Friday, September 25, 2009

Terharu dan Keliru...KELABU!

Kalau ikutkan hati, aku malas nak mengisi entri blog hari ini. Nak cuti panjang sepertimana aku cuti berhari raya, seminggu lamanya. Namun, rasa di dalam bagai tak lepas. Jadi aku rajin-rajinkanlah diri mengurai kata-kata yang membelengu dan terpenjara di dalam minda aku untuk sekian lama (lama ke?)

Malam raya (kebetulan hari yang sama aku sakit!), kami melawat atuk di Keramat. Ketika itu, aku masih tak sihat sepenuhnya. Bisa perut masih terasa. Kalau sakit biasa, bolehlah juga aku sorok. Pura-pura senyum, buat-buat sihat. Tapi sakit yang ini, lain azabnya. Kesakitan itu segera terpancar di wajahku yang sihat, segar bugar.


Terharu...
Kebetulan di rumah nenek(isteri kedua atuk aku, selepas arwah Wan), Nadia (anak nenek, makcik aku... tapi macam sebaya aku aje pun), tengah sibuk mengemas. Disuruhnya aku bangun ke sana dan ke sini. Aku menurut tapi sedikit lambat. Oleh kerana gerakan yang agak lemah dan perlahan itulah membuatkan abah dan umi buka cerita yang aku sebenarnya baru keluar dari hospital. Kalau ikutkan, aku tak mahulah berita ini diheboh-hebohkan. Malu!

Bila dah dengar begitu, layanan kelas pertama aku dapat. Nenek pun sempat beri macam-macam petua dan tak ketinggalan memberi kata-kata penguat supaya aku tak fikir yang bukan-bukan sebelum tahu keputusan ujian kesihatanku pada hari Rabu berikutnya.

Tak aku nafi, aku rasa sedikit terharu. Tak sangka, ada orang lain selain keluarga aku yang ambil berat tentang aku. Entahlah. Aku sukar nak percaya, orang lain risau tentang kesihatan orang yang lain. Mungkin disebabkan aku jarang sangat bergaul dengan ahli keluarga besar yang lain. Tak ada masa dan memang sengaja malas nak bergaul. Ya, itulah jawapannya. Malas nak bergaul sebab, tak suka bercerita banyak. Terutama sekali yang menyentuh hal peribadi.

Hari raya pertama dan kedua, kami sekeluarga di rumah saja. Abah, umi dan Ayuz masing-masing demam. Aku? Melayan kerenah perut yang adakalanya sakit seperti disiat-siat. Nasib baik, aku dibekalkan dengan ubat penahan sakit. Berbekalkan ubat itulah aku mampu bertahan.

Along balik hari raya kedua. Sakit aku berkurangan. Mungkin sebab dapat jumpa dengan Miqhail semula. Leka bermain dengan anak buah sampai terlupa kesakitan yang aku tanggung. Bila Along dah balik, bermakna kami perlu mula bergerak melawat dan menziarah sanak saudara. Kalau tak, maka tak berertilah raya tahun ini. Ya ke?

Kami sekeluarga pun pergila buat pusingan, menziarah semua saudara mara yang semuanya tinggal di sekitar Selayang, Gombak dan Kuala Lumpur. Mana ada kampung? Kalau adapun, itulah Kampung Puah dan Kampung Chubadak.

Kampung Chubadak yang telah pun dikorbankan atas nama pembangunan. Di situlah penempatan keluargaku, bermula dari zaman moyangku, Umi Kelsum sehingga ke hari ini. Gara-gara untuk memberikan laluan kepada pembangunan, lebuhraya DUKE merajalela di Kampung Chubadak. Alhamdulillah, masih ada lagi kesan peninggalan keluarga kami. Di situlah aku dan sekeluarga beraya sambil melihat kereta-kereta memecut laju di dada DUKE.

Sesampainya aku di kampung Selayang, soalan pertama yang aku temu dari Pak Cu dan Pak Andak...

"Izan, macam mana? Dah sihat? Apa kata doktor?"

Ya! Kali pertama soalan yang lain dari sebelum ini. Dulu, kalau nampak muka aku aje, soalan tentang kahwin yang terpacul, kali ini berbeza.

"Bolehlah, doktor suruh datang hari Rabu sebab hospital tak ada doktor. Semua cuti," jawabku.

"Jangan risau sangat ya, tak ada apa-apa tu," kata Pak Cu, tapi bukan terus kepadaku.

Aku diam saja. Dalam hati, terharu. Ya. Aku tak boleh menipu diri. Aku benar-benar terharu dan tidak menyangka akan bertemu dengan keadaan ini.

Pergi pula ke Kampung Chubadak yang penduduknya di situ semuanya adalah saudara mara abah. Ke hujung, kiri dan kanan. Semuanya saudara. Disebabkan jarak antara rumah ke rumah dekat, jadi aku dan yang lain-lain hanya berjalan kaki. Ketika dalam perjalanan nak balik, tereserempak dengan Mak Ande pula. Belum sempat ke rumah, di tengah jalan pun jadi untuk berborak.

"Mak Ande dengar kau sakit ada kat hospital, macam mana sekarang ni. Dah sihat?"

"Sakit sikit aje. Doktor saja mengada-ngada buat orang risau," kataku, tidak mahu melarat panjang.

"Kau jaga kesihatan Izan. Dahlah abah kau macam tu, jangan kau pula tak sihat. Susah nanti," nasihat dia. Aku menyimpan nasihatnya itu.

Ke mana saja aku pergi sekarang, semua pasti bertanya hal kesihatanku. Aku hanya mampu katakan, yang aku sendiri tak pasti sebab doktor tak beri keputusan yang jelas. Sepertimana mereka tertanya-tanya tentang aku, aku pun lebih lagi tertanya-tanya apakah sakitku ini.


Keliru...
Hari Rabu pun tiba. Setelah beberapa hari aku menahan diri dari berfikir benda yang bukan-bukan, akhirnya aku akan dapat keputusan ujian yang aku jalani Sabtu lepas.

Pagi-pagi lagi aku dah bangun. Tak mahu lambat sampai ke hospital. Abah menemankan aku. Manakala yang lain, menunggu saja di rumah dan bersedia bila-bila masa untuk datang sekiranya aku buat panggilan dan beritahu berita buruk.

Sampai di hospital sekitar pukul 8.30 pagi. Aku berjalan menuju ke klinik pakar bedah dengan hati yang sudah pun goyah. Aku pergi ke kaunter dan tunjuk surat. Jururawat yang bertugas di kaunter, menyuruh aku pergi ke tingkat dua, bahagian SOPD. Katanya, selesai saja aku berjumpa dengan doktor, baru aku boleh buat pendaftaran untuk masuk ke wad dan jalani pembedahan.

Ya Allah. Berceramuk darahku dibuatnya. Takkanlah aku perlu dibedah. Sedangkan aku sendiri tak tahu sakit yang aku tanggung, tiba-tiba mahu dibedah. Seram sejuk aku dibuatnya. Aku pun melangkah menuju ke klinik pakar bedah. Tiba di sana, aku jadi keliru kerana jawapan dari jururawat yang bertugas di sana pula berlainan.

"Hari ini, kami tiada pesakit. Nama cik pun tiada dalam data,"

Aku benar-benar keliru. Kenapa lain-lain jawapan yang aku terima? Aku terus berdiri di situ dan mengatakan pada jururawat yang aku di hantar oleh doktor yang memeriksa aku pada Sabtu lepas.

Mungkin, dia tidak mahu bercakap banyak, dia suruh aku duduk. Beberapa minit kemudian, aku dipanggil dan diarak masuk ke dalam bilik doktor.

Belum sempat berkata apa-apa, dengan selamba doktor itu berkata...

"Masih sakit lagi atau tak?"

"Saya makan ubah, dah kuranglah sakitnya," jawabku.

Dia membelek-belek surat yang aku bawa sambil sempat menyemak e-melnya, di depan mataku. Pesakit yang tak tahu apakah penyakit sebenar yang ditanggungnya.

"Saya beri awak tempoh dua minggu, baru datang sini semula," katanya sambil menyerahkan surat dan kad kepada jururawat.

Itu sahaja? Tak ada pemeriksaan lanjutan langsung? Apa guna aku habiskan masa sekadar untuk datang mengambil tarikh dua minggu lagi? Dahlah begitu, ubat pun tidak diberinya.

Jururawat menyerahkan aku tarikh baru untuk aku datang melaporkan diri. 14 Oktober. Masa tu, aku dah pun bekerja. Apa dia fikir, aku tak ada kerja lain nak menapak ke hospital 24 jam?

"Nanti datang ya, kemudian baru kami aturkan untuk rawatan atau pembedahan,"

Gila apa? Tak tahu apa sakitnya tiba-tiba nak bedah?

"Kalau saya sakit teruk dalam masa 2 minggu ni?"

"Beri kad ni di wad kecemasan, masa tu tak perlu temujanji," jawapnya sambil menghulurkan kad temujanji padaku.

Aku mengambilnya dan terus terbayangkan scene filem Hindi yang baru ku tonton sehari sebelum itu. Di mana dalam scene itu menunjukkan doktor di sana enggan memberi rawatan selagi para pesakit tidak mengikuti prosedur yang telah ditetapkan. Ironinya, pesakit itu berdarah kepala dan tidak mampu bergerak serta didukung oleh bapanya. Macam mana dia mampu bertahan sehingga selesai prosedur. Kalau diikutkan juga prosedur, matilah pesakit sebelum sempat dirawat.

Begitulah keadaan aku ketika ini. Aku ceritakan pada kawanku yang benar-benar ambil berat tentang diriku, Ayshah. Dia suruh aku pergi sahaja ke hospital swasta, guna duit abah.

Selama ini aku dah banyak guna duit abah, takkan dah tua macam ini pun aku nak susahkan dia?


KELABU...
Apa gunanya kalau kerajaan bersikap sedemikian? Apakah ini konsep sebenar 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan?

Aku sebagai rakyat pun dah diperlekehkan, inikan pula pencapaian mampu diutamakan. Omongan kosong belaka. Hospital kerajaan untuk rakyat atau sekadar sebagai lambang 'kemestian'?

* Ubat masih ada, tapi sengaja tak aku jamah. Jemu. Kalau ditakdirkan mati, mati jugak!