Thursday, October 29, 2009

Al-Kisahnya...

Pagi-pagi, macam biasa aku tak akan keluar rumah selagi tak jumpa umi, abah dan Miqhail. Tak pula aku sangka hari ini Along dan abang Zamri cuti, jadi agak susahlah aku nak jumpa Miqhail sebab tentunya dia nyenyak tidur di bilik mamanya. Disebabkan malas dan dah terlambat ke tempat kerja (masa tu dah pukul 7.30 pagi!), aku bergegaslah memberikan Jaanu dan Jiji makan. Maaflah anak-anak ya, mama tak sempat nak mandikan kamu berdua. Balik dari pejabat nanti, mama akan mandikan.

Dalam sibuk menguruskan Jaanu dan Jiji, habis 5 minit di situ saja. Apa lagi? Cepat-cepat aku berlari (dengan diiringi lagu Perang wayang kulit dalam hati... aa hip!) menuruni tangga. Aku nampak Along dan Umi, masing-masing sedang santai. Dalam hati aku, cemburu betul tengok mereka melepak. Senang hati saja.

"Eh, abah mana?" soalku pada umi sebaik saja tak nampak bayang abah. Pagi tadi masa aku masuk ke bilik umi, aku nampak abah sedang bersiap. Nak ke Bangsar, ada hal katanya.

"Abah dah pergi, tadi lagi," jawab umi.

"Lah... kenapa tak tunggu Izan," keluhku, rasa kesal tak sempat salam tangan abah sebelum pergi ke pejabat.

"Along, kau pergilah bawa Miqhail ke bawah sekejap. Aku nak pergi kerja dah ni. Selagi aku tak cium dia, aku tak senang hati nak pergi pejabat," pintaku pada Along.

"Yelah, ada aja kau ni!" bentaknya tapi tetap bergegas naik ke bilik.

Tak sampai beberapa minit kemudian, Along turun sambil mendukung pari kecilku itu. Nakal betul muka Miqhail kulihat. Penuh dengan celoreng-celoreng dan kerak air liur basinya.

Ah, aku tak kira itu semua. Budak kecil, bukan ada bau apa-apa pun. Bau bacin pun tak. Jadi aku pun mendukunglah dia. Nyata dan jelas sekali, dia memang tunggu untuk aku dukung.

"Ala sayang buchuk Angah ni," kataku sambil kukucup kedua-dua belah pipinya lembut, gebu dan berkerak air liur basi tadi. Hehehehe. Bau Miqhail tetap wangi tau!

"Aku tak sabar nak tengok kad yang Man buat, bila siap? Kau dah tengok ke belum? Macam mana, sok boleh aku tengok? Esok dah nak print tau," soal Along bertalu-talu.

Tak sempat rasanya nak jawab yang mana satu.

"Dia tengah buat kot, sebab semalam dia cari gambar-gambar kartun Disney. Insya-Allah siaplah esok. Tapi, kalau tak sempat siap pun tak apakan Along, sebab dia banyak kerja kat pejabat tu, tak pun kita suruh Ayuz buat nanti bila dia balik, ok tak?" balasku balik pada Along.

"Okaylah, tapi aku tetap nak tunggu yang Man buat," kata Along.

Alamak. Susah hati betul aku dibuatnya. Takkanlah aku nak paksa juga member tu buat. Dahlah kerja kat pejabat tu melambak. Aduh, pening kepala aku.

"Okaylah, aku pergi dulu ya," kataku lagi dan terus memecut dengan Romi kesayanganku. Sepanjang perjalanan, ingatanku tak lepas tentang kad hari lahir Miqhail tu. Inilah satu-satunya perangai buruk aku. Abah pun selalu cakap,

"kau ni, suka sangat fikir masalah kecil tu sampai jadi besar. Lepas tu pening kepala sendiri!"

Betul tu. Dah perangai aku macam tu, nak buat macam mana lagi. Aku selalu pesan pada diri, apa-apa pun jadi pastikan ada pelan sampingan. Jadi, awal-awal aku kena fikir. Fikir yang terburuk sebelum harapkan yang terbaik. Itulah yang selalu aku ingatkan pada diri sendiri.

Jadi, sampai di pejabat dengan otak yang berserabut, aku pun tanyalah Man. Aduh, dia cakap tak sempat. Tak apa, aku faham. Lagipun aku terasa pula yang aku ni macam sedang memaksa dia, padahal dia nak buat pun dah cukup baik. Jadi, sebelum dia sempat buat aku dah fikirkan pelan sampingan. Aku sms Along dan beritahu umi yang kad hari lahir tu mungkin tak dapat siap. Jadi, aku akan suruh Ayuz yang buat. Sepanjang-panjang duduk di pejabat pagi tadi, ingatan aku tak lepas fikirkan masalah ini. Entahlah, mungkin aku rasa aku dah berikan harapan pada Along itu yang buat aku bertambah-tambah risau. Tak ada penumpuan langsung dalam kerja hinggalah Man suruh aku buka folder dalam komputer aku.

"Mak aih!" cakap dalam hati je.

Rupanya dia dah siapkan. Kaki kelentong punya budak! Dia tak tahu kot yang aku ini memang jenis biol sikit. Lurus. Orang cakap satu, aku percaya satu. Sudah tu pulak, kad yang dia buat bukan satu tapi 3. Bukan dalam satu jenis, ada dua jenis pula tu... 3 dalam CMYK dan 3 dalam RGB. Hah, padan muka aku. Sikit lagi nak keluar air mata. Terharu yang amat amat amat sangat tau. Tambah pula kad-kad tu memang cantik.

Aku sempat cakap lagi pada dia...

"Lainkali jangan buat macam ni lagi, sakit jiwa tau. Nasib baik awak ni lelaki, kalau perempuan siaplah...,"kataku lagi.

Dia dengan muka tenang dan selambanya, senyum saja. Hish, aku rasa dah banyak kali terkena dengan mamat seorang ni. Aduh, apalah nasib aku ni? Tak apalah.

Apa-apa pun Rizman (Man), terima kasihlah banyak-banyak. Sanggup berjaga malam untuk tunaikan janji dia. Terharu betul. Maaflah kalau tadi terasa, al maklumlah... saya ni memang jenis kelam kabut sikit. Tak berniat pun nak buat orang lain terasa. Hehehehe.

* Lainkali bolehlah buat kad hari lahir aku pulak... hahahahaha....

Di bawah ini adalah hasil dedikasi kawanku, Man. Sesiapa yang rasa nak tempah, bolehlah tanya aku. Aku akan 'forward' tempahan semua pada dia.