Monday, October 26, 2009

Si Pari Kecilku... Miqhail Zamri

Masih jelas diingatan. Tarikh keramat 26, Oktober 2008. Pagi itu, tenang seperti biasa. Aku pun sedang enak dibuai mimpi kerana waktu malamnya asyik sibuk melayan rancangan di tv. Maklumlah, hampir Deepavali. Banyak cerita menarik dan aku pula masih di awang-awangan. Masih berbulan madu, dan tekun berkebun menanam 'anggur'. Semuanya disebabkan abah yang berdegil suruh aku berehat dulu sebelum ambil keputusan untuk bekerja. Untung ada juga yang memahami. Kalau ada ibu bapa yang lain, nampak anak melepak sikit di rumah dah habis kena maki hamun. Alhamdulillah, aku tak pula lupa daratan. Masih ingat pada tanggungjawab dan tak ambil kesempatan atas sikap mereka itu.

Sedang aku melayan mimpi (bertemu dengan si pengarang jantung hati, ewah!), aku dengar bunyi riuh di depan pintu kamar tidur. Seperti biasa, aku bangun dan meninjau perkara yang terjadi. Rupa-rupanya Along dah mula terasa sakit, dan sudah keluar darah. Pasti itu tanda-tanda untuk melahirkan anak dalam kandungannya... (yang selama ini kami panggil Miqhail). Abang Zamri bawa Along pergi terlebih dulu, dan aku dan yang lain menyusul kemudian. Along telah dibawa ke hospital pilihannya iaitu Gombak Medical Centre.

Di rumah, masing-masing tak senang duduk. Sekejap-sekejap kami menghubungi abang Zamri dan Along sendiri untuk mengetahui berita terbaru. Along ada kata yang kedudukan bayi masih jauh lagi. Menjelang petang, aku dan lain berangkat. Ingin sama-sama berada di sisi Along. Inilah kali pertama aku dapat turut serta dalam penantian. Sampai sahaja di hospital, Along nampak tenang. Tenang sangat. Sibuk buat lawak lagi. Terkadang nampak juga raut wajahnya yang cuba menyelindungi rasa sakit.

Lebih kurang dalam pukul 6, Along dibawa ke bilik pembedahan. Bersiap sedia untuk melahirkan anak sulungnya dan abang Zamri, anak buah pertama aku dan Ayuz, cucu pertama abah dan umi, dan cicit sulung Zainal. Lepas saja waktu Maghrib, abang Zamri beritahu, belum tiba masa untuk melahirkan. Dia sempat bersolat Maghrib sebelum pergi semula menemani Along. Bertarung nyawa, untuk melahirkan zuriatnya. Banyak kali juga abang Zamri keluar masuk ke dalam wad. Mungkin kerana dia pun panik.

Dia datang dan beritahu yang bayi akan lahir bila-bila masa. Jadi, umi, Ayuz dan aku bergegas pergi ke bilik pembedahan manakala abah hanya tunggu di bilik wad. Sehingga ke saat ini, aku masih belum dapat melupakan peristiwa malam itu. Aku, umi dan Ayuz, duduk menunggu, betul-betul di depan bilik pembedahan. Semua dapat didengar dengan jelas. Paling menggerunkan apabila mendengar azan dilaungkan. Ya Allah, gemanya sungguh kuat. Bergoncang jiwaku dibuatnya.

Aku berlari, melarikan diri. Tidak mahu memberi peluang umi dan Ayuz membaca emosiku ketika itu. Sengaja aku menyembunyikan wajah di sebalik langsir. Hanya untuk menyembunyikan perasaan takut dan segalanya yang bercampur menjadi satu. Azan yang dialunkan barisan jururawat, doktor dan abang Zamri membuatkan aku berfikir yang bukan-bukan dan sempat juga aku berdoa.

"Ya Allah, kau permudahkanlah Along untuk melahirkan anaknya. Kau lindungilah dia dan anaknya. Kau selamatkanlah mereka Ya Allah," ucapku yang ketika itu sudahpun kembali duduk bersama-sama umi dan Ayuz sambil jari-jemariku mencubit diri sendiri.

Tak tertahan, air mata jatuh dan tumpas. Keadaan jadi sunyi seketika. Semakin deras air mata merembes dan tidak sampai beberapa saat kedengaran jelas suara tangis bayi, anak Along.

Aku menangis. Syukur. Bayi dah selamat dilahirkan. Tapi, Along macam mana? Aku tidak terus merasa lega dan menanti sabar berita khabar Along dan tentu sekali anaknya. Kemudian, abang Zamri keluar. Dia kelihatan tenang dan beritahu.

"Bayi lelaki, sempurna sifatnya. Alin pun selamat," katanya kepada umi.

Mendengarkan itu, barulah aku lega dan terus mengucapkan Alhamdulillah. Aku terus berlari ke bilik wad, ingin beritahu abah yang dia sudahpun bergelar datuk. Sebaik saja aku sampai, aku dapat lihat abah yang sedang berdoa dan bertafakur.

"Abah, along selamat lahirkan anak lelaki," kataku dengan penuh keriangan.

Kelahiran bayi ini penuh dengan kuasa kebesaran Allah dan membawa beribu rahmat. Secara automatik juga, nama Miqhail menjadi nama pengenalan kepada bayi yang memang dinanti-nantikan setiap keluarganya. Miqhail lahir dengan berat 4.25 paun dengan kaedah normal.

Aku menanti sabar untuk melihat pewaris keturunan Zahar itu. Tatkala dia dimasukkan ke bilik bayi, air mata menitis lagi. Miqhail antara bayi yang paling besar berbanding bayi-bayi yang baru lahir. Aku menatap wajah Miqhail menerusi cermin. Tapi aku dapat melihat dengan jelas. Kerana terlalu asyik melihat Miqhail, aku tidak sedar kehadiran saudara lain yang hadir. Malah, semasa Mak Ndak dan Pak Ndak datang, aku masih tekun memerhatikan Miqhail. Along keluar dari dalam bilik pembedahan dengan senyum yang melebar. Sempat juga dia berbual mesra dengan jururawat, bertanyakan tentang cuti Deepavali.

Kini, dah setahun. Alhamdulillah, kenangan itu tak akan terlupus. Miqhail Zamri.... Selamat Hari Lahir pertama.

* Makcikku sempat membisik kepadaku yang Miqhail nampak sebiji seperti wajahku. Walaupun ketika dalam kandungan, aku tak berpeluang hampir dengannya. Agak terkejut juga bila lihat wajahnya sebiji wajahku. Yang berbeza cuma, dia lelaki dan aku perempuan. Hehehehe....

Apa-apa pun, hari ini aku dedikasi entri ini untuk anak buah kesayanganku... Miqhail Zamri.

Selamat Ulang Tahun yang pertama sayang...
Angah sayang Miqhail....
muah,muah,muah!!!


Miqhail Zamri... pari kecilku




Kali pertama aku mendukung Miqhail...



Syok tidur... Miqhail 2 bulan 7 hari


baru bangun tidur... Miqhail 2 bulan 11 hari


Tengah tunggu abah bayar saman!
Miqhail 3 bulan 27 hari



4 bulan 2 hari




Di PD, 5 bulan


Di Sungai Besar, 6 bulan


Nakal betul, 7 bulan


Dengan Patrick, patung maskotku... 7 bulan


Comot, kan? Dia memang suka makan coklat....8 bulan


Cuba menggodala tu konon! 9 bulan


Raya lepas... bukan selalu dapat tengok dia
pakai baju melayu...9 bulan



Dengan cinta hatinya, tak boleh lepas kalau tak mesti ngamuk!
10 bulan


Paling suka cakap dengan handphone...
padahal takde orang pun di talian...
11 bulan!


Nakal sesangat! Kelebihan dia, menjerit, menangis, makan, minum, main dan lain-lainlagi. Tapi yang penting, dialah permata di hati... walaupun ada ketikanya dia boleh mengancam 'anak-anakku' yang lain iaitu Jaanu dan Jiji....
12 bulan....

Semoga membesar dengan sihat dan menjadi budak dengan akal dan budi yang terpuji....
Insya-Allah!!!!