas pandang tentang perubahan aku. Dia orang pertama yang tahu segala-galanya. Tanpa perlu aku cakap.


“Kau dah jadi workaholic sekarang ni ya? Siang sibuk kerja pejabat, balik rumah buat novellah…, skriplah. Cukup tidur tak?” soal Along ketika aku bertugas menghantar dan menjemputnya semasa ketiadaan abang Zamri.

“Tanggungjawab manusia bertambah dengan pertambahan usia agaknya,” ujarku dalam tawa.

“Tanggungjawab tak akan habis, ada masa rehat Izan. Jangan paksa diri,” nasihat Along.

“Masa muda inilah kita kena cari rezeki. Selagi kudrat ada, apa aje yang aku boleh buat, aku buat. Aku tak nak lepaskan apa-apa pun sekarang,” jawabku.

“Kau kena fikir kesihatan kau jugak! Masa muda memang tak ada apa-apa kesan. Tua nanti, kau menanggung sendiri,” balas Along.

‘Itu pun kalau aku sempat tua,’ bisik aku sendiri.


Kadang-kadang, apa yang kita kata, apa juga yang kita ucapkan itu umpama satu doa. Sebelum ini, aku pun sering kata pada sesiapa saja, aku ada impian. Impian aku adalah… ‘biar apa pun yang terjadi, aku nak mati sebelum keluarga aku yang lain. Aku mahu rasmikan kematian pertama dalam keluarga Zahar. Bunyinya tak masuk akal, tapi itulah hakikatnya. Memang itu yang aku mahu. Malah dalam doa pun aku bercakap kepada Allah, kalau kau nak tarik keluar nyawa keluargaku, kau mulakanlah dari nyawaku! Kenapa? Sebab aku tak sanggup menangisi kematian sesiapa sebab aku pasti kalau aku mati sekalipun tentu tidak dirasai sangat. Harvinder pernah kata yang permintaan aku tu lebih kepada pentingkan diri sendiri. Ya! Memang aku pentingkan diri sendiri. Memang aku nak mati dulu. Itu doa aku. Tak ada siapa berhak halang.

Semalam aku pulang lewat. Aku pulang lewat bukan sebab menyundal! Aku balik lambat sebab menunaikan tanggungjawab aku terhadap tugasku. Kalau diikutkan hati, tepat pukul 6.30 petang, aku mahu saja tolak kerusi masuk ke dalam meja dan ucap bye kepada semua tugasanku yang tidak akan habis-habis. Namun, aku memikirkan tentang tanggungjawab. Biar pun majikan suruh atau halau aku balik, kalau kerja aku tak habis dan aku rasa perlu untuk aku habiskan. Aku akan sudahkan! Aku akan tangguhkan pula kerja menulis aku di rumah. Aku akan selesaikan dan sambung mana yang mampu sebaik saja pulang ke rumah. Aku tidak kisah tidur pukul 4 pagi atau tidak tidur sehari suntuk. Itu sudah biasa bagiku. Aku pernah tidak tidur lima hari berturut-turut, semata-mata nak habiskan kerja penulisanku. Tanggungjawab aku bukan sekadar pada diri aku. Tetapi merangkumi semua yang ada di sekelilingku. Bagi aku, Allah sudah jadikan kita sebagai khalifah di dunia untuk bertanggungjawab ke atas diri, keluarga, bangsa, negara dan yang paling utama agama.

Aku keluar dari pejabat sambil ditemani rakan sekerja, Rizman. Salah seorang rakan baru yang aku namakan sebagai hikmah terindah dalam hidupku. Aku tahu, dia maklum akan kenyataan itu sebab aku pernah beritahu padanya awal-awal perkenalan kami. Pada dia, aku bertemu dengan seseorang yang sentiasa sedia memberi nasihat dan pengetahuan yang mana tidak pernah aku perolehi dari sesiapa sebelum ini. Selama hari ini, aku sentiasa menasihat, memujuk dan mendengar segala-gala luahan orang. Pertama kali dalam hidup, aku ditemukan dengan orang yang buat begitu pula pada aku. Jadi, aku berani katakan di sini sekali lagi dan berulang-ulang kali yang dia adalah antara hikmah terindah dalam hidupku. Kami berdua pulang pada masa yang sama. Masing-masing pulang dengan kenderaan masing-masing. Bezanya, setiap kali keluar bersama, dia akan bertolak meninggalkan kawasan pejabat lebih awal berbanding aku yang terkedek-kedek mendapatkan Romi.

Semalam seperti hari-hari sebelumnya, aku terpaksa mengundur Romi dengan lebih berhati-hati. Maklumlah, van merah hati Old Town dan kereta Iswara menghalang kelancaran Romi untuk bergerak. Setelah yakin yang punggung Romi tidak akan berlanggar dengan badan Iswara dan muncung depan Romi tidak mencium punggung van Old Town, ku pandu Romi laju mendaki bukit yang agak condong. Di sini, setiap kereta perlu lebih berhati-hati, sebab tidak dapat lihat kenderaan yang datang dari arah hadapan. Aku pula dengan mata yang agak-agak semakin sepet dan mengecil, terus juga memandu. Tak nak kena bebelan bila balik ke rumah nanti. Aku ikut saja rentak kereta Kembara hijau di hadapanku. Aku menguap berulang-kali. Mengantuk. Aku menguatkan lagu nyanyian Beyonce, Halo. Ingatan aku terbang teringatkan seseorang. Aku harap dia selamat, mana juga dia berada.

Tiba-tiba pandangan mataku ditikam dengan cahaya terang. Silaunya benar-benar menyakitkan mata. Sebuah kereta dari arah bertentangan datang laju ke arahku. Badan, kaki dan tangan aku terkaku. Tak boleh bergerak sebab terkejut melihat kereta itu yang menerpa laju di depan Romi.


“Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!” laung aku dalam kereta sekuat-kuatnya.


Tangan aku yang kebas spontan memusing stereng kereta ke kanan dan kaki yang berat tadi pantas memijak pedal brek dan clutch. Aku dapat dengar bunyi tayar kereta aku dan badan Romi memeper ke bahu jalan. Aku dapat rasakan hentakan di bahagian pipi Romi. Aku berhenti bernafas seketika. Mataku pantas melihat cermin pandang belakang dan cuba mengecam kereta yang seakan bayangan malaikat maut yang merempuh dan dahagakan nyawaku. Kereta Proton Wira! Malangnya, aku tidak sempat menyalin nombor platnya. Aku tarik nafas perlahan-lahan. Keluar dari kereta dan kuperhatikan keadaan Romi. Baik. Alhamdulillah. Allahu akbar! Semua atas kehendaknya. Aku terselamat dan kereta kesayanganku cedera ringan. Cat dibadannya sedikit tercarik! Air mata mula membasahi pipi. Aku syukur, aku masih hidup.

Dalam tikaman cahaya yang tajam itu, aku nampak bayang Umi, abah, along dan ayuz. Seakan detik itu adalah detik terakhir dan aku tidak berpeluang untuk bertemu mereka untuk kali akhir. Allahu akbar. Kerana Dia, aku masih mampu bertemu dengan mereka. Alhamdulillah, sepuluh saat yang ku habiskan untuk meyakinkan diri, Romi tidak akan mencederakan kenderaan lain di kotak parkir telah menyelamatkan kedua-dua aku dan Romi. Kalaulah kereta Iswara tiada di situ, van merah hati tidak menghalangku, tentu aku sudah tidak ada di sini. Sepuluh saat yang singkat itu memanjangkan usiaku. Mungkin tanpa sepuluh saat itu, aku akan diratapi ketika ini.

Jikalau aku dibawa menghadap Illahi semalam, seribu satu rahsia akan terus kekal bersama-samaku. Ya! Terlalu banyak rahsia yang aku sembunyikan dari pengetahuan semua orang termasuklah keluargaku sendiri. Hanya Allah tahu segala-galanya tentang aku. Aku tidak suka memberitahu kerana penat untuk membuktikan pada semua orang kebenaran tentang diriku. Adakalanya, kejujuran diri disalaherti. Kau, kau dan kau… tak ada sesiapa tahu rahsiaku. Keadaan membuatkan aku tidak percaya sesiapa dan memendam saja, hati, perasaan dan segala-galanya dalam hati. Apa saja yang aku kongsi dengan kamu semua, hanya sebahagian yang aku rela kongsi bersama-sama. Selebihnya, Allah saja tahu, yang sebenar-benar aku. Hanya Allah tahu. Aku juga pasti, kematian aku tidak mengundang sebarang misteri kerana tidak akan ada sesiapa yang ingin ambil tahu. Jadi, selagi aku masih hidup, rahsia itu akan terus kekal. Tidak akan ada sesiapa yang akan mengetahuinya. Hidup aku memang seperti buku yang terbuka tetapi pengisian hidupku, semuanya hanya Allah tahu. Cinta, sayang, buruk, baik dan suka-duka… hanya Allah tahu.


* Aku pernah mengalami kejadian yang sama beberapa tahun lepas. Ketika itu aku masih menuntut di ASWARA. Orang pertama yang aku beritahu adalah Along. Memang dia saja yang berani aku hubungi sebab aku tahu, Along tak cepat gelabah dan tak akan marah aku kalau apa-apa yang terjadi. Kemudian, dia suruh aku tenang fikiran dan ingat Allah. Barulah aku teruskan perjalanan. Beza kejadian semalam dan peristiwa yang berlaku beberapa tahun lepas, aku ada Fatimah. Orang pertama yang terus datang kepada aku dan tanya...


"Kau ok kak Shai?"


Dan semalam, kosong. Aku rasa seorang sebab aku perlu tunjukkan aku kuat.

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku