Raya bersama yang Teristimewa....


Selama beberapa bulan ini hari-hari yang dilalui tak semeriah dulu. Adakalanya, seksa diri menanggung rindu. Terkadang, dihujung talian sahaja dapat ku dengar suara dan mendengar cerita. Semakin membuak-buak rasa rindu di dalam. Akhirnya, Jumaat lepas rindu ini terubat juga.

Lama merancang untuk itu dan ini. Itu dan ini juga tidak pernah menjadi. Malah yang begitu dan begini juga gagal kesampaian. Sehari sebelum bertemu, talian telefon bimbit sangat sesak. Ada sahaja panggilan masuk juga sms yang mengisi peti masuk mesej. Masing-masing ingin memastikan bahawa rancangan kali ini menjadi.

Aku juga tahu, 24 haribulan September adalah satu tarikh keramat. Tapi, seperti biasa aku tidak mahu menunjulkan diri. Buat-buat lupa. Sebab, lebih seronok kalau aku ucapkan selamat di hadapan mukanya. Ya. Di hadapan muka sahabatku, Fatimah Sri Anas Puteri. Ini bukan kali pertama aku sengaja buat-buat lupa. Ayshah dan Harvindar pun pernah melalui pengalaman yang sama. Namun, setiap kali aku ingin buat kejutan, pasti aku yang terkejut. Bukan mereka.

Pagi-pagi hari Jumaat (6 Syawal), aku dah bangun. Bersiap sedia untuk ke destinasi yang dirancang bersama beberapa teman yang lain termasuklah Jiha dan Airul. Pada mulanya, seakan sukar untuk aku mengikut seperti yang dirancangkan kerana penyakitku (sakit di bahagian perut!) menyerang kembali. Sebelum bertolak dari rumah ku di Rawang, aku sempat meneguk air bali panas. Mudah-mudahan, selamat.


Jiha, aku dan Fatimah

Alhamdulillah, sampai juga aku di rumah Fatimah sambil disambut Jiha, Mama dan Ayu. Manakala Bobot tengah tekun memasak. Pak Anas (ayah Fatimah), pun ada dan menyambut kedatangan aku dengan senyuman. Malangnya, Airul dan Roydy tak dapat hadir. Mungkin kerana hari Jumaat, membantutkan kedatangan mereka.

Jadi bila dah berjumpa, tidak sedar masa berlalu. Masa memang musuh utama dalam persahabatan. Tak puas rasanya untuk duduk berbual-bual, bercerita tentang diri masing-masing. Bergurau senda, ketawa sakan sehinggakan bumbung rumah di PJ itu boleh terbang dibuat hilai tawa kami bertiga.

Saat yang paling aku nantikan, bila Fatimah kata yang hari lahirnya bagaikan tiada siapa yang ingat. Kalau ikutkan hati, aku nak ketawa bila tengok wajahnya yang kelihatan hampa. Aku pun dengan selambanya buat-buat tak tahu dan tanyakan kembali padanya...

"Lah, hari lahir kau semalam ke?"

Dia tunduk saja, jadi dengan pantasnya aku mengeluarkan sampul. Hanya itu sahaja yang mampu aku berikan sebagai hadiah di hari lahirnya. Mana mungkin aku melupakan tarikh penting itu Fatimah!

Fatimah bertanyakan soalan yang sama kepada Jiha. Jiha, selalu ingat haribulan yang betul tetapi selalunya bulan yang salah. Sama juga dengan kes Fatimah ini. Dia terlewat sebulan kerana menyangkakan Fatimah lahir pada bulan sepuluh. Bila dengar jawapannya, aku pun jadi keliru. Sehinggakan aku rasa, aku sudah tersalah tarikh. Sudahnya kami bertiga ketawa berdekah-dekah kerana tengok gelagat masing-masing.

Sebelum bertolak pulang, kami bertiga bertemu dengan Pak Anas. Seronok juga dengar cerita darinya. Bermacam-macam pengalaman yang dikongsi bersama kami bertiga. Aku terharu bila dia menggelar kami bertiga, 'tiga bersaudara'.

Hari Sabtu pula, tiba giliran pertemuan dengan ahli keluarga yang lain. Kali ini di Keramat dan Bangi. Sebenarnya di Keramat, aku dan keluarga pergi menghadirkan diri untuk majlis perkahwinan cucu nenek. Di Bangi pula, Pak Cu buat rumah terbuka. Di situlah kami bertemu dan beramah mesra. Seronok pula aku rasakan sehingga terlupa tentang sakit yang aku alami. Ah, persetankan dengan sakit itu.

Sebelum pulang, keluarga aku dan Pak Andak sempat menziarah Tok Ali yang tinggal satu kawasan dengan rumah Pak Cu. Kalau ikutkan, mahu sampai ke tengah malam kami berjalan dan menziarah ahli saudara yang lain. Namun disebabkan masing-masing sudah tak larat, jadi balik adalah keputusan yang paling tepat.




* Tahniah kepada Harvindar Kaur Gill (Bhindia@Dia) kerana telah dinaikkan pangkat menjadi phua (makcik). Harap Tyashveer Singh (anak buahnya yang lahir pada 25.9.2009) akan sentiasa sihat disamping ayah dan ibu tercinta.

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku