Beliau bukan Dia... dan Kisah Seorang Teman!

Beliau bukan Dia

Sejak kebelakangan ini, aku rasa sedikit terbeban dengan tugasan. Tak terkejar. Siang dengan timbunan kerja di pejabat. Malam, tuntutan 'hutang-hutang' manuskrip novel FP, kanak-kanak dan lakonlayar yang masih tak terjengah. Aduh, bertambah perit dengan kesihatan yang masih lagi belum pulih sepenuhnya. Alahai telinga, agak-agaknya bilalah kau nak sembuh ya?

Tak baik merungut, rezeki sedang datang mencurah, patutnya aku lebih bersyukur. Benar. Alhamdulillah, tapi terkadang rasa macam tak dapat tunaikan tanggungjawab dengan sewajarnya. Mujur masih ada yang memahami dan memberi waktu untuk aku lanjutkan usaha menyiapkan tuntutan hutang-hutang. Insya-Allah, aku akan siapkan juga.

Tugasan aku di pejabat baru, tidaklah begitu mencabar. Kalau dulu aku sibuk keluar cari berita, kali ini aku hanya duduk berjam-jam, bercinta depan komputer. Kalau dulu aku sering berkelakuan nakal, selalu menjenguk ruang blog ketika kerja... sekarang tidak lagi. Kebiasaannya waktu terluang pun hanya ketika waktu rehat. Tengah hari. Aku sengaja tak nak keluar makan. Jimat! Ekonomi meleset sekarang ni! Ingat tu!

Tugas baru aku banyak melibatkan penggunaan kamus. Jadi, semalam ketika aku sedang layan siapkan tugasan yang seakan tak akan sudah, bos datang di muka komputer. Katanya, dia nak pastikan tiada kesalahan. Maklumlah, dia tu merangkap ketua editor. Sedang sedap melayan lamunan sendiri, bos pandang tepat ke muka aku yang sedia ada bulat.

"Awak dah rujuk kamus dewan?"

Aku sekadar mengangguk. Sakit di telinga membebankan mulut untuk bersuara.

Dia pantas menekan butang papan kekunci komputer. Dia melayari laman web karyanet. Tempat rujukan maya yang aku kira tepat dan mudah.

Dia menaip perkataan 'beliau'.

Maksud bagi perkataan 'beliau' yang tertera di atas skrin buatkan aku jadi beruk seketika. Terpampang sejelas-jelasnya di laman Karyanet.

Beliau

kata ganti diri ketiga (untuk orang yang lebih tua atau orang yang dihormati) :
mentuaku seorang pendiam, ~ tidak suka anak-anaknya terlampau banyak bercakap.


Disebabkan maksud yang tertera itu membuatkan aku terpaksa mengubah segala-gala kata ganti diri ketiga 'dia' dengan 'beliau'. Masalahnya, aku tak boleh terima penggunaan 'beliau' merujuk kepada orang biasa. Rasa terbunuh pengetahuan selama aku belajar sebelum ini. Puas cikgu di sekolah rendah, menengah menegur aku dan rakan-rakan tentang penyalahgunaan perkataan beliau. Aku sudah terbiasa menggunakan perkataan 'beliau' itu untuk seseorang yang dihormati. Ah! Aku betul-betul keliru. Aku yang salah atau memang benarlah penggunaan 'beliau' dalam buku konvo ASWARA tempoh hari. Yalah, masing-masing dalam buku itu menggunakan perkataan 'beliau'. Rosak pemahaman aku. Hanya kerana satu perkataan itu, aku rasa bodoh sangat.... juga tertipu.

Aku menurut. Dalam hati, Allah saja yang tahu.


Kisah seorang teman

Beberapa hari lepas, sedang aku sibuk bermesyuarat dengan bos, aku dapat satu panggilan dari seorang teman. Bos beri peluang untuk aku menjawab. Aku pun, berbisik dan beritahu yang aku sedang dalam bilik mesyuarat. Lantas, aku matikan suara telefon. Tak mahu terus diganggu.

Tak sampai setengah minit, telefon aku bergetar di dalam kocek seluar. Geli-geleman aku menahan getarannya. Bukan sekali, tetapi berkali-kali. Sehinggalah tamat mesyuarat yang mengambil masa selama 15 minit.

Sepanjang di bilik mesyuarat otak aku hanya memikirkan siapalah yang menelefon aku. Pantas, aku mengeluarkan telefon bimbit. 15 panggilan tak berjawab (semuanya dari orang yang sama) dan satu pesanan ringkas.

Aku belek pesanan itu. Aduh! Sakit tak terkira dibuatnya. Kenapalah sesuka hati teman aku ini menuduh aku yang bukan-bukan? Katanya aku sudah sombong dan tak mahu lagi mempedulikannya. Makin hari makin bertambah susah untuk bercakap dengan aku. Mengalahkan menteri!

Kalaulah ikutkan hati, mahu sahaja aku buat panggilan terus padanya untuk menerangkan keadaan yang sebenar. Tapi, aku rasa hanya sia-sia. Bagi aku, kalau dia seorang teman, yang dah lama mengenali aku, sepatutnya dia faham tindakan dan kelakuan aku. Masakan aku boleh berubah dalam sekelip mata. Aku bukan jenis mudah lupa orang. Kawan atau lawan. Kedua-duanya aku akan ingat sampai bila-bila.

Pesanku kepada teman yang selalu dekat di hati, aku tak pernah menjauhkan diri atau cuba mengasingkan diri dari hubungan persahabatan kita. Tiada istilah tidak sama taraf atau lupa diri dalam kamus hidup aku (bukan kamus dewan, ya!) Kita tetap sama seperti dulu. Sewaktu kau dan aku tak punya apa-apa dan cuma ada keinginan untuk berjaya dalam hidup.

Berikan ruang untuk aku bernafas. Bukan aku lemas tetapi tugasan kerja yang menuntut sepenuh perhatianku. Dulu dan kini jauh bezanya. Siang dan malam terpaksa ku abdikan diri demi tugasan. Lagipun, bak kata orang... masa mudalah kita perlu kerja lebih keras. Aku harap kau pun begitu juga.

Maafkan aku kiranya aku mengasari emosimu wahai teman. Aku janji, bila-bila ada masa terluang, akan aku hubungi kau di mana jua kau berada.

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku