Monday, October 12, 2009

Yang Tertinggal...

Pagi itu... Jumaat, 9.10.2009

Pagi-pagi lagi aku rasa berat untuk pergi ke pejabat. Bagaikan ada sesuatu yang tak kena. Namun begitu, kerana tugas, amanah dan tanggungjawab, aku gagahkan kaki dan keraskan hati untuk melaporkan diri ke pejabat bersana hati yang sudah tidak lagi menetap dalam diri.

Seperti biasa, seawal 9.00 pagi aku tak bisa memulakan tugas dan terpaksa mencari momentum sendiri. Aku selak setiap laman maya, satu persatu cuba mencari rentak untuk mula bertugas. Sayangnya, akal fikiran dan ingatan berkecamuk, jauh mengingatkan atuk. Entah kenapa hati ini memberat mengenangkan atuk.

Tepat pukul 9.45 pagi, umi buat panggilan. Sebaik mendengar nada dering cup cake (yang ku letakkan khas untuk panggilan masuk daripada umi), hati mula bergetar. Nafas celaru, tapi sempatku sebut Allahu, di setiap hujung nafas. Perlahan-lahan ku ambil telefon bimbit yang tersimpan di dalam laci.

"Ya umi, ada apa-apa jadi dengan atuk?" soalku spontan.

"Kau boleh balik tengahari ni? Tadi mak andak telefon, doktor kata kemungkinan atuk sembuh tipis. Oksigen yang dia guna pun jatuh berkali-kali sampai 65% saja," jelas umi.

Aku terdiam. Kebetulan ketua editor aku masuk pejabat, tapi aku tak endahkan kewujudan dia atau sesiapapun lagi di dalam pejabat. Tumpuanku seratus peratus kepada suara umi.

"Kau balik ya Izan, doktor pun dah suruh nenek kumpulkan semua anak-anak atuk," kata umi lagi.

Umi matikan panggilan. Berat mulut untuk aku suarakan hajatku kepada ketua editor. Apataknya, dalam minggu ini sahaja aku sudah tidak datang sekali, Isnin lepas sebab menghantar abah dan Miqhail ke hospital dan juga atuk ke klinik.

Aku mengorak langkah menuju ke kamar kecil. Sengaja aku memasang air paip. Tidak mahu suara sendu kedengaran dan di situlah saksi air mataku jatuh berkali-kali. Serba salah sama ada untuk tinggal di pejabat, ataupun balik saja dan jemput umi abah. Lama juga aku berfikir lalu aku nekad.

Aku keluar dari kamar kecil. Merangka kata-kata yang perlu kututurkan pada ketua editorku.

"Mr.Lee, saya nak balik, atuk saya dah tenat," kataku laju.

Ketua editorku tidak terus menjawab. Dia seperti berkira-kira sesuatu.

"Hari ini kira cuti ya, dah berapa hari you ambil cuti," soal ketua editorku.

Sumpah aku katakan, pada ketika ini aku tak ingat tentang cuti, duit atau KWSP apa pun. Otak aku sudah lama sampai di sisi atuk. Tiba-tiba, dia boleh bertanya tentang CUTI!

"Dah lebih lima hari," ucapku.

"Balik nanti kita kira sama-samalah ya," ujarnya.

Tak susah aku mentafsir ayat dan riak wajahnya ketika itu. Tak susah juga hatiku menzikirkan sumpah. Kalau ikutkan hati, mahu saja aku cakap...

"Potonglah gaji saya, sebab saya cuti bukan pergi berjoli. Selama ini saya cuti pun sebab atuk saya!"

Malas berfikir panjang, aku terus angkat kaki jalan. Biarlah mereka-mereka nak mengutuk, mengata atau mengumpat aku. Dalam hati aku sudah sempat mewasiatkan, kelak di satu hari nanti kamu semua juga akan merasakan yang sama sepertimana yang aku rasa dan lalui ketika ini. Allah itu ada, Dia Maha Adil dan Dia juga yang mampu membalasnya kepada kalian semua.

Petang itu... 7.55 petang
Aku masih teringat wajah umi dan abah ketika aku sampai di rumah tadi. Mungkin mereka tidak percaya yang aku balik juga ke rumah. Balik lebih awal kerana umi menjangkakan aku hanya akan sampai ke rumah tengahari.

"Abah boleh pergi sendiri naik motor," kata abah sebaik aku sampai di depan rumah.

Aku senyum saja. Di ketika itu, aku membayangkan jika aku di tempat abah. Tentunya aku tak sabar untuk bertemu abah, yang sedang sakit. Jadi, seboleh-bolehnya, aku tak mahu abah merasai atau melalui perasaan itu. Perasaan tidak berdaya.

Selepas selesai solat Jumaat, barulah kami bertolak menuju ke hospital Tawakal. Mulanya, aku menunggu di tempat letak kereta saja. Beri peluang untuk abah dan umi. Manakala aku menjaga Miqhail di dalam kereta.

"Izan, naiklah ke atas. Atuk dah teruk. Bawa Miqhail sekali," kata umi di hujung talian.

"Bukan budak tak boleh masuk?" soalku.

"Boleh, cuba-cubalah bawak ya," kata umi lagi.

Tanpa berlengah-lengah, aku dukung Miqhail dan mengendong beg kelengkapannya. Setibanya aku di muka pintu lobi hospital, aku dapat lihat pengawal yang sedang leka berbual di laluan masuk menuju ke lif. Jadi, aku berjalan pantas menggunakan tangga. Alhamdulillah, terlepas. Tangan yang melenguh kerana mendukung Miqhail terasa kebas. Tapi, langkah ku tidak berhenti di sini dan aku terus melangkah lagi.

Sampai ke tingkat 3, aku terus meluru masuk ke wad. Di situ sudah ramai yang menemani atuk. Atuk menoleh ke arahku dan tersenyum. Aku membawa Miqhail masuk dan duduk bersila di sebelah umi dan Mak Andak. Tak berkesempatan menghampiri atuk kerana ada Pak Cu dan nenek di sisinya. Tak apalah, berilah mereka peluang, detik hatiku.

Sepanjang-panjang aku di situ, beberapa kali juga aku mendengar atuk menyebut waktu Maghrib. Selesai solat Asar, pun dia kata nak tunggu waktu Maghrib. Tak tahu kenapa tetapi hatiku kuat mengatakan ada sesuatu yang akan berlaku Maghrib ini.

Bila nenek ingin menyuapkan dia makanan, dia kata mahu makan selepas Maghrib. Mahu disuapkan makan dan minum, semuanya selepas Maghrib.

"Umi, atuk dah banyak kali betul cakap tentang Maghrib," aduku pada umi.

Umi diam tidak membalas.

Pelawat semakin ramai. Hari pun semakin petang. Mak Andak pula terpaksa pulang, jemput anaknya. Mak Nde dan Mak Ngah datang sekitar asar dan Maghrib.

Miqhail pula tidak seperti hari biasa. Jadi semakin lasak. Ingin menarik itu dan ini. Aku terpaksa mendukungnya kerana dia enggan bersama dengan orang lain. Bila aku dukung, dia kurang lasak. Jadi, berdukunganlah dia. Masuk waktu Maghrib, semua pergi mencari surau. Atuk pula sudah sedia solat di katilnya.

Aku terpaksa menunggu giliran. Hati aku berat untuk keluar dari wad, jadi aku solat Maghrib di bilik wad sahaja bersama-sama yang lain-lainnya. Kebetulan, aku memakai seluar jeans. Aku minta nenek kain batik. Malangnya kain batik yang dia bawa sudah lusuh dan koyak. Dia khuatir untuk memberikannya padaku.

"Kain pelekat atuk ada ni, izan nak?" soal nenek.

"Boleh aje," kataku sambil menghampirinya.

Bau haruman atuk kuat melekat di kain pelekat itu. Aku tinggalkan atuk sekejap dan menunaikan solat. Selesai solat, abah berikan Miqhail kembali padaku. Aku mendukung Miqhail. Disebabkan tadi aku tak berkesempatan duduk hampir dengan atuk, aku ambil peluang itu untuk bersamanya.

Aku membawa Miqhail bersama. Miqhail tenang. Kebiasaannya, dia resah dan menangis bila hampir dengan atuk. Berlainan pada malam itu. Melihatkan Miqhail tidak bising-bising, aku semakin merapati atuk. Aku capai tangan atuk yang panas. Lantas aku meramas-ramasnya. Niat di hati, ingin aku mengucup tangan itu tetapi niatku dihalang kerana Miqhail tiba-tiba mencapai tangan atuk.

Sungguh indah pemandangan ketika itu. Terharu aku rasakan. Miqhail salam tangan atuk berkali-kali. Kalau sebelum ini, si kecil itu takut untuk memegang Tok Nyangnya, kali ini tanpa disuruh dan dipaksa, dia salam tangan atuk.

Atuk pandang aku dan senyum. Ya! Itulah senyuman atuk yang terakhir untukku dan cicitnya Miqhail. Aku berundur beberapa tapak sebab beri peluang pada nenek menyuap atuk. Tak sampai beberapa minit, suasana tenang berubah.

Atuk enggan memakai topeng oksigen. Puas kami memujuk. Dia menggeleng. Tangannya kuat mencabut wayar-wayar di tanganya dan mencampakkan topeng oksigen. Mata kami semua melihat peti oksigen, peratusan kian menjatuh, laju dan laju. Laju dan terus laju sehingga 45%.


"Abah, pakai sekejap saja...," pujuk anak-anaknya dan umi.

"Atuk, pakailah tuk,"

Atuk tak mahu, dia berdegil. Aku betul-betul panik tapi sempat berlari menuju ke bilik air. Aku hentak pintu.

"Abah, cepat keluar abah. Atuk...!" jeritku.

Abah meluru keluar, merapati atuk. Dengusan suara atuk makin kuat. Aku mendakap Miqhail kuat. Si kecil itu membalas dakapanku. Aku dapat lihat semua jururawat bergegas masuk ke bilik wad dengan membawa semua perkakas. Aku pandang meter degup jantung. Lurus dan dengung kuat.


"Allah!" laung atuk.....

Tepat 7.55 petang. Atuk sudah terkulai layu. Wajahnya tenang, senyuman masih terukir di bibir. Tangisan berlagu-lagu dan bergema di dalam bilik itu, mengiringi pemergiannya.

Pagi esoknya...

Kehilangan. Aku tak pernah rasa kehilangan sebegini waktu menatap arwah wan untuk kali terakhir. Kata-kata atuk terus menggamit memori.

"Izan, atuk tunggu drama kau keluar tv ni. RTM kan?" soalnya dulu.

"Atuk tengok tv tadi, atuk ingatkan kau yang baca sajak," ujarnya lagi dengan senyuman.

Dan paling aku tak lupakan...

senyuman atuk untuk kali terakhir, sebelum dia menghembuskan nafas.

Aku dikira bertuah kerana dapat meluangkan masa sehari suntuk bersama atuk dan menemani dia sehinggalah hembusan nafas terakhir. Selain dari kenangan itu, aku juga minta izin dari nenek, untuk menyimpan kain pelekat atuk yang kupakai ketika solat Maghrib. Maghrib terakhir atukku.

* Ajaibnya hidup ini, semalam aku berciuman pipi dengan atuk. Hangat pipinya terasa. Hari ini, saat kucium pipinya kali akhir, sejuk hingga meruntunkan jiwaku.

Semoga roh atuk sejahtera di sana dan dicucuri rahmat. Al-Fatihah...

Haji Zainal Bin Ahmad.... akan selalu kukenang....