Saturday, February 13, 2010

Terlalu Sayang... Hanya Kamu!

Hari Jumaat, hari terakhir sebelum cuti panjang. Sebenarnya dah dua hari, mood aku tak berapa baik. Kasihan juga aku lihat rakan sekerja yang terpaksa jadi mangsa. Maaflah ya Man, bukan sengaja. Kompilasi masalah yang datang dari segala sudut membuatkan aku begini dingin. Tak, bukan salah kau pun. Salah aku, 150%. Jadi, aku minta maaf secara terbuka dan eksklusif.

Ruang mukabuku pun tak berapa aku nak layan. Kalau jenguk pun, sekali-sekala. Sekadar menjenguk. Hati sudah tawar. Renjiskan perencah dan rendamkan dengan banjiran kicap pun masih tak terasa masinnya. Pahit dan tawar. Aduh! Dengan segala kekusutan, sengaja aku meletakkan status di mukabuku sebagai...

'Sedang mematikan diri dari segala...'.

Aku teruskan dengan tugasan. Memandangkan hari ini terakhir sebelum cuti 4 hari, banyaklah perkara yang perlu disiapkan. Masa solat Jumaat sahaja aku berkesempatan menjenguk kembali ke ruang mukabuku. Tak aku sangka ada respon dari kawan-kawan di sana. Memanglah biasa dapat respon, tapi respon kali ini buatkan mataku sedikit tersembul. Aku dapat balasan dari seorang teman nun jauh di India, Mahua.

Ini balasannya pada status aku....

"Mengapa, apa yang telah terjadi,
anda nampaknya tidak memasuki angin baik ........
Memaafkan kemahiran-kemahiran Melayu miskin walaupun....."

Aku tahu, mesti ramai yang salah faham tapi bukan aku. Aku faham benar apa yang dia mahu sampaikan cuma dia tersalah memilih penggunaan ayat dan susunannya berterabur. Biasalah, orang nak cuba bergaul dengan bahasa kita. Mesti ada sedikit tersasar. Kadang-kadang orang Melayu sendiri pun tak faham guna bahasa Melayu, inikan pula orang yang bukan hidup dengan bahasa Melayu.

Sebenarnya, ini yang dia mahu sampaikan....

"Why... what happened? You seemed not in good mood ........
Forgive, poor Malay skills though ....."

"Mengapa, apa yang telah terjadi? Nampaknya angin awak tak baik.
Maafkan skill bahasa Melayu lemah..."

Itu yang buat aku agak terkejut macam beruk hilang pisang dan tertelan cili api. Aku dengan perasaan yang agak teruja, terus membalas dan bertanyakan dia bagaimana dia boleh tahu dan faham apa yang aku tulis. Dan ini yang dia jawab....

"@Romi: Its a hugely used language among the Asian region after of course Mandarin.So, I better get a hang of it. I have a long way to go before I even understand the language better though. Anyway cheers and have fun..."

Setelah membaca balasannya, aku pun menawarkan diri untuk mengajarnya bahasa Melayu. Alhamdulillah, dia bersetuju. Apa yang lebih baik dari berita ini? Aku bangga sangat. Dalam anak muda-mudi Melayu sibuk meraja dan bertuhankan bahasa Inggeris, orang-orang di luar pula sedang cuba mempelajari bahasa indah ini. Nak salahkan siapa? Hahaha... tak payah susah-susah nak salahkan sesiapa... salahkan diri sendiri, itu pun dah cukup!

Selepas itu, mood aku kembali seperti biasa. Bila mood dah kembali normal, aku mulalah menyanyi lagu tak tentu pasal. Orang di pejabat pula yang hilang mood... hahaha. Sekali lagi, maaf ya teman-teman. Bukan sengaja mengganggu kalian buat kerja. Aku terlalu gembira sebaik sahaja mengetahui berita yang satu ini.

BERITA YANG MENGGEMPARKAN DI RUMAH

Hari ini, majikanku dengan berbesar hati melepaskan kami awal. Luarbiasa tu! Bukan senang dapat balik awal! Teman sekerja aku pula, keluar lebih awal dari aku. Agaknya tak sabar sangat tak nak tengok muka aku sehinggalah empat hari yang seterusnya...hahaha. Ya, aku faham. Tak siapa dapat tahan dengan aku. Inikan pula dia yang terpaksa duduk dengan aku sehari suntuk. Mesti membengkak jiwanya tiap kali hampir dengan aku. Maaflah ya, aku tak boleh nak buat apa-apa.

Sampai di rumah, pukul 6.30 petang. Kebetulan masa itu Miqhail tidur. Tenang betul wajahnya. Aku pun meluru masuk dan seperti biasa menghadiahkan kucupan di pipi gebunya.

"Ijan, Miqhail ada jatuh tak semalam atau terhantuk kat mana-mana kepala dia?" soal umi pada aku.

Aku terkejut. Sepanjang pengetahuan aku, tak pernah pula aku biarkan Miqa terhantuk kepala atau menghantukkan kepalanya.

"Tak umi, kenapa?" soalku hairan.

"Kepala dia ni ada lendiran... lembik aja," jawab Ayuz pula yang baring di sebelah Miqa sambil menggentel bucu kepala anak buah kesayangan kami itu.

Aku mula kaget. Terus terimbau kejadian yang pernah menimpa kakak kepada kawanku. Kepalanya pernah terhantuk dan akibatnya sekarang, kakak itu ada ketumbuhan. Walaupun sudah berjaya dikeluarkan, kakak itu terganggu dari segi emosi dan fikiran. Tidak stabil.

"Habis tu, nak buat macam mana?" soalku, dalam hati bergoncang seribu ketakutan.

"Tunggu Along, suruh dia bawa Miqhail ke klinik," kata abah yang nampak muram dan suram.

Aku cuba pujuk hati, dan pergi ke dapur untuk makan. Tak banyak, sedikit sahaja sekadar mengisi perut yang sudah pun bergema dengan muzik Metalica dan Nirvana.

Beberapa minit kemudian, Along balik. Dan seperti mana-mana ibu yang lain, Along terus bawa Miqhail ke klinik bersama Abang Zamri. Kami yang tertinggal di rumah cuba menjalani hidup seperti biasa. Dan aku, pergi ke bilik mandi dan membersihkan badan.

Tabiat aku di bilik mandi, aku akan pasang lagu. Tak senonoh betul! Bukan apa, sekadar penghibur. Dan kerana nak berhibur sambil disimbah air pancuran yang sejuk, aku leka. Mungkin setengah jam juga aku di bilik mandi. Aku keluar saja, tengok semua dah hilang. Aku jenguk ke luar. Semua sedang melambai kereta Waja yang dinaiki Along dan Miqhail.

"Umi, Along pergi mana tu?" soalku kehairanan.

"Miqhail kena hantar ke hospital..., tengkorak Miqhail retak," ujar umi.

"Apa? Kenapa tak tunggu Izan dulu?" kataku, emosiku pantas berubah.

Tak semena-mena, mataku yang pedih dengan air mandian tadi mengalirkan air mata kesedihan. Terasa-rasa mahu sahaja aku memasuki Romi dan pecut mengekori Along dari belakang.

"Lain kali, mandilah lama-lama lagi. Orang tu nak cepat!" bentak umi pula.

Kebisuan terus melanda diri. Aku hanya nampak Miqhail di setiap sudut dan ceruk. Anak sekecil itu, yang selalu riang, lincah selama ini mengalami sakit yang sebegitu besar. Kenapa dia tak menangis pun? Kenapa dia tak tergaru-garu bahagian kepala yang membengkak itu?

Aku hilang seribu daya untuk bergerak, malah terlupa bagaimana hendak bernafas dengan betul. Belum apa-apa, aku sudah merasa separuh jiwa diragut. Sudahnya, semua yang tinggal di rumah, berkampung di ruang tamu. Enggan bergerak selagi tidak menerima panggilan dari Along dan juga melihat Miqhail pulang semula ke rumah.

Alhamdulillah, dalam beberapa jam kemudian... Along buat panggilan dan kata Miqhail okay. Cuma perlukan rawatan dan ambil beberapa ubat. Dek kerana dia masih lagi budak kecil, tiada apa-apa yang mampu dilakukan. Tengkorak yang retak itu akan bercantum sendiri. Tapi, itu saja tak cukup menjamin apa-apa selagi tidak bertemu dengan Miqhail . Kami sekeluarga terus menunggu.

Sebaik saja melihat Miqhail yang masih lincah berjalan laju masuk ke ruang tamu, buatkan hati yang mati tadi hidup semula. Ya Allah, sesungguhnya aku terlalu sayang Miqhail. Aku berdoa dan berharap agar si pari kecilku ini selamat sentiasa dan selalu berada dalam lindunganMu! Amin...