Ini pelajar Islam UIA?

Kalau boleh aku memang tak mahu buka pekong. Tambah pula yang boleh menjatuhkan umat seagama denganku dalam bulan mulia ini. Namun aku rasa aku patut kongsi satu cerita ini yang terjadi sebaik tamat solat terawih. Bukan aku yang bersolat terawih, sebab aku tidak punya kesempatan itu (Insya-Allah kalau ada peluang, aku memang nak luangkan sedikit masa di surau).

Semalam, sebaik selesai berbuka puasa dan menunaikan kewajipan lain, aku, abah dan umi menuju ke UIA. Tujuannya tiada lain, untuk hantar barang-barang keperluan Ayuz dan makanan untuk dia bersahur. Aku yang pandu kereta, sampai ke UIA sekitar pukul 9.30 malam. Kebetulan pagar sudah pun dikunci, jadi aku tak bolehlah nak hantar barang-barang itu di depan mahalah yang menempatkan Ayuz.

Umi buat panggilan kepada Ayuz dan meminta dia datang. Sementara kami yang lain menunggu di dalam kereta di tempat letak kereta. Beberapa minit kemudian, muncullah Ayuz. Aku tak keluar, sekadar melihat dari dalam kereta. Tiba-tiba datang sebuah kereta Atoz hijau (sudah tentu milik pelajar UIA ataupun milik mak bapak dia dan dia berlagak guna harta mak bapaknya!) Ada satu tempat kosong, betul-betul di depan tempat kereta yang ku pandu.

Aku nampak dengan jelas isi dalam kereta itu. Dua pelajar perempuan. Aku hanya perhati cara dia memandu. Aku kagum usaha dia, walaupun sedikit terkial-kial (percayalah, senang dan mudah nak masuk tempat tu tapi dia pandai sangat sampai ambil masa yang agak lama!) Sehinggalah dia (aku tak tahu namanya) mengundurkan kereta. Aku pelik juga, kenapa dia ambil masa yang sangat lama untuk masukkan kereta di petak itu (lulus lesen terbangke dik oi?).

Percaya atau tidak, dia mengundurkan kereta (sesedap kakinya menekan minyak) sehingga hampir mengenai bampar depan kereta Perdana yang ku pandu. Aku menekan bunyi hon lebih awal untuk mengingatkan dia bahawasanya, ada kereta di belakang! Lagipun, aku masih trauma disebabkan kemalangan yang mengakibatkan kereta Waja yang abah pandu remuk kerana dilanggar secara mengundur oleh Prado di pasar Kuala Selangor tahun lepas.

Akibat kejadian tahun lepas itu, aku trauma bila-bila saja ada kereta yang mengundur. Rasa tak sedap hati saja, aku akan hon. Kalau dilanggar, kereta di belakang yang tetap di anggap salah. Bukan itu saja, prosedurnya macam-macam. Jadi, untuk mengelakkan kejadian lama berulang aku akan sentiasa lepaskan hon. Alhamdulillah, tak ada masalah. Rata-rata, mereka yang aku hon akan angkat tangan.

Namun, lain pula ceritanya dengan kisah budak hingusan yang berlagak atas harta mak bapak dia ni. Dia turun dari kereta marah-marah. Aku perhatikan saja. Abah dan umi serta Ayuz pun lihat saja gelagat budak itu yang umpama beruk kepanasan. Dia datang menghampiri kereta kami dan menghentak cermin kereta, suruh diturunkan. Aku akur, mungkin ada perkara yang ingin disampaikannya.

Sebaik cermin tingkap turun, tanpa salam... terus dengan wajah yang agak bengis...

"Kereta saya tu ada sensor, tak payahlah nak hon-hon,"

Aku senyum saja. Umi sempat cakap "biadap betul budak ni!" Abah pula diam. Aku pasti, keegoan dia sebagai pemandu Atoz tercalar sebab itu dia sanggup bertindak kurang ajar.

"Kenapa kau tak jawab Izan? Diam aje?" tanya abah.

"Kau patut balas," sampuk umi.

"Izan malas nak layan budak-budak. Akal pendek... lagipun, inilah gambaran orang-orang Islam sekarang ni. Patutnya, nilai-nilai murni ajaran Islam lebih tinggi di kalangan pelajar yang menuntut di tempat universiti Islam macam ni. Tapi tengoklah tadi tu. Ini hal kecil, dah jadi isu besar. Macam mana Islam tak bergaduh sesama sendiri dan kena ketawa bangsa agama lain?" ujarku dalam ketawa yang bernada hampa dan kecewa.

Kalau boleh, aku ingin balas. Namun, disebabkan aku malas dan kalau aku buat juga nampak sangat aku pun tak berfikiran waras macam budak tu. Jadi, tak ada beza pula antara aku dengan dia(budak hingusan). Kadang-kadang, ada benar andaian orang yang mengatakan, lagi tinggi pendidikan seseorang itu. lagi tebal ego dan tahap kebiadapannya.

Kepada si pemandu Atoz hijau, sempena bulan mulia ini aku maafkan kau. Namun, kau perlu ingat, Islam bukan sahaja menyuruh umatnya menutup aurat (pakai tudung labuh), malah kita sebagai muslimah, adat sesama manusia perlu dipelihara. Tutur bahasa harus dijaga. Sopan dan menghormati orang yang lebih tua. Mungkin, hari ini kau berlaku kurang ajar dengan aku (yang memang tak layan budak kurang waras dan akal pendek) tapi bukan selamanya kau akan terlepas.

Esok lusa, kalau kau teruskan juga identiti yang kau bawa ini, bukan saja kau mendapat susah tetapi memalitkan keburukan kepada orang yang bergelar Islam. Kecewa dan agak hampa bila lihat dia yang baru saja balik dari terawih (aku kira) dan berkelakuan sedemikian. Hayati Islam bukan setakat jadi Islam. Amalkan Islam dan hidup dengan Islam. Bukan sekadar mengaku Islam tetapi perangai tidak menggambarkan Islam.

Ujian dan dugaan selalu datang. Tambah pula di bulan Ramadhan yang menuntut lebih kesabaran. Pesanku, adik Atoz Hijau... kau terlalu daif dalam perlakuanmu dengan tidak menghormati orang yang jauh lebih tua darimu. Ingatlah, setiap manusia itu membawa 4 perkara bersama-samanya ke mana juga dia melangkah.

1 - Allah s.w.t
2 - Rasulullah Nabi Muhammad s.a.w
3 - Ibu
4 - Bapa

Apa juga yang kau lakukan, apa juga perkataan yang kau tuturkan kau membawa keempat-empat ini. Jadi ingatlah, perlakuanmu itu telah mencacatkan 4 perkara tadi. Berhati-hatilah dan pelihara adab sopanmu kerana jika kau berkelakuan sumbang, kau bukan saja mengotorkan diri sendiri malah mengheret sama keempat-empat ini. Jangan salahkan bangsa lain kalau mereka kata kita bodoh (sebab hakikatnya kita sering diperhatikan dan selalu ditertawakan kerana bergaduh sesama sendiri).

* Kalau aku tak hon semalam, sah-sah dia langgar juga bampar depan kereta tu. Aku tahu dia tak akan menyesal sebab dia boleh habiskan duit mak bapak dia dan terus belajar. Mak bapak dialah yang kena tanggung. Aku dah biasa tengok keadaan sebegini. Orang yang senang dapat, tak akan endah benda-benda remeh sebab tak tahu harga di sebalik duit itu sebab bagi mereka, duit datangnya dari mak bapak bukan dengan bekerja. Sebab itu aku benci sangat dengan budak-budak yang berlagak dengan harta mak bapak. Aku perlu ingatkan kepada semua....

JANGANLAH BERLAGAK DENGAN HARTA MAK BAPAK! YANG SENANG MEREKA, TAPI KAMU TIDAK ADA HARTA (SELAGI BELUM BEKERJA) SELAIN BUDI BAHASA DAN ADAP SOPAN!

Wassalam.

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku