Terima Kasih Cikgu...

Aku masih ingat lagi, ketika masih bersekolah dulu, hari inilah yang selalu aku tunggu-tunggu. Tak, bukan kerana aku berebut nak beri hadiah... (sebab aku ini antara orang yang paling berat nak beri hadiah pada orang lain) tapi sebab suka tengok muka cikgu-cikgu yang garang berubah jadi manis dan dipenuhi dengan senyuman.

Jelas lagi dalam ingatan, aku ini adalah antara budak yang paling nakal. Sejak di sekolah rendah sehinggalah tamat pengajian di peringkat universiti. Terlalu banyak pengalaman aku dengan cikgu-cikgu yang tak bisa aku lupakan.

Masa di sekolah rendah, aku antara pelajar yang boleh tahan juga glamer. Apa taknya? Suka sangat jadi tempelan. Apa jua pertandingan, aku pasti turut serta. Pernah juga dilabelkan oleh cikgu-cikgu, Shahaini budak nakal! Aku tak kisah.

Antara cikgu yang aku paling tak boleh lupa, cikgu Norlida, cikgu Noriah, cikgu Kassim, Mrs Selva dan cikgu Pn Nik Azniah. Kenapa? Ada sebabnya yang tersendiri. Cikgu Norlida... paling garang. Masa itu aku darjah satu. Macam biasa, masih mentah, selekeh dan nakal tahap Gaban. Aku takut dengan cikgu yang seorang ni sebab dia garang. Jarang tersenyum. Dia juga suka beri nasihat-nasihat percuma. Ada satu nasihat dia yang aku tak boleh lupa. Ketika itu, aku dipanggil berdiri di tengah-tengah kelas. Apalagi kalau bukan sebab aku memekak belakang kelas...(ironinya aku penolong ketua kelas waktu itu...). Tiba-tiba ada seorang pelajar darjah lima melintas di luar bilik darjah. Pelajar itu memang cantik, jalan bersopan macam itik dan semua mata pelajar tertumpu ke arahnya.

"Shahaini, cuba awak tengok kakak di luar tu. Jadi macam dia... cantik, kemas, sopan santun. Awak tu budak perempuan, bukan budak lelaki," ujar cikgu ku itu.

Dalam hati, aku ketawa sendiri. Aku tak akan dapat pernah jadi macam kakak itu. Sampailah hari ini, aku masih tak boleh jadi seperti kakak itu, walaupun dia itu kakak aku sendiri. Ya! Cikgu itu memuji Along tanpa tahu, itulah kakak kandung aku.

Kes di sekolah rendah yang aku tak boleh lupa pula, bila cikgu kelas, cikgu Noriah, lari meninggalkan kelas. Sebab? Tak tahan dengan perangai kami, pelajarnya. Dia mengajar di depan. Aku dan beberapa pelajar lain 'mengajar' sama di belakang kelas. Mulanya keadaan sikit terkawal. Aku masih ingat, cikgu Noriah panggil aku dan Faizal ke depan. Ketika itu, aku dan Faizal memang kawan baik. Aku sikap macho ala-ala tomboi dan dia pula sedikit lembut. Tapi, kenakalan kami dan mulut yang bising memang tak dapat siapa mampu kawal. Kami berdua disuruh berdiri di depan kelas. Cikgu Noriah sempat perli, suruh kami berdua tukar identiti. Aku tak kisah. Ketawa saja. Faizal terasa hati. Jadi bila disuruh balik ke tempat masing-masing...(duduk sebelah menyebelah aje masa tu) Faizal tunjuk protes. Seorang dah mula, semua pun tersampuk. Memang bingitlah keadaan kelas masa tu. Cikgu dah tak dapat kawal, jadi dia terus keluar dan balik. Takut juga satu kelas dibuatnya. Dua hari cikgu tak datang. Aduh, berdosa betul rasa hati. Tapi, Alhamdulillah, bila dia datang semula mengajar, keadaan kembali seperti biasa dan kami satu kelas minta maaf. Cikgu Noriah tak cakap banyak. Dia hanya senyum.

Meniti ke zaman sekolah menengah pula, perangai aku sudah sedikit berubah. Tak lagi mengacau atau buat kacau dalam kelas. Tapi, pantang ada waktu terluang... aku pasti akan duduk pot pet kat belakang kelas. Disebabkan perangai aku yang suka pot pet itulah, cikgu kelas aku Pn Nor telah memindahkan aku dan duduk di sebelah seorang pelajar genius akaun tapi amat minima ketika bercakap. Hanya Allah saja yang tahu, betapa bosannya dunia ketika itu.

Bila belajar di sekolah CBN pula, lain ceritanya. Al-kisahnya, aku dah tak mampu tahan mata dari tertidur semuanya kerana subjek bisnes. Beberapa kali juga aku menguap. Tapi, Harvinder ada cara penyelesaiannya. Ketika itu kami duduk sebelah menyebelah. Senjata yang kami gunakan hanyalah pensil dan kertas. Mungkin kami tak dapat bercakap tapi kami berborak dengan kertas tu. Macam-macam juga yang kami borak termasuklah mengumpat. Betul. Tak tahu macam mana, cikgu Zakiah dapat menghidu aktiviti kami itu dan... nyaris dibawa berjumpa pengetua. Kalau ingatkan balik peristiwa tu, mahu pecah perut dibuatnya. Masing-masing panik dan siap merayu pada cikgu Zakiah.

Ketika di ASWARA pula, aku semakin matang. Dah tak macam dulu-dulu. Suka buat kacau dan buat bising. Tapi memang satu saja tabiat aku yang tak boleh dibuang. Pot pet pot pet. Teman pot pet aku di ASWARA pula, Fatimah. Tapi tak sampai tahap kritikal. Masing-masing pandai kawal diri.

Aku tidak akan lupakan mereka. Cikgu-cikgu yang tak pernah berputus harap mengajar aku dan mendidik anak-anak bangsa. Mereka tak pernah lokek mengajar. Ilmu dan didikan mereka itu yang membentuk para pelajar sehingga mencapai tahap yang paling tinggi. Tetapi, mereka tetap di situ, di tempat yang sama. Adakah lagi perkara yang lebih mulia dari itu? Sesungguhnya, cikgu bukan sahaja mengajar dan mendidik tetapi membekalkan pengetahuan dari dalam diri untuk pelajarnya menempuh segala perhitungan di dunia. Di sini, aku ingin mengucapkan selamat hari guru... kepada semua guru yang telah mengajar aku, dari sekolah rendah sehinggalah aku di peringat universiti. Terima kasih, cikgu!

Puteri-puteri St Mary dan Puan Nor

Muka-muka pelajar nakal CBN

Puan Zakiah dan Puan Norhayati bergambar kenangan dengan 3 pelajar paling nakal...
Harvinder, Nalini dan aku.

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku