Saturday, October 17, 2009

04:45 161009...

Hari ini sengaja aku tidur di bilik umi dan abah. Niat di hati tidak mahu terlepas sahur. Tepat pukul 4.30 pagi, umi kejutkan aku dari tidur. Kebetulan, aku tidur-tidur ayam. Tak susahlah untuk aku berjaga. Aku makan baki mee goreng yang abah beli dari gerai semalam. Takut jumlahnya tak mencukupi, aku tambah pula dengan roti. Sebelum meneruskan kembali perjalanan lenaku, aku sempat makan ubat yang dibekalkan semalam.

Tak sampai 15 minit, aku dapat rasakan ada sesuatu yang tak kena dengan perutku. Mulanya aku andaikan serangan gastrik biasa. Jadi, aku pergilah ke bilik air, cuba untuk muntah. Malangnya, perutku terus meragam. Semakin lama semakin sakit, lalu membuatkan aku terguling-guling sendirian. Entah macam mana, kepala otak aku mengajak aku cuba memperbodohkan sakitku itu dengan cuba bawa tidur. Tidak berhasil dan sakitku itu semakin lama semakin parah. Aku pandang jam, sudah pukul 5.30 pagi.

Along masuk ke bilik, bersama-sama Miqhail yang nyenyak tidur. Aku senyum saja. Buat-buat sihat. Padahal sakit di dalam semakin membinasa. Aku bawa pula mandi. Harap sakit itu akan reda. Harapan cuma tinggal harapan. Sakitku itu semakin menggulung tubuhku. Aku berlari mendapatkan abah di rumah bawah. Dia sedang mandi.

"Abah, kita pergi hospital ya," ujarku, perlahan-lahan cuba menahan sakit.

"Kenapa?" jawab abah dari dalam bilik air.

"Tak tahan, sakit sangat," kataku, dan kali ini, benar-benar sakit.

"Tunggu kejap, abah mandi dulu ya," kata abah.

Aku tak menjawab, dan terus kembali semula ke bilik umi.

Aku gerakkan umi perlahan.

"Kenapa Izan?" soal umi sebaik sahaja kelopak matanya dibuka.

"Izan nak ke hospital, tak tahan sangat," kataku.

Kemudian aku menghampiri Miqhail yang masih lena dalam tidur. Kukucup pipinya lembut. Umi bangun dan mengiringi aku turun ke bawah. Aku tahu, dia tidak akan turut serta bersamaku ke hospital kerana harus menjaga Miqhail. Ya, lagipun, aku tak mahu menyusahkan ramai sangat orang kerana aku.

Sementara menunggu abah bersiap-siap, umi menemankan aku dan menunggu di ruang tamu. Miqhail pula masih nyenyak tidur di tilam khasnya, yang sengaja diletakkan di tengah-tengah rumah. Umi kata yang aku ini malas nak berubat. Sepatutnya sakit yang aku alami ketika ini boleh dihalang sekiranya aku patuh makan ubat dan amalkan minum air bali dan air suam yang banyak. Ya! Benar cakap umi. Aku bukan malas, cuma terleka. Lupa sekejap kerana sakit itu hilang sekejap dan menyangkakan ia tak akan kembali. Abah pun mengatakan perkara yang sama di sepanjang perjalanan.

Aku terpaksa dengar kata-kata amarah abah dan umi kerana aku tahu, aku bersalah. Kali ini perasaan bersalah aku semakin tebal apabila mengenangkan waktu di ketika itu sudahpun melewati pukul 8.30 pagi. Kebiasaannya, aku sudahpun sampai di pejabat. Sama ada membersihkan kawasan pejabat, atau tak pun membelek ruangan e-melku sebelum memulakan tugas. Bila dah sakit begini, aku yakin yang aku pasti tidak dapat menghadirkan diri ke pejabat. Itu yang membuatkan aku kesal. Terpaksa cuti sakit untuk sehari lagi. Padahal di pejabat kerjaku sudahpun menimbun. Aku sempat SMS pada ketua editor. Aku harap dia faham situasiku.

Sampai hospital, aku menuju ke bahagian kecemasan. Di ketika itu, hospital masih lengang dan nombor giliranku 2006, dan terpaksa menunggu selama hampir 2 jam untuk mendapatkan rawatan. Sedangkan aku tak boleh duduk diam menahan sakit dalam keadaan ini, inikan pula terpaksa menunggu giliran yang entahkan bila akan tiba. Jadi, untuk tidak menyusahkan orang lain dan diri sendiri, aku pergi ke ruang solat. Di situlah aku menunggu giliran sambil terguling-guling tanpa disaksikan orang lain. Abah yang datang kemudian kerana ada masalah meletak kereta (parkir penuh!) gagal bertemuku dan bertanyakan di mana aku melalui SMS.

Aku tsk terus balas dan pergi mendapatkannya.

"Izan baring kat dalam sana, sakit tak tahan sangat," aduku pada abah.

Abah angguk, dan dia suruh aku kembali ke tempat itu dan berbaring semula. Namun belum sempat berbuat demikian, giliran aku tiba. Bila masuk saja berjumpa doktor, mulalah dia memeriksa (apa yang patut diperiksa!). Termasuklah mengambil darah untuk ujian. Habislah puasaku, terbatal! Sakit juga ketika dia mencucukkan jarum ke lenganku kerana darah tak keluar-keluar. Apalah nasib? Dahlah sakit, darah pun enggan keluar!

Selesai sudah, aku di suruh tunggu di luar untuk menunggu keputusan dari lab. Menunggu keputusan itu saja aku boleh tidur untuk satu jam. Aku kembali pada abah, dan abah menyuruhku berbaring dulu di ruang solat. Kebetulan semasa aku masuk ke ruang solat itu, ada seorang kakak yang juga baring dan tertidur. Aku cuba masuk tanpa mengejutkannya. Malangnya gagal dan dia terbangun juga. Akhirnya berceritalah dia tentang kisahnya pula. Dia datang ke hospital sejak 4 pagi, kerana menemankan suaminya yang terkena serangan batu karang. Datang ke hospital tapi hanya di rawat pukul 8 pagi sebab doktor baru sampai.

Belum sempat bercerita panjang, namaku dipanggil. Aku masuk tanpa ditemani abah. Sebaik masuk, aku disambut mesra doktor itu.

"Ujian dah mengesahkan yang awak sakit ..........................," kata doktor itu.

"Jadi, tolong datang untuk ultra sound Isnin ini," jelas doktor itu lagi.

Maknanya, Isnin ini sekali lagi aku terpaksa cuti sakit dan tidak dapat melaporkan diri ke tempat kerja. Dugaan!