Perlukah berubah?



Selama hari ini, aku amat selesa dengan cara aku membawa diri dalam erti kata lain, pergaulan sesama kawan-kawan. Tak kisahlah berkawan dengan perempuan mahupun lelaki. Tak pernah aku dengar cakap-cakap atau orang mengadu tak selesa dengan cara aku. Namun, hari ini seakan mencatatkan satu peristiwa baru. Bukan setakat mengejutkan aku, tapi ia juga mampu merobek hatiku. Amat amat amat sangat.

Setiap dalam pergaulan, aku ingat pesan abah. Tak kiralah kawan atau dengan kekasih (sekarang dah jadi kenangan, sedihnya!) sekalipun, jangan sesekali mengundang fitnah. Jangan beri ruang untuk orang buat fitnah. Abah juga pernah kata pada kami tiga beradik,

"Nak jaga lembu sekandang lebih senang dari jaga anak dara seorang, inikan pula bertiga,"

Tak payah kaji dalam-dalam. Aku faham benar ayat abah tu. Abah juga ada kata pada kami bertiga,

"dalam apa jua yang kau buat, ingat 4 perkara yang kau sentiasa ada pada diri kau. Allah, Nabi Muhammad S.a.w, umi dan abah,"

Ya. Aku tak pernah lupa yang itu. Dan perkara yang paling aku tak boleh lupa...

"kalau berkawan dengan lelaki, berdua-duaan jalan ke sana ke sini, orang tetap pandang buruk pada perempuan. Lelaki tak ada rugi apa-apa pun. Orang tak akan cakap buruk tentang lelaki tapi perempuan yang kena hentam teruk. Jadi, hati-hati dalam tingkah laku,"

Sejak dari kecil, seingat aku. Walaupun aku pernah berkasihan tapi tak pernah dalam seumur hidup aku bersendirian dengan mana-mana lelaki. Aku lebih selesa bila dalam kelompok yang ramai. Ya! Tak pernah sekalipun. Pergi tengok wayang pun mesti ada ramai yang menemani (walaupun dengan si dia yang bernama kenangan).

Pernah dulu, semasa di ASWARA. Aku selalu didatangi oleh seorang pelajar lelaki yang sudah kuanggap sebagai adik. Dia memilih aku untuk meluahkan segala masalah, dan segala-gala rahsia padaku. Pada dia, aku tak anggap apa-apa selain dia memerlukan sedikit perhatian yang mana aku andaikan dia tidak mendapatnya dari orang yang sepatutnya.

Di situ perkiraan aku salah. Hanya berjumpa di tempat terbuka dan dipenuhi ramai pelajar lain, masih ada juga mulut-mulut dan suara sumbang yang kata ada sesuatu antara kami. Ya Allah! Taubat betul aku lepas dituduh begitu. Bila aku adukan hal ini pada abah, abah kata itu memang salahku sendiri.

"Abah dah pesan. Yang buruk nama kau, lelaki tu tak ada apa-apa pun. Betul tak? Lagipun, kau sendiri yang buka peluang untuk orang sekeliling buat fitnah. Jangan lakukan sesuatu yang boleh dijadikan fitnah. Bukan saja datangkan dosa pada diri sendiri, pada orang yang buat fitnah itu lagi berlipat kali gandanya,"

Ya. Sejak dari hari itu dan peristiwa itu membuatkan aku lebih berhati-hati sehinggalah ke hari ini. Jadi, aku tak pernah terfikir pula tentang orang akan mempertikaikan cara pergaulanku yang telah diajar abah padaku.

Betapa kecewa dan sedihnya hatiku apabila orang tidak faham tujuan sebenar aku mengelak dari dilihat berdua-duaan dengan bukan muhrim. Sekarang, aku sendiri buntu. Kenapa sukar untuk orang membaca cara pergaulanku demi menjaga tatasusila seorang gadis muslim? Hanya ini yang mampu kulakukan. Dosa yang dapat dielakkan kerana banyak lagi dosa yang kulakukan (kita semua lakukan) tanpa sedar. Selagi boleh dosa itu dihindarkan, jadi apa salahnya kalau aku jauhkan diri?

Secara jujurnya aku tidak pernah membataskan pergaulan. Selagi aku mampu memberi komitmen terhadap sesuatu hubungan persahabatan, aku akan mempertahankannya dan tidak semestinya pergi ke sana ke mari, berdua-duaan adalah cara untuk membuktikan kita benar-benar ambil berat tentang kawan (yang berlainan jantina). Yang pentingnya, kawan itu sentiasa di hati. Apa guna kalau dekat di mata (selalu ke sana ke mari berdua) dekatlah di hati tapi bila tiada di mata maka tiadalah juga di hati! Itulah konsep yang aku pegang.

Sekarang terserahlah sama ada orang mahu menerima cara pergaulanku dan menghormati peganganku. Mungkin juga selepas ini orang akan kata yang aku kolot, sikit-sikit fikirkan maksiat, dosa dan seorang muslim yang ekstremis. Biarlah, itu pandangan kamu, yang penting aku tahu apa yang aku lakukan dan aku tahu, siapa aku di sisi Allah. Wallahualam. Hanya Dia Yang Maha Mengetahui.


gambar dari blog mamat's blog

* Kalau nak diikutkan konsep ikhtilat, banyak juga yang aku tak patuhi. Namun, seperti yang aku nyatakan tadi, selagi apa yang boleh aku hindarkan, akan aku hindarkan.

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku