Kisah Lucu?

Sejak kebelakangan ini, aku seringkali terdengar bisik-bisik yang melabelkan aku sebagai anti-lelaki dan menjunjung FEMINISME. SUKA HATI KALIAN nak labelkan aku apa-apa pun. Apa yang penting, orang di sekeliling aku tahu kebenarannya. Bagi aku, lelaki atau perempuan, kalau salah tetap salah!

Beberapa hari lepas aku terserempak dengan sepotongan video. Aku tak berminat untuk berkongsi video itu di sini. Isinya amat menjengkelkan. Cukuplah aku katakan, video itu mengandungi unsur-unsur kedayusan seorang lelaki dan kebodohan seorang wanita. Dayusnya lelaki itu kerana berlaku kejam ke atas perempuan. Segala jenis serangan. dilakukannya. Penerajang, penyepak, segala-galanya singgah di tubuh si perempuan. Bagaikan si perempuan itu barang mainan. Si perempuan pula menerima segala perbuatan yang mirip kebinatangan itu. Ah, bodoh! Kalau aku di tempat perempuan itu, aku bukan sahaja mengelak. Malah, siaplah si lelaki itu menerima serangan aku pula. Kalau tak, sia-sia abah mengajar aku silat dan menghantar aku ke kelas tae-kwando. Kaum perempuan, tolonglah! Tiada orang lain boleh tolong anda melainkan diri sendiri. Orang sekeliling lebih suka melihat dari membantu. Aduh! Apalah nasib? Harap sesiapa yang terlihat potongan video itu segeralah memberi hukuman kepada lelaki yang melampau tahap kedayusannya.

Tunggu dulu, itu bukanlah kisah lucu yang mahu aku kongsikan. Aku kira, pasti ada yang anggap aku tidak betul jika mengatakan itu kisah lucu. Percayalah, aku masih waras.


Kisah Lucu 1

Musim raya lepas dan semestinya, musim cuti sekolah yang akan datang...satu soalan selalu mengunjungi rongga telingaku. Soalan klise dan jawapannya pun agak klasik yang aku berikan. Soalan apa lagi kalau bukan," bila nak tamatkan status bujang?"Seperti biasa aku akan jawab, "belum sampai seru, lagipun tengah sibuk nak bina kerjaya."Alhamdulillah, ada yang faham dan tidak akan bertanyakan soalan lain (berkaitan kahwin!).

Namun, ada segolongan manusia yang bersedih mendengar jawapan aku itu. Malah, ada yang sanggup menjadi telangkai. Itu yang membuatkan aku ketawa tak sudah. Apa taknya, masing-masing sibuk meluahkan kerisauan melihat aku masih solo. Masing-masing sibuk mahu aku dijodohkan. Masing-masing sedih... hanya untuk ketika itu sahaja. Sebab? Ketika itu sahaja mereka berjumpa dengan aku. Biasalah, kerja orang-orang yang tak ada kerja. Kalau nak tahu sesuatu, pandai-pandailah mencorak cerita. Bila dah tahu cerita, angkat kaki, lari. Ini yang buatkan aku ketawa. Aduh, tak berubah lagikah kalian ini? Ada sahaja cara untuk korek cerita lepas tu jaja sana sini.


Kisah Lucu 2



Dulu, aku pernah berkenalan dengan seseorang yang kecederaan hati. Jiwanya luluh kerana sering menjadi mangsa penipuan. Katanya, dia menyesal berkawan dengan gadis. Terutamanya gadis melayu. Lidah bercabang. Tak pernah menepati janji. Aku berkawan dengan dia pun kerana mahu buktikan, tanggapan itu salah. Setiap malam kami berbual sampai mencecah pukul 2-3 pagi. Aku tak kisah, kerana aku tahu dia perlukan seseorang untuk meluahkan dukanya. Itu komitmen yang aku berikan sebagai seorang kawan. Selalu ada ketika diperlukan. Tidak aku biarkan dia terus menghukum si gadis-gadis yang belum tentu salahnya.

Agak lama juga aku berkawan dengannya. Tidak lama selepas itu, dia memberitahu sudah bertemu dengan pilihan hatinya. Ya, aku gembira kerana akhirnya dia bertemu gadis yang berjaya mengubati perasaan dan jiwanya yang parah itu.

Sejak itu dia tidak pernah lagi menghubungi aku. Kenapa ya? Takut pada isteri atau takut pada diri sendiri. Lebih kurang 2 tahun, hubungan aku dan dia terputus begitu sahaja. Tidak aku tahu apa terjadi padanya, sama ada masih hidup, sudah punyai zuriat ataupun tidak. Demi Allah, aku juga hampir melupakan yang dirinya pernah aku kenali sehinggalah aku didatangi satu panggilan. Ya, nombornya sentiasa ada dalam simpanan tetapi aku lupa siapakah pemilik kepada nama dan nombor itu. Pelik? Tidak. Alasannya? Buat apa ingatkan orang yang tak mahu mengingati kita. Betul tak?

Selepas dia memperkenalkan diri, barulah aku terkenang kembali memori bergayut berjam-jam melayan jiwa lukanya. Pelik dan hairan juga aku dibuatnya. Kenapa dengan tiba-tiba aku diingatinya? Ya, seperti biasa aku melayan dia bercerita itu dan ini. Namun, sebaik sahaja aku bertanya khabar isterinya, dia jadi bisu. Katanya, "saya dah bercerai."

Lucu sangat. Tidak. Bukan sebab dia bercerai, tetapi lucu bila mengenangkan cara dia datang kembali dalam telefon bimbit dan rongga telingaku. Apa tindakan susulan aku selepas itu? Aku tidak ketawakan dia tetapi, "maaflah, aku 'sibuk' dengan masalah orang lain." Sejak hari itu, dia tidak lagi menghubungi aku dan nombornya telah aku padam. Cukuplah melayan lelaki begini kerana aku tahu, tujuan di sebalik kemunculan semulanya. Jangan harap aku nak layan lagi.


Kisah Lucu 3


Aku kira, antara banyak-banyak kisah, ini paling lucu. Beberapa minggu lepas, aku menghadiri satu majlis perkahwinan salah seorang sahabatku yang berpangkat adik kepadaku. Nurjihadah (semoga berbahagia di sisi suami tercinta). Oh tidak, bukan kisah lucu di majlis perkahwinannya atau apa-apa yang berkaitan dengannya. Cuma aku teringatkan kata-kata seorang lagi sahabatku, Fatimah Sri yang turut ada bersamaku di majlis itu.

"Kak Shai, kau ni dah macam tembok besar China," katanya saat aku memandu keretaku, si Lolly.

"Kenapa? Besar sangat ke aku ni sampai nak disamakan dengan tembok besar atau aku ini jenis yang tak tahu malu?" soalku kerana agak keliru.

"Kau degil sangat, tahap tembok besar. Hati batu," jelasnya.

Ketika itu, aku tidak ambil pusing. Mungkin benar kata Fatimah. Seperti yang pernah aku riwayatkan (amboi!) satu ketika dulu. Aku tidak akan menerima sesuatu dengan mudah. Mungkin aku mudah diperdaya, tetapi bila sekali tertipu. Cukup setakat itu sahaja. Bagi aku, individu itu langsung tidak memberi kepentingan kepada hidup aku. TAMAT! Putus segala-galanya.

Aku tidak ingin tahu apa-apa pun tentang dia, atau pun mahu dia tahu tentang aku. Diari yang sudah dibakar, tidak mungkin kembali menjadi kitab untuk tatapan di masa akan datang. Betul? Jadi, aku umpamakan hubungan aku dengan setiap individu bagaikan coretan diari. Kalau hubungan itu cantik, maka diari itu akan bersambung untuk tahun-tahun seterusnya. Jika jodoh tak panjang, diari itu akan aku simpan untuk kenang-kenangan. Sekiranya kisah yang terjadi di dalam diari itu mengundang seribu rasa kecelakaan, maka rentunglah diari, ranaplah segala memorinya.


Kisah lucu ini, baru sahaja hinggap di telingaku. Baru aku tahu, selama ini aku diintip. Ada mata-mata yang memandang. Ada telinga-telinga yang mendengar. Malah ada juga mulut-mulut yang menyampaikan cerita. Mungkin salah aku. Salah aku kerana menganggap diari itu terbakar penuh. Aku lupa, abu-abunya masih boleh mencederakan mata. Baki abu-abu itulah yang membuatkan aku ketawa terguling-guling hari ini. Adakah susah untuk abu itu menganggap yang aku tiada? Jikalau aku boleh menganggap abu itu sudah lesap bersama angin, kenapa dia perlu kembali dan menggelikan mata dan telingaku?

Sekarang, aku fikir ada benarnya cakap abah dan umi satu ketika dulu. Ada orang yang diluarnya memakai tubuh lelaki tetapi di dalamnya disaratkan sifat kewanitaan. Fikir-fikirkanlah. Aku tinggalkan ruang ini untuk kalian berfikir atau sertai aku dalam sesi gelak-gelak sampai terguling!

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku