Thursday, April 18, 2013

Penyakit Saraf ; Satu Perkongsian

Akhir-akhir ini, ditemukan dengan beberapa artikel dan kejadian tentang penyakit yang tidak pernah aku tahu kewujudannya tetapi ia ada. Terkadang, tidak pernah terfikir pun boleh ada penyakit sebegitu. Mungkin ia kedengaran pelik dan membuatkan kita bertanya, kenapa perlu ada penyakit seperti itu? 

sakit saraf yang terpaksa ditanggung
Buat seketika kita terlupa, pertanyaan itu seolah-olah menafikan kebesaran Allah kerana apa juga yang terjadi adalah di atas kehendaknya. Dia Maha Kuasa dan punya sebab untuk menjadikan sesuatu apatah lagi, mewujudkan sesuatu penyakit. Maha suci Allah, setiap penyakit yang diwujudkan didatangkan pula dengan penyelesaian. 

Benar, ada penyakit yang masih belum ditemui penawarnya tetapi bukan bermaksud tiada. Secara tidak langsung, ia menunjukkan bahawa manusia (khususnya golongan pakar perubatan) perlu mendalami dan mencarinya sehingga bertemu penyelesaian. Insya-allah, ada.

Kali ini, aku ingin kongsikan tentang penyakit saraf. Kenapa penyakit saraf? Seperti yang aku sebut di awal entri tadi, artikel dan kejadian yang melibatkan saraf ini kerap kali aku temui sejak kebelakangan ini. Baiklah, mungkin ramai yang tidak ambil peduli kerana beranggapan, mustahil terdedah kepada penyakit yang melibatkan saraf dan merasakan mereka sudah cukup dengan pelbagai amalan kesihatan. 

Percayalah, kalau Allah mahu menguji hamba-Nya, sesiapa juga boleh menghidapinya. Tidak kiralah sudah cukup persediaan atau sentiasa mengamalkan hidup yang sihat. Hidup adalah ujian. Kalau bukan hari ini, esok lusa pasti ada!

Pertama kali aku mengetahui tentang sakit saraf ini, beberapa tahun lepas. Salah seorang ibu kepada kenalanku disahkan diserang penyakit saraf dan sehingga kini harus mengambil ubat untuk mengelakkan kejadian buruk berlaku. Kalau tak salah, ubat yang diambil pula dari jenis dadah steroid. Jangan pula terkejut, ia sejenis dadah yang mengubati kalau diambil mengikut dos yang ditetapkan. Kalau berlebihan, boleh membahayakan.

Dua tahun lalu pula, terserempak pula dengan sejenis lagi penyakit saraf tetapi jauh lebih komplek dari sebelum ini. Penyakit saraf yang dikenali sebagai 'Penyakit Bunuh Diri (Suicide Disease) atau dalam bahasa kedoktoran pula disebut sebagai Trigeminal Neuralgia (TN / TGN). Penyakit saraf TN aku ketahui ekoran liputan meluas setelah Salman Khan didiagnos dengan penyakit ini.

Tidak ramai yang tahu tetapi setiap kali kemunculannya di rancangan televisyen pasti akan dapat menyaksikan Salman kerap memegang sebelah bahagian wajah dan ada ketika, bermasalah untuk bertutur atau mengambil masa menghabiskan ayat.

Menurut hebahan maklumat di internet serta pengalaman yang dikongsikan Salman sendiri, pesakit akan menerima serangan seperti renjatan elektrik di sekitar bahagian mata, pipi dan juga bahagian dagu. Kebanyakan pesakit yang tidak dapat menahan serangan (45 - 60 saat sekali) cenderung untuk membunuh diri dengan menghempas bahagian muka (yang terlibat) ke dinding. 

Penyakit ini juga dikatakan, mengganggu kehidupan rutin pesakit ini termasuklah tidak boleh mencuci muka (menggalakan serangan berlaku), sukar mengunyah, minum, makan malah tidak boleh ketawa, bertutur dan senyum. 

Salah satu wawancara antara Rajeev Masand dan Salman Khan. Di mana boleh dilihat dengan jelas bagaimana TN menyerang pesakitnya (pertuturan tidak teratur dan memegang pipi serta mata). Paling ketara di minit 5:22.




Wawancara bersama Kareena Kapoor. (Serangan TGN berlaku pada minit ke 5:54!)
 
 

Serangan TGN
Menurut pembacaan aku di wikipedia, simptom awal penyakit TGN ini adalah renjatan seakan kejutan elektrik di sekitar bahagian muka. Seringkali berlaku ke atas golongan lelaki awal 50-an namun ada juga kes yang melibatkan serangan ini berlaku kepada kanak-kanak berusia seawal 3 tahun.

Selain dari penyakit TGN ini, aku turut bertemu dengan satu lagi penyakit yang melibatkan saraf. Mirip penyakit TGN kerana ia juga melibatkan sebahagian wajah pesakit. Penyakit yang dimaksudkan ialah Palsi Bell.

Sebagaimana aku mendapat input tentang penyakit TGN tadi, informasi tentang Palsi Bell turut aku perolehi dari carian di Google dan Wikipedia. Berikut adalah petikan artikel yang aku temui dari laman Sioloon.com.

Cuma perlu pastikan masalah kelumpuhan bukan disebabkan angin ahmar
(Oleh Hafizah Iszahanid)

BUKAN semua masalah kelumpuhan saraf muka (facial nerve paralysis) disebabkan serangan angin ahmar. Ada kalanya, ia disebabkan jangkitan penyakit (seperti masalah bell palsi) atau komplikasi pembedahan.

Ketua Jabatan Oral dan Pembedahan Maksilofasial, Universiti Malaya (UM), Prof Dr Zainal Ariff Abdul Rahman, berkata serangan angin ahmar adalah satu daripada punca kelumpuhan itu.

Dr Zainal Ariff berkata, kelumpuhan saraf muka bermaksud lumpuhnya struktur saraf pada muka kerana di bawah kulit, laluan saraf muka adalah panjang dan berbelit-belit. Justeru, ia sensitif dan banyak faktor yang boleh menyebabkan kelumpuhan saraf muka terjadi.

"Saraf pada muka membolehkan seseorang itu tersenyum, masam dan melahirkan ekspresi wajah. Namun, gangguan pada saraf muka menyebabkan saraf muka lumpuh. Perkara paling serius apabila berlakunya kelumpuhan saraf muka adalah penjagaan mata kerana ia tidak boleh ditutup sekali gus memudahkan kornea tercedera," katanya.

Bagaimanapun, katanya kelumpuhan saraf muka adalah masalah sementara kerana ia boleh dirawat. Namun, masalah itu masih boleh berulang. Kelumpuhan saraf muka bagaimanapun bukan satu penyakit sebaliknya gangguan yang disebabkan oleh banyak penyakit.

Antaranya gangguan pada saraf muka, serangan angin ahmar, kecederaan, bell palsi (masalah gangguan saraf yang disebabkan virus), ketumbuhan di otak, pembedahan membuang kelenjar air liur atau pembedahan laluan saraf yang terkena pada saraf.

"Kelumpuhan saraf muka lebih kerap terjadi pada lelaki dewasa manakala faktor yang paling biasa adalah bell palsi. Selalunya, bell palsi dikaitkan dengan jangkitan virus seperti herpes atau influenza," katanya.

Virus itu bagaimanapun virus yang biasa dan tindak balas individu yang mempengaruhi jangkitan. Misalnya pada sesetengah orang, sistem imun tubuhnya bertindak balas dengan jangkitan vitus yang menyebabkan keradangan pada saraf. Apabila ia bengkak, saraf sukar melepasi laluan yang kecil mencetuskan simptom bell palsi.

Selain bell palsi, faktor lain yang boleh menyebabkan kelumpuhan saraf muka adalah komplikasi ketika pembedahan pada muka kerana doktor tersalah potong saraf muka yang panjang dan berselirat.

Gejala kelumpuhan saraf muka




  • Mata yang tidak boleh ditutup
  • Muka yang herot
  • Mata kering
  • Lidah hadapan tiada sensasi (pada bahagian muka yang terjejas)

    Rawatan
    Rawatan biasanya adalah pemberian dos steroid yang tinggi dan menutup mata pesakit bagi melindungi kornea atau meletak pesakit di tempat yang gelap. Peluang untuk pulih semula tinggi kalau pesakit dirawat dengan segera. Namun, perlu dipastikan apakah ia masalah kelumpuhan saraf muka yang tidak disebabkan oleh angin ahmar.Mata yang tidak boleh tertutup ditangani dengan pembedahan kecil meletakkan emas dalam kelopak mata atas untuk memberatkannya dan membolehkan mata ditutup dan dibuka seperti biasa.  

  • * mungkin ada lebih banyak lagi penyakit yang melibatkan saraf. Aku juga pasti, penyakit saraf ini ada cara mencegah, ada penawar serta cara untuk merawatinya.