Derita cik Medulla Oblongata!



Lebih sebulan aku tahan sakit. Sakit kepala yang kuat. Mulanya aku buat tak endah. Malas nak layan. Tambah pula, aku tak nak menyusahkan orang dan tak mahu belanjakan duit. Kau ingat, senang nak cari duit? Lepas tu, senang-senang nak belanja? Kalau setakat pening sikit-sikit, baik lupakan saja klinik. Telan panadol, Insya-Allah sihat. Masalahnya sekarang, telan panadol pun aku liat.

Nak dijadikan cerita, semalam sakit pening aku menyerang dengan terlalu kuat. Sampai aku rasakan medulla oblongata aku seperti dicabut keluar dari tempurung kepala, atas pangkal leher. Mata aku semakin kabur. Tiba-tiba saja kaki aku menggigil kelemahan. Aku pandang cawan hitam yang baru saja habis kuhirup air nescafe di dalamnya. Pening seakan dunia berpusing. Ya, sakitnya sama seperti yang kualami hari Selasa minggu lepas, sebaik saja minum 3 cawan kopi susu kaw bancuhan seorang akak yang kurang aku kenali.

Masa teguk air kopi susu, sedikit pun tak terfikir yang aku akan mengalami pening yang agak hebat. Umi kata yang aku ini PELAHAP. Macam tak pernah minum air kopi. Malukan muka saja. Tetapi, satu yang perlu aku tegaskan di sini. Memanglah aku selalu minum kopi, itupun bukan asli. Campuran 3 dalam 1. Rasanya tak sesedap yang akak ni bancuh dan buatkan aku lupa diri seketika.

Pening yang kutanggung semalam, lebih hebat 3 kali ganda sakitnya. Mungkin salah aku juga. Dek kerana nak menghilangkan rasa mengantuk. Aku bancuh dua nescafe dengan air secawan. PADAN MUKA! Minum separuh pun aku dah terasa denyutnya inikan pula habis licin satu cawan. Dah memang pantang aku, minum dan makan tak habis. MEMBAZIR!!! Semua itu datangnya dari duit. Penat bekerja takkanlah senang-senang nak buang duit macam itu saja. Betul tak?

Masa sakit menyerang medulla oblongata (satu-satunya aset yang paling aku sayang = otak aku!), aku di pejabat. Kebetulan rakan setugas sedang sibuk buat 'tugasannya' melayan 'klien'. Aku pun dalam masa yang sama pun turut melayan klienku juga. Ada juga dia bertanyakan sesuatu. Malangnya, aku memang tak dapat nak menyahut atau membalas. Aku sakit kepala yang amat sangat.

"Maaflah, saya pening sangat ni...," ujarku masih gagahkan diri untuk berkata-kata.

Dalam dengar dan tidak, aku sempat juga mencuri lafaz ayat yang terpantul dari mulutnya. Walau tak kuat, tapi jelas ke gegendang telingaku yang sedikit uzur ini.

"Saya pun pening juga, tapi ok ja," katanya sambil berlalu merehatkan diri ke bilik kecil.

Aku senyum sendiri. Tak tahu nak bereaksi atas kata-katanya itu. Satu saja aku pujuk diri, biarlah dia enggan nak faham. Siapa aku nak suruh dia faham atau hormati aku yang memang sedang cuba menanggung sakit? Jadi cara terbaik, aku diam saja. Lebih selesa disakiti di telinga. Di hati? Usah khuatir! Hatiku dah cukup kebal nak menangkis kata-kata yang sekeras itu. Biarlah. Mungkin memang salah aku.

Sampai saja di rumah, aku terus menghempas badan. Terbaring di sebelah Miqhail yang sedang enak menyusu.

"Pergilah mandi, lepas tu makan," ujar umi.

"Izan betul-betul tak tahan sangat, umi," kataku.

"Kenapa pula ni?" soal abah.

"Kepala Izan sakit betul, rasa macam nak terkeluar otak ni," ujarku.

"Mandi, kita pergi klinik," kata abah tegas.

Aku bergegas masuk ke bilik air. Percaya atau tidak? Sakit itu semakin mendesak ketahanan aku. Aduh! Adakah ini tanda-tandanya aku nak mati? Tak, bukan aku takut. Mati itu pasti dan abadi. Cuma, terfikir pula terlalu banyak benda yang belum sempat kuselesaikan. Tanggungjawabku pada umi dan abah masih belum langsai. Diriku? Ah!!!! Itu tak penting. Umi dan abah yang penting.

Nasib baik Along sampai rumah awal. Dapatlah kami pergi dan meninggalkan Miqhail bersama mereka (along dan abang Zamri).

AWAK SAJA YANG MAMPU SELAMATKAN DIRI SENDIRI

Masuk saja ke dalam bilik, si Doktor dah tersenyum panjang. Aku duduk seperti biasa tanpa perlu disuruh sambil ditemani umi.

"Sakit telinga lagi?" soal Doktor yang agak manis raut wajahnya.

"Kali ini, saya sakit kepala. Pening sangat, dah rasa macam nak tercabut saja kepala ni,"
kataku terus mengadu.

"Selain itu, ada sakit apa-apa lagi?" soalnya sambil mengukir senyum.

"Setiap kali sakit, mata saya jadi kabur. Tekak jadi loya macam nak muntah tapi tak.
Lepas itu, rasa dunia ni macam bergoyang dan kaki saya rasa lemah dan kebas,"
jelasku sehabis-habisnya.

"Kalau dengar dari penjelasan awak, tentu awak ni banyak sangat berfikir,"
teka si Doktor yang membalut alat pengesan darah tinggi.

"Awak ini stress," katanya lagi.

"Hish, tak ada lah. Mustahil, sebab saya tak ada masalah,"
kataku cuba mahu menyangkal.

"Awak mesti banyak berfikir, apa yang awak fikirkan?"

Hish, doktor ini. Takkan aku nak bagitau semua yang aku fikir. Takkanlah aku nak beritahu pada dia yang aku risau manuskrip novel aku masih tak berganjak dan berhenti di situ sejak beberapa bulan lalu? Perlukah aku beritahu yang aku baru siapkan 4 rangka saja, baki lagi 9 masih tertangguh? Haruskan aku kongsi segala masalah yang melanda pejabat aku padanya? Dan mahukah dia dengar yang aku dah bosan dengan orang yang asyik bertanyakan soalan sama setiap kali nampak muka aku?

"Memang doktor, anak saya ni tak pernah berhenti buat kerja. Di pejabat menghadap komputer, balik ke rumah dia tak berhenti dan tak berehat terus sambung buat kerja menulis pula sampai ke pagi. Itu yang difikirnya selalu. Puas saya larang tapi dia tak mendengar," bentak umi dari belakang.

Doktor hanya senyum dan ketawa.

"Shahaini, kalau awak terus macam ni mana-mana doktor dan mana-mana ubat pun takkan dapat selamatkan awak! Otak perlu berehat, awak tu perlu berehat! Sekarang baru stress, lama-kelamaan awak boleh dapat hipertensi. Jadi mulai sekarang pandai-pandailah uruskan masa, ya," kata-katanya membuatkan aku terkedu.

Dalam hati membisik, kalau aku tak bekerja, aku tak akan dapat apa yang aku mahukan. Aku bukan jenis yang meminta-minta dari orang lain. Akan aku usahakan sendiri untuk mendapatkan apa yang aku mahu. Jadi, nak atau tak nak, sakit atau tidak aku perlu hadapi. Hanya aku sendiri tahu kepentingan aku berbuat demikian. Andai aku hidup sendiri kelak, aku tidak perlu bergantung hidup pada sesiapa. Jika aku ditakdirkan bertemu jodoh, bukan pula si dia aku jadikan sasaran untuk mendapatkan apa yang aku mahu atau idamkan. Abah sudah ajar dari kecil, kalau nak sesuatu usaha sendiri dan jangan harapkan orang.

Sehingga hari ini, aku masih berpegang teguh pada kata-kata abah. Ya, abah dan umi ajar aku untuk tidak mengharap harta orang lain. Bukan juga rezeki terpijak tetapi usaha, cari dan miliki sendiri. Itu yang lebih baik.

* Sedang cuba mengurangkan masa menghadap komputer. Aku tidak boleh berdegil kerana hidupku ini bukan hanya untukku sendiri. Sekurang-kurangnya, bukan untuk aku saja. Alhamdulillah, cik Medulla Oblongata sedikit sihat hari ini. Harap ia akan berkekalan. Insya-Allah.... Amin.


Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku