Bertambah teruk!

Sudah dua doktor, dua klinik... aku dah pergi. Gara-gara nak sembuhkan telinga yang semakin hari semakin parah.

Doktor pertama aku jumpa, tenang saja raut wajahnya. Tak periksa banyak. Cucuk telinga aku dengan alatan khasnya.

"Telinga awak ada infeksi," katanya.

Itu aku pun tahu. Semua orang pun tahu. Yang aku nak tahu, kenapa aku seorang saja asyik alami masalah ini. Aku datang berjumpa mereka sudah tentunya sebab hendak kurangkan kesakitan yang aku kira sudah tidak mampu aku tanggung.

Dia beri aku ubat tahan sakit (ponstan) antibiotik dan ubat titik. Sebelum mengangkat punggung, minta diri. Doktor sempat berpesan pada aku.

"Lainkali jangan biar air masuk dalam telinga, sebab itulah telinga mudah kena infeksi," jelasnya bersungguh.

"Yang doktor bagi ubat ni, ubat air untuk titik ke dalam telinga, betul tak? Kalau tak kering, tak melarat ke telinga saya nanti?" soal aku. berhak untuk tahu. Yang nak pakai ubat ni pun, di telinga aku.

"Air dengan ubat lain...," ujarnya ringkas. Kalau boleh lebih ringkas dari itu pun dia mahu.

Aku keluar dari klinik. Perasaan tidak puas hati memuncak. Aku pendam. Siapalah aku nak dibandingkan dengan tuan doktor. Ini bidang dia, dia lebih arif dan tahu. Tapi, ini telinga aku. Aku yang nak memakainya. Aku yang menanggung sakitnya.

Seminggu, aku patuhi aturan waktu mengambil ubat. Sehari 3 kali, 2 titik setiap kali. Bayangkan air yang dah bertakung. Aku rimas. Sumpah. Setengah minit kemudian, aku sengaja keluarkan air. Sebab dah pekak telinga dibuatnya.

Seminggu, telinga aku makin bertambah teruk. Kemuncaknya semalam. Tak dengar satu hal, berdenyut satu hal dan paling menyakitkan aku, air dah keluar dari telinga. Meleleh, berbau pulak tu. Bukan setakat air, (aku kira air sisa ubat yang tertinggal, sebab tidak berwarna. Warnanya jernih dan mencair) di tambah pula, darah pun sudah mula keluar.

Aku jadi tidak selesa. Rasa mahu saja aku pergi jumpa doktor hari itu dan campak ke mukanya ubat yang diberikan. Aduh! Sakit! Berdenyut, menangkap setiap urat-urat otak. Berdenyut... Allah saja yang tahu.

Abah tak puas hati, diusung pula aku ke klinik lain. Klinik yang pernah ku kunjungi dulu. Doktor kali ini, lebih mesra alam. Macam biasa, dia juga mencucuk lubang telinga aku yang kecil ini.

"Ada infeksi, bengkak besar dan juga dinding telinga yang telah luka," jelasnya.
"Awak ada cucuk telinga dengan besi ya?" soal doktor itu.

"Eh, gila nak cucuk telinga sendiri dengan besi, mestilah pakai pengorek telinga kapas tu," bentak aku.

Doktor hanya senyum. Mungkin sengaja nak menyakat. Al-maklumlah, muka pesakit mencuka.

"Jangan masukkan air dalam telinga ya lain kali,"

"Saya terpaksa masukan air dalam telinga, sebab ada seorang doktor bagi saya ubat titis... saya dah tanya, tak memudaratkan ke? Dia jawab, air dan ubat lain," aku memprotes, meluahkan rasa marah. Biar si doktor tahu, aku bukannya bodoh suka-suka isi air dalam telinga. Apa? Ingat lubang telinga ni, lubang tangki air ke?

Doktor menggeleng. Dia kata, sepatutnya doktor tak beri pesakit ubat titis...

"Itulah saya beritahu dia, tapi siapalah saya ni? Dia kan doktor, dia lebih arif," luahkan amarah yang ada. Kesian doktor tu, tak semena-mena dia terkena tempias kemarahan aku.

Hari ini aku tak larat dan tak mampu memandu ke pejabat. Aku tak tidur sepanjang malam. Sampailah sekarang ini. Macam manalah aku nak tidur? Setiap saat berdenyut. Tak cukup berdenyut, air tak henti mengalir keluar. Bau ubat pulak tu! Aduh... dia berdenyut lagi! Macam tahu aje aku tengah mengumpat tentang dia dalam blog ni.

Satu sebab utama yang buatkan aku menyampah jumpa doktor. Sebab inilah, aku selalu sangat jadi bahan ujikaji. Dulu, pernah sekali aku datang sebab sakit gastrik, ubat pecah lemak yang dia beri. Kapsul merah kelabu, harga boleh mencapai seratus satu kotak.

Aku tak faham, apa kena mengena aku yang gastrik dengan ubat pecah lemak. Bukan setakat ubat pecah lemak yang dia mahu beri pada aku, dia turut mengesyorkan aku beli ubat penahan nafsu makan. Mak aih...! Ingat aku ni cop duit. Pergi klinik sekali sampai habis beratus!

Sakit telinga aku ni semakin menyeksa. Rasanya nak saja tukar dengan telinga lain. Kalaulah ada, betul tak? Buat masa ni, aku harus bersabar dan bertahan. Aduh... pedihnya! Telinga aku kembali berdenyut mengikut alunan lagu rancak ini. Okey, tandanya aku perlu berhenti.

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku