Ulasan filem yang aku suka...

Talentime
Sepatutnya aku tulis ulasan filem ini beberapa bulan yang lepas. Tak pun semasa semua warga Malaysia dan terutamanya peminat arwah Yasmin Ahmad meratapi pemergiannya. Namun, aku rasa adalah lebih baik kalau aku simpan terlebih dulu.

Sebenarnya, aku tak sebertuah rakan-rakan yang lain punyai kesempatan mencuri masa menonton filem di pawagam. Hanya satu tempat aku boleh menikmati filem-filem yang baru ditayangkan. Sama ada di Astro atau pun Youtube. Memandangkan aku penyokong kuat filem-filem Melayu, aku lebih suka menahan diri untuk tidak menonton di Youtube. Aku hanya menonton filem luar negara di rangkaian popular internet ini.

Terus-terang aku katakan, filem Talentime merupakan salah satu filem Melayu yang paling aku suka. Kelebihan Yasmin Ahmad yang tiada pada orang lain adalah, dia menghormati budaya, bahasa dan juga kesenian bangsa lain. Kalau dibuat perbandingan antara filem-filem Melayu dari pengarah yang sedia ada, kebanyakkan mereka memasukkan unsur-unsur bangsa lain sebagai sebahagian dari unsur lawak. Tolonglah sucikan pemikiran sikit! Sampai bila nak jadikan bahasa orang lain sebagai bahan lawak!

Aku suka cara arwah Yasmin Ahmad menyampaikan cerita dalam Talentime. Ya! Filem ini merupakan filem kedua yang aku suka selepas filem Sepet.

Signifikan lampu terpasang, sekaligus menggambarkan permulaan suatu kisah dan terpadamnya lampu di dewan menunjukkan pula penamat kepada kisah yang disampaikan. Mudah bukan? Harus diingat, semua perkara yang dibuat membawa maksud tersendiri. Bagi aku sendiri, sebaik melihat poster filem ini jelas kelihatan huruf N sengaja dikecilkan berbanding perkataan yang lain. Lalu memisahkan dua perkataan menjadi TALE N TIME! KISAH DAN MASA.




Begitu juga dengan filem ini, cerita yang disampaikan adalah sepanjang persiapan talentime sempena ulangtahun sekolah tersebut. Sepanjang sebulan, filem ini ditayangkan di rangkaian Tayangan Hebat di ASTRO dan sepanjang itulah juga aku cuba tidak melepaskan peluang untuk menontonnya. Malah, bukan aku seorang sahaja. Abah pun turut sama menonton filem ini. Bukan mudah nak buat abah menonton filem Melayu.

"Kalau kau nak orang tengok filem kau, cuba buat macam Yasmin. Ringkas, mudah tapi bermakna," itu pesan abah setiap kali habis filem itu kami tonton.

"Kisahnya ada di sekeliling kita je, tapi buat dengan bijak," tambah abah lagi.

Memang bijak. Itu juga yang aku ingin katakan. Malah, Yasmin peka dengan isu yang pernah terjadi dalam masyarakat Malaysia yang terdiri dari berbilang kaum. Satu scene yang paling melekat dalam jiwa adalah semasa kematian pakcik Mahesh yang terbunuh disebabkan ada perselisihan faham di hari perkahwinannya yang kebetulan, jiran Melayunya baru kematian ahli keluarga. Peristiwa ini merupakan kisah benar yang berlaku di Kampung Datuk Haron beberapa tahun lalu dan aku masih ingat keadaan tegang akibat kejadian itu. Cuma di dalam realitinya, keluarga Melayu yang sedang mengadakan majlis perkahwinan manakala jiran India pula sedang berkabung kerana kematian.

Banyak perkara yang boleh dipelajari. Antaranya, sikap bersungguh-sungguh Hafiz. Pada hari berlangsungnya Talentime, dia baru sahaja kehilangan ibunya yang tersayang. Disebabkan dia sudah berjanji kepada arwah ibu, Hafiz tetap datang dan mengadakan persembahan. Namun, scene yang berjaya menyentuh hati dan emosiku apabila filem hampir menuju ke penghabisan cerita di mana Hafiz menyanyikan lagu 'I go'. Memang adik Syafie layak menang untuk watak Hafiz yang dibawanya. Semasa Hafiz menyanyikan lagu 'I Go', Kahoe yang selalu menjadikan Hafiz sebagai pesaing dan pencabarnya turut sama menggesek erhu bagi mengiringi persembahan Hafiz. Ya! Aku menangis tika itu bila Kahoe duduk di sebelah Hafiz dan kemerduan erhu bergabung dengan petikan gitar Hafiz. Tersayat hati seketika tiap kali menonton scene ini.

Sebelum itu, ada satu scene yang menggabungkan dilema yang dilalui oleh Melur, Mahesh, Hafiz dan Kahoe sambil diiringi lagu O Re Piya (Aaja Naachle - lakonan Madhuri Dixit dan nyanyian Rahat Fateh Ali Khan). Lagu ini disampaikan berselang-seli dengan emosi kesemua watak dan konflik yang mereka alami. Kesedihan(Melur-Mahesh), kekecewaan(ibu dan kakak Mahesh), perjuangan(Azean-Jit), cemburu(Kahoe) dan harapan(Hafiz). Lebih menarik, keindahan maksud di sebalik setiap kata-kata yang terkandung pada liriknya, disampaikan pula dalam bentuk tarian oleh seorang pelajar India. Inilah yang dikatakan seni! Berjiwa seni. Kebiasaan filem Melayu menjadikan lagu-lagu Hindi malah apa juga lagu-lagu bahasa lain seperti Tamil atau Cina sebagai unsur lawak untuk orang gelak! Bayangkan kalau lagu ghazal Melayu dijadikan bahan gelak, tak terasakah?

Secara keseluruhannya, para pelakon yang menghidupkan setiap watak sewajarnya diberikan penghargaan. Seperti biasa, pelakon kegemaranku Mislina Mustafa. Dia tidak pernah gagal membawa sebarang watak. Ternyata dia juga merupakan pelakon serba boleh. Tahniah! Lakonan pertama Mahesh sebagai budak lelaki bisu, amat kena. Bukan mudah untuk melakonkan watak bisu, emosi pada ekspresi wajah adalah perkara yang paling penting dan Mahesh berjaya melakukannya. Pamela Chong sebagai watak Melur kurang menyerlah tapi percubaan yang baik memandangkan dia pun masih baru dalam dunia lakonan. Jadi kepada para peserta rancangan Anak Wayang sepatutnya mengkaji watak-watak seperti ini jika mahu menang di musim akan datang (itu pun kalau masih ada musim seterusnya!)

Aku pasti akan merindui sentuhan allahyarham Yasmin Ahmad.


Pokkiri dan Wanted





Sejak mula diuar-uarkan dulu, aku memang ternanti-nanti tayangan filem ini di Malaysia. Aku pernah menonton filem Pokkiri lakonan Vijay dalam versi Tamil yang juga re-make kepada versi asal dalam bahasa Telegu Pokiri dengan lakonan Mahesh Babu. Aku hanya boleh komen tentang Pokkiri Tamil dan WANTED sebab aku masih belum berkesempatan menonton filem Pokiri Telegu. Terus-terang aku katakan, semasa menonton Pokkiri versi Vijay, aku mula menvisualkan kalau Salman yang berlakon dalam filem itu tentu hebat.

Doa aku dimakbulkan dan terhasillah WANTED lakonan Salman Khan. Oleh kerana aku dah pernah tonton versi Tamil, terlalu banyak yang aku harapkan. Mungkin, lebih dari apa yang telah aku tonton. Sebelum aku mulakan dengan ulasan, aku mahu nyatakan yang sebetulnya, aku juga peminat kepada lakonan Ilaya Thalapathy, Vijay. Sukar juga bagiku untuk membuat perbandingan sebab kedua-duanya aku suka.

Akhirnya, aku mampu katakan yang kedua-duanya punyai kelebihan masing-masing. Dari segi lakonan, kedua-duanya hebat. Tarian, hebat. Tapi cara penyampaian dialog, Vijay lebih selamba, dan Salman pula tegas dan garang! Aku suka sangat lakonan Vijay sebab dia sungguh natural bila tiba scene komedi. Ya! Dia menang yang itu. Namun, dia kalah pula dari segi aksi. Aku (sebagai peminat Salman) berani kata aksi adalah 'makanan' Salman dalam banyak-banyak watak yang pernah dilakonkan. Mungkin ramai yang katakan filem ini sebagai lakonan terbaiknya setakat ini, tapi aku tak setuju kerana aku menunggu filem Veer, hasil tulisannya sendiri. Aku pasti Veer akan lebih hebat sepertimana filem Baaghi yang juga merupakan sentuhan emasnya.

Berbalik kepada WANTED, filem ini mungkin tidak berapa diterima di Malaysia kerana semua yang berlaku adalah mengenai isu yang berlaku di India. Korupsi, kongsi gelap dan pergaduhan geng-geng samseng. Malah, lebih menarik ia menyuntik keberanian untuk menegakkan kebenaran. Penulis yang membuat cerita ini masih berpegang kepada unsur keperwiraan dengan menunjukkan hero yang hebat dan boleh mengatasi kejahatan secara sendirian. One Man Army!

Mungkin juga disebabkan ramai rakyat India mahu menjadi sepertimana watak yang dilakonkan di layar perak. Disebabkan itulah filem sebegini mendapat sambutan dan mencapai tahap pecah panggung. Dan kerana filem ini jugalah Salman dapat satu lagi gelaran baru SALMAN LION KHAN!

Senang kata ...
Pokkiri - Komedi dan romantik menyerlah
Wanted - Aksi!

Bila tiba klimaks WANTED, aku boleh jatuh pengsan. Terasa-rasa aku dapat menyerap tenaga yang dikeluarkan secara all-out oleh Salman melalui renungan matanya yang penuh amarah dan dendam! Sekali lagi aku jatuh cinta dengan Radhe! Kalau dulu Radhe dalam Tere Naam, kali ini Radhe dalam WANTED!

Satu dialog yang aku suka sangat
"ek baar jo maine commitment kardi, uske badh to mein khud ki bhi nahin sunta"
- Sekali aku dah buat keputusan, tiada siapa dapat mengubahnya termasuklah diri aku sendiri! -

* Ya, aku tak tengok WANTED di pawagam sebab di Malaysia hanya filem Datuk Shah Rukh Khan ditayangkan. Selain itu, hanya filem yang bernasib baik akan ditayangkan di sini! Aku tengok di Youtube! Itupun ada sesetengah scene yang tak dapat aku tonton sebab disekat. Apa-apa pun, aku suka sangat sebab filem WANTED sudah menyamai pencapaian filem GHAJINI!!!! Jadi, tak salah aku tonton di Youtube kerana tak mempengaruhi langsung kutipan box-office filem ini.


Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku