Saturday, October 23, 2010

Ada Yang Lain...



Hari ini nak berkongsi cerita tentang novel terbaru aku, bergabung dengan penulis (kakak yang aku sanjungi) kak Ellis Gee. Tak pernah aku menyangka dapat bekerjasama dengan kak Ellis Gee. Bertemu untuk pertama kali di Pesta Buku Antarabangsa. Itu pun disebabkan kerana kebetulan, aku dijadualkan untuk bersama-sama memeriahkan booth Fajar Pakeer beberapa tahun yang lepas. Sejak hari itu, sehinggalah ke hari ini, aku dan kak Ellis sentiasa berhubung. Terima kasih ya kak. Aku rasa, dia seorang sahaja yang sudi beri peluang untuk digabungkan karyanya bersama karyaku.

Awalnya, aku agak gerun nak digabungkan dengan mana-mana penulis. Apa taknya, masing-masing sudah ada pengikut tersendiri dan kak Ellis mempunyai sejumlah pengikut yang agak ramai. Buktinya, beberapa kali karyanya berjaya menjadi antara yang terlaris. Tahniah. Bertambah gerun aku dibuatnya. Namun begitu, dia selalu membantu aku bina semangat dan terus cekal dalam bidang yang sememangnya aku cintai ini. Pernah di satu ketika, aku rasa mahu tinggalkan dunia penulisan ini dan menumpukan seratus peratus terhadap kerjayaku sebagai editor. Alhamdulillah, dengan adanya dorongan keluarga, sahabat dan juga rakan penulis (terutamanya kak Qaseh Qaisara dan kak Ellis Gee) aku cekalkan hati dan terlahirlah Ada Yang Lain.

Satu perkara yang boleh aku katakan, Ada Yang Lain merupakan karyaku yang agak lain dari sebelum ini (Rindu Pada Matahari dan Hatimu Hatiku Jadi Satu) Ya. Aku meletakkan diri dalam keadaan yang jauh sekali berbeza dengan karakter, situasi dan pengalaman diri. Masih terngiang-ngiang di telinga soalan umi kepadaku setelah karyaku ini selesai dibacanya.

"Ini cerita siapa?"

"Bukan cerita Izan,"

"Tapi macam kau, ada kereta Satria... majalah, editor,"

"Nak ambil mood, lebih alami,"

Ya. Aku sengaja menggunakan elemen yang berada di sekelilingku. Namun, Shazia bukanlah Romibaiduri dan pastinya bukan Shahaini. Shazia adalah seseorang yang aku doakan tidak pernah terjadi dalam hidup aku. Tapi, tidak aku nafikan, sebahagian Shazia ada aku, ada Romibaiduri dan juga ada Shahaini. Sudut mana? Siapa yang baca akan mengetahuinya. Kisah Cinta Yang Lain, hanyalah bayangan semata-mata. Tiada kaitan sama ada hidup mahu pun mati.

Secara jujurnya, aku teramat suka dengan hasil penulisan kali ini. Bak kata seseorang, dia sudah nampak ada kemajuan dan kematangan dalam lenggok penggunaan bahasaku. Atau dalam penghakiman aku sendiri, "lebih bersahaja, telus dan jujur!"

Selain Cinta Yang Lain, dalam novel Ada Yang Lain siri novel Dwilogi Cinta ini, ada kisah Selenge. Aku kira, inilah kali pertama aku bertemu dengan watak sebegini. Nasratul Adawiyah atau nama ringkasnya Nas, seorang wanita yang suka makan percuma dan bercantik! Kak Ellis berani mengutarakan watak utamanya memakai perwatakan negatif. Amat jarang digunakan tetapi menarik. Berlawanan dengan perwatakan Shazia.

Nas gila-gila tetapi berani. Seorang yang bersahaja tetapi berkeyakinan. Shazia pula, seorang yang amat serius, keras hati. Tetapi dalam masa yang sama, lemah hati kerana terlalu menyayangi seorang lelaki, Haikal. Berbeza dengan Nas yang suka cabaran dan mencabar. Nas yakin dengan cinta hatinya. Walau seribu lelaki datang menawarkan cinta, hatinya milik seorang. Tidak seperti Shazia, setia pada satu dan merana sendirian.

Dua wanita dalam dua dunia berbeza dengan sudut pandang yang berlainan tetapi punyai keinginan yang sama. Apakah keinginan yang satu itu?

* Gembira hati ini apabila menerima komen darinya yang mengatakan sudah selesai membaca novel ini. Tambah terharu bila menerima komen ini...di ruangan Facebook (Mukabuku) Khamis yang lalu.

"I dah baca CYL tu. Seronok...akhir cerita tu i nangis juga. Bagus sebab ada elemen agama dalam cerita tu. Umur panjang, kita bekerjasama lagi. Semoga sukses selalu." Thursday at 07:55

Sekali lagi terima kasih diucapkan kepada kak Ellis Gee yang sentiasa bersabar dengan kerenah dan kesibukan seorang Romibaiduri Zahar. Insya-allah, panjang umur dan ada jodoh, kita akan bergabung lagi di projek yang lain.


Kak Ellis Gee... macam-macam yang dirancang tak menjadi.
Insya-allah, mungkin ada rezeki di lain hari. Amin.