Rindu yang sedikit terubat...

Azwa Kassim... sahabatku!

Kata orang...
patah 'kan tumbuh,
hilang 'kan berganti...

Patah hati...
Biasalah, nama pun manusia. Hati kita dijadikan terlalu lemah. Mungkin tidak bagi orang lain, tapi ya bagi aku. Ramai kata aku ni hati kecil. Cepat terasa dan sensitif.

Aku nak buat macam mana kalau Maha Pencipta yang jadikan aku berjiwa begitu. Sepertimana kamu semua tak mampu ubah jiwa Bush, begitu juga dengan aku. Bukan aku nak salahkan seratus peratus kerana dah ditakdirkan begitu. Aku benar-benar ingin berubah. Tapi, aku masih tak mampu nak berubah. Mungkin ada yang bangang dengan kesensitifan aku ni(ada perkataan ini ke?) Kalau terima aku, jadi hormatilah perasaan aku yang satu ini. Bukan semua boleh berubah ikut kehendak orang lain. Hati kita dijadikan bukan berdasarkan undi sms!

Setelah beberapa minggu dilanda patah hati terhadap seseorang, semalam aku dipertemukan semula dengan salah seorang sahabat karib aku. (Sahabat karib...?) Dia memang sahabat aku yang telah lama menghilang. Sahabatku yang seangkatan Ayshah, Harvinder dan Fatimah. Inilah dia, sahabat aku yang dulunya hilang. Alhamdulillah, jodoh persahabatan kami dilanjutkan lagi.

Kali terakhir aku berjumpa dia, empat tahun lepas. Ketika kami masing-masing belajar di universiti yang sama. Itulah kali pertama dan terakhir kami berjumpa setelah berpisah selepas tamat SPM di St Mary.

Rindu? Allah sahaja yang tahu. Setiap kali berborak dengan Harvinder... adakalanya terpacul juga nama dia. Masing-masing tak tahu tentang khabar beritanya.

Semalam, Allah pertemukan kembali kami berdua. Walau hanya melepaskan rindu diruangan chat, aku bersyukur kerana tahu dia berada dalam keadaan selamat. Sekurang-kurangnya, terubat sedikit rindu aku padanya. Namun kali ini, amat mustahil untuk bertemu dengan dia, sebab dia nun jauh belajar di Sabah. Belajar? Betapa bertuahnya dia dapat melanjutkan pelajaran.

Dia adalah insan pertama yang menyambut kedatangan aku ketika menjejakkan kaki di St Mary. Memang keadaan terlalu asing bagiku. Mana taknya, semua pelajar perempuan dan aku sudah terbiasa bergaul dengan pelajar lelaki.

Azwa Kassim... dialah insan pertama yang menyuntik minat dan menyerlahkan bakat aku dalam penulisan. Sebelum aku mengenali Azwa, aku menulis untuk suka-suka. Dia pun suka baca puisi yang aku hasilkan. Namun, ada satu peristiwa yang membuatkan aku gila dan terus ketagih untuk menulis.

Aku masih ingat lagi. Waktu itu hujung tahun 1999. Sekolah ada mengadakan lawatan sambil belajar ke Petrosains Petronas KLCC. Seperti biasa, aku tak dibenarkan pergi. Aku pun tak kisah. Dah biasa. Harvinder dan yang lain-lain pergi. Aku tahu mereka seronok kerana dapat belajar sesuatu.

Aku dan Azwa beserta dua pelajar yang lain, ambil keputusan untuk tak mahu serta. Azwa tak pergi, sebab temankan aku. Terharu aku dibuatnya.

Bayangkan, apa yang boleh kau buat sepanjang ketiadaan semua pelajar yang memakan masa sehari. Kelas kosong... macam sekolah mati. Aku mengadu pada Azwa, yang aku bosan tahap maksima. Azwa senyum saja. Dia mengeluarkan sebuah buku latihan kosong. Aku pandang dia, dan dia terus menulis sesuatu di atasnya.

"Kau sambung cerita ni... jadikan cerita yang menarik," katanya dan senyum.

Aku terus membaca dan menyambung cerita itu. Tanpa henti. Tak sedar, habis satu buku. Selesai saja, dia ambil dan baca hasil cerita itu.

"Kau bosan lagi?" soalnya.

"Tak, seronok pulak," kataku.

Bermula dari saat itulah, pantang ada waktu terluang... bertemankan kertas atau buku kosong dan sebatang pen. Aku akan menulis cerita. Apa sahaja yang aku nak tulis, aku akan tulis. Dan Azwalah orang pertama yang akan baca hasilku.

Sekarang, aku dah dipertemukan kembali dengan Azwa. Aku mahu dia tahu, betapa aku berterima kasih kepadanya. Dia tidak pernah mentertawakan hasil tulisanku. Dia tak pernah mengutuk tetapi selalu memberi nasihat. Peliknya, dia lebih muda beberapa bulan dari aku, tapi setiap kali bersama dia... aku bagaikan seorang adik.

Azwa... kalau kau terbaca ruangan blog aku ini, aku cuma mahu kau tahu... aku terlalu rindu saat-saat kita bersama dulu. Duduk dalam kelas di ruangan paling belakang. Pantang ada masa terluang, kita akan bersembang tentang hampir apa saja. Aku terharu, kau masih lagi ingat tentang apa dan siapa yang aku suka. Kau buatkan aku tergelak besar bila kau menyoal aku....

"Kau simpan lagi gambar si ****** dalam dompet kau, ya?"

Itulah aku, Azwa. Kalau dah sekali aku suka... sepuluh tahun, atau 10 keturunan (hidup lagike?) aku akan terus suka. Kau pun tahu, bukan?

Aku harap, selepas dari detik ini... tidak ada lagi perkataan berpisah untuk kita. Kau perlu tahu, kau ada aku... dan aku ada kau. Insya-Allah.

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku