Naluri dan gerak hati?

Pernah tidak kalian bertemu dengan situasi yang mana telah dirasakan terlebih dahulu sebelum terjadinya situasi itu? Atau, menjangkakan sesuatu kejadian aneh akan berlaku tetapi kalian tidak ambil pusing kerana tahu itu sekadar mainan perasaan? Mungkin juga, kalian pernah tersepit antara untuk mempercayai satu perkara yang mempunyai dua pengadilan berbeza? Ya. Kesemua itu, pernah dan juga sedang aku alami. Apakah itu yang dikatakan naluri atau pun gerak hati?

Sejak dari kecil, aku selalu didatangi sesuatu yang aku gelarkan sebagai visi. Adakalanya, ia mengganggu dan membuatkan aku seringkali duduk sendirian berfikir. Kadang-kadang, dengan berfikir sahaja aku sudah takut. Takut kalau kejadian itu benar-benar berlaku. Aku lebih suka menyendiri dan mendiamkan diri setiap kali didatangi visi sebegini. Aku masih ingat satu peristiwa ketika di bangku sekolah rendah dahulu. Ketika itu aku bermain di hujung padang sekolah. Kebetulan kawasan itu berhampiran dengan cerun. Sedang aku sibuk bermain dengan sekumpulan kawan yang lain, aku terbayangkan sesuatu terjadi. Seseorang terjatuh dan tercedera. Tidak. Aku tidak beritahu hal ini kepada sesiapa. Seingat aku, beberapa minggu selepas itu, ketika aku dan rakan-rakan yang lain tekun bermain, salah seorang kawanku terjatuh dan bahagian lehernya terhunus batang kayu. Ya, dia cedera. Apa yang aku lihat, tidak sama tetapi ianya terjadi. Seseorang terjatuh dan tercedera. Adakah itu dinamakan naluri, atau sekadar satu visi mainan minda?

Menjelang remaja, pelbagai lagi kisah-kisah sebegini yang aku temui. Sehinggakan aku naik gerun memikirkannya. Satu lagi peristiwa berlaku ketika aku di sekolah asrama. Aku masih ingat, waktu itu hampir tengah malam. Seperti malam-malam lain, malam itu juga aku tidur lewat. Walau dipejamkan mata, alam mimpi itu gagal aku masuki. Lain yang aku cuba, lain pula yang aku dapat. Dapat apa? Dapat panggilan tuntutan 'semulajadi'. Ya, aku mahu ke bilik air yang terletak dihujung bangunan dan berdekatan dengan kawasan hutan. Apa? Ya. Dek kerana mahu menunaikan tuntutan, aku perlu mengejutkan salah seorang ahli bilik untuk menemani aku (itu pesanan warden kerana khuatir apa-apa terjadi).

Entah apa salahnya, semuanya enggan bangun dan menemaniku. Tak apalah. Aku beranikan diri, pergi seorang diri. Sebelum sampai ke destinasi, beberapa bilik lain aku tempuhi. Aku tetap cuba mengejutkan ahli bilik lain pula. Malangnya, tetap sama. Malam itu, semuanya tidur mati. Jadi, aku teruskan perjalanan. Namun sebelum sampai, aku dapat rasakan ada sesuatu di dalam bilik air. Langkah semakin berat. Isi dalam perut pun begitu juga. Kalau tidak dikurangkan, aku juga akan menerima natijahnya. Aku kebalkan segala pendinding diri. Ya, selesai melaksanakan tuntutan aku didatangi satu visi. Visi sahaja. Aku terbayangkan ada sesuatu sedang berdiri di satu sudut bilik air. Aku enggan melayan bayangan yang dirangka minda aku, lalu melangkah keluar meninggalkan bilik air.




Apabila aku keluar, ada dua orang pelajar lain pula mahu pergi ke bilik air. Mereka terkejut kerana melihat aku keluar sendirian. Aku hanya senyum sebagai balasan. Visi tadi masih mengganggu fikiranku. Tanpa berfikir banyak, aku pun masuk tidur. Keesokan harinya, aku bangun dan mendapati beberapa pelajar lain berkumpul. Aku yang agak bengong, menghampiri mereka dan bertanya, apa yang terjadi.

"Apa jadi ni?" soalku yang ingin tahu.

"Semalam, ada dua orang pelajar kena keteguran lembaga putih dalam bilik air," jawab salah seorang dari mereka.

"Bila? Tengah malam semalam, aku ada pergi bilik air. Tak ada apa-apa pun," ujarku, hairan.

"Habis tu? Kau tak dengar dorang menjerit-jerit? Histeria?" soal mereka lagi.

Aku gelengkan kepala. Memang aku tak dengar apa-apa. Mereka membawa aku berjumpa dengan salah seorang dari mangsa. Aku dapat lihat ketakutan dalam dirinya. Pucat. Tak mahu berganjak dari katilnya. Aku datang menghampiri. Dia berbisik padaku

"temankan saya mandi, dia tak akan kacau kalau awak ada," katanya padaku.

Mustahil aku boleh temankan dia mandi. Namun, aku punyai idea lain. Aku menemani dia ke bilik air dan berjaga di luar. Sepanjang menemaninya, membuatkan aku terfikir. Apakah visi yang aku lihat semalam itu menunjukkan sesuatu bakal berlaku?

Percaya atau tidak? Aku masih dikunjungi visi-visi aneh ini. Adakalanya aku akan bercerita pada umi dan abah. Adakalanya aku diam sahaja. Khuatir orang akan labelkan aku gila. Takut orang kata aku berimaginasi lebih. Satu sahaja yang aku hairan, kenapa aku perlu berimaginasi untuk hal-hal mengarut sebegitu. Ada banyak lagi perkara yang boleh aku lakukan. Apa fikir aku sengaja suka-suka berimaginasi. Tolong sikit. Ia datang secara tiba-tiba. Aku tak mahu pun.


Jujur aku katakan, aku sendiri tidak tahu untuk melabelkan masalah visi yang aku alami ini sebagai apa? Naluri? Gerak hati? Baru-baru ini, aku dikunjungi visi yang paling menakutkan. Sebenarnya ia bukan berlaku sehari dua ini. Tetapi, aku pernah melihat visi ini sebulan yang lepas, sebelum Syawal menjelma. Aku pernah juga khabarkan kepada umi dan sepertimana biasa umi katakan, itu mungkin sekadar perasaan aku. Mungkin. Visi atau bayangan kali ini aku dapat ketika memandu balik dari pejabat menuju ke rumah. Sedang aku tekun memandu, aku terbayangkan ada sebuah lori dari arah bertentangan melambung dan seakan-akan jatuh menghempap kereta yang aku pandu. Ketika itu juga pemanduan aku jadi kacau. Kereta yang aku pandu bergoyang ke kiri dan kanan. Hampir juga bergesel dengan kereta di lorong sebelah. Memang mengerikan bayangan itu. Aku terbayangkan perkara yang sama untuk 3 hari berturut-turut.

Hari ini, apabila aku menziarah laman web dan blog yang berceritakan tentang tragedi ngeri bas ekspress pada tarikh keramat 10.10.10, mengingatkan aku kepada visi yang aku lihat sebulan lepas. Pada mulanya, aku enggan melihat gambar-gambar dan membaca kisah kejadian itu. Entah bagaimana, hari ini hati aku ingin tahu kejadian sebenar. Bila aku lihat kereta yang turut terlibat dalam kemalangan itu ialah kereta Myvi, aku jadi gerun. Apakah bayangan yang aku alami dulu ada kaitan dengan tragedi ini atau sekadar kebetulan? Pulang sahaja ke rumah, aku terus berceritakan kembali visi yang aku alami dan mengaitkan dengan tragedi itu. Kali ini juga umi mengatakan, mungkin perasaan aku sahaja. Adakah ini mainan perasaan, atau inilah yang dikatakan naluri dan gerak hati?



Baiklah. Aku akur. Mungkin benar kata umi. Aku tak perlu susahkan fikiran untuk memikirkan hal itu. Kebetulan sahaja aku terbayangkan lori itu melambung dan menghempap kereta aku.

Kisah seterusnya pula tiada kaitan dengan visi atau bayangan tetapi gerak hati dan naluri. Aku enggan nak bercerita penuh tentangnya tetapi aku tetap akan bercerita sedikit sahaja di sini.

Kisah 1

Saat orang lain mula merungkaikan satu kejadian ini, malah mula menunding jari mengatakan tindakan si dia ini salah, entah kenapa naluri aku merasakan sebaliknya. Aku enggan tunduk kepada pertuduhan yang dilemparkan. Sehinggalah di satu petang, dia muncul. Berceritakan segala-galanya. Kebetulan, ceritanya itu menyebelahi apa yang aku jangkakan. Seperti yang aku katakan, gerak hati dan naluriku tak pernah menipu. Percaya atau tidak, andaian kalian salah.

Kisah 2

Hati aku berat sekali untuk mengendahkan hal ini. Namun begitu hampir setiap pagi aku merasakan ada sesuatu yang bakal terjadi dalam hidupku. Dalam erti kata yang lain, ada yang mengganggu ketenteraman hidupku. Gerak hati aku semakin kuat, rupa-rupanya benar apa yang dijangkakan hati. Apa dia? Biar aku sahaja ketahuinya. Tiba masa, akan aku luahkan juga. Dan apabila aku luahkannya, aku pasti itulah kali pertama dan yang terakhir. Tiada lagi toleransi atau kompromi!

Kisah 3

Yang ini, aku simpan untuk diri sendiri. Memang amat pasti kerana gerak hati tak pernah menipu!

Aku semakin yakin dengan gerak hati yang aku miliki. Cuma aku kurang pasti, apakah tujuan aku diberikan bayangan yang mengganggu sistem pemikiran aku ini. Adakah ia sekadar kebetulan, atau pun imaginasi yang aku bayangkan?

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku