Adakah mereka pernah rasa BERSALAH?

Aku masih ingat satu perkara yang dibualkan bersama adikku, Ayuz pada hari Ahad lepas. Di waktu itu, seperti biasa, aku dan mereka (umi, abah dan Ayuz) keluar bersiar-siar, mencuci mata. Kebetulan jalan yang kami ikuti (ketika itu aku yang memandu) adalah lebuhraya Kuala Lumpur-Ipoh. Sedang rancak berbual, aku keluarkan cerita tentang perasaan aku selepas melihat gambar-gambar kejadian kemalangan ngeri 10.10.10 lalu.



Sempurnakah tarikh ini?
Jangan salahkan tarikh!


Sebelum mengakhiri perbualan, Ayuz sempat membuat permintaan padaku. Aku rasa, itulah permintaan yang paling menyentuh perasaan aku. Dia mahu aku menulis sesuatu tentang hal ini di blog. Betapa rasa kecewa, terkilan dan ralatnya apabila mengenangkan kebarangkalian yang mungkin terjadi sekiranya pasukan keselamatan 'mampu' sampai tepat pada waktunya di tempat kejadian. Dia juga meluahkan tentang logiknya perkhidmatan keselamatan udara.

"Angah, cuba kau bayangkan kalau pasukan penyelamat datang cepat dan bukannya 3 jam lewat? Kau rasa, ada tak mangsa yang boleh diselamatkan?"

Soalan itu meninggalkan garis dalam hati kecilku. Ya. Ada benarnya persoalan Ayuz itu. Bukan hendak melawan apa yang telah ditakdirkan, cuma apa yang berlaku jika benar-benar pasukan keselamatan datang tepat pada waktunya. Mungkin ada nyawa yang boleh diselamatkan. Aku cuba pula meletakkan diri sebagai mangsa atau keluarga kepada mangsa. Pasti lebih terkilan. Kalau aku benar-benar di situ, hilang kawalan? Ya. Aku pasti hilang kawalan dan mungkin juga kewarasan.

Aku juga difahamkan, kemungkinan ambulan boleh tiba awal di tempat kejadian jika laluan kecemasan dibiarkan kosong. Maksudnya, tiada kereta atau kenderaan lain menyekat lorong kecemasan yang dibuat KHAS untuk kecemasan. Aku faham, semua orang tidak mahu lambat. Apatah lagi tersekat dalam kesesakan lalulintas. Malah, ada sahaja pemandu-pemandu di Malaysia ini yang mempunyai sikap mementingkan diri sendiri. Laluan kecemasan digunakan sesuka hati. Alasan? Buat apa bersesak-sesak macam orang bodoh sedangkan lorong kecemasan itu kosong dan boleh digunakan.




Lorong kecemasan bukan untuk laluan kereta, tetapi untuk KECEMASAN.
Faham apa itu kecemasan?


Percayalah, lorong kecemasan dan juga bahu jalan sentiasa menjadi mangsa kegunaan para pemandu yang hanya mementingkan diri sendiri. Aku masih teringat satu kejadian di tol Rawang. Semua orang tahu, jalan di Rawang ini umpama 'dewa' kesesakan lalulintas. Sebaik keluar dari tol, jalan yang besar akan mengecil menjadi 2 lorong. Akibatnya, lorong kecemasan dan juga bahu jalan pasti akan digunakan. Setiap kali itu juga aku dapat lihat kesukaran penunggang motosikal yang tidak dapat menggunakan lorong itu. Sudahlah jalan 2 lorong itu padat, seakan syaf yang disusun rapat-rapat. Bahu jalan yang sepatutnya digunakan oleh penunggang motosikal juga dipenuhi kenderaan lain. Siapa yang salah? Pemandu kereta, ataupun penunggang motosikal? Selalu juga aku mengambil gambar mereka tetapi tidak pernah aku simpan.

Satu lagi persoalan yang berlegar di fikiran, apakah perasaan pemilik kereta yang sengaja menggunakan lorong kecemasan pada kejadian tersebut? Tidakkah mereka rasa bersalah kerana menghalang perjalanan pasukan kecemasan? Pernahkah mereka terfikir, jika ada antara mangsa tersebut adalah ahli keluarga sendiri? Tidakkah mereka akan mula menyalahkan itu dan ini?

Sebenarnya, sikap pemandu Malaysia sudah tidak dapat dibendung lagi. Secara jujur, aku tidak ambil pusing berapa laju mereka mahu memandu kenderaan, selagi mereka mampu mematuhi peraturan yang lain, bagus. Tidak membawa kesusahan kepada orang lain dan juga kepada diri sendiri. Kalau terlanggar pagar, tembok atau mana-mana tempat, atau mati sendiri lebih bagus. Sekurang-kurangnya cabut nyawa sendiri dan tidak membawa maut kepada orang lain. Apa? Ayat aku kejam? Fikirlah sendiri. Siapa lebih kejam? Aku yang mengeluarkan ayat ini, atau mereka yang tidak sayangkan nyawa?

Jadi, apakah tindakan rakyat Malaysia sesudah terjadinya tragedi ngeri ini? Bukankah sepatutnya dipertimbangkan rancangan untuk mewujudkan pasukan keselamatan udara? Ada bermacam-macam cara yang boleh digunakan. Yang penting, perlu menyelamatkan nyawa. Jika di luar negara ada pasukan keselamatan melalui udara, kenapa tidak kita? Bukankah Malaysia BOLEH?



Gambar hiasan.
Kalaulah Malaysia ada helikopter ambulan... bukankah bagus?


Mungkin juga di masa akan datang, para pemandu perlu menyimpan ini dalam ingatan. Jangan sesekali menggunakan lorong kecemasan. Lebih baik lambat dari menyusahkan orang lain. Insya-allah. Kadang-kadang, tidak salah rasanya kalau kita lewat tetapi dalam masa yang sama dapat menyelamatkan lebih banyak nyawa dari masa kita. Betul tak? Fikir-fikirkanlah.

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku