Dah di depan mata

"Akak yang dah berulang-kali, ulang-alik ke RTM pun masih berdebar dik,"

Kata-kata kak Norizan Mansor, masih kedengaran jelas di telingaku sebelum aku melangkah masuk ke bangunan RTM bahagian Bekalan Filem semalam.

Persiapan yang hanya dua hari, membuatkan aku rasa cemas. Sedangkan ketika di ASWARA pun, berbulan-bulan kami diberi tempoh untuk mendalami idea sebelum sesi pitching. Ini kan pula, dua hari. Cerita yang memang terlalu asing bagi aku, terpaksa aku selami hanya dalam masa dua hari. Ya, dalam masa dua hari itu juga aku tak tidur... tapi masih ada selera untuk makan.

Al-kisahnya, seperti yang aku telah ceritakan beberapa hari sudah, encik Shaharudin Thamby (abang Shaharudin) menelefon dan meminta aku untuk mewakilkan seorang penulis skrip untuk sesi pitching di RTM. Awalnya, aku was-was. Masakan aku mampu hadirkan diri sedangkan aku tak tahu hujung pangkal cerita itu.

Nak mampus? Kena hentam dek panel penilai baru tahu!

Bisik aku sendiri. Tapi, memandangkan aku pun di satu hari nanti bakal menghadapi situasi itu, lalu aku bersetuju. Jadi, bermulalah episod aku menjejak penulis asal yang kini berada jauh nun di Sarawak(dengan panggilan telefon aje). Tak cukup dengan itu, ada juga sesi pertemuan dengan abang Shaharudin. Di kawasan perumahan aku.

Aku masih ingat pertemuan pertama aku dengan abang Shaharudin dulu di Coffee Bean Ampang. Waktu itu ada sedikit perasaan janggal. Tak aku nafi, aku juga rasa sedikit kecil, mana taknya orang yang di depan aku ketika itu dah berpengalaman berpuluh-puluh tahun. Kata-katanya ketika itu aku rasakan bagai duri. Rasa rendah sangat diri ini. Ketika itu, semua nampak hitam dan pahit. Jadi, aku persiapkan diri untuk pertemuan kali ini. Setiap kemungkinan yang bakal disoal olehnya, aku sudah ada jawapannya.

Kali ini nyata berbeza. Selesa sangat. Kalau dulu di Coffee Bean, kali ini hanya di kedai makan biasa (Yelah, Bandar Tasik Puteri, mana ada cafe canggih dan eksklusif...) Abang Shaharudin pilih untuk duduk di luar sambil menghadap jalan dan bertentangan dengan bangunan Sekolah Menengah. Setiap orang yang lalu lalang pasti akan menegurnya. Ya, aku tergamam seketika. Dia bukan sahaja senyum, malah bergurau sakan dengan mereka. Amat berbeza dengan keadaan di Coffee Bean.

Di situ kami berbincang. Macam-macam. Sebagai orang lama, aku kagum dengan dia kerana tidak menolak dan mematahkan kata-kata aku mentah-mentah. Dia lebih banyak membuatkan aku berfikir, sama-sama berbincang adakah pendapat aku relevan. Ya, aku temu seorang lagi guru. Dia mungkin tak tahu dan aku pasti dia tak akan pernah tahu. Entah apa yang merasuk kepala otak aku, tiba-tiba sebelum melangkah pergi pulang ke rumah. Mulut ini laju meminta dia menandatangan proposal(salinan aku) yang dibawanya sendiri untuk sesi pitching esok.

"Apalah kau ni, lepas ni hari-hari kau tengok muka abang"

Aku tetap berdegil. Kalaulah dia tahu, seumur hidup aku. Tak pernah seorang pun artis, selebriti mahupun penulis yang aku temu, ku pohon tandatangan mereka. Aku pernah minat tahap meroyan pada Azhar Sulaiman dan Norman Halim(KRU). Aku pernah bertentang mata dengan mereka. Bertegur sapa. Tapi, tak pernah pun ku unjukkan kertas untuk ditandatangani. Memang. Aku sendiri pelik. Entahlah. Mungkin, bak kata Imaan. First impulse!

Kembali ke hari semalam. Hari sebenar aku diuji. Ya! Aku sudah bersiap sedia. Aku gagahkan langkah menuju ke balai kawalan. Ambil pas. Tak tahu sial apa, kad pengenalan aku hilang. Pengawal pandang aku semacam. Mungkin mereka fikir aku ni, mualaf kelahiran Jepun atau Tibet.

"Malaysia?"

Eh, tentulah aku Malaysia. Apa sangatlah mata aku yang sepet ni? Muka aku masih muka Melayulah. Ikutkan hati, hendak sahaja aku hentak meja tapi aku sabar. Aku perlu hormati tugas dia. Sekurang-kurangnya aku tahu, dia buat kerja. Bukan sekadar duduk di pondok kawalan, letak kaki atas kerusi, goyang laju-laju sampai pegawai atas datang pun tak sedar.

Aku korek-korek dompet. Memang tak ada. Dalam hati menangis. Hilang tak apalah, tapi janganlah sampai orang fikir aku ni pendatang. Tiada pilihan lain, aku serahkan padanya pas media (tak pernah aku gunakan pun sebelum ni).

Dia senyum. Sumpah. Aku tak faham apa maksud senyuman itu.

Sebelum masuk, aku terima pesanan ringkas dari kak Norizan.

Good Luck all the best!

Sekarang, dalam otak dan mindaku tertanam satu kata-kata. Berkali-kali aku ingatkan pada diri. Aku pandang abang Shaharudin dan tuan pengarah di hujung mata. Aku ingat kata-kata abang Shaharudin sebelumnya.

"Ini peluang awak. Kalau awak gagal kali ni, akan datang orang-orang dalam tu tak akan percayakan awak bila nampak nama awak naik sekali lagi."

"Awak bukan hanya datang untuk diri awak. Tapi beratus-ratus orang lain lagi. Kalau cerita ini mereka terima, barulah ada kerja untuk mereka yang beratus-ratus di luar tu."

Berat. Tanggungjawab yang memang berat. Aku tak boleh perlekehkan begitu saja. Mungkin, kalau soal aku, aku tak berapa peduli. Tapi, bila aku terfikirkan mereka yang beratus-ratus itu. Aku terus teringat kata-kata Imaan. Jadi aku perlu pastikan cerita ini dipilih. Dipilih terus.

Nama kami dipanggil. Nama aku dah ada di sana. RTM. Aku melangkah masuk. Barisan panel penilai. Lima orang semuanya. Aku cuba mencari titik jatuh pandang aku. Gali keyakinan dalam diri.

20 minit masa diberikan. Lebih panjang dari PeTA dulu. Tapi, seperti biasa, aku selesaikan semua sebelum mencecah 15 minit. Laju sangat! Ya! Macam machine-gun. Apa nak buat? Itulah aku. Kemudian abang Shaharudin menyambung. Ditambah dengan gaya. Tiada pada aku. Aku perlu tahu itu. Aku hanya penulis. Aku hanya tahu menerangkan.

Sesi soal jawab. Kami, jawab dengan tenang dan bersungguh. Cukup 20 minit. Tamat. Tiada kata apa-apa. Aku pelik. Aku pandang muka tuan pengarah dan abang Shaharudin. Nampaknya, aku dah menghampakan mereka.

"Apa maksud tadi tu, abang? Terima ke tak? Macam tak aje,"

Mereka hanya ketawa dan katakan.

"Petanda baiklah tu. Ada respon dari mereka, maknanya mereka suka," jelas abang Shaharudin.
"Kalau tak suka, dia biarkan kau bercakap sorang-sorang," kata tuan pengarah pula.

Aku mengangguk.

"Sekarang kena tunggu panggilan kedua, nak tunggu dapat hours," kata tuan pengarah lagi.

Aku diam. Entah kenapa aku rasa, aku tak buat yang terbaik. Aku boleh buat lebih baik.

"Kata kau gugup. Abang tengok elok aje, semua kau buat. Tapi laju sangat," ujar abang Shaharudin.

Aku hanya senyum. Kata-kata dia membuatkan aku kembali yakin pada diri. Kata-katanya sudah cukup membuatkan aku lega.

"Lainkali, kau tak payah nak takut. Sebab kau dah ada pengalaman,"

Ya. Insya-Allah. Pengalaman ini sudah semestinya tidak akan berlaku kiranya abang Shaharudin tidak memberikan peluang kepada aku. Alhamdulillah..., kerana Dia yang menggerakan abang Shaharudin untuk memilih aku. Kiranya projek ini terjadi dan RTM memberikan ruang dengan memberikan hour... secara tidak langsung aku akan kekal menjadi panel skrip. Alhamdulillah.

Sebelum balik, aku sempat menoleh bangunan itu. RTM yang sudah di depan mata. Telah ku jejaki. Telefon berdering. Aku baca... TAHNIAH! Ucapan dari umi, abah, along dan ayuz. Tahniah itu untuk kamu juga kerana sentiasa yakin dan percayakan aku.



Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku