Malang atau kebetulan?



Pagi ni aku kehilangan tiket yang bernama 'mood' tetapi itu tak menghalang aku dari terus melangkah keluar rumah untuk menjalankan tanggungjawabku dan amanah yang ku pegang untuk mencari rezeki yang halal.

Alhamdulillah, sampai di tempat kerja 'mood' aku kembali tersuntik sedikit demi sedikit. Tambahan pula tugas yang diberikan tidaklah seberat rakan sekerjaku. Aku jauh lebih bertuah dan dalam masa yang sama, jauh lebih rugi.

Bak kata abah, kerja itu salah satu ibadat. Bila aku kurang kerja, aku rasa kosong dan aku penat dengan diriku yang aku sendiri rasa terlalu membosankan. Pada saat-saat beginilah, tangan mula merapu dan mulut melalut bercakap sekadar hanya untuk membazir tenaga otot-otot pipi dan urat-urat otak.

Seingat aku, ketika di zaman sekolah, bila tiba saja hari Rabu aku pasti muncung. Tak ada semangat nak pergi sekolah apatah lagi mengulangkaji dan belajar. Hati terasa berat seakan hari Rabu ini ada sumpahan ke atas diriku.

Bila menganjak dewasa, 'badi' kemuraman hari Rabu sudah tidak ada. Malah, hari-hari adalah hari ceria bagiku. Sekejap, apa kena mengena pula tajuk entri dengan hari Rabu ni? Ada, memang sesuai betul tajuk itu dengan isi entri kali ini.

Kebiasaannya proses memanaskan injin bagiku di pejabat terjadi dalam proses yang agak perlahan. Begitulah juga keadaan yang berlaku hari ini. Menjelang tengah hari, barulah ada sedikit kelancaran mencantumkan patah-patah kata sehinggalah membentuk satu artikel penuh.

Sedang aku bersungguh-sungguh dengan setiap patah perkataan yang keluar, aku menerima panggilan dari seorang sahabat yang umurnya setahun muda. Aku masih mampu menjawab kerana aku faham perasaan jika panggilan tidak berjawab.

Pada mulanya, perbualan biasa-biasa saja. Sehinggalah sampai ke satu tahap yang aku sendiri tak boleh nak terima kata-kata yang keluar dari mulut sahabatku itu. Dan ketika ini pula aku kehilangan teman yang sentiasa ada dalam hatiku. Teman yang bernama 'kesabaran'.

Ini adalah kali kedua sahabatku itu (aku tak pasti dengan sengaja atau tidak!) menyakitkan hati aku. Sebelum ini dia ada menyentuh tentang datuk aku. Tak perlulah aku sebut apa, tapi memang cukup menghiris keping hatiku. Fikirku, kalau benar dia kenal aku, tentu dia hormat perihal atuk atau sesiapa saja dalam keluarga aku. Tapi, aku maafkan. Biarlah, mungkin dia tak sedar.

Namun, kali ini aku gagal untuk memahami atau mampu memaafkan. Benar. Aku mengaku, aku lebih cenderung bila orang memanggil aku kakak. Lagi bertambah pedih bila dia menggunakan pangkat panggilannya untuk tiket aku jatuh dan rebah atas kehendaknya.

Maaf 'dik', kau harus faham hubungan itu lebih dulu. Lagipun, setiap manusia ada masalah sendiri. Tidak bermakna jika 'dik' seorang bermasalah orang lain tidak ada. Sudah tiba masanya, 'dik' selesaikan masalah dengan cara dan pemikiran sendiri dan tidak selamanya bergantung kepada orang lain.


FAHAMILAH, AKAK TAK BERDAYA SEBAB AKAK PUN ADA MASALAH SENDIRI DAN SEDANG CUBA TIDAK MEMBAWA MASUK ADIK-ADIK SEKALIAN UNTUK MENYELESAIKAN MASALAH INI. BERFIKIRLAH DENGAN CARA LEBIH DEWASA DAN BIJAK. BUKAN SEKADAR MENANGISI DIRI UNTUK KESALAHAN DAN KESILAPAN YANG SUDAHPUN KAU(MALAH KITA SEMUA) CIPTAKAN!'




SELAGI TANGAN KITA BERPEGANGAN SELAGI ITULAH AKU BERDAYA MENOLONG NAMUN BILA SEKALI TANGAN KAU LEPASKAN BUKAN AKU TIDAK BERDAYA TETAPI AKU SUDAH TIDAK BERMAYA UNTUK MELALUINYA BERSAMA LAGI KERNA AKU LETIH, SEDIH, HAMPA DAN KECEWA!

Selesai masalah berperang dengan telefon bimbit. Aku ambil kesempatan untuk pergi menunaikan kepingan cek yang diberi kerana khuatir sekiranya aku guna khidmat mesin, makanya, selepas raya belum tentu duit itu akan dapat aku perolehi.

Tepat pukul 1 tengahari, aku keluar dari pejabat menuju ke bank. Aku sudah pun menetapkan tempoh untuk aku selesaikan urusan bank iaitu sebelum pukul 2 petang. Alhamdulillah, aku berjaya. Malangnya, kad pengenalan aku tertinggal di kaunter bank. Semuanya gara-gara prosedur yang membingungkan aku.

Aku terpaksa menyuruh pihak bank, simpankan kad pengenalan kerana aku akan ambil selepas pulang dari pejabat. Kebetulan kerja dah siap, majikan pun tiada maka aku berkeputusan untuk keluar pejabat awal untuk sampai sebelum pukul 6 petang di bank.

Ya! Memang aku keluar dari pejabat awal(tepat 5.30). Masalah lain pula timbul. Sistem alarm kereta tidak berfungsi. Puas aku mengetuk alat kawalan jauh. Masih juga tidak berfungsi. Awalnya aku mahu minta tolong rakan sekerjaku, tapi bila fikir yang aku hanya menyusahkan dia, aku batalkan saja niatku itu. Lagipun, dia tentu ada banyak lagi urusan selepas kerja.



Jadi, tanpa melengahkan masa yang sememangnya aku sedang kesuntukkan masa (takut tak sempat sampai bank sebelum pukul 6) aku buat panggilan menelefon abah. Jawapan yang aku terima dari abah memang enak didengar.

"Entah apa yang kau buat dengan kereta tu, sampai bisu pula,"

Memang kata-kata itu tidak membantu, tetapi membunuh. Tak aku nafi ketika itu aku hampir-hampir menangis sehinggalah sampai seorang hero dari Hong Kong yang ala-ala Jet Li datang menyapa.

"Ada apa prob?" soalnya tanpa kehadiran senyuman di bibir.

"Saya tak boleh nak buka kereta ini, alarm tak berfungsi tapi lampu bernyala," terangku panjang lebar.

"Beri saya alat kawalan jauh tu," pintanya dan aku menurut tanpa membantah.

Tak sampai beberapa saat, pintu kereta berjaya dibuka. Bagaimana caranya? Ops, aku tak boleh nak ajar sebab takut ada yang ceroboh masuk ke dalam kereta kesayanganku pula. Kemudian dia mengajar aku bagaimana nak buka juga tanpa guna alat kawalan jauh.

Aku sempat berterima kasih kepada hero itu. Malangnya, aku tak sempat bertanyakan nama. Insya-Allah, pasti akan bertemu juga di satu hari nanti. Setelah itu, aku memecut deras untuk tiba ke bank. Ya! Aku bertolak dari pejabat pukul 5.40 petang. Tetapi dengan kuasa ajaib pedal dan kakiku, aku sampai juga di bank sebelum pukul 6 petang iaitu lebih kurang dalam pukul 5.50 petang.

Sampai di sana, ada masalah komunikasi pula dengan sekuriti. Adoila... lepas satu, satu lagi masalah yang timbul. Dahlah aku terpaksa meredah hujan. Kuyup jugalah baju dibuatnya. Walaupun aku memang suka bermain hujan, tapi macam tak kena gaya pula kalau tetiba aku berjalan dan menari-nari dalam hujan. Silap haribulan orang panggil aku... SEWEL!

Sebaik sahaja aku berjaya melepaskan diri dari kekusutan di bank, ada masalah lebih besar lagi. Ya! Kesesakkan lalulintas. Ada cerita yang agak menarik tapi rasanya biarlah di masa akan datang. Buat masa sekarang ini, selesaikan cerita untuk entri kali ini.

Rawang, memang sudah cukup serasi dengan masalah kesesakkan lalulintas. Namun, aku dikira bernasib baik kerana sempat sampai sebelum berbuka puasa.

Jadi, bila aku mengenang semua peristiwa yang berlaku hari ini adakah ia sekadar kebetulan terjadi pada hari Rabu, atau pun Rabu itu benar-benar tak sesuai dengan aku. Hish, tak patut cakap macam itu. Masalahnya, aku bercakap saja bukan ada niat apa-apa pun. Biarlah apa pun juga, satu hikmah yang paling besar berlaku hari ini ialah, aku tak payah tunggu lama dan balik terus saja berbuka. Urrrppp.... kenyang pulak.....

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku