Terima Kasih Umi... Terima Kasih Abah

Hari ini hari paling bahagia...
Tanpa hari ini 26 tahun yang lepas...
Tiadalah aku...
Tanpa Umi dan Abah...
Tiadalah aku melihat dunia...


29 Januari 1983. Satu tarikh yang amat biasa bagi setiap manusia di muka bumi ini. Tiada apa yang istimewa, dan hari ini adalah hari seperti hari-hari yang lainnya. Namun bagi aku, hari inilah hari yang paling bermakna. Bukan kerana hari ini hari lahir aku, tapi hari ini, aku diberi peluang untuk sama-sama hidup di muka bumi ini.

Setiap kali tarikh ini menjelma dalam kalendar harianku, pasti kenangan 26 tahun lepas kembali dalam ingatan. Seringkali umi bercerita padaku, yang aku ini lahir terlewat sebulan! Wah, benar-benar menakjubkan. Kata umi, aku sepatutnya dilahirkan pada 27-29 Disember 1982. Doktor juga ada memberikan pilihan kepada umi dan abah, sama ada ingin melakukan pembedahan untuk mengeluarkan aku atau tunggu sehingga aku bersedia untuk keluar. Keputusan di tangan abah. 'Biar dia keluar sendiri'

Bila aku kenangkan kembali, aku akan ketawa sendiri. Mana tidaknya, cerita kelahiran aku juga sedikit istimewa dan lucu berbanding adik-beradik yang lain. Kata umi, aku yang paling susah nak keluar. Dari hari ke hari, minggu ke minggu doktor beri tempoh untuk aku keluar. Tapi, bila tiba masa aku nak keluar, tak terkejar doktor dibuatnya. Umi selalu kata yang aku ini memang gelojoh orangnya. Semuanya sebab peristiwa kelahiran akulah. Masa dah sampai ke bilik pembedahan, belum sempat umi diletakkan ke katil melahirkan bayi, kepala aku dah terkeluar semasa umi masih terbaring di troli lagi. Doktor yang menyambut aku sampai tak sempat kasut dan pakai sarung tangan.

Abah pula selalu saja menyindir aku, 'sebab tu kau ni kalau bercakap, propagandanya lebih.' Rasanya, memang benar pun kata-kata abah. Kadang-kadang aku pun rasa begitu. Tapi itulah aku, Allah dah jadikan setiap manusia itu dengan sifat dan tabiatnya yang tersendiri. Bukan aku nak berbangga tapi... itu adalah kurnian. Betul tak?

Kalau tengok dari sudut yang lain, atau lebih mudah untuk aku katakan...sudut pandangan aku sendiri, aku tahu kenapa aku sengaja memilih untuk berada sepuluh bulan dalam kandungan umi. Sebab aku tak sanggup berpisah dengan umi dan abah. Bukan hanya pada ketika itu, tapi sehinggalah sekarang. Aku masih belum sedia untuk berjalan sendiri. Aku perlukan mereka, sentiasa di sisi. Mungkin bunyinya agak mementingkan diri, tapi kalau aku diberi pilihan, biarlah aku pergi dulu kerana aku tidak akan dapat hidup sekiranya mereka meninggalkan aku.

Pagi tadi... tepat pukul 12 pagi,umi menghantar sms padaku dengan kata-kata yang aku rasakan amat comel dan paling meninggalkan kesan yang paling dalam....

Selamat hari lahir yang ke 26, semoga panjang umur murah rezeki
Pada ulang tahun ini, budak yang tak pernah dewasa ni akan menjadi dewasa hendaknya
Itulah doa umi untuk puteri ke-dua umi dan abah....

Insya-Allah umi, abah.
Tapi, ketahuilah, selagi Izan bergelar anak umi dan abah...
Selagi itulah budak yang tidak pernah dewasa ini akan kekal jadi budak...
Terima kasih Umi...
Terima kasih Abah...
Doakan Izan terus jadi anak yang tidak akan lupakan kedua ibu-bapanya, keluarga, agama dan dirinya sendiri...
Amin.

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku