Rindu Di Hati…


Kalau tengok tajuk, tentu ramai yang dah tahu rindu yang aku maksudkan. Masuk bulan 7, genap setahun aku bergelar bekas pelajar ASK/ASWARA. Dalam masa setahun ini, macam-macam juga aku telah lalui. Awal dulu, memang susah juga nak sesuaikan diri yang aku bukan lagi pelajar dan tidak ada lagi mereka-mereka yang berkongsi minat dan jiwa yang sama. Lama-kelamaan rasa itu hilang dan tiba-tiba ia muncul semula.

Kenangan lalu semakin menghambat. Rindu aku amat kuat pada rutin harian dan semestinya menghabiskan masa bersama enam orang lagi insan yang semestinya satu aliran dan juga minat yang sama. Viva El Divo tetap di hati. Biarlah ada masanya taufan Katrina melanda tetapi hubungan persahabatan nyata lebih hebat menangkis anasir busuk yang bisa merobohkan hubungan suci murni ini.




Hari ini, perasaan rinduku amat kuat. Terasa-rasa bagai semalam semuanya berlaku. Melihat telatah Roy dan Airul yang tak sudah-sudah buat kami yang lain ketawa. Terutamanya Roy, mana bisa aku lupa gaya mimiknya, meniru pensyarah kami… dan Airul pula dengan lawak ratapan anak tirinya. Fatimah pula dengan pemikirannya tapi kegilaannya menyamai tahap kegilaanku. Beza umur saja, lain dari itu… aku dan Fatimah memang serupa. Pengetahuannya yang luas memang senjata yang boleh membisukan orang lain. Salwa dengan sikap naĆÆf dan polosnya. Mudah percaya dan selalu tertipu dengan usikan kami. Jiha dengan yakin diri yang adakalanya berani-berani takut. Dan N membunuh dengan ayat-ayat bahasa Melayu yang amat puitis dan indah didengar. Aku pula, jadi kakak yang memerhati dan menegur serba sedikit dan berkongsi pengalaman hidup. Adakalanya, aku pun lagi gila dari mereka semua.




Ketujuh-tujuh kami, bila dah bersama dunia rasa bagai tiada batasnya. Aku pula rasa dengan mereka aku dapat menjadi diri aku yang sebenar. Tak perlu bersembunyi di sebalik diriku sendiri sepertimana yang sedang aku alami sekarang.

Tawa, ria, jerit-pekik, riuh-rendah… berlakon, menari dan menyanyi sesuka hati. Saat itulah yang aku nantikan. Bebas untuk menjadi diri sendiri. Tapi, ia dah berkubur. Ia perlu dikuburkan. Kerana aku sekarang berada di dunia realiti. Dunia yang kejam dan membunuh dunia fantasi. Dunia keanak-anakkan aku. Aku perlu… dan harus hadapi realiti dengan berani. Aku tidak mahu dengar lagi kata-kata sumbang mengutuk sikapku yang periang ini. Perangai yang penuh keriangan seorang kanak-kanak sudah tidak relevan dengan aku… wanita berusia 26 tahun. Rindu di hati perlu diganti…. Aku perlu menguburkan aku di dalam aku….


Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku