Ms Kuch Kuch, Ada Apa Dengan Nama?

Persoalan yang seringkali bertandang setiap kali berdepan dengan nama yang harus diberikan di ruang laman sosial di internet; nama aku yang perlu aku pilih? Ada apa dengan nama yang aku pilih? 

Inilah Ms Kuch Kuch
Ramai beranggapan, tidak penting untuk menggunakan nama yang tertera pada kad pengenalan. Disebabkan itulah, banyak sangat nama pelik bersepah-sepah di pelbagai ruang laman sosial seperti Facebook, Twitter dan macam-macam lagi. Jika diberi pilihan, aku juga tidak mahu menggunakan nama asal tetapi apabila difikirkan kembali, tujuan utama aku mendaftar ke ruangan tersebut untuk mencari kenalan lama, lebih afdal menggunakan nama asal. Setuju?

Mengimbas kembali peristiwa beberapa tahun dahulu, kali pertama aku mendaftarkan diri ke ruang sosial adalah hasil dari dorongan rakan-rakan satu akademi. Laman sosial pertama yang aku sertai; Myspace diikuti Friendster dan Orkut. Waktu itu, memang nama asal yang aku guna tetapi, ruangan itu dibiarkan sepi kerana aku tidak berapa gemar berhabis masa dengan ruang-ruang sebegini. Bukanlah aku mahu menafikan penglibatan aku secara langsung, cuma tidak kerap mengemaskininya.

Kemudian, aku terjebak pula dengan dunia blogger. Tujuan asal pembinaan ruangan blog ini, tiada lain adalah dari dorongan rakan-rakan penulis dan penerbit sendiri. Ia khusus untuk memberikan hebahan tentang aktiviti aku sebagai penulis dan juga informasi tentang karya-karya yang bakal dihasilkan. Seperti yang aku katakan tadi, "tujuan asal" tapi sekarang ia lebih kepada perkongsian pemikiran aku. Ya, aku akui. Aku jarang mengemaskini tentang karya aku. Kenapa tidak? Barangkali, ianya tidak penting dan... kalau ada karya, barulah boleh dikongsikan bukan? HA HA HA.

Selepas kegilaan Blogger, aku beralih pula kepada Facebook atas dorongan seorang rakan; Nurjihadah. Terima kasih. Dia jugalah yang menolong aku memahami bagaimana untuk kendalikan Facebook ini. 

Sepertimana Blogger, Facebook juga aku gunakan sebagai ruang interaksi dengan pembaca kerana itulah aku memilih nama 'Romibaiduri Zahar'. Nama itu, tidaklah sebesar mana tetapi alhamdulillah, masih ada juga yang kenal karya aku menerusi nama itu. He he he. 

Selain tujuan mempromosikan nama sebagai novelis, Facebook juga berjaya menemukan aku dengan rakan-rakan yang sudah terpisah lama. Disebabkan itu, aku mengekalkan nama 'Shahaini Zahar' agar mudah orang membuat carian di Facebook. Dalam masa yang sama, mudah untuk bakal penerbit mencari aku di sana. Ha ha ha. 

Berbeza dengan Blogger dan Facebook, tujuan aku menyertai satu lagi laman sosial Twitter adalah kerana untuk kepentingan diri sendiri. Bukan untuk menjual nama atau pemikiran, sebaliknya ia aku jadikan medan LEPAS PERANGAI! Tujuan aku sertai Twitter amat jelas; mengikuti 'orang-orang' yang aku suka secara peribadi. Satu; kerana bakat. Dua; kerana pemikiran. Orang yang paling kuat mempengaruhi aku terjebak dalam Twitter --- Salman Khan diikuti beberapa nama lain termasuklah Namron!

Dek kerana inilah satu-satunya ruang untuk lepas perangai, sengaja aku memilih nama yang unik dan sangat dekat dengan diriku... Ms Kuch Kuch @ShahainiZahar. Eh, sudah pasti tidak akan ditinggalkan nama Shahaini Zahar itu kerana, aku bangga memakai nama itu! Penggunaan nama Ms Kuch Kuch menimbulkan pelbagai persoalan. Ramai yang bertanya, 

Kenapa Ms Kuch Kuch?
Apa itu Ms Kuch Kuch?
Siapa Ms Kuch Kuch?

Sebenarnya, Ms Kuch Kuch ini boleh ditemui dalam sebuah filem komedi klasik hindi, Andaz Apna Apna yang semestinya dibintangi; Salman Khan, Aamir Khan, Karisma Kapoor dan Raveena Tandon. Ms Kuch Kuch adalah nama yang diberikan kepada watak Karisma (dimainkan Karisma sendiri). Gelaran ini hanya muncul dalam satu adegan tetapi ianya cukup sinis. Kenapa? Adegan itu ditulis khas untuk mengutuk media di India (tetapi relevan untuk media seluruhnya)!


"Puan tak cakap apa-apa bukan?" - Karisma
"Tidak" - Raveena
"Kamu tak dengar apa-apa bukan?" - Karisma
"Kami tak dengar apa-apa pun," - Media
"Aku tak cakap apa-apa. Adakah sesuatu akan terjadi kalau aku cakap apa-apa?" - Raveena
"Ya Puan. Awak kata sesuatu, mereka faham sedikit. Faham sedikit tapi tulis panjang lebar. Mereka tulis di sana, di sini mereka cetak (cerita) lain dan apa yang telah dicetak ada perkara pelik terjadi. Perkara pelik itu pula akan mengundang perkara pelik yang lain. Benar bukan?" - Karisma

Secara tidak langsung, adegan sependek ini menjadi inspirasi buat aku khususnya untuk tampil di Twitter. Mungkin ada yang tidak akan faham apa yang aku tweet di Twitter tapi ia sedikitpun tak jadi masalah untuk aku. Jadi, kalau rasa nak melihat sisi lain seorang aku, jemputlah ke Twitter Ms Kuch Kuch! Ha ha ha.
 
* unik bukan nama Ms Kuch Kuch? Jangan salah faham, nama itu langsung tak ada kaitan dengan filem Kuch Kuch Hota Hai melainkan watak Karisma-Prem dalam Andaz Apna Apna. Lagipun, aku memang peminat Salman Khan & Karisma Kapoor! He he he.

Pasangan paling serasi Sallu-Lolo

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku