Kisah Terpinggir; Annie dan anjingnya!

Sudah genap seminggu, tiada lagi bayang-bayang makhluk 4 kaki menunggu di ruang legar bawah bangunan pejabat. Tiada juga sekutunya yang sering menjadi penjaga tanpa upah di lot meletak kereta. Apa dah jadi? Ke manakah menghilangnya makhluk-makhluk ini? Dek kerana hairan dengan situasi baru ini, aku bertemu dengan petugas pencuci bangunan.



"Kak, ke mana pergi anjing-anjing semua? Selalunya ada melepak kat sini," soalku.

Sempat juga aku menghayun-hayun sekaki payung berwarna kuning. Ya, hari masih cerah tetapi payung ini ada tugasan lain. Lagipun, bukankah elok, sediakan payung sebelum hujan?

"Oh, anjing-anjing itu diberi ubat. Mati semuanya," balas kakak itu dalam loghat Jawa Indonesia.

"Apa?" sumpah, aku terkejut mendengar perkhabaran yang satu ini.

"Malah, anak-anak anjing 3 ekor baru lahir kelmarin juga diberi ubat. Saya kasian liat ibunya." Sambung wanita itu lagi berkisah.

Astaghfirulllahalazim, detik dalam hati.

Kenapa manusia begitu kejam?
Bukankah anjing-anjing itu berhak hidup?
Kenapa harus jalan itu diambil?
Bukankah ada cara lain yang lebih berperikemanusiaan?
Perikemanusiaan?

Kalau dalam Islam, memang jelas anjing itu haram, tapi tak pula disuruh bunuh anjing! Sekarang, siapa lebih anjing? Kaum manusia sering melaungkan  tentang isu hak asasi dan perikemanusiaan. Hmm. 

Bercerita tentang kisah anjing ini, teringat pula kepada seorang teman. Annie. Bukan sahabat atau rakan sekelas, cuma aku boleh katakan, kami rakan satu pusat siber! Ha ha ha. Berkenalan pun, taklah lama tapi cukuplah berkongsi cerita. 

Beberapa bulan lalu, sekitar Disember, aku berjumpa dengan Annie. Itupun setelah beberapa tahun lamanya kami tidak bersua muka. Kali terakhir pun di sekitar tahun 2002. Waktu itu, aku memang galak menghabiskan masa di pusat siber. Kenapa? Haih, tentulah sebab menghabiskan masa untuk menyempurnakan tugasan sekolah. 

Pertemuan kami pun bukanlah dirancang tetapi pertemuan yang tidak disengajakan. Alang-alang dah bertemu, agak berjam-jam juga masa dihabiskan bersama. Banyak kisah dikongsikan dalam beberapa jam itu. Yang menarik perhatian aku dan amat sesuai dengan cerita anjing tadi, kisah Annie dan anjing peliharaannya. Kebetulan, Annie memang penggemar anjing terutamanya baka Shepherd. Aku masih ingat, di telefon bimbitnya penuh dengan gambar dia bersama anjingnya. Kalau tidak silap, Toby namanya. 

Ini Toby dari keluarga Shepherd! (Gambar sekadar hiasan)

Beberapa tahun lalu, Toby telah pun meninggalkan (mati) Annie disebabkan sudah tua. Dek kerana sudah terbiasa menjadikan anjing sebagai haiwan peliharaan dan teman, Annie cepat mencari pengganti. Katanya, anjing pengganti ini merupakan anjing yang ingin dibuang pemiliknya. Tanpa fikir akibat di kemudian hari, Annie menerima anjing itu tanpa sebarang syarat. Kalau nak diikutkan, anjing itu bukanlah jenis yang disukai Annie. Tambah pula Annie dari golongan berada. Setakat anjing sebegitu, memang tidak pernah menjadi pilihannya. 

"Kenapa kau terima?" soal aku, tidak percaya.

"Nak berteman, lagipun aku percaya kawan aku, Windy tak akan beri anjing jenis jahat," kata Annie.

"Kawan kau tu, dari mana?" soal aku lagi.

"Kawasan Ampang," jawabnya acuh tak acuh.

Awalnya, anjing yang diberikan nama Ashes (debu) itu memang sangat daif keadaannya. Tidak terurus dengan bulu-bulu yang sudah pun berguguran hingga boleh dikira helaiannya. Namun Annie tidak pernah jemu untuk memulihkan keadaan Ashes. Segala-galanya disediakan malah sanggup berulang-alik ke klinik haiwan. Hampir 3 bulan, hubungan Ashes dan Annie semakin rapat hinggalah di satu hari, Windy mahukan Ashes kembali.

Ashes (lebih kurang beginilah rupanya)
 "Eh, kenapa pula?" pelik aku dengan permintaan Windy.

"Katanya, pemilik sebenar anjing itu mahukannya kembali," jawab Annie.

"Bukan dia pemilik sebenar anjing tu?" soal aku lagi semakin bertambah hairan.

Kecelaruan berlaku disebabkan, pemilik sebenar anjing itu yang berpindah ke Kuantan, Pahang hanya menumpangkan Ashes sebentar sebelum mereka benar-benar stabil di kawasan perumahan baru. Annie enggan akur dengan permintaan itu kerana merasakan dia sudah pun rapat dengan Ashes. Perkara menjadi tegang apabila pemilik itu tetap berdegil dan mengatakan, anjing itu tetap miliknya. Haih, anjing-anjing punya hal, manusia pun boleh bergaduh?

Annie turut menceritakan, pemilik itu sanggup turun dari Kuantan bertemu dengannya semata-mata mahukan anjing itu diserahkan semula. Dia berang kerana keputusan dibuat Windy seolah-olah membelakangkan dia sebagai orang yang lebih layak membuat keputusan. Annie menjadi keliru kerana dia sudah tidak boleh berenggang dengan Ashes. Ashes yang dilihat hari ini, sangat berbeza dengan Ashes yang dijumpainya dahulu.

Alasan itu tidak diterima pemilik asal Ashes. Keadaan Ashes yang daif bukanlah kesalahannya sebaliknya, kesalahan Windy. Dia lalai dan tidak menjaga amanah diberikan. Bagi membuktikan kisahnya benar, pemilik itu siap membawa seekor lagi anjing yang ditinggalkan kepada seorang penjaga sementara lain. Anjing yang bernama Munnah itu diserahkan kepada seorang kaya di Keramat. Kononnya, keluarga penjaga itu pula duduk di sebuah rumah yang bernilai RM180K!

Keputusan memberikan anjingnya kepada Windy merupakan satu-satunya perkara yang amat dikesali kerana tidak menyangka kekeliruan sebegini akan berlaku. 

"Apa jadi lepas tu?" soalku ingin tahu lebih lanjut.

"Sepatutnya, aku dan Ashes sertai pertandingan anjing cantik tahun lepas. Tapi tak jadi," keluh Annie.

"Kenapa?" masih tidak berpuas hati.

"Awalnya, memang aku tak mahu pulangkan Ashes. Tapi, lepas dia serang dan cederakan aku, aku serahkan balik dia pada tuannya." Jelas Annie dan menunjukkan pada aku kesan parut di tangan dan kakinya.

"Ada baiknya kau serahkan pada tuannya semula," aku cuba memujuk Annie.

"Dengar cerita, pemilik asalnya pun diserang. Dua-dua anjing, Ashes dan yang seekor lagi di Keramat tu. Betul kata nenek aku, anjing jalanan tetapi jalanan. Tidak kiralah kalau berhabis puluhan ribu atau tempatkan di rumah jutaan ringgit. Anjing tetap anjing,"  luah Annie sambil tersenyum sinis.

"Eh, takkanlah sampai begitu sekali," ujarku, tidak percaya.

"Mungkin sudah memang balasan tuannya. Dengar cerita lagi, anjing-anjing tu dah pun disuntik racun. Kedua-duanya mati." Kata Annie, menamatkan kisah.

Ada satu kepuasan di wajahnya. Cuma aku tidak pasti apa yang membuatkan dia begitu. Adakah kerana dendam terhadap pemilik anjing itu masih berbaki? Atau kemarahan terhadap Ashes masih berapi? Hubungan Annie dan kawannya juga sudah renggang sejak peristiwa itu. Satu lagi kisah yang sempat dikongsi kepada aku, yang dia telah beralih arah dari menjaga anjing ke menjaga seekor arnab. Baguslah. Sekurang-kurangnya, jaga arnab tidak ada risiko!

* banyak perkara yang aku belajar dari kisah Annie; jangan mudah percayakan sesiapapun dan tidak salah kalau bersikap memilih demi kebaikan. Contoh macam kata Annie tadi, kalau dah anjing jalanan, anjing jugalah. Mungkin ada persamaan dengan manusia, kalau dah namanya manusia, manusia jugalah! Pandai bermuka-muka, berbohong dan minta simpati. Nasihat aku, simpatilah pada diri sendiri sebelum bersimpati pada orang lain!

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku