Monday, September 14, 2009

Maaf, tak tahu!

Kebelakangan ini dah ramai sangat orang bertanya tentang karya kedua aku. Sudah aku jawab pada mereka-mereka yang prihatin ini, karya kedua aku(novel penuh), sedang dalam pembikinan. Bukan dalam penyuntingan atau proses cetakan, sebaliknya masih diusahakan.

Aku yakin sangat karya kedua aku ini pun bakal ikut jejak Rindu Pada Matahari (ambil masa bertahun lamanya). Banyak perkara yang perlu aku kaji. Tambah pula aku masukkan unsur antara budaya, antara agama. Salah fakta dan memesongkan pemikiran orang, aku yang memikul dosa.

Tanggungjawab dan amanah sebagai penulis tak boleh dipandang ringan semata-mata nak mengumpul kuantiti karya. Bak kata Tuan Haji Rahim dan Tuan Haji Ghazali, setiap penulis perlu ada rasa tanggungjawab.

Jadi, siapa kata tugas penulis ini senang? Setakat cucuk Mp3 kat lubang telinga, tekan kekunci komputer dan imaginasi kosong depan skrin komputer. Aku tak tahu kalau ada penulis jenis ini tapi maaflah, itu bukan aku.

Selain itu, ada juga yang prihatin dan peka terhadap perkembangan perjalananku sebagai penulis. Malah, ada yang tak jemu-jemu tanya tentang mini novela aku Hatimu Hatiku Jadi Satu. Bila agaknya akan keluar di pasaran sebab ada yang dah cari pun. Aku hanya boleh cakap pada mereka,

"Maaf, saya pun tak tahu bila keluar atau berada di pasaran."

Teman-teman terdekat yang sentiasa menantikan karyaku pun tidak ketinggalan bertanyakan soalan yang sama.

"Shahaini, aku nampak cover dah lama kau tampal kat blog. Kenapa aku cari di kedai buku masih tak ada," tanya salah seorang dari mereka.

"Aku tak tahu! Yang aku tahu, aku dah hantar karya aku. Bila nak keluar? Macam mana juga jenis promosinya, sumpah demi Allah, aku tak tahu. Mereka ada tenaga pemikir strategi yang hebat-hebat dan lebih tahu bila masa yang sesuai dan aku rasa penulis tak perlu tahu," kataku pula bagi menjawab pertanyaannya itu.

"Biar benar kau ni, takkanlah satu benda pun kau tak tahu. Atau kau yang malas bertanya?" soalnya lagi yang menjengkelkan aku.

"Bodohlah aku kalau aku tipu kau. Aku dah tanya tapi jawabnya belum. Maknanya belumlah. Takkan aku kena berpandir pada mereka. Kalau kau sendiri di tempat aku, kau pun tentu malas nak bertanya soalan yang sama berulang kali, betul tak? Jadi, biarlah. Mereka lebih arif," jelasku panjang lebar.

Benar. Bukannya aku tidak ambil berat tentang mana-mana karyaku. Masalahnya, kalau aku terlalu sibuk bertanyakan itu dan ini, tentu pihak yang berkenaan jemu. Sebagaimana aku naik jemu menjawab pertanyaan orang lain. Bezanya, mereka bertanya pada aku yang tak tahu apa-apa. Dan jawapan yang selalu aku berikan....

"Maaf, saya tak tahu."

* Kalau mereka sebagai pembaca, risau dan tertanya-tanya bila karya penulis akan keluar, cuba bayangkan perasaan penulis itu sendiri? Selagi boleh butakan mata, hati dan perasaan. Aku butakan saja. Kalau tak boleh...