Terima Kasih Kak Umaira


Kebelakangan ini, aku terlalu sibuk sehingga tak ada masa nak menjenguk seminit dua ke blog aku sendiri. Harap kepada sesiapa yang datang bertandang juga yang sudi bertanyakan khabar tidak serik berkunjungan. Bukan tak sudi, cuma masa yang ada rasanya seperti tak terbeli.

Kali ini aku datang pun untuk menunaikan hutang yang tak tertunaikan sejak beberapa hari yang lepas. Aku terima satu lagi anugerah dan kali ini datangnya dari kakak cantik manis, kak Umaira. Tak tahulah sama ada blog aku yang tak seberapa rupanya layak menerima anugerah kurniaan kak Umaira. Terima kasih kak, kerana ingat kepada saya.

Anugerah kali ini aku kira, agak istimewa kerana disertakan beberapa arahan. Terasa-rasa seperti sedang cuba meyakinkan yang diri ini sememangnya layak menerima anugerah. Dah macam orang berkempen nak menang kerusi pula.

Apa-apapun, saya tetap akan cuba menjawab dan mengikut arahan yang diberikan sekaligus membuktikan, saya memang layak menerima anugerah ini. (Alamak, dah macam wakil rakyat pulak... hehehe).

1. Copy award dan letak di blog anda.
Dah buat pun, cantik tak? Menambahkan lagi seri blog ini!

2. Nyatakan 5 fakta tentang pemberi award ini.
- antara orang yang paling bertuah pernah saya kenali
- tak lokek, menghiburkan orang lain (terutama sayalah... masih merangkak dalam bidang ini)
- antara wanita yang ideal (isteri + ibu + penulis = berjaya)
- memiliki senyuman yang paling manis
- inspirasi diriku (dalam diam-diam)

3. Setiap blogger mesti menyatakan 10 fakta atau hobi diri sendiri sebelum memilih penerima anugerah seterusnya :

1 - Luaran nampak kasar, keras dan degil tapi sebenarnya, kalau seorang diri pantang dengar lagu yang syahdu atau baca cerita yang menyayat... airmata boleh berlinangan tanpa henti. Kononnya terlalu menjiwai, tetapi hakikatnya, terlalu sensitif. Aku teringat satu dialog filem yang tepat menjelaskan keadaan aku yang sebenar ....
"aku ini umpama kelapa... luarannya keras tapi isi dalamnya lembut dan mudah cair"

2 - Selalu memandang satu-satu perkara dari sudut positif. Perkara negatif adalah perkara terakhir yang akan datang dalam fikiran. Kadang-kadang, kalau selalu berfikiran positif pun tak elok, kerana gagal menilai keburukan yang nyata terjadi di depan mata. Aku teringat kata-kata seorang adikku...
"ada masanya akak, kita perlu juga fikirkan negatif... tak semuanya positif di muka bumi ini"

3 - Kedekut. Kalau sesiapa yang benar-benar mengenali aku akan tahu tentang perkara yang satu ini. Memang susah untuk aku belanjakan duit. Kadang-kadang aku rasa membazir belanjakan duit sesuka hati. Tapi, ada perkara yang memang tak boleh aku nak kawal. Aku ni memang penggila dan pengumpul vcd, dvd filem-filem Bollywood (Salman Khan saja...) Sanggup ikat perut semata-mata nak beli yang original.

4 - Paling dibenci adalah membeli-belah. Aku akan keluar cuci-cuci mata di pusat membeli-belah hanya kalau aku ada barang yang nak dibeli. Bila dah beli, balik terus. Tak suka menyimpang ke mana-mana. Bila ikut umi dan adik aku pergi shopping, setengah jam pertama, aku akan ikutlah tapi bila dah melebihi setengah jam, aku mula rimas. Aku pun tak tahulah dengan perangai aku yang satu ni. Kadang-kadang boleh jadi krisis dalaman sebab tak sanggup menunggu mereka yang memang penggila window shopping. Nasib baik tempat yang mereka selalu pergi window shopping dekat dengan kedai buku takpun kedai vcd/cd/dvd. Aku akan lepak kat tempat-tempat ni dengan aman sambil tunggu mereka berdua ini habiskan hobi mereka... bershopping.

5 - Sukar untuk menunjukan rasa marah. Selagi boleh disimpan.... rasa itu akan terus disimpan. Tapi kalau dah mula marah, selama-lamanya kemarahan itu akan kekal. Perangai aku yang satu ni kadang-kadang mengundang benci orang pada aku. Percayalah, aku dah cuba berubah untuk perangai aku yang satu ini, tapi rasanya seperti tak boleh. Aku pun rimas dengan perangai ku ini.

6 - Mudah tersentuh dan kerana itulah, ada ketikanya orang ambil kesempatan atas sikap aku ini. Puas aku cuba bina benteng diri untuk tidak mudah kasihankan orang. Tak kiralah macam mana cara aku cuba, mesti hati ini terperangkap. Bila hati dah terperangkap, susah pula aku untuk membebaskan diri dari dibelenggu rantaian orang-orang berkenaan. Sampai abah kata...
"izan, kasihankan diri sendiri baru kasihankan orang lain..."

7 - Lebih mengutamakan kepentingan keluarga. Aku sanggup melepaskan segala-galanya. Aku tidak boleh membayangkan dunia aku tanpa mereka. Bagi aku, keluarga aku itu dunia dan nyawaku. Apa juga yang terjadi, keluargaku nombor satu dan aku sendiri jatuh di tempat yang kedua. Dah terbiasa, itulah yang dididik sejak dari kecil dan itu yang akan aku praktikan. Insya-Allah, tidak akan berubah.

8 - Pelupa, dari zaman sekolah sehinggalah sekarang... pasti ada sahaja barang yang tertinggal dan adakalanya, kunci pun tertinggal. Bukan setakat itu saja, adakalanya, sedang sibuk buat sesuatu kerja dan sekiranya ada orang menyampuk, aku akan terlupa kerja apa yang aku buat sebelum itu. Letih juga dibuatnya, sebab aku akan ulangi semula perkara itu dari awal untuk mengingati kembali sesuatu perkara. Nak buat macam mana?

9 - Berkongsi rasa dan pengalaman dengan mereka yang selalu meletakan diri di tempat yang gelap. Kadang-kadang hati teringin untuk berkenalan dan bergaul dengan kumpulan 'kupu-kupu malam'. Kerana mereka juga adalah manusia, punyai hati dan perasaan. Kalaulah aku ada peluang itu, akan aku laksanakan sehabis-habisnya!

10 - Suka dengar muzik tak kira apa juga genre muzik. Selagi lagu yang didendangkan tak memberi impak pada telinga aku. Itu pun sudah bagus. Dua instrumen muzik yang paling aku suka adalah piano dan gitar. Tak boleh kawal diri kalau dengar lagu-lagu yang punya 2 instrumen ini. Lagu 'speak softly love' dan 'Hotel California' boleh buat aku terbang seketika. Petikan gitarnya terlalu asyik!

4 - Anda perlu memilih 10 penerima seterusnya dan terangkan tentang diri mereka

Yang ini aku tak rasa, aku mampu senaraikan nama-nama yang bakal menerima anugerah ini. Ada antara mereka yang telah aku tag sebelum ini, tapi macam biasa tak dilayan. Yang selalu melayan pun sudah disenaraikan. Jadi dengan berbesar hatinya, aku nak adik aku terima anugerah ini. Sebab aku tahu, dia tak akan mengelak dan blog dia memang layak terima anugerah ini. Ada kelas yang tersendiri dan menarik juga.

Sampai di sini dulu. Mata pun dah berat.



Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku