Wednesday, April 3, 2013

Cik Medula Berkaca Mata!

Kalau anda pembaca setia blog Fantasi Itu Duniaku, pasti sudah kenal dengan watak cik Medula. Kerap juga watak cik Medula ini muncul tapi taklah selalu. Kadang-kadang sahaja, itupun disebabkan cik Medula nak tumpang sekaki, menonjolkan diri. Ha ha ha. Ada-ada saja. (Rujuk entri : Otak Tidur, Derita Cik Medulla Oblongata dan Barah Otak : Satu Perkongsian).
Cik Medula, segak berkaca mata...
Beberapa bulan lepas, cik Medula akhirnya akur dan pergi melakukan pemeriksaan tahap kesihatannya serta merujuk doktor. Doktor yang bertugas (kebetulan sangat ramah) bertanyakan itu dan ini. Berjam-jam jugalah berlangsungnya pemeriksaan awal itu. Segala masalah dihadapi cik Medula, dipanjangkan kepada doktor dan doktor mendengar dengan tekun sambil membuat kebarangkalian. 

"Kalau diikutkan, semua yang cik beritahu tadi tu simptom-simptom awal barah otak," doktor.

Bergegar juga cik Medula tapi cuba menahan diri.

"Apa-apa pun, saya tak boleh kata ianya barah otak sebab masih baru." Tambah doktor.

Si doktor terus bertanyakan kerja cik Medula, tempoh rehat yang diambil setiap hari, pemakanan dan yang terakhir, masalah penglihatan.

"Cik ada masalah penglihatan?" soal doktor.

"Ada... tapi saya dah tak pakai," jawab cik Medula.

"Kenapa ya? Macam mana cik boleh memandu?" kali ini doktor galak bertanya. 

"Rimas pakai cermin mata. Ada masanya saya pakai, tapi sekarang tak," yakin sungguh cik Medula.

Doktor ketawa.

"Masalah penglihatan, tak mungkin okey kalau tak pakai cermin mata.
Saya nasihatkan, cik mula pakai cermin mata semula. Kalau masalah berterusan,
baru kita ikhtiar pemeriksaan lanjut tentang otak cik," kata doktor beri cadangan.

"Masalah penglihatan?" soal cik Medula (konon-konon hairan)
 
Bermula dari saat itu, cik Medula rajin berkaca mata. Tiada lagi masalah kesihatan yang diadukannya kepada aku. Hmm. Buat cik Medula, lain kali jangan pandai-pandai jadi doktor sendiri. Nanti, makan diri. 

Berkaca mata sejak 7 tahun...
Akur! Kembali berkaca mata... aduyai
Rimas... rimas sangat! Tapi, apa nak buat?

Er, segak juga berkaca mata ni... (pujuk diri!)
Mendengarkan kisah dan melihat perubahan drastik cik Medula, mendorong aku untuk kembali bercermin mata. Setelah bertahun disimpan rapi dalam kotaknya. Pengajaran dah ada depan mata, takkanlah tunggu terhantuk baru nak terngadah. Ya tak?

* moralnya di sini, apa juga kemusykilan tentang kesihatan, jangan jadikan internet sebagai info utama. Apa-apa pun, rujuk dan minta nasihat pakar. Jangan pandai-pandai tilik nasib dan takdir sendiri. Ha ha ha. (Cik Medula, kisah anda sungguh lucu)