Selayang dan Bingka


Aku lahir dan dibesarkan sehingga berumur 5 tahun, di sebuah kampung yang terletak di tengah-tengah kepesatan kota Kuala Lumpur. Bukannya Kampung Baru tetapi Kampung Puah. Bila aku berumur 6 tahun sehingga 23 tahun, aku menetap di Selayang. Baru saja 3 tahun lepas, aku duduk di Rawang. Aku pasti, inilah destinasi terakhir. Insya-Allah.

Tak banyak kenangan yang aku ingat ketika duduk di Kampung Puah, melainkan Atuk, Wan, ayam, arnab, basikal dan buaian. Mungkin disebabkan, aku lewat bercakap (umurku 4 tahun baru mula bercakap, itupun masih pelat) jadi tak banyak perkara yang aku boleh ingat. Kalau aku ingatpun, tentang peristiwa dikejar Angah dan Wan sebab selalu buat kacau di rumah mereka yang terletak di sebelah rumahku. Adakalanya, aku terjatuh sebab cuba mengelak dari ditangkap. Hasilnya, parut di dahi. Tanda budak nakal.



Sepanjang hayatku sehingga hari ini, Selayang merupakan tempat aku mengenali segala-galanya. Banyak pengalaman yang aku kutip di Selayang. Malah aku mula mengenal dan merasa perasaan 'sayang' itu pun di Selayang. Jadi, terlalu sukar untuk aku memadamkan Selayang.

Namun, kali ini aku tidak pula hendak bercerita tentang 'itu'. Cerita dah lama terkubur, buat apa digali semula?

Sudah agak lama juga aku tidak menjejakkan kaki ke Selayang. Kali terakhir pun sebab menempah baju untuk raya, sebulan yang lepas. Aku pernah katakan pada umi, yang aku mahu datang lagi ke Selayang. Ke bazaar Ramadhan Selayang. Bagi aku, Selayang seumpama syurga dunia. Banyak jenis makanan yang ada dijual. Tambah pula bulan Ramadhan, pelbagai juadah berpuasa tersedia untuk dibeli.

Kenapa bazaar Selayang? Kenapa tak beli saja makanan di bazaar Bandar Tasik Puteri?

Senang saja jawapannya. Di BTP tak ada kuih-muih tradisional kegemaran aku. Kuih bingka ubi. Sudah agak lama juga aku mengidam nak makan, malah sebelum puasa lagi. Jadi, semalam aku nekad. Walaupun sudah lewat, aku tetap berdegil mahu juga ke Selayang.

Sampai saja di bazaar Ramadhan, aku dan umi jalankan misi mencari kuih bingka. Sementara abah pula, cari hidangan berbuka puasa yang lain. Puas juga aku meneliti setiap isi gerai kuih-muih. Malangnya, tidak ada satu pun yang menjual kuih yang aku idam-idamkan.

Aku dah mula patah hati, entah macam mana abah muncul di depan aku dan menghulurkan sebungkus juadah yang dibelinya.

"Nah, kuih bingka ubi kau," kata abah.

"Ada 3 jenis, kau ambillah... makan puas-puas. Abah beli banyak," tambah abah lagi.

"Abah cari kat mana? Puas Izan dengan Umi cari tapi tak jumpa?" soalku kehairanan tetapi sukar untuk aku mengawal perasaan keterujaan melihat kuih bingka yang sudah selamat berada dalam genggaman.

Abah hanya senyum.

Aku sampai lewat di rumah, tetapi sempat-sempat sebelum masuk waktu berbuka. Sedang orang lain khusyuk berbuka puasa, aku pula makan sambil merenung kuih bingka ubi. yang sengaja aku letak di depan mata. Dalam hati berkata-kata... "tak sabarnya aku nak makan kau".


Sekadar gambar hiasan

Selayang adalah tempat jatuh bangunku. Sukar untuk aku membuat perbandingan antara Selayang dan Rawang. Bagiku, Selayang memberi impak yang terlalu besar dalam hidupku kerana sebahagian besar riwayatku di sana. Rawang? Aku masih mencari-cari ruang untuk membuatkan aku selesa di sini. Namun, aku bersyukur.... Rawang memberikan aku keselesaan dan ketenangan (tetapi ada juga ketikanya rasa macam perang bila-bila saja aku pulang dari kerja.)

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku