Kenapa? Jangan Takut dan Bersabarlah...

Pernah tak sesiapa antara kamu yang rasa nak menangis dan menjerit bila dah tak mampu untuk berkata-kata sebab tak diberikan peluang?

Pernah tak rasa macam nak tendang, orang yang kau tahu dan nampak potensi mereka tapi malangnya mereka buat tak endah dan tak sayang langsung bakat tu?

Ada tak sesiapa rasa macam nak penerajang saja orang yang tak faham-faham perasaan sayang kita pada mereka?

Ataupun, pernah tak sesiapa rasa nak tampar, tumbuk dan sepak diri sendiri sebab mudah sangat sayang orang? Bukan sayang bermaksud nak bercinta atau apa tapi... sayang sebab kau kenal, tahu dia seorang yang baik dan yang paling penting... kau sayang bakat yang ada padanya dan sampai satu tahap kau ingin bertanya mereka....

Kenapa kau tak nampak apa yang aku nampak pada kau?

Susahlah nak cakap tapi ia gabungan perasaan bimbang, risau, gelisah ... kalau boleh tak nak apa-apa buruk terjadi pada orang tu... dalam hati kau mahu apa juga yang dia rancang atau hajati akan tercapai. Kau risau sebab kau tahu!

Ah... biarlah ia menghurung otak aku sendiri, sebab aku seorang saja yang faham, sebab aku seorang saja yang rasa!


Sebenarnya inilah perasaan aku sekarang ini. Aku dah jumpa berpuluh-puluh orang dengan perangai yang sebegini. Aku tak nafikan, dulu aku pun begitu juga. Abaikan bakat dan anugerah yang telah dikurniakan pada aku.

Masih jelas dalam ingatan, dewan kuliah utama ASK (DKU) jadi saksi segala kedukaanku. Di situlah air mata aku pernah menitis untuk pertama kali. Bertanya pada diri, menyalahkan diri sendiri. Kenapa aku tak begitu? Kenapa aku tiada peluang sebegitu? Bolehkah aku jadi seperti dia? Mengapa lambat sangat aku berjaya? Mampukah aku jadi orang yang aku cita-citakan? Bolehkah karya aku nanti diterima pakai? Betulkah aku ini ada bakat atau perasaan aku sendiri saja? Siapa nak baca karya aku? Orang lain dah menempa nama, aku bila lagi? Dah terlambatkah untuk aku berusaha dan berjaya seperti orang lain? Memang! Banyak sangat soalan yang membebani kapasiti otak aku ketika itu.

Sehinggalah aku dikejutkan oleh kata-kata perangsang dari Fatimah. Biarlah dia dan aku saja tahu kata-kata itu. Terlalu peribadi. Dan Alhamdulillah, berkat dorongan dan yang paling penting, kesabaran aku berjaya juga bertatih-tatih di bidang penulisan.

Jadi, bila aku berjumpa dengan orang yang berbakat besar tetapi langkah mereka ditahan oleh ketidakyakinan mereka terhadap diri sendiri, aku terus teringat akan diriku yang dulu. Kalau boleh aku mahu sampaikan pada mereka, jangan tahan dan hadkan diri hanya kerana takut kegagalan dan juga musuh terbesar sesuatu kejayaan adalah kesabaran. Tanpa sabar, semua usaha tak akan menjadi. Sudahnya semua impian dan cita-cita tergadai dek kerana takut dan tidak sabar.

Semua kejayaan perlu dimulakan dengan satu titik permulaan. Tolak tepi segala perasaan takut dan tidak yakin diri. Cuba! Cuba bermain dengan risiko. Selagi tidak ada langkah permulaan yang pertama, tidak akan ada pun langkah yang bergelar kejayaan.

Hidup ini adalah satu perjalanan yang panjang. Jika kita terjatuh di pertengahan jalan, bangkitlah. Jangan biarkan kejatuhan itu menjadi sebab untuk kita terus berhenti. Sebaliknya jadikan ia satu peringatan untuk kita berhati-hati sebelum sampai ke destinasi. Destinasi yang aku maksudkan itu adalah kejayaan dan kejatuhan itu adalah risiko yang perlu diambil. Sama ada berjaya ataupun gagal.

Walau apa juga yang terjadi... risiko dan kegagalan pasti akan muncul dalam hidup setiap insan. Jadi, sebagai insan kita perlu berani hadapinya. Jangan takut mencuba dan melindungi diri dari kegagalan. Tanpa kegagalan manusia tidak akan berpeluang untuk belajar. Tanpa kegagalan manusia tidak akan bertemu kejayaan. Malah, setiap kejayaan yang bakal diperolehi perlu diiringi dengan sabar yang tinggi.

Usaha demi usaha perlu diteruskan kerana kejayaan tidak akan datang dalam sekelip mata. Aku percaya, kejayaan yang cepat diperolehi akan menyogok manusia untuk leka dan mudah rasa bangga diri. Maka cepatlah juga dia akan melihat detik kegagalannya. Berbeza pula dengan manusia yang mendaki satu persatu anak tangga ke mercu kejayaan kerana dia lebih menghargai setiap langkah yang diambilnya dan akan berusaha lebih keras lagi untuk mengekalkan kejayaannya itu.

Kesimpulannya, jauhkanlah dari dua sikap takut dan tidak sabar ini, kerana ia hanya membantutkan usaha manusia. Bagi aku, manusia yang berjaya adalah manusia yang bersabar dan terus berusaha tanpa perlu berhenti. Berhenti hanya akan membantutkan kejayaan seseorang. Wallahualam.

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku