Terang Gelap... Gelap Terang

Banyak perancangan terpaksa dibatalkan. Aku tak kisah pun semuanya dibatalkan, kerana apa yang lebih penting semuanya selamat. Kalau ikutkan jadual kami ke Kelantan cuti Tahun Baru Cina ini sepertimana percutian tahun lepas, di destinasi yang sama. Kelantan, rasanya dah banyak kali kami sekeluarga pergi ke sana.

Jujurnya, aku memang suka Kelantan. Ada satu ketenangan yang ada di sana yang sukar disamakan dengan negara-negara lain di Malaysia. Bukan kerana masakannya atau pun kain batik hasil keluarannya. Mungkin, aku terpesona melihat kegigihan kaum wanita di sana. Ya! Aku tak nak menyentuh soal itu kerana nanti ada yang mengatakan aku menjentik isu seksis pula. Cukuplah orang menuduh aku radikal dan terlalu ortodoks. Lantaklah, aku malas nak melayan.

Hari Isnin yang agak perlahan pergerakan masanya, abah mengajak umi melawat Wan Anjang di Pahang. Khabarnya dia tidak sihat. Sudah agak lama juga khabaran itu bertiup, cuma kerana kesibukan dan jadual kami (aku dan Ayuz) yang padat membuatkan ziarah kami ke sana selalu saja terbantut.

Kebetulan Isnin itu juga aku dapat suntikan VITAMIN R (Rajin). Pagi-pagi aku dah bangun dan mengemas kawasan rumah dan memandikan Romi. Cheh, busuk punya Romi! Tuan belum sempat makan dan mandi pun, dia yang dapat dulu. Tak mengapa, yang penting Romi sentiasa tampil kacak dan menawan.

Perjalanan dari Rawang ke Pahang agak lancar. Tak sedar yang kami sudah pun sampai ke destinasi. Setiap kali tiba di kawasan rumah Wan Anjang, pasti mataku sempat singgah di rumah sebelah. Rumah yang pernah didiami arwah wan dan atuk. Kini, rumah yang pernah tersergam indah dengan warna hijaunya tak ubah seperti papan berlumut. Ditambah pula bau busuk saki baki ayam. Al-maklumlah, rumah itu telah didiami oleh taukeh ayam. Ada sedih yang menyayat di hati.

Kalaulah arwah Wan dan Atuk masih hidup, rumah itu tentu cantik. Rumputnya tentu subur. Pokok rambutan tentunya rimbun dengan dedaunan. Sayangnya, ia semua hanya lukisan kenangan. Tak sanggup rasanya untuk terus lama singgah. Jodoh aku dengan arwah Wan amat singkat. Kalau tak silap, semasa dia meninggalkan kami usiaku baru sahaja lima tahun. Tapi, satu sahaja yang aku selalu ingat. Arwah Wan seorang yang pandai mengubati orang. Amat disayangi semua penduduk kampung. Begitu juga arwah atuk yang sentiasa murah dengan senyuman dan tidak pernah meninggikan suara.

Ketika arwah atuk meninggal, aku berada di Selayang bersama abah dan Along. Manakala umi dan Ayuz balik dulu. Aku benar-benar tak sangka arwah tuk meninggalkan aku. Ya, sepertimana yang pernah aku ceritakan dulu. Sehingga ke hari ini aku masih teringat-ingat kali terakhir pertemuan dengan dia. Hari raya Aidil adha. Kami singgah ke rumah De Dollah. Atuk minta aku urutkan kakinya, tapi entah apa yang menahan aku untuk mendekati atuk. Selalunya, tak perlu diajak. Aku akan terus menghampiri dia.

Aku juga ingat, selepas kematian arwah tuk. Aku mengambil seluar shell warna merahnya. Agak lama juga aku memakai seluar merah itu. Pengubat rasa sesalku. Mungkin.

Keadaan dulu dan sekarang sudah jauh amat berbeza. Tiada lagi teriakan suara mamak Salleh, mengupas kelapa muda untuk diminum airnya. Tiada lagi suara gelak De Dollah yang suka menyakat anak-anak buah dan pastinya, sudah tiada lagi masakan laksa istimewa arwah Mak Ngah. Semuanya tenggelam di telan masa.

Agak lama juga kami singgah di rumah Wan Anjang. Sebelum benar-benar meninggalkan Pahang, kami singgah di tempat wajib iaitu Restoran Radha. Macam biasa, menu istimewa restoran ini tentunya ayam masak kari. Alhamdulillah, kenyang sampai ke malam. Kenangan yang datang merisik tadi segera menghilang dan tersimpan semula dalam kotak memori.

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku