Friday, September 18, 2009

Berbuka Puasa Ala Thai...

Kemanisan kunjung tiba juga di hujung Ramadhan. Ops, jangan salah faham. Bukan aku tidak bersyukur berada dalam bulan Ramadhan ini. Cuma, terkadang ada sebabnya membuatkan aku kesayuan dan kesedihan kerana diri tak mampu mengulangi saat-saat manis yang lampau. Saat-saat yang pernah dilalui ketika berpuasa bersama-sama sahabat.

Semuanya gara-gara tak ada masa. Bila aku kata tak cukup masa, percayalah cakap aku. Memang aku tak cukup masa untuk diri sendiri, inikan pula untuk orang lain. Mula-mula, aku sedih juga, ramai yang tak faham situasi aku. Malah, ada yang telefon aku pun mesti maki-maki kata aku tak ingat kawanlah sebab tak boleh cari masa berbuka sama.

Kenangan berbuka puasa di Tebing.



Apa aku boleh katakan di sini, lantaklah kalau dah tak faham sangat. Kalau kalian fikir aku sudah lupa, tak apa. Tapi, adakah kalian tahu betapa aku rindukan situasi itu? Pernah ada sesiapa terfikir perasaanku setiap kali menatap gambar-gambar berbuka puasa beramai-ramai di Tebing? Jangan asyik ingat rasa sendiri saja. Macamlah aku tak ada perasaan kalian buat begini. Sedih tau tak?

Jadi semalam, setelah beberapa hari aku dengar desas-desus yang syarikat mahu adakan makan-makan berbuka puasa. Akhirnya keluarga kecil tempatku bekerja menapak ke De' ChiangMai Restaurant yang terletak di Sungai Buloh untuk menjamu selera. Jarak antara restoran itu dengan pejabat taklah sejauh mana, tetapi disebabkan hujan yang lebat membuatkan kami semua tiba lewat.

Lebih kurang pukul 7.15 malam baru sampai. Sampai-sampai saja tengok semua dah mencekik. Tak apa, dugaan. Aku dan ahli kumpulan yang lain di bawa pula ke meja yang khas untuk kami semua (11 orang kesemuanya)Makanan sampai lambat (sebab sampai kat sana pun lewat, betul tak?). Tak apa, aku buka puasa pun berbekalkan air longan yang pada mulanya aku sangkakan air laici. Tragik betul, longan dengan laici pun tak dapat beza. Apa taknya, selalu berbuka dengan kurma... tup tup buka dengan air sejuk. Tunas deria rasa sedikit keliru dan bingung macam empunya diri juga.

Mulanya rasa sikit kekok. Yalah, aku bukan biasa makan-makan bersama dengan orang yang tak berapa mesra dengan sifat semulajadiku. Kalau dah biasa, barulah berselera nak makan. Semalam makan pun sebab, nak berbuka puasa dan isi perut yang dah mula menunjukkan tanda-tanda nak gastrik (aku pantang betul bila gastrik, sebab aku benci muntah!)Lepas dah makan-makan, aku gatal tangan sms umi. Ucap selamat berbuka pada dia (padahal dah selamat makan pun). Sedih pula bila aku baca sms yang dia balas semula pada ku...

"Malam ni takde selera la sebab kau tak ada, Banyak lebih la."

Itulah umi aku. Terharu pula aku dengar.

Selepas selesai menjamu selera dengan hidangan Thai, aku tak balik terus. Duduk-duduk, berborak dan berbual. Sembang-sembang sampai nak mencecah pukul 8.30 malam. Aku dah mula resah. Jadi dengan selamba dan ringan mulutnya aku tanya Man (rakan sekerjaku).

"Lambat lagi ke nak duduk borak-borak ni? Baik balik aje,"

"Kena tunggulah," katanya ringkas.

Memang itulah yang aku buat. Jasad di situ, hati dan fikiran di rumah. Terbayang-bayangkan lauk-pauk yang umi masak. Masakan Thai di depan mata masih tidak dapat menandingi masakan air tangan umi. Namun, tak pula aku nafi, aku rasa gembira sekali kerana dapat berkumpul dengan majikan-majikan dan pasangan masing-masing. Dihiasi pula dengan puteri-puteri yang comel dan putera yang nakal.

Sebelum pulang, kami sempat bergambar kenangan yang mana kalau boleh aku tak mahu pun ada dalam gambar itu sebab, aku hanya mencacatkan gambar-gambar yang cantik itu.

* Aku pasti akan rindukan suasana semalam. Bertambah lagi satu kenangan yang entah akan berulang lagi atau pun tidak. Cuma Allah sahaja yang tahu. Wallahualam.