Tuesday, January 27, 2009

Antara aku dan AKU di Palestine!

Jangan dengar nasihat orang gagal...
Sudahnya kau tidak akan berganjak...
Jangan fikir kau akan gagal...
Makanya kau tak akan hidup



Al kisahnya, malam Sabtu lepas aku dan dua rakan yang paling sejiwa (Fatimah Sri dan Nurjihadah) pergi 'berpoya-poya' di laman Istana Budaya sempena Malam Puisi Utusan Demimu Palestine.

Sudah lama aku menunggu acara seperti ini diadakan. Jadi bila aku terbaca tentang malam puisi anjuran Utusan ini, aku pun terus rembat saja peluang yang ada. Nawaitu aku hanyalah untuk bersama-sama yang lain memberi sokongan terhadap saudaraku di Gaza dan dalam masa yang sama merenjat kesedaran dalam diri sendiri.

Memandangkan aku baru sahaja menggalas tanggungjawab sebagai 'pelapor berbayar' di sebuah syarikat, jadi aku turut dipertanggungjawabkan untuk membuat laporan. Bukan setakat buat laporan, tetapi terpaksa menghadap orang-orang berwajah plastik, hipokrit dan apa-apa lagi yang sama sealiran dengannya.

Malam itu dimulakan dengan nyanyian sifu dan tok guruku, encik Zubir Ali bersama-sama trio Harmoni. Lagu Balada Seorang Gadis Kecil dan Surat untuk Tuan Presiden sudah cukup mengejutkan kujur tubuh yang lesu. Andai lagu itu bisa berkumandang di corong telinga si bangsa laknat dan dayus serta sekutunya yang masih mampu memejamkan mata, dan memekakkan telinga pasti tertampar dengan bait-bait liriknya.

Linangan airmata tak putus-putus. Namun adakah ianya dapat sampai kepada mereka? Anak-anak Gaza. Adakah mereka tahu yang saudara mereka di sini kepingin untuk bersama-sama berjuang menentang bangsa dayus, bangsa laknat itu? Tangisan itu menjadi kaku dan beku bila Kopratasa menghiasi ruang pentas. Satu baris ayat yang masih aku ingat tika ini, 'mereka tidak perlukan tangisan tetapi sokongan,'!

Ya! Memang benar. Pantas linangan airmata yang menujah aku potong dari terus bertali arus. Aku terlalu asyik mendengar deklamasi sajak sehingga terlupa tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan. Berat rasa hati untuk meninggalkan tempat dudukku sebagai penonton dan juga penyokong. Lantas, Fatimah angguk faham. Langkah longlai, aku menuju ke kerusi VIP dan VVIP sambil lirik mataku sempat jatuh kepada seorang gadis flora merah melintasi dengan tempelan bunga-bunga reflesia di bajunya. Baju bunga reflesia di baju? Apakah signifikan baju itu bisik ku sendiri. Aku tinggalkan sekejap gadis bunga plastik itu.

Berat juga mata pena untuk memuntahkan dakwatnya. Kenapa bangang sangat manusia di depan aku ni? Soalan mudah ditanya, jawapan tanpa akal pula diberi. Namun, aku harus ucap tahniah kerana sekurang-kurangnya dia (seorang CEO) jujur memberi jawapan.
"Kenapa terpanggil untuk turut hadir ke majlis bacaan malam puisi utusan demimu Palestine ni?"
"Orang dah panggil... datanglah," jawab si CEO sambil tersengih membetulkan seluarnya.
Kalau diikutkan hati mahu sahaja aku ambil M16 dan ku tembak tepat ke perutnya yang sedikit membuncit. Takpelah. Dia orang VIP. Jawapan tu, jawapan standard! Aku tanya lagi, siapa gerangan yang membuat puisi yang dibacanya.
"Adalah seseorang yang suruh saya bacakan," katanya lagi, kini riak wajahnya sedikit berubah sambil mengerling ke arah jam.

Belum pun habis majlis, kaki dan kepala kosong tidak berisinya sudah berkira-kira untuk pulang. Jadi, aku pun turut ucapkan, Selamat Tinggal Si Kakak Tua! Aku menjengah sekejap di tempat duduk para artisan muka 'pujaan' ramai. Lagi sakit jiwa bila mendengar kata-kata dan telatah mereka. Sehinggakan aku tidak sanggup mencatatkannya di sini. Bak kata Dato' Siti... biarlah rahsia!

Namun malam itu membuatkan aku sekali lagi berdiri di dalam persimpangan hidupku. Aku bertemu dengan otai-otai lagu puisi. Kopratasa. Biarlah aku tinggalkan kata-katanya sebagai ingatan aku sendiri. Walaupun kata-kata abang Sani (aku kira lebih senang memanggilnya abang) sedikit pahit dan sedikit menghiris, aku menganggapnya sebagai satu nasihat dari seorang abang kepada adiknya. Apatah lagi ketika teguran dibuat di hadapan barisan penulis yang sememangnya aku segani... Zaen Kasturi dan Rahimidin Zahari.

Aku kagum sikap bersahaja abang Siso dan Ucop. Nasihatnya yang aku kira boleh dikongsi bersama di sini ... "jangan dengar nasihat dari orang yang gagal, nanti kau pun gagal!"
Ya... memang benar kata-kata abang Siso itu. Hidup kita, kita sendiri tentukan. Selagi tak merasa sakit, kita tidak akan tahu, apa nikmat dan hikmah kesakitan itu.
Aku kembali ke kerusi penonton. Kali ini, aku buang jauh-jauh tugasku dan tumpukan segala perhatian dan diri aku pada pentas. Aku kembali masuk ke dalam aku. Persembahan semakin panas. Tahniah kepada Hj Aznil kerana berjaya membuatkan penonton setia terpaku di kerusi masing-masing. Cuma malam itu sedikit terganggu apabila gadis Flora berbaju bunga reflesia berdiri di atas pentas. Bacaannya sukar untuk menetap dalam hati kerana tumpuan aku lebih kepada bunga-bungaan reflesia yang melambai-lambai menggamit perhatianku. Takpelah, sekurang-kurangnya, dia mencuba.

Malam ini aku kira, aku sedang bermain dengan aku dan AKU! Aku lebih suka dengan aku yang diam, lebih banyak memerhati dan menyimpannya untuk tatapan aku sendiri dari aku yang lebih suka bersoal-jawab, berlari ke sana dan ke sini semata-mata untuk menulis sesuatu yang bisa dijadikan sebagai 'berita'.

Antara aku dan AKU...
aku sahaja tahu yang mana adalah aku...
dan aku lebih rela terus menjadi aku...
dari menjadi aku yang bukan aku!