Kelahiran si pari-pari baru... Mierza Zamri

23 Oktober. Waktu itu aku gigih mendukung Miqhail. 3 hari lagi, genaplah usia 2 tahun pari kesayanganku ini. Diam tak diam, sudah besar rupanya. Seakan semalam dia masih dalam ribaan dan dakapanku. Mukanya masih kemerah-merahan. Anugerah yang paling indah. Miqhail. Sekarang, dia dah boleh berlari, berjalan, bertutur dalam sepatah dua kata. Teman yang boleh diajak bermain di waktu sepi. Sepi? Adanya dia, tiada lagi kurasa sepi.

Petang itu, aku bersama-sama Ayuz, Umi dan Along (yang sedang menunggu hari! walaupun tarikh diberikan doktor hari ini) keluar pergi beli-belah untuk dua majlis yang bakal diadakan 29 Januari ini. Ya! Tarikh keramat saban tahun. Bukan hanya kerana ia tarikh lahirku, tetapi juga banyak peristiwa yang mendarat pada tarikh itu. Along sudah menetapkan tarikh untuk majlis cukur jambul anaknya pada tarikh itu. Begitu juga dengan majlis Ayuz. Kiranya, macam-macam aturcaralah yang akan berlangsung 29 Januari nanti. Sambutan ulang tahun perkahwinan Along (26 Januari ... dah 3 tahun dah!), hari lahir Ayuz yang ke 24 (27 Januari) ulang tahun perkahwinan Abah-Umi (29 Januari ... 33 tahun), hari lahir aku yang ke..... kiralah sendiri! (29 Januari), majlis cukur jambul anak kedua Along dan majlis pertunangan Ayuz (29 Januari). Padat sangat!

Sepertimana biasa, Along dan Ayuz memang terkenal dengan sikap cerewet. Jadi, petang itu kami berpeleseran dari satu kedai ke satu kedai yang lain. Gara-gara nak memastikan barang-barang untuk hari bersejarah itu menepati citarasa masing-masing. Aku menurut saja. Tapi, memang betul apa yang mereka praktikan. Aku kira, kalau majlis aku... mungkin aku pun turut sama cerewet. Atau... mungkin lebih lagi? Siapa tahu.

Pulang dari sesi membeli-belah, secara spontan Along bertanya, bila agak-agaknya anak dalam kandungannya akan keluar? Yalah, tarikh dah sampai, sakit nak bersalin tak terasa lagi. Pantas aku berkata...

"Kalau tak besok, mungkin 26 haribulan... tapi tak mungkin 30...," yakin!

"Kenapa bukan 30?" soal Along lagi.

"Lama sangat tu... mana ada bayi lahir lambat sangat. Setahu aku, aku seorang je yang lahir lewat sebulan," kataku diikuti gelak tahap sawan.

Nak dijadikan kisah. Tepat pukul 6 pagi, umi meluru masuk ke bilik. Masa itu pandangan aku kabur-kabur. Tak tidur, melayan manuskrip yang tak bertemu jalan penyudah!

"Kau tak tahu, Along dah pergi hospital?" soal umi dengan mimik muka yang agak muram.

"Tak... kenapa tak bagitahu?" soal aku pula..

"Orang bising-bising kat luar ni, kau tak dengar?" soal umi lagi.

"Manalah Izan nak dengar, tengah menatap kerja ni," kataku kesal. Selalunya aku akan tengok Along pergi.

Di rumah, aku meresah. Nak pergi, Along pesan tak payah lagi. Katanya, mungkin lambat. Takut tak terkawal si Miqhail. Aku menurut. Panggilan seterusnya, pukul 11.45 dari abang Zamri. Katanya, Along dah selamat lahirkan anak keduanya. Lelaki seberat 3.75 kg. Alhamdulillah.

Sepantas kilat kami bersiap, menuju ke hospital di Seri Gombak. Perasaan yang sama seperti menyambut Miqhail dulu muncul kembali. Indahnya kurniaan Allah. Air mata tak tertumpahkan, melihat kesempurnaan ciptaan-Nya. Mierza. Ya, itulah nama yang diberikan kepada si anak comel ini. Putih gebu. Lebih terharu apabila melihat raut wajahnya yang ada iras aku. Matanya sepet, pipinya labuh, hidungnya? Tak payah cakap. Muncungnya? Sama macam aku.

Alhamdulillah, Along pun selamat dan sihat-sihat saja. Bersyukur kerana kedua-duanya selamat. Berita ini terus aku khabarkan kepada teman-teman. Ada yang bertanya dan mahu melihat seraut wajah pari-pari kecilku itu. Maaflah, kami masih memegang pantang larang orang-orang tua zaman dulu. Tak baik ditunjuk-tunjuk gambar bayi baru lahir. Insya-allah, genap usianya 2 bulan, akan aku pahatkan gambarnya di sini. Buat sementara itu, biarlah Mierza berselindung dan terus menjadi tanda tanya. Cuma doakan kesejahteraan anak ini agar sentiasa sihat. Amin.

Beberapa gambar Mierza yang sempat aku ambil...






Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku