Tuesday, May 26, 2009

Sesuatu yang tercicir...

Sedang aku sibuk-sibuk mencari sesuatu, membelek itu dan ini di dalam bilik, sebuah kaset jatuh di hujung kaki. Aku mengutipnya. Kenangan lalu terus merembat ingatan. Kaset rakaman suara kami tiga beradik. Perlahan-lahan aku membawa kaset itu ke bilik umi dan abah. Lantas memainkan kaset rakaman itu, sambil diperhatikan oleh abah, umi, ayuz dan si kecil Miqhail. Aku ketawa sendiri bila melihat reaksi mereka terutama sekali Miqhail, yang turut khusyuk mendengar seperti faham butiran yang keluar dari muncung radio.

Alangkah indahnya kenangan ketika itu, mendengar keletah masing-masing yang berebut hendak bersuara. Ada yang terpekik, terlolong semata-mata hendak menguasai ruang. Dalam hati tercuit, kiranya bisa waktu itu berulang kembali. Tidak ada satu masalah pun yang membebani fikiran. Berkata-kata tanpa berfikir betul dan salah. Putih! Masing-masing masih putih. Semua yang terbuku di hati diluahkan tanpa mengira ada hati yang akan terluka atau bisa mengundang bencana. Tiada istilah dimarahi mahupun dibenci. Itulah kelebihan anak-anak kecil.

Bila masa berubah, manusia semakin dewasa dan semakin banyak perkara yang tersimpan dan tak terluahkan. Khuatir kalau diluahkan akan mengundang salah faham... marah dan akhirnya kebencian merasuk fikiran. Kalau tak diluahkan pula, ia membusuk di dalam dan melahirkan konflik diri yang tak berkesudahan.

Aku terus asyik mendengar suara-suara jujur itu, yang seakan tercicir kebelakang bersama waktu.
Aku ingin mengutip dan menghidupkan semula suara itu dalam diri aku. Tetapi, adakah ia masih relevan untuk dunia hari ini?